Coretan Tinta Kala Tarawih

Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari kedua dalam bulan Ramadhan untuk tahun ini. Dan sudah dua malam solat sunat terawih ditunaikan. Apabila menceritakan bab terawih ini, ada orang mempersoalkan apa bezanya solat terawih di rumah dan di masjid atau surau. Menurut seorang ustaz, bertarawih di rumah suasananya mungkin kurang menghadirkan perasaan khusyuk itu, tapi di masjid pun belum tentu dapat khusyuk kan? Namun antara kelebihan bertarawih di masjid yang jelas ialah bonus tambahan iaitu niat beriktikaf di dalam masjid kerana di rumah tidak dibolehkan beriktikaf. Kelebihan lain yang terzahir kala bertarawih di masjid sudah tentunya dapat mengeratkan lagi ukhuwwah sesama muslim, tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin.


Namun, tatkala bersolat Isyak dan solat tarawih berjemaah di masjid, ada sesuatu yang kurang menggembirakan saya. Saya sedih apabila mendapati saf tidak dirapatkan antara bahu ke bahu, bahkan masih terdapat ruang antara ahli-ahli jemaah solat. Bagi saya, mereka hanya menumpukan ke arah sejadah mereka. Mereka seolah-olah berpaksikan tepat ke arah sejadah yang digunakan mereka tanpa mengira soal merapatkan saf yang sebenar-benarnya. Saya boleh membuat hipotesis di sini iaitu semakin besar sejadah masing-masing, semakin banyak ruang antara masing-masing jemaah. Persoalannya, siapakah yang bersalah dalam hal ini? Sejadah atau ahli jemaah itu sendiri? Bagi saya tiada sesiapa pun yang bersalah kerana sejadah digunakan untuk memberi keselesaan tatkala bersolat untuk mengelakkan benang-benang halus pada karpet atau debu-debu pada lantai masjid terlekat takala sujud. Justeru ahli jawatankuasa sesebuah masjid atau surau hendaklah memberi peringatan kepada seluruh jemaah baik muslimin mahupun muslimat agar semua orang dapat merasakan 'aura' solat berjemaah dengan merapatkan saf seperti mana yang diajarkan Rasululullah s.a.w.

Semasa sedang bersolat Isyak dan terawih di masjid, sesekala kedengaran riuh-rendah dan buyi bising yang terhasil oleh kanak-kanak yang turut hadir ke rumah Allah. Ada ahli jemaah yang terganggu memarahi kanak-kanak terbabit kerana menghalang ahli jemaah untuk khusyuk dan menghayati bacaan daripada imam. Tidak salah untuk memarahi mereka namun harus berhati-hati dan berhikmah. Adat kanak-kanak, tidak sah jika tidak membuat bising dimana-mana pun. Jadi di sini tanggungjawab ibu bapa perlu diambil perhatian iaitu dengan memberi warning awal kepada mereka untuk menjaga kelakuan apabila tiba di masjid. Pihak masjid pula mungkin boleh menyediakan ruang khusus untuk mereka agar solat hadirin yang lain tidak terlalu mengganggu. Kehadiran kanak-kanak ini seharusnya tidak dihalang kerana inilah peluang untuk mereka mula berjinak-jinak dengan masjid apatah lagi kanak-kanak lelaki. Moga-moga dengan latihan kehadiran mereka sejak kecil menjadi satu tabiat yang baik sehinggalah mereka menginjak dewasa.


Kadang-kadang, usai solat dan bersalam-salaman dengan jemaah wanita, saya terpandang beberapa anak gadis khususnya, hanya memakai T-shirt berlengan pendek. Malah ada yang sudah lengkap berbaju kurung dan berbaju labuh, namun masih tidak berstoking. Niat yang baik untuk bertarawih secara berjemaah di surau dan masjid merupakan sesuatu yang sangat baik dan patut diteruskan sehingga ke akhir Ramadhan, namun aspek penutupan aurat masih belum disempurnakan. Mungkin ada suara-suara yang mengatakan, "Alah, nak pergi surau aje pun, bukannya hendak pergi kenduri kahwin ke atau beraya ke. Tak pelah pakai macam ini pun." Namun, harus diingat, Allah ada di mana-mana, waktu siang mahupun waktu malam. Walaupun dalam kegelapan yang menjengah dan tiada insan yang terlihat aurat kita, namun Allah Maha Melihat. Tetapi AWAS!! Wanita yang sudah bertudung litup dan menutup tubuh penuh dari hujung rambut hingga kepala juga perlu perbetulkan niat...Pergi ke masjid untuk apa? Berlawa-lawa? atau beribadah? atau ingin menunjuk alim di hadapan muslimin yang lain bahawa "aku telah menutup aurat, mesti orang pandang aku sebagai wanita solehah"? Wahai wanitaku, sama-samalah kita waspada! Dalam kebaikan juga kekadang terpalit secalit dosa.


Semoga coretan saya ini dapat membuka hati kita semua, khususnya diri saya sendiri yang hina ini yang masih bertatih-tatih ke arah kebaikan. Saya memohon maaf andai kata coretan kali ini agak 'keterlaluan', namun segala peringatan dan teguran yang ditulis dalam blog ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk penulisnya sendiri. Moga Ramadhan kali ini menjadi satu platform yang terbaik untuk kita berubah ke arah yang lebih baik kerana kita hanya perlu berperang dengan nafsu kita sahaja kerana satu lagi musuh ketat kita sudah dibelenggu oleh Sang Penciptanya. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya dan anda semua di bulan yang mulia ini dan merahmati kita selalu, insya Allah.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...