Doa Permudah Bicara

"Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, lepaskanlah kekakuan daripada lidahku, agar mereka mengerti bicaraku"

Doa ini sebenarnya dibaca oleh Nabi Musa a.s yang dicatat dalam al-Quran, surah Taaha ayat 25 -28. Nabi Musa memohon pada Allah dengan membaca doa ini ketika mana baginda ingin menghadapi Firaun yang zalim lagi kejam yang mengaku dirinya sebagai tuhan, semoga baginda dimudahkan dalam urusan dakwah baginda kepada Firaun.

Sebelum memulakan sebarang ucapan, doa ini lazimnya dibaca dengan harapan apa yang disampaikan memberi kesan kepada pendengar dengan izin-Nya. Ketika menuntut ilmu, sebelum guru memulakan pengajarannya, doa ini sering kali juga dibaca. Tetapi, apa yang perlu diingati, bukan pelajar sahaja yang perlu membacanya namun doa ini sepatutnya dibaca juga oleh guru-guru apatah lagi yang ingin menyebarkan pengetahuan dan ilmu tidak lain tidak bukan adalah guru itu sendiri. Moga-moga pengajaran guru difahami pelajarnya.

Apa pun, ayuhlah kita sama-sama mengamalkan doa ini dalam segenap kehidupan kita dan jadikanlah doa ini kewajipan yang perlu dibaca selepas menunaikan solat. Semoga hati kita senantiasa dilapangkan Allah, urusan kita dipermudah dan segala kekeluan tutur bicara kita diuraikan agar sesiapa yang mendengar tutur kata kita memahaminya mendapat manfaat daripadanya, insya Allah.

Sesungguhnya, segala ilmu, hikmah, nikmat dan apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah jua.
Subhanallah.......

Wallahu a'lam.

Sebaik-baik perancangan dan penentuan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang.
Sungguh! Dialah sebaik-baik perancang dan penentuan.
Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah lah yang menentukan.
Kekadang penentuan-Nya lebih daripada apa yang kita sangkakan.
Kasihnya Allah pada kita...Subahanallah...Alhamdulillah.
Tapi, ada ketika takdir-Nya kekadang menghampakan kita.
Opps! jangan sedih dan kecewa.
Ketahuilah bahawa Allah sedang menguji kita.
Sejauh manakah  kita bersyukur dengan-Nya.
Setinggi manakah kesabaran kita atas dugaan-Nya.
Allah tidak pernah zalim tapi kita yang zalim.
Astaghfirullah....

p/s : Saya sedang memujuk diri atas dugaan-Nya. Terasa happy sangat kerana apa yang dirancang kelihatan akan berjalan lancar. Namun, sangkaan saya meleset. Allah telah menguji dengan cabaran yang perlu dihadapi. Mungkin peringatan kerana terlupa bersyukur setelah perancangan yang saya lakukan baik-baik sahaja. Ataupun mungkin Allah ingin menguji kesabaran saya. Wallahu a'lam....Apa pun keampunan dimohon agar dosa dihapuskan. Doa turut dipanjatkan moga dipermudah segala urusan dan perancangan.

Allah sahajalah sebaik-baik perancang dan penentu....

Ukhuwwah itu indah


Alhamdulillah wa syukurillah kerana Allah masih mengizinkan saya untuk terus istiqamah menulis dalam blog ini walaupun tidak sekerap mana dan isi kandungan post tidaklah begitu menarik. Namun, setiap catitan kalam saya dalam blog 'lihat fikir amal' ini tidak lain tidak bukan adalah untuk peringatan buat diri saya yang hina ini dan semoga apa yang baik dijadikan pedoman buat anda semua.

Alhamdulillah, selama tiga hari saya selamat menyertai program Minggu Haluan Siswa (MHS) Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA). Ya Allah sukar untuk digambarkan dan diungkap dengan kata-kata tentang apa yang saya rasai selepas program ini. Syukur sangat -sangat. Untuk melaporkan semua aktiviti yang terdapat di dalamnya rasanya tidak mampu saya nukilkan cumanya apa yang begitu memberi makna dalam diri saya adalah berkenaan ukhuwah.

Sudah pastinya dalam mana-mana program untuk pelajar baru sekalipun, pasti ditekankan dengan nilai ukhuwah fillah iaitu berukhuwah semata-mata kerana Allah. Dalam MHS yang saya sertai ini, salah satu modul yang membuatkan saya lebih menghayati dan menghargai ukhuwah ialah makan bertalam iaitu satu talam dimakan oleh ramai orang. Ianya juga sememangnya budaya pelajar Malaysia di Jordan.

Namun, apa yang lebih, hebat dan beruntungnya saya ialah syarat makan bertalam itu ialah "tiada suapan untuk diri sendiri". Maknanya setiap ahli kumpulan tidak boleh makan sendiri tetapi hendaklah saling menyuap makanan antara satu sama lain.  Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini menggelikan dan mengotorkan tetapi bagi saya ia sebenanya menguji nilai ukhuwah dalam diri seseorang.

Apakah sanggup kita menyuap makanan ke dalam mulut orang lain? Orang itu mungkin akan menjilat jari kita dan kita terpaksa menyentuh mulut dan lidah mereka. Semua itu hanyalah sedikit jika ingin dibandingkan dengan rakan kita yang sanggup menggadaikan harta, tenaga, bahkan apa sahaja demi persahabatannya dengan kita. Tetapi mengapa rakan kita itu sanggup melakukan sedemikian? Tidak lain tidak bukan adalah kerana ukhuwah fillah...bersahabat semata-mata kerana Allah.


Alhamdulillah, ukhuwah diuji dan indah sekali andai dilakukan semata-mata kerana Allah walaupun terpaksa menyuap rakan sendiri. Tapi syukur yang teramat sangat kerana sekurang-kurangnya modul suap-menyuap itu dapat mengubat jiwa yang rindu terhadap ibu bapa tercinta tatkala teringat bagaimana mereka juga menyuap makan minum kita semasa masih kecil.

Walau apapun, di perantauan orang ini yang jauh daripada keluarga, hanya sahabat-sahabat dan ahli dalam persatuan sahajalah yang menjadi tempat bergantung di samping Allah yang paling utama. Merekalah ibu, merekalah bapa. Siapa lagi tempat meminta bantuan, sumber rujukan, dan bahu untuk menumpang sedih tawa kalau tidak sahabat-sahabat.

Tidak kiralah sahabat yang berada di Jordan, Malaysia, di blog 'lihat fikir amal' atau di mana-mana sahaja, semoga ukhuwwah yang terjalin kerana-Nya membawa kita semua ke syurga...insya Allah. Allahu Akbar!!!

Wallahu a'lam

Sebutlah Nama Allah

Alhamdulillah, sudah genap seminggu saya berada di bumi Jordan ini. Hamdalah sangat-sangat kerana semuanya baik-baik belaka setakat ini. Namun ujian yang menimpa benar-benar mengajar erti kesabaran dan keredhaan atas ketentuan Ilahi. Sesungguhnya baik buruk sesuatu perkara yang terjadi berada dalam suratan takdir-Nya.

Bukan senang untuk terus istiqamah dan mujahadah dalam perjalanan hidup kita kan? Setuju tak? Tapi mengapa ianya sangat payah dan sukar bak melalui onak duri? Sudah semestinya kerana syurga itu manis. Sebelum menjejak langkah ke bumi anbiya' ini, sering kali saya dinasihati supaya mentajdid niat iaitu selalu membetulkan niat datang ke Jordan untuk menuntut ilmu kerana Allah. Bukan sekadar berilmu, tetapi juga beramal. Moga-moga niat saya tidak tersasar...nau'zubillah.

Alhamdulillah sekali lagi walaupun sebenarnya tidak cukup syukur dengan hamdalah sahaja kerana saya dipertemukan dengan insan-insan yang banyak mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Antara insan yang dimaksudkan ialah sahabat saya sendiri iaitu Nor Arina Abdul Rahman. Wah! Seakan-akan ingin membuat biografi pulak.

Apa yang buat saya sangat terkesan dan terlalu ingin mencontohinya adalah kerana satu sifat mulianya yang selalu menyebut nama Allah, tasbih, istighfar dalam percakapannya. Apabila mendengar sahaja kalimah-kalimah indah lagi mulia itu, lidah saya secara langsung menyebutnya juga.

Subhanallah, sejak bersahabat dengannya, satu amalan mulia yang perlu dipraktikkan dalam hidup saya adalah membaca basmalah setiap kali ingin melaksanakan sesuatu. Sahabat saya ini walaupun benda itu terlalu simple, namun nama Allah tidak pernah lekang di bibir.

Alhamdulillah, syukur kerana di bumi berkah ini saya dibukakan pintu hati oleh Allah untuk sentiasa bermuhasabah dan digerakkan seluruh anggota badan untuk melakukan kebaikan. Moga Allah terus menetapkan hati kita dalam ketaatan kepada-Nya walau di mana-mana jua kita berada.

Tidak lupa juga kutitipkan secebis doa buat sahabat saya, Nor Arina kerana melaluinya, Allah telah mengajar saya sifat yang mulia walaupun dilihat kecil. Insya Allah, ringan dan kecil di dunia tetapi besar dan berat di akhirat. Moga Allah meredhai sahabatku, Nor Arina dan keluarganya.

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri"
-Fussilat:33-

Saat kakiku di Jordan

Alhamdulillah,tanggal 15 September 2011,saya dan sahabat-sahabat selamat tiba di bumi Jordan. Saat itu, saya mula merasakan perjuangan saya dalam jihad mencari ilmu baru sahaja bermula. Perasaan sedih lantaran berjauhan dengan keluarga kekadang terasa. Namun, apapun saya tidak boleh terlalu mengikut perasaan kerana kini, tuntutan mencari ilmu di bumi berkah perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Walau jauh di mata tetapi dekat di hati dengan tautan doa kepada-Nya.

Saya ada berborak-borak dengan seorang senior di rumah transit yang saya duduki iaitu Kak Aisyah Jamil. Beliau sempat berpesan kepada saya untuk bersabar sebanyak-banyaknya. Menetap dan belajar di tempat orang bukan sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan mujahadah, kesabaran, dan pergantungan pada Allah dengan sepenuhnya.

Walaupun kuliah masih belum bermula, debaran sudah semakin terasa. Saya cuba membayangkan bagaimana nanti saya perlu menghadapi kuliah dengan pensyarah di Jordan dan merasai suasana pembelajaran bersama orang yang bukan sebangsa dengan kita. Pesan pensyarah saya di kursus bahasa untuk memberanikan diri bertanya kepada pensyarah masih kuat di ingatan saya. Insya Allah, saya boleh!!

Pengalaman berjalan-jalan di sekitar kawasan Mu’tah kekadang menakutkan saya. Gelagat orang arab yang pelbagai membuatkan saya agak gerun. Ragam masyarakat, biasalah ada yang baik dan ada yang jahat. Lantas, senior-senior selalu berpesan supaya kami sentiasa berhati-hati terutamanya apabila melibatkan barang berharga dan ketika bermuamalah dengan orang arab di sini.

Inilah masanya penguasaan bahasa arab diuji tidak kira bahasa ammi atau fusha. Saya dan seorang rakan saya pernah ditegur oleh orang arab, namun kami hanya dapat menangkap sedikit sahaja daripada apa yang diperkatakan. Sedihnya rasa sebab tak dapat nak faham apa yang mereka cakap. Apatah lagi bahasa arab saya masih belum kukuh tetapi insya Allah akan cuba dipertingkatkan dengan lebih baik.

Apapun, saya bersyukur kerana setakat ini semuanya baik-baik belaka dengan adanya bantuan daripada senior-senior yang menguruskan segala keperluan kami dari sudut kemasukan universiti dan penempatan. Namun, tiada yang memudahkan jika Allah tidak memudahkan. Alhamdulillah. Tetapi, ini baru permulaan dan sebarang ujian dari Allah kekadang tidak pernah kita jangkakan. Sesungguhnya hanya Allah tempat bergantung sepenuhnya di samping para sahabat yang tidak betah membantu insan kerdil seperti saya.

Saya sangat-sangat mengharapkan anda semua mendoakan saya dan para pejuang ilmu di bumi Jordan ini dan seluruh mujahideen ilmu yang hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Moga kita semua dibetulkan niat dalam setiap amalan yang dilakukan dan semoga Allah meredhai kita semua.

        pemandangan di sekitar kawasan perumahan saya
             
Salam perjuangan daripada saya di bumi anbiya'.
Wallahu a'lam...

Jordan vs Mesir

Salam mahabbah buat semua. Semoga dinaungi rahmat dan hidayah-Nya selalu. Hmm..Jordan vs Mesir? Sering kali diperkatakan dan dipersoalkan isu belajar di Mesir dan Jordan. Mungkin kerana kebanyakan pelajar Malaysia kini ramai yang tertumpu untuk ke negara-negara ini khususnya untuk bidang pengajian Islam.

Apa bezanya belajar di Jordan dan Mesir? Saya acap kali juga diberitahu tentang hal ini. Kata mereka, belajar di Jordan lebih bagus daripada Mesir kerana sistemnya yang sistematik dan teratur. Di Jordan, kehadiran ke setiap kuliah diwajibkan manakala di Mesir kehadiran wajib ketika hendak menduduki peperiksaan. Salah satu sebab tidak diwajibkan di Mesir adalah kerana bilangan pelajar yang terlalu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Lalu, ada pelajar di Mesir tidak hadir ke kuliah melainkan hari peperiksaan sahaja.

Saya mendapat maklumat lagi bahawa jika di Jordan penyertaan di dalam kelas pula dikira sebagai markah dan bahasa yang digunakan di dalam kuliah kebiasaannya bahasa fusha(bahasa baku) berbanding di Mesir yang tidak dikira markah penyertaan dalam kuliah dan kebayakannya menggunakan bahasa ammi(bahasa pasar).

Info inilah yang saya peroleh dalam misi saya menuju permusafiran ilmu di bumi Jordan. Kelihatan seolah-olah kelebihan dari segi sistem pelajaran berpihak kepada tempat saya bakal belajar. Namun, itu cuma kata-kata orang. Kebenarannya masih belum kelihatan di hadapan mata saya.

Saya menulis hal ini bukanlah ingin menunjukkan Jordan adalah tempat terbaik untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama khususnya, mahupun bidang-bidang lain. Mentang-mentanglah, saya bakal ke sana. Tidak sama sekali jika anda merasakan saya sedemikian rupa.

Ya! dari segi sistem pembelajaran dan pengajaran mungkin lebih kepada Jordan. Namun, saya ingin menegaskan pendapat saya bahawa belajar di mana-mana pun sama sahaja. Baik di Jordan mahupun Mesir, Malaysia, Syria, Australia, Jepun dan mana-mana pun di bumi Allah ini. Cumanya terletak kepada kita bagaimana kita ingin mencorakkan suasana pembelajaran di sana supaya kita berupaya mencapai kecemerlangan yang Allah redhai.

Setiap yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk hamba-Nya yang beriman. Itu pasti kerana Allah Maha Penyayang. Namun, Allah juga Maha Adil. Siapa yang bertaqwa, berusaha lebih, menjaga akhlak..insya Allah kejayaan miliknya biarpun di mana-mana tempat pun dia menuntut ilmu. Sekalipun saya belajar di Jordan, tapi saya tidak berusaha ke arah kejayaan, malas bergaul dengan masyarakat setempat, tidak menghormati pensyarah dan syeikh-syeikh, agak-agak anda adakah saya boleh berjaya?

Kejayaan dan kegagalan adalah datang daripada Allah. Allah dah berfirman dalam kalam-Nya, "Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah" Kejayaan bukannya ditentukan di mana tempat dia belajar tetapi Allah yang menentukan seiiring dengan doa, usaha, istiqamah, keyakinan dan tawakkal pada-Nya.

Baru-baru ini, kakak ipar saya yang mengambil jurusan pengajian Islam di Mesir, Alhamdulillah memperoleh Jayyid Jiddan (kelas kedua) dalam peperiksaannya. Hanya beliau dan seorang pelajar dari Palestin sahaja yang mendapat keputusan Jayyid Jiddan masa itu. Beliau sungguh mengagumkan saya. Bahkan ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang belajar Mesir berjaya dengan cemerlang. Sejak itu, pandangan serong terhadap pelajar-pelajar yang belajar di Mesir saya buang jauh-jauh.

Abang saya sempat berseloroh dengan saya,
"Tengok kak long,(kakak ipar yang dimaksudkan) sibuk nak menguruskan rumah tangga lagi, nak belajar lagi tapi mampu mendapat keputusan cemerlang."

Semuanya dengan izin-Nya kan? Lantas abang saya turut mencabar saya yang masih bujang untuk mendapat keputusan yang lebih baik daripada kakak ipar saya. Mampukah saya?(berfikir sejenak) Tiada yang mustahil di dunia ini jika kita yakin dan bertaqwa kepada Allah. Bukan tempat yang menjanjikan kejayaan kerana pada hakikatnya kita semua masih di bumi Allah.

Cabaran itu akan saya sahut dengan azam dan tekad. Insya Allah berkat doa semua yang saya kasihi kerana-Nya, saya pasti berjaya. Kelebihan di bumi Urdun akan saya gunakan sebaik-baiknnya. Roh perjuangan para syuhada' di sana menjadi pembakar semangat. Moga saya dan sahabat seperjuangan dimudahkan urusan oleh Allah dalam kembara kami mencari bukan segunung ilmu, tapi selautan ilmu Allah yang tidak pernah terhitung banyaknya...insya Allah.
Wallahu a'lam...

Kakiku bakal menjejak ke tanah Jordan

Alhamdulillah, syukur kerana masih diberi peluang untuk bernafas dan menikmati alam ciptaan Allah ini. Sedar tak sedar saya dan sahabat seperjuangan bakal ke bumi anbiya', Dataran Syam yang penuh berkah yakni di Jordan. Segala persiapan barangan sudah dibuat,namun, rasanya masih belum cukup persiapan mental dan fizikal apatah lagi hati. Moga dithabatkan hati dan dibetulkan niat untuk ke sana...insya Allah!

Untuk apa aku ke sana? Kenapa nak kena ke luar negara? Mampu ke aku hadapi kehidupan di sana nanti? Seribu macam persoalan lagi yang timbul di benak fikiranku. Namun, sermuanya bakal terjawab apabila saya benar-benar menjejakkan kaki di sana. Perasaanku? Entahlah, sedih belum terasa. Gembira pun ada hendak ke sana. Debaran semakin menjela-jela. Semuanya tidak dapat diungkap dengan mata pena mahupun kata-kata.


Buku ini sudah saya baca. Buku yang menjadi pilihan pelajar-pelajar ke Jordan khususnya Mu'tah kerana Ustaz Hasrizal juga bekas pelajar Universiti Mu'tah. Apabila mentelaah setiap kandungan buku, gambaran keadaan di sana terbayang di ruang mata. Nasihat dan segala coretannya dalam buku ini sungguh menyentap naluri saya. Hasil pembacaan tulisan-tulisan pelajar-pelajar yang telah ke Jordan juga banyak menyedarkan saya untuk terus tetapkan hati belajar dan berjuang kerana Allah.

Syukran sangat-sangat kerana saya tidak putus-putus mendapat sokongan daripada ibu ayah, keluarga, guru-guru, rakan-rakan dan semua yang saya kenali. Alhamdulillah juga kerana Allah telah mengizinkan saya untuk berjumpa dengan mereka sebelum berangkat ke sana. Bermacam-macam nasihat dilontarkan kepada saya.

"Kutiplah sebanyak mungkin ilmu"
"Jangan asyik sibuk fikir nak kahwin"
"Pandai-pandai jaga diri di sana nanti" 
"Duduk di sana, jangan penting diri sendiri...pentingkan rakan-rakan, nanti keluarga tak ada, rakan-rakanlah yang susah senang bersama"
"Jaga disiplin dan pergaulan...bila di sana macam-macam boleh berlaku, harap-harap kamu tidak berubah"
"Belajar daripada pengalaman dan kitab, jangan sampai tiada beza dengan belajar di Malaysia"
"Kuasai bahasa arab, baru seronok belajar"
"Kena banyak bergaul dengan orang arab, jangan duduk dekat orang kita aje"
"Baca je kitab arab walaupun tak faham"

Banyak lagi nasihat yang diberikan kepada saya. Syukur sangat-sangat atas semuanya. Saya berharap dapat menyesuaikan diri di sana dengan baik di sana nanti. Apapun, saya perlu menerima hakikat bahawa walau di mana pun saya berada, kita tidak boleh bergantung kepada manusia melainkan Allah semata-mata. Hanya Dia yang Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Di kesempatan ini, saya berharap semua pengunjung dan follower blog 'lihat fikir amal' dapat terus menyokong dan mendoakan saya. Semoga Allah sahaja yang dapat membalas budi kalian. Segala yang silap dan khilaf dalam laman ini mohon diperbetulkan dan saya sedia menerima tunjuk ajar daripada kalian yang lebih berilmu dan beramal.

Saya masih lagi dalam proses mempersiapkan diri untuk ke sana. Saya tahu ini merupakan permulaan baru dalam hidup saya bagi melalui permusafiran ilmu di rantau orang. Apa pun, rasa teruja tetap ada lebih-lebih lagi rasa tidak sabar untuk menziarahi makam para sahabat yang syahid di sana seperti Zaid bin Harithah, Abdullah bin Rawahah, Jafar bin abi Talib dan ramai lagi para syuhada yang menghiasai semangat para pejuang ilmu di bumi Urdun.

Namun, bukan ziarah sahaja yang dicari dalam rehlatul ilmi ini, namun semangat perjuangan mereka yang perlu dicontohi dan dimiliki oleh setiap pejuang ilmu. Tatkala menyedari bahawa saya ke sana hasil tajaan dermasiswa zakat, sekarang terangkat di bahu saya dan rakan-rakan satu amanah dan tanggungjawab untuk membawa segulung ijazah apabila pulang nanti. Bukan ijazah jua yang diharapkan namun ilmu dan amal yang wajib dikongsi kepada masyarakat di tanah air agar sama-sama menuju mardhatillah dan jannah-Nya, insya Allah.

"Tidak sepatutnya bagi orang-orang Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga"
(At-Taubah : 122)


wallahu a'lam....

Berhikmahnya Rasulullah s.a.w


Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Islam itu juga agama yang berhikmah, begitu juga sifat baginda Rasulullah saw yang begitu berhikmah dalam berdakwah dan bergaul bersama sahabat-sahabat baginda.

Ada satu kisah yang mana menunjukkan betapa berhikmahnya Rasulullah saw. Semasa sedang makan-makan bersama para sahabat baginda, kemudian ada seorang sahabat yang 'terlepas bom'...terkentut la senang cerita. Kemudian mereka saling memandang antara satu sama lain, tetapi tiada seorang pun yang mengaku.

Kebetulan masa itu, azan sedang berkumandang. Usai azan, tatkala mereka ingin bersiap-siap untuk solat, Rasulullah saw pun sempat berpesan kepada semua yang makan tadi untuk pergi mengambil wudhu. Walaupun ada di antara sahabat yang masih mempunyai wudhu tetapi arahan Rasulullah saw itu adalah untuk menjaga air muka sahabat yang terkentut tadi.

Subhanallah, hebatnya Rasulullah saw membuatkan kita merasakan betapa hebatnya ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Sememangnya hikmah itu sesuatu yang subjektif, tetapi dengan pergantungan kuat kepada Allah beserta ketaqwaan kepada-Nya, insya Allah kita mampu mencontohi Rasulullah untuk berhikmah dalam dakwah dan kehidupan seharian kita.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk" An-Nahl : 125

Wallahu a'lam...

Pesanan ini buat diriku jua


Salam ukhuwah buat semua. Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya dan sahabat-sahabat : Hamizah, Siti Hajar dan Shofiyyah ke SMKA Kuala Abang. Kami diundang untuk memberi sedikit motivasi dan kata-kata semangat untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan. Gembira sangat-sangat kerana dapat berjumpa dengan guru-guru dan adik-adik di sekolah.

Kali ini, suka untuk saya mencoretkan apa yang saya telah perkatakan kepada adik-adik di sekolah pagi tadi. Coretan ini sebenarnya peringatan buat diri saya juga yang bakal menempuh alam kampus. Apa yang saya sampaikan kepada mereka merupakan pesanan khas buat diri saya juga. Perkara yang saya tekankan buat adik-adik tadi lebih kepada pergantungan hati dan keyakinan kepada Allah kerana segala ketentuan hidup kita semuanya daripada-Nya. Kita hanya berusaha dan Dialah yang menentukan segala-galanya.

Saya juga ada menyelitkan pedoman sirah Rasulullah dan para sahabat, moga menjadi ikutan semua terutamanya diri saya sendiri yang selalu lalai dan alpa. Dalam satu kisah disebutkan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah terlupa bilangan rakaat dalam satu solat jemaah bersama para sahabat. Maka Baginda berkata bahawa barangkali dalam kalangan kalian( para sahabat) ada yang tidak sempurna wudhu'nya. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberi kesan kepada orang atasan tanpa sedar.

Antara kisah yang lain lagi yang saya kongsikan buat adik-adik di sekolah ialah berkenaan dengan Solahuddin al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan berpakat dengan doktornya untuk mengumumkan kepada para tentera bahawa sakitnya itu hanya dapat disembuhkan melalui air arak. Lalu, beliau membuat pemeriksaan di khemah tentera untuk mencari arak, namun tidak dijumpai. Jelaslah Solahuddin al-Ayubi bahawa tentera beliau suci daripada kemaksiatan,

Kisah lain yang turut saya ceritakan ialah tentang bagaimana Sultan Muhammmad al-fateh mengalami kesukaran untuk menewaskan Romawi Byzantium di Konstantinopel, kemudian apabila akhlak tenteranya diperiksa beliau mendapati seorang tentera Islam yang baru memeluk Islam bernama Urban telah meminum arak. Namun dia dimaafkan kerana baru memeluk Islam.

Begitu juga dengan Umar al-Khatab r.a yang kehairanan kerana tentera Amru al-'As mengambil masa yang lama untuk menawan Mesir. Maka apabila diperiksa beliau mendapati tentera Islam melakukan beberapa kesalahan yang kecil antaranya saf solat yang tidak sempurna.

Kisah Saad bin Abi Waqas pula setelah beliau berjaya mengalahkan tentera Persia, beliau telah berkata kepada Salman al-Farisi bahawa kalau tidak kerana pasukannya tidak melakukan dosa nescaya kebaikan pasti akan menang.

Khalid Al-Walid juga pernah meminum racun dengan keyakinan bahawa yang mematikan beliau hanyalah Allah dan bukan racun. Maka dengan izin-Nya beliau tidak mati.

Jelas melalui kisah yang saya sampaikan kepada adik-adik junior saya bahawa keyakinan kepada Allah dan penjagaan hubungan yang mantap pada Allah, akidah yang kukuh, serta akhlak yang mulia insya Allah akan menjamin kejayaan. Dengan izin-Nya, Allah pasti akan memberikan kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Moga allah redha dengan permusafiran saya dan rakan-rakan nanti. Maafkan segala kekhilafan saya selama ini dan jazakumullahu khairan kathiraa buat semua yang menyokong saya. Semoga Allah memudahkan urusan kita semua dan sentiasa diberi petunjuk, hidayah dan rahmat-Nya.
Wallahu a'lam.

Kasihnya ibu bapa kepada kita

Monologku di suatu pagi Ramadhan....

Hari ini Allah telah kejutkan aku untuk bangun qiyamullail kerana aku telah meminta maaf dengan adik-adikku dan telah mengaji al-Quran sebelum tidur malam tadi.
Opps!! Bukankah Allah memasukkan hamba-hamba-Nya ke dalam syurga kerana rahmat-Nya? Tapi bukan kerana amalan kebaikannya.
Maknanya Allah kejutkan aku pagi tadi kerana Dia sayang aku, bukan kerana amalan aku. Apalah sangat kebaikan yang aku lakukan.
Ya Allah besarnya kasih sayang Allah, tak terkira oleh matematik dan tidak dapat diungkap oleh bahasa.
Malunya aku dengan Dia tapi aku tetap buat banyak dosa.
Betapa cintanya Allah pada hamba-Nya.
Astaghfirullah 7x...


Tiba-tiba teringat akan emak tersayangku.
Emak telah memberi macam-macam kepadaku...pakaian, kasih sayang, makanan dan terlalu banyak benda untuk kebaikanku semata-mata.
Tetapi, apabila emak memberi nasihat atau menegurku, memarahiku sedikit sahaja, aku dah mula melenting. Makan hati dengan emak kononnya.
Apabila emak menyuruhku menolongnya...malaslah nak tolong.
Tak hormat langsung padahal emak telah berkorban bermacam-macam untukku.
Padahal, Allah menyuruhku mentaati ibu bapa bukan kerana kita cinta ibu bapa dan bukan kerana ibu bapa cinta kita.
Tetapi kerana Allah yang suruh waima ibu bapa jahat ke, bukan Islam ke, tapi tetap kena berbuat baik kepada mereka.
Namun, masakan aku ingin berbakti kepada mereka tanpa kasih sayang sedangkan kasih sayang mereka terhadapku  melebihi kasih sayang terhadap diri mereka sendiri.
Ampuniku Ya Allah...Teganya aku berbuat zalim pada emak...

Pada hari yang lain pula di pagi Ramadhan...
 Ayahku membelek-belek satu kertas yang tertulis senarai pensyarah-pensyarah seraya berkata,
"Semuanya ada Dr. kat depan nama"
"Memanglah, sekarang ini kan nak jadi pensyarah kena ada Phd. Nanti Mah bila besar pun ambil Phd dan ada Dr. kat depan nama" emak pula menyambung.
Aku yang mendengar tersentap dalam hati.
Ya Allah besarnya cita-cita seorang ibu sehinggakan sanggup buat apa sahaja semata-mata untuk melihat anknya berjaya.
Aduh, tiba-tiba pula jadi takut untuk sambung belajar nanti. Betapa berat amanah dari Allah atas peluang belajar ini.
Apatah lagi amanah dari keluargaku sendiri.
Mampukah aku?? Tidak mustahil untuk berjaya...aku yakin...jangan putus asa dari rahmat Allah.
Insya Allah aku boleh!!

Redha Allah pada redha ibu bapa....
Ya Rahim, kasihanilah ibu bapaku sebagaimana mereka kasihiku...
Bantulah aku dalam membawa harapan dalam amanah-Mu ini....

Hikmah di sebalik Kegelapan


Salam perjuangan buat semua yang mengunjungi  blog 'lihat,fikir,amal'. Alhamdulillah langit cerah hari ini. Moga hati kita secerah itu. Salam syawal sekali lagi. Sudah start puasa 6 syawal? Saya pun masih belum tapi insya Allah bakal menyusul. Moga-moga dimudahkan -Nya dalam beribadah. "Sesiapa yang berpuasa sebulan di bulan Ramadhan disertakan enam hari di bulan Syawal, dia diibaratkan berpuasa selama setahun."-hadis Nabi s.a.w-

Hari itu, saya ada bercerita tentang kisah black out semasa malam raya baru-baru ini di kampung saya. Sebenarnya saya cukup bersyukur bila tiada bekalan api masa itu. Yelah, malam raya sepatutnya diisi dengan ibadah kepada Allah. Moga-moga kita tidak termasuk dalam golongan yang dimatikan hatinya seperti orang kafir.

Eh, tapi kenapa pula perlu bersyukur? Gelap kan susah. Tak nampak, tak dapat nak hias rumah, tak dapat nak isi kuih raya, tak dapat nak tengok movie raya. Ha!! Itulah yang buat saya bersyukur sangat-sangat tu. Bila malam raya mesti nak layan cerita yang best-best di TV kan? Saya pun termasuk dalam golongan itu.(betapa susahnya hendak bermujahadah)-sedih-

Sebab itulah, saya ingin berhijrah. Malam raya kalau boleh hendak diisi dengan gema takbir dan solat sunat seperti solat Tasbih sebagai tanda kesyukuran kerana Allah telah mengizinkan kita bertemu dengan Ramadhan dan diberi kekuatan untuk 'memperhangatkan' lagi ibadah dalam bulan itu sebagai pusat latihan menghadapi bulan-bulan akan datang.

Sekalipun bekalan api ada pada malam itu, saya tetap akan pergi ke masjid tetapi rasa syukur bertamu di hati akibat 'kegelapan' malam itu kerana ianya memberi ruang kepada insan-insan lain yang selama ini hanya tahu berseronok sahaja agar terhindar daripada kesesonokan itu lantaran ketiadaan elektrik bagi memasang TV atau Internet.

Walaupun mereka tidak beribadah secara langsung pada malam raya, sekurang-kurangnya mereka tidak melakukan perkara yang melalaikan hati tatkala Allah menjanjikan hati yang hidup jika malam raya diperhebat dengan ibadah kepada-Nya.

Satu yang perlu diingati, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sesungguhnya saya masih lagi belum cukup kuat untuk menangkis karat-karat jahiliyah dalam diri sendiri. Moga anda tidak lupa mendoakan saya ye agar dikurniakan kekuatan melawan nafsu dalam diri ini. Coretan tinta kali ini pun merupakan salah satu tazkirah buat diri saya yang selalu lalai terhadap cinta dunia melebihi cinta akhirat.

Moga Allah redha...wallahu a'lam.
p/s : Jangan lupa beribadah pada malam raya yang lagi satu ek?-AIDILADHA-

Buta Itu Bagus Juga Kan?

Salam mujahadah buat semua. Salam mujahadah buat saya juga. Ya Allah betapa susahnya mujahadah ni kan. Susah sebab di syurga nanti senang. Ramadhan dah berlalu. Mampukah kita untuk terus istiqamah dalam amalan di sepanjang Ramadhan yang lalu. Insya Allah, siapa nak pasti ada jalannya. Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud " sesiapa yang Allah mengkehendaki padanya kebaikan, Allah akan memberi kefahaman kepadanya dalam agama"

Kali ini, saya ingin berkongsi sesuatu dengan anda satu peristiwa yang berlaku antara saya, mak saya yang tercinta dan nenek saya yang tersayang. Wah, bunyi macam ada apa-apa aje kan. Peristiwa ini biasa-biasa sahaja tetapi cukup7x memberti kesan dalam hati dan diri saya.

Pada malam raya yang lalu, saya dan mak dan nenek ke Masjid Kg. Shukor yang terletak di Dungun (kampung ayah saya). Saya memang nak sangat ke masjid pada malam raya kerana sebelum ini, pada malam raya saya hanya duduk goyang kaki sahaja di rumah. Tapi tak adalah goyang sangat, sikit-sikit je.

Tapi pada tahun ini, saya rasa nak berhijrah. Harap-harap penghijrahan ini berterusan, bahkan insya Allah lebih baik. Semuanya bermula selepas saya membaca sepotong hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang menghidupkan kedua-dua malam raya, Allah akan menghidupkan hatinya di mana hati orang lain mati seperti orang kafir."

Ditakdirkan Allah, pada malam itu, di kampung saya bekalan api terputus Semuanya gelap. Tapi Alhamdulillah semasa solat Isya' dan solat Tasbih, ada generator bagi menghidupkan lampu. Tak adalah gelap gelita. Sebelum solat saya berjalan dalam gelap bersama mak dan nenek, kemudian tiba-tiba mak saya berkata, "Bila gelap macam ni, kita seolah-olah tidak pandai berjalan. Tetapi orang buta tak apa, mata buta tapi mata hati mereka terang."

Saya yang mendengar berfikir sebentar...mengiyakan apa yang diperkatakan mak saya. Betul lah. Nak berjalan dalam gelap asyik langgar macam-macam. Berjalan pun macam budak kecil. Tapi orang buta tidak begitu. mereka ada tongkat, ada orang bantu. Apatah lagi, bacaan Al-Quran mereka kadang-kadang lebih lancar daripada kita. Bahkan, ada yang lagi berjaya daripada kita. Subhanallah.

Tapi manusia yang celik, langsung tidak bersyukur dengan apa yang ada. Ada mata tetapi tidak mahu melihat yakni melihat dengan mata hati. Melihat betapa hebat dan agungnya Allah. Tetapi  mata yang ada disalahgunakan. Manusia itu termasuklah saya sendiri. Kadang-kadang saya terasa hendak menjadi buta. Bagus juga. Tak dapat tengok orang dedah aurat. Kita pun tak adalah nak tengok benda-benda yang diharamkan. Nau'uzubillah.


Tapi itulah takdir. Buta terbaik untuk orang buta dan begitulah sebaliknya. Sebab apa itu yang terbaik?? Sebab Allah yang menciptakan kita dan Allah takkan sekali-kali mensia-siakan hamba-Nya. Apa yang Allah tetapkan itulah yang terbaik untuk hamba-Nya.  Setiap yang Allah takdirkan untuk orang buta mahupun orang celik pasti ada hikmahnya sesuai dengan kemampuan hamba-Nya.

"Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan apa yang termampu olehnya."

Semoga saya dan anda menjadi hamba yang bersyukur dan redha dengan segala ketentuannya. Semoga Allah redha saat ini dan akan datang juga....di akhirat kelak. Okaylah, setakat ini dahulu sharing saya, insya Allah post yang akan datang saya akan sambung sedikit lagi kisah di sebalik malam raya. Jumpa lagi.

Wallahu a'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...