Ukhuwwah itu indah


Alhamdulillah wa syukurillah kerana Allah masih mengizinkan saya untuk terus istiqamah menulis dalam blog ini walaupun tidak sekerap mana dan isi kandungan post tidaklah begitu menarik. Namun, setiap catitan kalam saya dalam blog 'lihat fikir amal' ini tidak lain tidak bukan adalah untuk peringatan buat diri saya yang hina ini dan semoga apa yang baik dijadikan pedoman buat anda semua.

Alhamdulillah, selama tiga hari saya selamat menyertai program Minggu Haluan Siswa (MHS) Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA). Ya Allah sukar untuk digambarkan dan diungkap dengan kata-kata tentang apa yang saya rasai selepas program ini. Syukur sangat -sangat. Untuk melaporkan semua aktiviti yang terdapat di dalamnya rasanya tidak mampu saya nukilkan cumanya apa yang begitu memberi makna dalam diri saya adalah berkenaan ukhuwah.

Sudah pastinya dalam mana-mana program untuk pelajar baru sekalipun, pasti ditekankan dengan nilai ukhuwah fillah iaitu berukhuwah semata-mata kerana Allah. Dalam MHS yang saya sertai ini, salah satu modul yang membuatkan saya lebih menghayati dan menghargai ukhuwah ialah makan bertalam iaitu satu talam dimakan oleh ramai orang. Ianya juga sememangnya budaya pelajar Malaysia di Jordan.

Namun, apa yang lebih, hebat dan beruntungnya saya ialah syarat makan bertalam itu ialah "tiada suapan untuk diri sendiri". Maknanya setiap ahli kumpulan tidak boleh makan sendiri tetapi hendaklah saling menyuap makanan antara satu sama lain.  Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini menggelikan dan mengotorkan tetapi bagi saya ia sebenanya menguji nilai ukhuwah dalam diri seseorang.

Apakah sanggup kita menyuap makanan ke dalam mulut orang lain? Orang itu mungkin akan menjilat jari kita dan kita terpaksa menyentuh mulut dan lidah mereka. Semua itu hanyalah sedikit jika ingin dibandingkan dengan rakan kita yang sanggup menggadaikan harta, tenaga, bahkan apa sahaja demi persahabatannya dengan kita. Tetapi mengapa rakan kita itu sanggup melakukan sedemikian? Tidak lain tidak bukan adalah kerana ukhuwah fillah...bersahabat semata-mata kerana Allah.


Alhamdulillah, ukhuwah diuji dan indah sekali andai dilakukan semata-mata kerana Allah walaupun terpaksa menyuap rakan sendiri. Tapi syukur yang teramat sangat kerana sekurang-kurangnya modul suap-menyuap itu dapat mengubat jiwa yang rindu terhadap ibu bapa tercinta tatkala teringat bagaimana mereka juga menyuap makan minum kita semasa masih kecil.

Walau apapun, di perantauan orang ini yang jauh daripada keluarga, hanya sahabat-sahabat dan ahli dalam persatuan sahajalah yang menjadi tempat bergantung di samping Allah yang paling utama. Merekalah ibu, merekalah bapa. Siapa lagi tempat meminta bantuan, sumber rujukan, dan bahu untuk menumpang sedih tawa kalau tidak sahabat-sahabat.

Tidak kiralah sahabat yang berada di Jordan, Malaysia, di blog 'lihat fikir amal' atau di mana-mana sahaja, semoga ukhuwwah yang terjalin kerana-Nya membawa kita semua ke syurga...insya Allah. Allahu Akbar!!!

Wallahu a'lam

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...