Semalam, Hari ini, Esok...


Alhamdulillah masih diberi peluang untuk menulis. Moga Allah redha saya dan anda semua.

Hidup kita ini cuma ada tiga hari. Pertama, hari yang telah lepas, walau apa pun yang kita usahakan, kita tidak mampu kembali lagi ke hari semalam. Tetapi, kita boleh mengambil pengiktibaran dari hari yang lepas supaya kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Kedua, hari esok. Sekalipun kita merancang untuk hari-hari muka kita, yang maha menentukan perancangan kita itu tidak lain tidak bukan adalah ALLAH semata-mata kerana Dialah sebaik-baik perancang dan penentu. Kita sememangnya perlu merancang tetapi tidak usahlah berangan-angan setinggi langit tanpa usaha sehabis daya. Impian perlu disertai dengan usaha.

Ketiga, hari ini. Hari inilah yang menentukan diri dan hidup kita. Kita memang tidak boleh kembali lagi ke masa lepas, tetapi bagaimana jika kita tidak mampu menikmati hari esok? Jadi gunalah hari ini dengan sebaik-baiknya. Janganlah suka menangguh kebaikan dan ibadah kepada-Nya ke hari esok. Andainya hari ini adalah hari terakhir dalam hidup kita, alangkah ruginya.

Orang yang hari ini lebih buruk daripada hari-hari lepas, maka dia seorang yang amat malang dan celaka. Orang yang hari ini sama sahaja dengan semalam, maka dia seorang yang teramat rugi. Peluang yang ada untuk berubah pada hari ini tidak digunakannya. Tetapi orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, maka dialah orang yang sangat beruntung dan insya Allah orang yang berjaya.


Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh sama-sama kita menjadi orang yang sentiasa cemerlang pada hari-hari yang dilaluinya. Andaikata kita pernah gagal, ingatlah bahawa gagal sekali tidak bererti gagal selama-lamanya dan sesungguhnya kegagalan itu ialah kejayaan yang tertangguh. Yakinlah bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya. Segala yang Allah tentukan buat kita adalah yang TERBAIK buat kita sebagai hamba-Nya.

Sama-sama koreksi diri.
Ayuh! LIHAT,FIKIR, dan berAMAL.
Wallahu a'lam.

1 comments:

assalamualaikum..jadikan hari ini lebih baik dr hari sebelumnya..:)

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...