Tadarus di BTN

Alhamdulillah wasyukurillah kerana masih diberi peluang untuk terus menulis di laman ini. Alhamdulillah saya dan para sahabat baru sahaja pulang dari BTN di Kem Bina Negara, Besut, Terengganu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan aktiviti di sana tidaklah terlalu padat membolehkan kami untuk mengisi masa terluang dengan memperbanyak ibadah walau pada hakikatnya setiap apa yang dilakukan jika diniatkan kerana Allah adalah satu ibadah.


Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat kerana dalam banyak-banyak slot, terdapat satu slot tadarus Al-Quran. Usai solat tarawih, sebenarnya tidak ramai yang datang ke slot tadarus, barangkali penat menjengah setelah seharian beraktiviti. Kemudian, saya ternampak ada satu halaqah yang sedang bertadarus di suatu sudut surau yang terdiri daripada kakak-kakak daripada IKIP, Pahang.


Pada mulanya saya berkira-kira ingin menyertai mereka, namun Allah telah hadirkan rasa rindu yang teramat sangat dalam hati saya. Rindu untuk bertadarus sebagaimana di sekolah lama dahulu. Rindu untuk berhalaqah bersama-sama sahabat-sahabat dan adik-adik di SMKA Kuala Abang. Lalu, saya pun menuju ke arah mereka seraya mengucap salam dan meminta izin untuk bertadarus bersama-sama.


Semasa bertadarus bersama mereka, ada sedikit kelainan terasa. Mungkin bagi saya, mereka benar-benar mengamalkan konsep tadarus itu sendiri. Tadarus dalam bahasa arab jika diterjemahkan bukan setakat belajar tetapi belajar bersama-sama. Saling menegur dan saling memperbetul bacaan  ayat-ayat Al-Quran yang dibaca. Saya juga tidak terlepas daripada ditegur atas kesalahan yang dibuat.


Pada saat itu, hati saya mula terdetik, "Subhanallah, hebatnya tadarus ini. Aku ingat selama ini aku dah betul semua bacaan semasa bertilawah seorang diri, namun pada hakikatnya masih terdapat kesalahan walau sedikit cuma...Alhamdulillah."


Pada ketika itu, baru saya sedari tadarus itu cukup penting dalam memperhebat lagi pembacaan, penghayatan, dan pemahaman tentang Al-Quran. Tadarus bukan sekadar untuk berlumba-lumba untuk cepat habis juzu' Al-Quran, bahkan lebih daripada itu kerana ia turut mengajar erti penerimaan orang yang ditegur dan orang yang menegur kesalahan dalam bacaan Al-Quran.


"Nabi s.a.w menceritakan bahawa Jibaril a.s membacakan kepadanya Al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


"Bulan Ramdhan ialah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia." (Surah al-Baqarah:185)




Lantas saya ingin menyeru dan mengingatkan diri saya khususnya dan anda semua untuk sama-sama kita memperbanyak bacaan Al-Quran dan mentadabbur isi kandungannya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Insya Allah jika diberi masa lapang oleh Allah, bertadaruslah sesekala bersama orang-orang yang terdekat supaya bacaan kalamullah kita lebih mantap, Insya Allah.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Orang yang mahir membaca Al-Quran, ia akan bersama para malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya tersekat-sekat kerana ada kesukaran dalam membacanya, maka ia akan mendapatkan dua pahala." (Riwayat al-Bukhati dan Muslim)


Wallahu a'lam.

3 comments:

shukran ingatkan ana! ^_^

nadhi: afwan...kite same2 mengingat krn allah ye

alhamdulillah, nikmat bertadarus memang hebat.
asif, ana x sertai enti untuk bertadarus sama2. alhamdulillah, ana berada di slot video juga x terlepas dr mndapat ibrah.. dan tayangan pn x ramai...sikit sngat2... i guess....mane yang laen, ek???

syukran ala khibraat... inshaAllah ana ceritakan yang ana sertai untuk next post....
BTW, i'm not da first to comment here~ asif...:)

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...