Cerpen : Bayangan Dosa Semalam



“Sayang ni cantiklah. Tak puas Abang tengok,” tangan si lelaki sudah pun menyentuh pipi comel si wanita.
“Abang, Abang  nak air lagi? Nanti Sayang ambilkan ye,” suara lunak manja itu kedengaran  cukup menggoda sang lelaki.
“Tak nak, Abang nak Sayang. Jomlah balik ke rumah Abang,” giliran lelaki itu pula memasang jarum.
“Tak boleh. Sayang kena kerja lagi. Nanti ada pelanggan lain pula yang datang ke mari. Apa kata kita menari . Abang mesti dah lama tak menari. Cepatlah Abang!!” mahu tidak mahu lelaki itu mengikut gerak- geri si wanita untuk menari bersamanya. Bunyi bising terhasil daripada getaran lagu-lagu rancak yang dipasang di kelab malam itu membuai leka semua manusia dalam dunia ciptaan syaitan.
“Astaghfirullahala’ziim…Mimpi  lagi,” suara lunak manja tadi menuturkan istighfar. Jam menunjukkan jam 3 pagi. Mimpi ngeri itu sudah banyak kali menghantui tidurnya.
Balqis segera bangun dari tempat tidurnya dan menuju ke kamar mandi. Berniat untuk membersihkan diri dan berwudhu’. Dia lantas menghamparkan sejadah, ingin bermunajat kepada Yang Esa. Ketenangan, kerahmatan  dan paling tidak dilupakan keampunan dipohon. Moga segala doanya dimakbulkan.
“Eh, Balqis dah bangun. Nampaknya dah dapat bangun tanpa dikejutkan. Alhamdulillah,” suara milik seorang wanita berusia lingkungan 40-an kedengaran di cuping telinga Balqis.
“Dah, Kak Siti. Tapi, Balqis mimpi lagi,” mata sudah mula bertakung air mata jernih.
“Balqis, jangan sedih. Terus memohon pada-Nya. Dia Maha Mengetahui. Ini  cuma ujian iman buat Balqis. Allah nak lihat sejauh mana keikhlasan Balqis. Sudahlah. Tidurlah. Nanti akak kejutkan untuk solat Subuh.”
“Tak apalah akak. Balqis nak mengaji  dahululah. Kalau akak mengantuk, akak pergilah tidur. Hari ini biar Balqis yang kejutkan akak untuk Subuh berjemaah.”
“Okay lah kalau macam itu. Memang Balqis pun yang selalu kejutkan akak. Akak tidur dahulu ye Balqis sayang.” Senyuman manis dilemparkan buat Balqis. Namun, senyuman itu masih belum mampu menceriakan hatinya yang masih hiba.
“Ya Allah, hilangkanlah kedukaan dalam hatiku. Bantulah hamba-Mu ini, Ya Allah”

*******
“Assalamualaikum adik-adik. Dah lama tunggu akak?”
“Waalaikumussalam. Tak adalah akak. Kami pun baru sahaja sampai,” suara seorang lelaki cilik, Ahmad kedengaran enak sekali.
“Kak Balqis cantik lah hari ini,” puji seorang  budak perempuan bertudung manis, Umairah.
“Ye lah, akak nampak macam bidadari lah,” puji seorang lagi, Fatimah.
“Kamu semua ini pandai kan. Nak bodek akak lah tu. Kelas pun belum mula lagi. Jangan risau adik-adik. Semua orang akan dapat gula-gula hari ini,”
“Yeah….” sorakan gembira meriuhkan keadaan di kelas tadika itu. Kelas tadika itu milik Puan Siti yang dibuka tiga tahun lalu. Balqis salah seorang tenaga pengajarnya. Dia diambil bekerja oleh Puan Siti setahun yang lalu selepas  dia berjaya diselamatkan Puan Siti dalam satu peristiwa hitam yang membawanya ke satu dunia baru yang menenangkannya kini. Oleh sebab Puan Siti sudah lama menjanda jadi dia tinggal serumah dengan Puan Siti.
“Balqis baru habis kelas?” soal Puan Siti usai Balqis keluar dari kelasnya.
“Ya, akak.”
“Nanti  wakil daripada Butik Cilik Solehah akan datang untuk membincangkan tempahan baju muslimah untuk budak-budak di tadika ini. Jadi akak nak Balqis tolong akak untuk pilih baju apa yang patut ditempah.”
“Tapi, akak nak ke mana? Balqis takut silap pilih nanti.”
“Akak ada urusan penting di bandar. Jangan risau, Balqis. Semua baju itu menepati kehendak syara’. Cuma Balqis perlu pilih corak yang terbaik untuk budak-budak.”
“Insya Allah akak.”

*******
“Assalamualaikum, Puan Siti ada? Saya Amirul, pegawai ekskutif dari Butik Cilik Solehah,”  satu suara garau kedengaran.
“Waalaikumussalam. Dia tia..tia..da…tapi saya wakilnya. Saya Balqis. Ini sahabat saya Nurul.” Balqis yang agak terkejut dengan kehadiran lelaki berkopiah itu menyebabkannya tergagap-gagap. Segera dia menundukkan sedikit wajahnya. Tidak menyangka dia sama sekali seorang lelaki pun bekerja di sebuah butik pakaian muslimah. Nasib baik ada Nurul untuk menemaninya.
“Oh, tak apalah kalau begitu. Jadi, boleh kita mulakan perbincangan sekarang,” suara itu seakan-akan renjatan elektrik buat Balqis. Hatinya berdebar-debar, namun Balqis hanya berlagak professional.
“Boleh, Insya Allah.”
Selesai berbincang, Balqis dan Nurul menghantar Amirul di hadapan pintu pagar tadika sebagai tanda hormat. Wajahnya masih ditundukkan sedikit. Teringat olehnya pesanan Kak Siti apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram, seorang wanita itu wajib menundukkan pandangan dan haram melunakkan suara ketika bercakap dengannya.
Semasa Amirul memasuki sebuah van, tiba-tiba, Balqis melihat seorang lelaki yang cukup dikenalinya. Lelaki itu pemandu van Butik Cilik Solehah. Lelaki itu melihat ke arahnya dengan pandangan tajam. Segera Balqis menarik tangan Nurul untuk masuk ke dalam tadika. Amirul yang menyaksikan perkara itu kehairanan dengan sikap aneh Balqis. Dia mula berasa tidak sedap hati.
“Balqis, awak okay ke?” soal Nurul.
“Saya okay je. Tiada apa-apalah.” Balqis menyembunyikan perasaan sebaknya.
“Tapi, mata awak berair. Awak menangis eh? Saya ada buat salah dekat awak ke?”
“Tak adalah, mana ada. Awak tak pernah buat salah apa-apa pun” Balqis rasa Nurul tidak perlu tahu akan zaman silamnya. Pasal lelaki itu. Lelaki yang merosakkan hidupnya.
“Atau..Atau..Awak sedih Encik Amirul pulang. Mana tahu awak dah terpaut hati padanya. Saya lihat awak gelabah semacam je tadi. Encik Amirul pun sama.”
“Awak ni Nurul. Tak habis-habis nak menyakat saya kan.”
“Betul apa yang saya cakap kan? Tengok muka awak dah blushing dah tu.” Nurul segera ketawa melihat Balqis yang malu-malu itu. Sekurang-kurangnya kesedihan Balqis berkurang dengan keceriaan suasana yang dibawa oleh Nurul.

*******
“Sekarang ni, kau dah tak boleh ke mana-mana,” jeritan lelaki kasar bernama Sufiyan itu menakutkan Balqis.
“Kau dengar sini baik-baik. Lelaki lain kau boleh larikan diri. Tapi dengan aku, no way ,okay!” tangan Balqis sakit sekali dicengkam oleh Sufiyan.
“Lepaskan aku lah, bodoh. Aku tak nak ikut kau la. Tolong lah lepaskan aku,” giliran Balqis pula menempik kuat. Tangisannya semakin kuat.
“Kau kata aku bodoh. Hei, aku tak bodoh lah. Kau yang bodoh. Perempuan tak guna. Hari ini kau kena kerja dengan  aku. Beribu duit aku habis untuk kau, kau tahu tak.”
Dengan kudrat wanitanya yang tidak seberapa, Balqis menendang kaki Sufiyan sekuat hati lalu segera melarikan diri daripada Sufiyan.
“Hoi, jangan lari perempuan bodoh.”
Sufiyan terus mengejar Balqis tetapi tiba-tiba satu cahaya terang memancar di hadapan muka Balqis. Balqis terjatuh. Kepalanya terhantuk pada satu benda yang keras. Balqis tidak sedarkan diri.
“Aaa…akak!” jeritan Balqis mengejutkan Puan Siti daripada lenanya.
“Ya Allah. Kenapa Balqis jerit ni?”
“Akak…Akak… Balqis takut. Sufiyan kejar Balqis. Dia nak tangkap Balqis,” Balqis sudah mula menangis teresak-esak.
“Ya Allah, mesti Balqis mimpi lagi kan. Sudahlah. Jangan nangis lagi. Balqis kan dah selamat sekarang. Akak ada di sini dengan Balqis.”
“Tapi, kenapa Balqis mesti mimpi hal yang sama? Mungkin inilah balasan atas apa yang telah Balqis lakukan dulu. Atau apakah taubat Balqis tak diterima?”
“Bawa mengucap Balqis. Istighfar banyak-banyak. Balqis tak boleh cakap begitu. Kan akak dah cakap dulu, Allah itu maha Pengampun. Dia pasti mengampunkan dosa orang yang bertaubat. Balqis mesti yakin akan hal itu.”
“Tapi, kenapa Balqis perlu lalui mimpi itu. Seolah-olah Balqis masih buat kerja-kerja maksiat itu. Balqis dah tak nak ingat lagi dosa-dosa Balqis dulu akak. Bila Balqis mimpikan hal itu, Balqis rasa diri ini hina sangat.”
“Balqis, dengar apa yang akak cakap. Orang yang bertaubat itu sangat mulia di sisi Allah. Walaupun dihina oleh masyarakat sekeliling, tapi dia tetap dipandang tinggi oleh Allah. Dia seolah-olah dilahirkan semula tanpa secalit dosa pun pada dirinya.”
“Akak tahu tak, Balqis selalu berdoa supaya mimpi itu dah tak ganggu Balqis lagi tapi….”esakannya semakin kuat kedengaran di telinga Puan Siti.
“Balqis tak boleh buruk sangka kat Tuhan tau. Balqis kena yakin Allah akan makbulkan doa setiap hamba-Nya. Mimpi itu hadir mungkin sebagai peringatan Allah pada Balqis supaya Balqis tidak jemu dan putus asa untuk terus berdoa dan memohon keampunan-Nya. Sebab itulah bila Balqis masih didatangi mimpi itu, Balqis kena segera beristighfar dan banyakkan berdoa.”
“Akak, satu benda je yang Balqis takut. Balqis asyik teringat dosa-dosa yang lalu. Kadang-kadang, Balqis rasa macam tak layak diampunkan.”
“Janganlah cakap macam itu. Insya Allah, janji Allah itu pasti. Dia pasti mengampunkan dosa hamba-Nya walau setinggi gunung sekali pun. Asalkan kita benar-benar bertaubat dan tidak mengulangi lagi dosa itu,” pujukan dan nasihat  Puan Siti sedikit banyak mengembalikan ketenangan dalam diri Balqis.
“Terima kasih, akak kerana dah selamatkan Balqis hari itu. Kalau tidak tak tahu la apa akan jadi pada Balqis sekarang ini.”
“Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang dan penentu dan Allah tahu apa yang terbaik untuk Balqis kerana Allah sayangkan Balqis. Sebab itulah akak terlanggar Balqis hari itu. Aturan Allah cukup sempurna buat hamba-hamba-Nya.”
‘Alhamdulillah, syukur Ya Allah atas nikmat hidayah yang Kau kurniakan padaku’

*******
Van Butik Cilik Solehah meluncur laju di atas jalan raya menuju ke Tadika Siti. Tiba-tiba si pemandu ketawa sendirian.
“Ha…Ha…Ha…Akhirnya sampai juga hasratku untuk mendapatkan Balqis. Inilah masanya untuk dia menjadi milikku,” kata Sufiyan sambil ketawa.
Semalam, semasa Amirul memberitahunya bahawa dia akan melamar Balqis untuk menjadi isterinya, Sufiyan sudah tidak senang duduk. Hari ini, apabila dia sekali lagi diarahkan Amirul untuk ke tadika itu bagi menyerahkan resit pembayaran tempahan pakaian muslimah, dia memang sedang menanti saat untuk bertemu kembali dengan Balqis.
“Uh, ada hati kau nak miliki Balqis, Amirul. Dia milik aku. Selama-lamanya akan jadi milik aku. Balqis, tunggu kehadiran Abang, Sayang,” ketawanya semakin menjadi-jadi  seolah-olah sudah dirasuk sesuatu.
Usai sampai ke tadika, Sufiyan ternampak kelibat Balqis menuju ke pejabat. Langkah Balqis diekori cepat. Dia ingin memastikan tiada sesiapa yang menyedari kehadirannya. Dia lantas menghampiri Balqis. Tanpa membuang masa dia menekupkan kain tuala yang sudah disapu sejenis bahan kimia pada hidung Balqis lalu  Balqis pengsan.
“Cikgu Siti…Cikgu Siti…tadi Ahmad ternampak Kak Balqis pengsan dan dia dibawa  pergi dari sini oleh sebuah van,” ujar Ahmad cemas yang kebetulan dengan izin Allah ternampak keadaan yang berlaku tadi.
“Astahgfirullah. Balqis. Ahmad kenal ke van siapa itu?”
“Ahmad rasa itu van yang datang hantar baju kami, Cikgu.”
“Ya Allah, Butik Cilik Solehah,” tangannya dengan pantas menekan  nombor milik Amirul.
“Apa? Maknanya Sufiyan tak datang berjumpa dengan Puan Siti?” ujar Amirul di talian sana.
“Sekarang ni, kita kena selamatkan Balqis. Akak takut dia diapa-apakan oleh Sufiyan seperti dulu. Amirul tahu tak di mana rumah atau tempat yang selalu Sufiyan pergi.”
“Apa maksud akak seperti dulu? Tapi saya rasa saya tahu tempat yang selalu dia pergi.”
“Panjang kisahnya Amirul. Cuma yang pasti mereka berdua memang pernah kenal. Sekarang, akak dan Nurul pergi buat laporan polis dan Amirul ke sana cepat untuk selamatkan Balqis sebelum terjadi apa-apa kepadanya.”

*******
Rumah usang di pinggir kota itu dimasuki senyap-senyap. Tiba-tiba, Amirul terdengar suara yang sudah tidak asing baginya.
“Tolonglah lepaskan aku, Sufiyan. Kau bertaubatlah. Aku dah tak nak buat kerja-kerja maksiat itu lagi,” suara Balqis kedengaran lemah di cuping telinga Amirul.
“Lepaskan kau? Hei perempuan tak guna, kau tahu tak kerana kau, beribu-ribu duit aku habis. Kerana kau aku dibuang kerja. Kerana kau aku jadi papa kedana. Sekarang kau dah tak boleh lari lagi. Kau milik aku dan kau kena kerja balik untuk dapatkan duit untuk aku.”
“Aku mohon pada kau, Sufiyan. Sekarang ni pun kau dah ada kerja yang halal. Bertaubatlah sebelum terlambat. Insaflah apa yang dah kau lakukan dulu.”
“Dah pandai bagi tazkirah rupanya. Hei, setakat jadi pemandu aku tak puas, kau tahu tak. Sekarang ni, aku dah jumpa kau. Inilah masanya kau balas balik segalanya selepas kau larikan diri daripada aku dulu.”
“Sufiyan, lepaskan Balqis. Dia bukan milik kau. Lepaskan dia sebelum terjadi apa-apa pada kau.,” suara Amirul yang tiba-tiba muncul mengejutkan Balqis dan Sufiyan.
“Hoi, Amirul. Apa yang kau buat di sini. Lebih baik kau jangan dekat sebelum aku apa-apakan dia,” ujar Sufiyan  lalu menghulurkan sebilah pisau pada leher Balqis yang diselindungi tudung labuhnya.
“Jangan apa-apakan dia. Tolonglah. Kalau kau nak duit atau kerja yang lebih bagus, aku akan berikan tapi tolong lepaskan dia.”
“Ha…Ha…Ha…Kau ingat aku bodoh ke? Kau tak payah la nak selamatkan dia. Kalau kau nak tahu, perempuan yang kau nak jadikan isteri ni sebenarnya perempuan kotor. Dia bekas GRO!! Tak sangka aku ada juga orang yang nak memperisterikan perempuan kotor macam ni,” Balqis yang mendengarkan kata-kata Sufiyan nyata terkejut.
‘Amirul ingin melamar aku? Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Selamatkanlah aku. Aku benar-benar bertaubat kepada-Mu’ rintih Balqis dalam hati.
“Lepaskan dia sekarang! Kalau tak…” jerit Amirul.
“Kalau tak apa?” ujar Sufiyan lalu ketawa suka ria.
Bang!!! Satu bunyi tembakan kedengaran lantas mematikan ketawa Sufiyan. Sufiyan jatuh terkulai layu. Mujurlah, dengan izin Allah pihak polis tiba tepat pada waktunya.
‘Alhamdulillah Ya Allah kerana mendengar rintihan hamba-Mu. Kini aku yakin akan janji dan pertolongan-Mu,’ Balqis bertahmid dalam hati.

*******
“Balqis, di hadapan Puan Siti sebagai penjaga awak dan bersaksikan Allah Tuhan sekalian alam, saya ingin melamar awak menajdi isteri saya yang sah,” ujar Amirul syahdu, seminggu selepas peristiwa hitam itu menimpa Balqis.
“Balqis, kenapa diam je.?Jawablah. Akak dah pun redha dan merestui perhubungan suci yang bakal dibina antara Balqis dan Amirul,” Puan Siti pula bersuara memecahkan kesunyian antara mereka.
“Amirul, awak terlalu baik untuk saya. Awak dah pun menyelamatkan saya tapi…” kata-katanya segera dipotong oleh Amirul.
“Balqis, selepas kita bertemu kali pertama dengan awak di Tadika Siti hari itu, saya selalu dibayangi awak. Mula-mula saya ingatkan itu hanyalah godaan nafsu semata-mata tetapi apabila berkali-kali saya buat istikharah, saya yakin awaklah jodoh terbaik yang Allah takdirkan untuk saya. Saya memang terlalu berharap awak akan terima saya. Tapi, saya tak nak awak terima saya kerana terhutang budi sebab saya dah selamatkan awak hari itu.”
“Bukan macam itu maksud saya. Saya dah banyak buat maksiat. Saya perempuan hina yang banyak kekurangan. Saya …”
“Sesungguhnya orang yang bertaubat itu lagi mulia di sisi Allah. Ini bermakna awak ialah perempuan yang mulia. Saya tak kisah akan kisah silam awak. Sebenarnya, pegangan agama awaklah yang buat saya tertarik kepada awak,” kata-kata Amirul itu membuatkan Balqis menjadi sebak. Terasa dirinya bahagia kerana dihargai sebegitu rupa.
“Ha…Dengar tu Balqis sayang. Amirul benar-benar ikhlas menyayangi Balqis kerana Balqis dah kembali kepada agama-Nya. Jadi, nak terima ke tak nak ni?” Puan Siti yang mendiamkan diri dari tadi tiba-tiba bersuara. Dilihatnya muka Balqis sudah bertukar kemerah-merahan menahan malu.

*******
“Aku terima nikahnya Balqis binti Mohammad dengan mas kahwin RM80 tunai,” dengan satu akad, Amirul Khairuddin sah menjadi suami buat Balqis.
‘Ya Allah, syukur atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku. Kekalkanlah kasih sayang antara aku dan suami aku. Sesungguhnya aku amat mencintainya kerana cintanya pada-Mu dan Dia juga mencintai aku kerana cintaku pada-Mu. Semoga dengan kehadirannya disisiku, bayangan dosa semalam tidak lagi menjadi peneman tidurku. Amin Ya Rabbal A’lamin,’ doa Balqis di dalam hati.

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Az-Zumar: 53)

2 comments:

alhamdulillah. thanks for sharing :)

thanks juga krn sudi membaca...
semoga dpt ambil sedikit walau tak byk mutiara ilmu dan hikmah

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...