Bahasa Arab atau Syariah??

Salam perjuangan buat semua yang mengunjungi laman "lihat, fikir, amal". Semoga anda semua dirahmati dan diberkati Allah sentiasa. Kenapa saya menimbulkan persoalan yang tiada jawapan ini? Tidak mengapa tapi sekarang saya ingin menimbulkan persoalan lain yang mungkin membantu menjawab soalan di atas. Agak-agak anda apabila seseorang pelajar yang berkelulusan ijazah dari Timur Tengah pulang ke kampung halamannya, adakah orang kampungnya akan bertanyakannya sama ada dia itu mengambil jurusan bahasa arab ataupun syariah?

Sebagai contohnya, katakanlah saya ini berkelulusan syariah, kemudian seorang guru sekolah agama meminta bantuan saya untuk mengajar bahasa arab di sekolahnya. Namun, adakah wajar saya menolak atas alasan saya belajar syariah?? Contoh kedua, saya berijazah bahasa arab. Kemudian, seorang mak cik di kampung saya bertanyakan saya hukum-hakam berkaitan hal-hal wanita. Adakah saya juga wajar untuk tidak menjawab persoalan mak cik itu kerana saya tidak belajar syariah??

Apakah perasaan guru sekolah agama dan mak cik tadi jika saya menjawab sedemikian rupa. Apabila seseorang pulang dengan ijazah dari negara arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan sebagainya, masyarakat tidak akan bertanya apakah pengkhususannya, tapi pada anggapan mereka, pelajar ini mampu membicarakan soal hukum hakam dan dapat mengajar bahasa arab di mana-mana tempat, walaupun pada hakikatnya pelajar itu tidak mengambil bidang tersebut.

Pada pendapat saya--ini hanya pendapat--menjadi satu cabaran yang besar buat pelajar yang mengambil jurusan bahasa arab kerana mereka sebenarnya perlu juga belajar Syariah. Namun, cabaran itu pasti dapat diatasi kerana kelebihan berada di bumi anbiya' membolehkan ilmu tentang Usuluddin mahupun Feqh dan Usul mampu dipelajari walaupun secara tidak formal sama ada dengan bertalaqqi dengan syeikh-syeikh, alim ulama' ataupun sahabat-handai sendiri.

Bagi pelajar Syariah pula, cabaran yang perlu dihadapi adalah mereka perlu lebih tekun dalam mendalami bahasa arab dan subjek Syariah sekali gus. Hal ini kerana mereka belajar Syariah dalam bahasa arab, malah pemahaman dalam Syariah dapat dikukuhkan dengan penguasaan bahasa arab. Apatah lagi, apabila pulang ke tanah air nanti, mereka turut dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan bahasa al-Quran yakni bahasa arab kepada masyarakat.

Kesimpulannya, mengambil jurusan bahasa arab ataupun syariah sebenarnya sama sahaja dan perlu dikuasai oleh semua pelajar agama di negara Timur Tengah. Masyarakat kini masih terkontang kanting menanti hadirnya insan yang sudi mengajar mereka kalam Yang Maha Esa beserta ilmu-ilmu-Nya. Jadi, pelajar-pelajar jurusan agamalah yang diharapkan untuk menyuburkan kembali kekeringan hati masyarakat. Bukan sahaja pelajar agama yang belajar di Timur Tengah, namun tanggungjawab ini turut diberatkan atas semua pelajar agama di Malaysia, bahkan semua individu yang telah mempunyai kesedaran terhadap agama untuk kembali menyedarkan masyarakat...ummah akhir zaman ini...saudara seislam kita.

Ayuh semua....
Tidak kira siapa kamu, pengajian kamu, pekerjaan kamu, atau apa-apa sahaja,
Kita maju mengorak langkah,
Mengajak yang makruf, mencegah yang mungkar,
Demi kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

1 comments:

Kena debat dalam B. Arab tak kalau amik syariah?
Juz kena hafal surah & hadis je kan?

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...