Kapas, Kertas, Kulit

Salam Aidil Adha buat semua. Semoga dalam naungan rahmat Allah selalu. Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan Tuhan yang tidak terperi. Insya Allah hari ini saya ingin berkongsi tentang kapas, kertas, dan kulit. Kenapa saya memilih tajuk ni ye?? Mentang-mentang la musim korban, kulit dijadikan isu. Ada apa dengan 3K ini?? Sebenarnya apa yang saya ingin kongsikan ini saya petik daripada seorang senior dalam satu majlis sambutan raya di sini. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaaat di akhirat kelak.

Sebagai manusia yang lemah, kita selalu membeza-bezakan kapas, kertas dan kulit antara kita. Saya analogikan  kapas sebagai pakaian, kertas sebagai pangkat dan sijil yang kita peroleh, manakala kulit sebagai warna kulit dan bangsa kita.

Kita selalu mementingkan kedudukan yang tinggi, pakaian yang cantik-cantik, orang yang berwajah cantik tanpa memikirkan kedudukan orang lain dengan selalu meremeh-remehkannya. Sekali pun semua itu tiada dalam diri kita, tapi kita juga sering memuja-muja orang yang dianggap 'hebat' itu sehingga sanggup mengampu mereka dan melakukan apa sahaja untuk mereka bagi mendapat ganjaran.

Tanpa kita sedari, manusia ini hanyalah sama sahaja tidak kira pangkat, warna kulit, mahupun kekayaaan yang dimilikinya. Sesungguhnya manusia yang terbaik dalam kalangan kita di sisi Allah SWT hanyalah orang yang bertaqwa. Jika mereka lebih cantik, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih hebat daripada kita sedangkan mereka pun daripada kalangan orang yang bertaqwa walaupun taqwa hanya Allah yang layak menilai, janganlah sedih kerana Allah menjadikan setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Saya mempunyai seorang rakan arab wanita yang sekuliah dengan saya yang bernama Rozan. Saya suka memerhatikannya. Saya selalu memuji Rozan di hadapan rakan Melayu saya. Saya selalu cakap yang Rozan ini sangat cantik seolah-olah saya sangat kagum pada kecantikannya. Kemudian, rakan saya yang bernama Hikmah menegur saya, " Takpe, Fatimah...Rozan kelebihannya cantik, tapi kita ada kelebihan pada sudut lain pula".

Sememangnya Allah menjadikan manusia ini tidak sia-sia. Lihat sahajalah pada proses penciptaan manusia yang sudah tiada taranya. Sudah pastinya penciptaan kita ini cukup cukup hebat. Cumanya, kelebihan yang kita ada ini perlu digilap dan diasah. Ops!! bukan sekadar perlu digilap, bahkan WAJIB dicungkil dan diasah supaya dengan kelebihan ini, kita mampu mengimarahkan dunia yang sementara ini dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga sama-sama kita muhasabah diri.
Segala KAPAS, KERTAS dan KULIT hanyalah pinjaman Allah kepada kita.
Dengannya kita mampu menjadi insan yang terbaik.
Walaupun KAPAS, KERTAS dan KULIT kita tidak hebat, tetapi Allah menjadikan kita sebagai seorang yang sangat HEBAT....

Ayuh menjadi orang hebat....
Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...