Ubah Sikap Kalau Nak Berjaya

Ramai orang yang nak berjaya.
Sebenarnya semua orang boleh berjaya sebab tak ada orang yang dilahirkan untuk gagal.
Namun, kadang-kadang kegagalan itu berlaku kerana tiada matlamat yang jelas dan teknik untuk berjaya.
Kebanyakan pakar motivasi berpendapat bahawa kejayaan itu ialah 80% daripada sikap kita dan 20% lagi ialah usaha kita.
Jadi, untuk berjaya kita mesti ubah sikap dan akhlak, bukan sahaja sikap terhadap ibu bapa tetapi terhadap semua orang.
Bahkan, kita juga perlu menjaga hubungan dengan Allah, Pencipta kita kerana Dialah yang memberikan segala rezeki termasuklah kejayaan...

Baiklah, sebut pasal akhlak dan sikap, ramai yang berpendapat bahawa mereka telah bersikap baik untuk berjaya.
Ada juga yang mengatakan bahawa mereka tidak mencuri, bergaduh dengan orang atau membuat perkara maksiat, namun tetap tidak berjaya, bahkan telah berusaha semampu yang boleh.
Ya..memang betul kita telah bersikap baik dengan semua orang, tetapi adakah kita telah berakhlak baik dengan sebenar-benarnya.
Tanpa kita sedari, perkara yang kecil pun boleh menghalang kita daripada berjaya.
Di sini suka untuk ana berkongsi satu kisah yang ana petik daripada sebuah novel yang dapat memberi pengajaran buat kita.

Dalam satu perang, kaum muslimin telah mengepung kubu musuh untuk satu jangka masa yang amat lama, tetapi kubu itu tetap tidak dapat dijatuhkan. Ketua jeneral ketika itu memeriksa punca dilewatkan Allah kemenangan mereka. Diperiksanya solat fardhu, bacaan Al-Quran, solat-solat sunat, tetapi ternyata semuanya dilakukan dengan baik. Akhir sekali, jeneral bertanya mengenai siwak. Ketika itu, ramai tentera tidak bersiwak. Terus, mereka mencari ranting-ranting kayu dan bersiwak. Selepas itu, Allah campakkan kegerunan dalam hati musuh dan beri keizinan untuk menang.

Oleh sebab itu, walaupun bersugi itu adalah satu perkara yang kecil, namun sekecil-kecil perkara itulah yang memberikan kejayaan kepada kita.
Mari kita lihat kembali diri kita, adakah kita telah menjaga hubungan kita dengan Allah, ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan, dan semua orang di sekeliling kita?
Ada sesetengah orang yang memandang mudah sesuatu perkara yang kecil.
Sebagai contoh, menjalankan tugas mingguan di dalam kelas seperti menyapu dan mengelap tingkap.
Walaupun kita merasakan perkara itu adalah tugasan kecil yang boleh diselesaikan oleh orang lain, namun adakah kita tidak merasakan tidak menjalankan tugas itu  boleh menghalang kita daripada berjaya?
Apatah lagi tugas-tugas yang berat seperti mendidik orang, mentarbiyah orang dan tugas utama kita sebagai orang Islam iaitu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.

Oleh sebab itu, walaupun itu sekadar perkara  yang kecil, kita tidak boleh mengabaikannya, kerana besar kemungkinan boleh menjadi penghalang kejayaan kita.
Bedasarkan kisah yang ana kongsikan di atas, jelas menunjukkan bahawa walaupun bersiwak atau bersugi itu tiada kaitan dalam pelajaran, sukan, pekerjaan atau sebagainya, tetapi ia berkait dengan perjuangan hendak membawa Islam kerana seluruh hidup kita adalah ibadah dan kita hendak menunjukkan bahawa Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Oleh sebab itu kita penuhi asbab kemenangan dan kejayaan dengan berusaha menjaga sunnah Rasul dan semua perintah Allah semasa perjuangan.
Harapan kita dengan amal -amal kecil begini, Allah kan bantu kita.

Sebagai pelajar, kita mestilah berusaha menurut segala perintah Allah dan mengamalkan sunnah rasulNya.
Antara sunnah Rasul yang perlu kita amalkan ialah :
  • Sentiasa beristighfar
  • Membaca Al-Quran dan mengamalkan kandungannya
  • Solat sunat Dhuha
  • Bersedekah
  • Sentiasa membaharui wudhu'
  • Memakmurkan masjid
  • Bersiwak atau bersugi
  • Membaca basmalah sebelum melakukan sesuatu
  • Memulakan sesuatu dengan mendahului kanan
  • Berqiyamullail
  • Sentiasa senyum
  • Mengingati mati
Selain itu kita juga perlu menitikberatkan hubungan dengan manusia.
Mari kita check list apa yang kita sering terlepas pandang selama ini...
Adakah kita  :
  • mendoakan ibu bapa dan berbuat baik dengan mereka?
  • menolong mereka dengan ikhlas tanpa merungut?
  • mengikut kata-kata mereka termasuklah belajar bersungguh-sungguh?
  • mempunyai perasaan untuk balas jasa mereka setelah mereka memberikan segala keperluan kita?
  • menghormati adik-beradik kita sebagaimana kita hormat ibu bapa?
  • menghormati guru-guru dengan tidak sengaja tidur di dalam kelas?
  • menyiapkan kerja sekolah walaupun tidak diminta oleh guru-guru?
  • berterus-terang kepada mereka jika kita tidak menyiapkan kerja sekolah?
  • membantu kawan-kawan yang kesusahan walaupun mereka tidak pernah membantu kita?
  • tidak mengumpat guru dan kawan-kawan atau tidak mendengar orang lain mengumpat atau berada dalam kumpulan yang mengumpat?
  • menjalankan tugas sebagai pengawas, ketua kelas, bendahari atau apa- apa tugas sepenuhnya?
  • belajar bersungguh-sungguh  untuk membalas jasa ibu bapa dan guru-guru?
  • niat belajar kerana Allah dan ingin menunjukkan bahawa umat islam boleh dalam semua bidang?
Jika masih lagi terkurang, lekaslah kita berazam untuk berubah demi kebaikan kita.
Itu adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian namun sebenarnya, setiap perkara yang dilakukan mestilah jelas matlamatnya  dan niat kerana Allah agar setiap yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah dan Insya Allah, Allah akan mempermudah kejayaan kita.

Ana masih ingat nasihat bekas PK1 sekolah ana, Ustaz Alias yang sering mengatakan bahawa setiap pelajar perlu cemerlang ibadah dahulu iaitu menjadikan seluruh hidup sebagai ibadah : solat, sedekah, sukan, belajar, tolong orang dan sebagainya sebagai ibadah...seterusnya cemerlang akhlak , sama ada akhlak terhadap  Rasulullah, ibu bapa, rakan-rakan, anak yatim, orang miskin malah semua orang, barulah pelajar dapat cemerlang dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan dan semua bidang yang diceburi pelajar dalam hidupnya.

Kesimpulannya, untuk berjaya kita perlu perbaiki sikap. Adakah kita mempunyai sikap amanah, bersungguh-sungguh, jujur, istiqamah, sanggup berkorban,menghormati orang, bertanggungjawab dan semua sifat mahmudah yang diajar dalam Islam?
Jika tidak, ayuhlah kita muhasabah diri dan berubah sikap dengan segera sebelum terlambat.
Semoga dengan mengamalkan sikap dan akhlak yang baik berteraskan Al-Quran dan Assunnah dan sentiasa mempunyai pergantungan yang kuat kepada Allah, Insya Allah, Allah akan mempermudah urusan dan tugas kita untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran, pekerjaan, dakwah menegakkan Islam dan semua perjuangan yang diniatkan semata-mata untuk Allah.
Cemerlang akidah, cemerlang ibadah, cemerlang akhlak, cemerlang segala-galanya
Wallahu A'lam....

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...