Pesanan ini buat diriku jua


Salam ukhuwah buat semua. Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya dan sahabat-sahabat : Hamizah, Siti Hajar dan Shofiyyah ke SMKA Kuala Abang. Kami diundang untuk memberi sedikit motivasi dan kata-kata semangat untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan. Gembira sangat-sangat kerana dapat berjumpa dengan guru-guru dan adik-adik di sekolah.

Kali ini, suka untuk saya mencoretkan apa yang saya telah perkatakan kepada adik-adik di sekolah pagi tadi. Coretan ini sebenarnya peringatan buat diri saya juga yang bakal menempuh alam kampus. Apa yang saya sampaikan kepada mereka merupakan pesanan khas buat diri saya juga. Perkara yang saya tekankan buat adik-adik tadi lebih kepada pergantungan hati dan keyakinan kepada Allah kerana segala ketentuan hidup kita semuanya daripada-Nya. Kita hanya berusaha dan Dialah yang menentukan segala-galanya.

Saya juga ada menyelitkan pedoman sirah Rasulullah dan para sahabat, moga menjadi ikutan semua terutamanya diri saya sendiri yang selalu lalai dan alpa. Dalam satu kisah disebutkan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah terlupa bilangan rakaat dalam satu solat jemaah bersama para sahabat. Maka Baginda berkata bahawa barangkali dalam kalangan kalian( para sahabat) ada yang tidak sempurna wudhu'nya. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberi kesan kepada orang atasan tanpa sedar.

Antara kisah yang lain lagi yang saya kongsikan buat adik-adik di sekolah ialah berkenaan dengan Solahuddin al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan berpakat dengan doktornya untuk mengumumkan kepada para tentera bahawa sakitnya itu hanya dapat disembuhkan melalui air arak. Lalu, beliau membuat pemeriksaan di khemah tentera untuk mencari arak, namun tidak dijumpai. Jelaslah Solahuddin al-Ayubi bahawa tentera beliau suci daripada kemaksiatan,

Kisah lain yang turut saya ceritakan ialah tentang bagaimana Sultan Muhammmad al-fateh mengalami kesukaran untuk menewaskan Romawi Byzantium di Konstantinopel, kemudian apabila akhlak tenteranya diperiksa beliau mendapati seorang tentera Islam yang baru memeluk Islam bernama Urban telah meminum arak. Namun dia dimaafkan kerana baru memeluk Islam.

Begitu juga dengan Umar al-Khatab r.a yang kehairanan kerana tentera Amru al-'As mengambil masa yang lama untuk menawan Mesir. Maka apabila diperiksa beliau mendapati tentera Islam melakukan beberapa kesalahan yang kecil antaranya saf solat yang tidak sempurna.

Kisah Saad bin Abi Waqas pula setelah beliau berjaya mengalahkan tentera Persia, beliau telah berkata kepada Salman al-Farisi bahawa kalau tidak kerana pasukannya tidak melakukan dosa nescaya kebaikan pasti akan menang.

Khalid Al-Walid juga pernah meminum racun dengan keyakinan bahawa yang mematikan beliau hanyalah Allah dan bukan racun. Maka dengan izin-Nya beliau tidak mati.

Jelas melalui kisah yang saya sampaikan kepada adik-adik junior saya bahawa keyakinan kepada Allah dan penjagaan hubungan yang mantap pada Allah, akidah yang kukuh, serta akhlak yang mulia insya Allah akan menjamin kejayaan. Dengan izin-Nya, Allah pasti akan memberikan kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Moga allah redha dengan permusafiran saya dan rakan-rakan nanti. Maafkan segala kekhilafan saya selama ini dan jazakumullahu khairan kathiraa buat semua yang menyokong saya. Semoga Allah memudahkan urusan kita semua dan sentiasa diberi petunjuk, hidayah dan rahmat-Nya.
Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...