Bicara Tentang Ilmu

Saidina Ali bin Abi Talib :
" Kami rela dengan pemberian (Allah) pada kami,
Kami diberi ilmu dan musuh diberi harta,
Dan harta musnah sekelip mata,
Dan ilmu tetap kekal tidak hilang".

Ibnu Taimiyah :
" Dalam kebodohan sebelum mati adalah kematian bagi pemiliknya,
Tubuh mereka sebelum dikubur adalah kuburan,
Sekiranya manusia hidup tanpa ilmu adalah mayat,
Saat dibangkitkan baginya tidak ada kebangkitan".

Ibnu Abbas :
" Aku mendapat ilmu dengan lidah orang yang banyak bertanya dan dengan hati orang yang banyak berfikir".

Imam Abu Hanifah :
" Aku mendapat ilmu dengan kesungguhan, pujian pada Allah dan bersyukur kepadanya. Setiap kali aku memahami dan mendapat petunjuk satu ilmu atau kalimah, aku menyatakan 'Alhamdulillah', bertambahlah ilmuku".


p/s: moga terus meningkat usia dengan iman, ilmu dan amal...wallahu a'lam.

Tautan Hati ke Jabal Iraq

Alhamdulillah, hari ini saya dan semua ahli bayt Rodhina* nama rumah sewa saya* dan seorang daripada syuqah yang sama selamat berjaulah di Jabal Iraq. Sebenarnya bukan di Jabal Iraq betul-betul pun, sekadar satu pertiga daripadanya. Ya Allah, Tuhan sahaja yang tahu betapa seronoknya saya dapat menghabiskan cuti di sana walaupun jaraknya dari rumah dekat sahaja dan kami berada di sana hanya memakan masa yang agak singkat.

Apa yang buat kami best ialah bukan sekadar jalan-jalan menikmati pemandangan dari atas bukit, bahkan kami berpeluang menyaksikan matahari terbenam. Kemudian, kami bergambar,berbuka puasa dan makan bersama-sama serta solat Maghrib secara berjemaah di atas bukit.

Ya Allah, tidak tergambar rasanya perasaan yang saya rasai. Cumanya saya bersyukur sangat-sangat kerana diizinkan untuk bersama-sama dengan semua ahli rumah dan seorang daripada bangunan rumah yang sama pergi berkelah, menenangkan fikiran, dan menghayati panaorama yang tersangat indah ciptaan Allah.

Apa yang saya harapkan ialah semoga ikatan ukhuwah antara kami terus kukuh dan diberkati Allah. Moga-moga jaulah kami ke Jabal Iraq ini dapat terus menguatkan lagi rasa cinta dan sayang antara kami. Sesungguhnya susah, senang, suka dan duka yang dirasai menjadi kenangan terindah buat kami.

Ukhuwah fillah abadan abada.....Wallahu a'lam.

sekitar pemandangan dari atas bukit
Subhanallah, indahnya
matahari masih meninggi
saat terbenamnya matahari
solat maghrib berjemaah
suasana maghrib menjelang malam

"Ya Allah Kau tautkanlah hati-hati kami bersama rahmat dan redha-Mu. Kuatkanlah cinta kami yang akhirnya membawa kepada cinta kepada-Mu. Jadikanlah ukhuwah ini kami membawa ke syurga-Mu. Amiin."


My List Holiday

Salam mahabbah buat semua.
Cuti kali ini....apa yang saya buat?

  • Sempat khatamkan kitab Fiqh Sirah 1 karangan Muhammad Said Ramadhan Al-Butti
  • Masih dalam proses menelaah buku motivasi Transformasi Ramadhan dan buku Quranic Leadership
  • Layan movie juga sekali sekala *saya bukan baik sangat, tak nak hipokrit, yang baik jadikan teladan, yang buruk buang jauh-jauh ye*
  • Masak-masak dengan ahli rumah
  • Ziarah rumah kawan-kawan *lepak-lepak dan makan-makan*
  • Join jaulah anjuran persatuan di sini ke Ajlun, Umm Qaisy dan Jerash
  • Jaulah bersama ahli usrah tercinta.."MP4" ke Laut Mati
  • Persediaan untuk subjek semester akan datang
  • Buat senaman Ruhul Jadid
  • Saya dan ahli rumah mengubah suai bilik tidur, ruang tamu, dan dapur kami.
-Best jugak house renovation ni sebab dapat merasai suasana rumah yang baru, cantik dan dapat belajar menghias rumah sendiri *persediaan alam rumah tangga*
-Rumahku Syurgaku....

Sekadar perkongsian buat diri saya dan anda. Moga sama-sama memanfaatkan cuti anda...wallahu a'lam

Yatim sebelas bulan

 Alhamdulillah kerana masih diberi peluang menulis. Moga Allah redha. Insya Allah, sekadar renungan sejenak. Syukur juga kerana baru sebentar tadi saya diberi ruang untuk membaca satu buku motivasi tarbiyah karangan Ustaz Hasrizal, " Transformasi Ramadhan"

Walaupun bukan dalam bulan Ramadhan, tetiba sahaja terasa ingin menelaah dan mengambil sedikit ibrah daripada penulisan beliau. Saya tertarik dengan satu subtitle yang berbunyi "Yatim sebelas bulan". Rasa-rasanya apabila menyebut tajuk itu, pasti anda terfikir seperti mana saya terfikir.

Benar apa yang diberitahu Ustaz Hasrizal dalam kupasan tajuk ini. Saya bersetuju. Anak-anak yatim seolah-olah beribu dan berbapa pada bulan Ramadhan sahaja dengan undangan ke majlis berbuka puasa, diberi pakaian raya, dihadiahkan kelengkapan puasa dan bermacam-macam lagi sebagai satu amalan sedekah di bulan Ramadhan.

Tetapi, tanpa sedar, sebelas bulan yang mendatang seusainya Ramadhan berlabuh, mereka seakan-akan kembali kesepian. Tanpa insan yang datang menjenguk, tanpa hadiah yang dibawa buat mereka, tanpa gelak ketawa yang menghiburkan hati mereka.

Ya, bukan semua begitu. Saya yakin, ramai sahaja insan yang masih sudi meluangkan masa dengan anak-anak yatim namun tidak se'gah' dan sehebat meraikan mereka di bulan Ramadhan. Ya, memang benar bulan Ramadhan masanya untuk merebut amalan kebaikan yang berlipat kali ganda, namun mereka juga inginkan perhatian di waktu-waktu lain.

Kasihilah dan sayangilah anak-anak yatim, bukan sahaja dalam golongan kanak-kanak tetapi mereka yang yatim dalam kalangan dewasa. Ingatlah bahawa Baginda Rasulullah s.a.w juga seorang anak yatim piatu. Lantas, biarlah mereka turut merasakan erti kasih dan sayang daripada kita yang masih punya kasih dan perhatian daripada ibu bapa dan keluarga.

Janganlah biarkan mereka terumbang-ambing dalam bulan-bulan yang lain. Mereka bukannya ingin gembira pada bulan Ramadhan sahaja, bahkan dalam setiap detik hembusan nafas mereka.

Insan yatim...perlukan dambaan kasih daripada kita!!

p/s : peringatan ini khas untuk diri sendiri... Wallahu a'lam.

Travelog : Imbauan kenangan usrahku...

Hari itu, kami berbincang. Pantai merupakan destinasi terbaru. Tempat harus berubah-ubah. Bukan ingin melancong semata-mata, tetapi membuka minda jangan terlalu jumud. Islam bukan setakat di masjid atau tempat-tempat rasmi, bahkan setiap pelusuk kehidupan dari semua aspek adalah dalam lingkungan Islam.

Justeru, halaqah usrah bersama sahabat-sahabat juga perlu diperluaskan. Bersama sahabat nuqaba' akhowat kami sepakat. Halaqah usrah akan datang kita adakan di tepi pantai. Sambil makan-makan dan mengambil udara segar melihat kebesaran Allah, kita juga dapat berilmiah berkongsi ilmu dan masalah demi kepentingan mad'uu dan Islam khasnya.

Perjalanan kami mulakan. Hari Sabtu, waktu outing pelajar-pelajar asrama. Peluang diambil sebaik mungkin agar tidak melencong ke tempat lain. Tempat yang dituju hanya satu. Pantai Teluk Lipat, Dungun. Matlamat pun hanya satu, keredhaan Allah. Walaupun dalam kesibukan menelaah pelajaran, usrah tetap dijalankan. Akademik nombor satu, namun dakwah bukan nombor dua.

Perjalanan diteruskan. Kami menunggu bas tiba, kemudian setibanya bas, kami terpaksa berhimpit-himpit. Ada dalam kalangan kami yang baru pertama kali menaiki bas untuk outing ke bandar. Tidak mengapa susah sedikit, sekejap sahaja. Jaga ikhtilat dalam bas ye! Jangan sampai berlaga sesama bukan mahram. Akhirnya setelah perjalanan selama 15 minit, kami tiba.

Oh, pantai...indahnya kamu. Subhanallah! Halaqah bermula. Majlis dibuka dan pelbagai ilmu dikongsi. Sempat kami membeli keropok, cucur, pisang goreng, air dan sebagainya di gerai tepi jalan. Bukan sekadar ilmu, pengalaman dan masalah dikongsi, namun rezeki kurniaan Ilahi berupa makanan dan minuman turut dikongsi bersama. Walaupun tidak sampai sehari halaqah kami kali itu, namun, didoakan moga ianya diberkati dan tali ukhuwwah antara kami terus bersimpul teguh.


Ah! Indahnya saat itu. Ya, aku rindukan pantai, aku rindukan kenangan itu. Bersama sahabat-sahabat seperjuangan tika di alam persekolahan. Kurindukan mereka semua. Bersama teman-teman nuqaba', sehabis daya kami cuba melatih diri membimbing adik-adik mengenal manisnya iman dan islam. Mengajar mereka indahnya ukhuwwah. Mendidik mereka erti pengorbanan, jihad dan istiqamah. Semuanya dalam satu....USRAH.

Alhamdulillah, terbangnya aku di bumi kinanah, Jordan ini, kumasih berpeluang merasai nikmat itu. Bersama ahli rumah, halaqah tazkirah tiap-tiap minggu dilaksanakan. Bersama ahli usrah baru yang dikenali sebagai Tour de Ilmi atau ringkasnya TDI aku masih merasai nikmat itu. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

 Walaupun halaqah di zaman muda-muda dahulu ketika masih bersekolah *perasan masih muda* sudah tiada, tetapi aku yakin, ada penerus generasi kami. Generasi yang terus dilahirkan hasil didikan para nuqaba' untuk memastikan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah terus dilaksanakan. Aku dan sahabat-sahabatku juga hasil nuqaba' yang lepas-lepas. Semoga begitulah seterusnya.

Sememangnya Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a yang memulakan misi dakwah sudah tiada, tetapi mereka juga penerus dakwah para anbiya terdahulu. Ulama pewaris Nabi juga ramai yang sudah tiada, tetapi akan ada penerusnya. Siapa?? Kita!!! Kita adalah para pendakwah penerus rantai-rantai perjuangan para anbiya, para sahabat, dan para ulama yang akan terus berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi ini.

Biarlah banyak mehnah yang harus ditempuh, namun, kita tetap teguh melangkah menuju satu matlamat, keredhaan Allah melalui wasilah dakwahnya, bermula daripada halaqah usrah menuju kepada kejayaan yang lebih besar, insya Allah. Allah tidak bertanya akan kejayaan dakwah, namun, tanyalah diri kita apakah usaha yang telah kita lakukan dalam menegakkan kalimah tauhid-Nya?

Hidup menang....atau....mati syahid.....Takbir!!! ALLAHU AKBAR.
Wallahu a'lam....

Remaja cerminan anak-anaknya.

Salam ukhuwwah buat semua yang setia bertandang ke blog 'lihat,fikir,amal'. Moga Allah redha dengan kalian semua.


Saya pernah terbaca satu cerpen yang mengisahkan seorang perempuan solehah yang disyaki ada penyakit yang mana hidupnya dijangka sudah tidak lama di dunia ini. Kemudian perempuan itu menggunakan orang tengah untuk meminang seorang lelaki yang baginya sangat soleh untuk dikahwininya bagi tujuan mendapatkan zuriat dengan harapan anak yang bakal dilahirkannya itu akan dididik supaya menjadi anak yang soleh selagi mana dia masih mampu meneruskan kehidupan. Anak yang soleh itu diharapkan juga dapat mendoakan ibu bapanya nanti. Akhirnya perempuan itu menemui Ilahi dan syukur sekali kerana berkat didikan lelaki tadi dan arwah perempuan itu, anak yang dilahirkan menjadi anak yang sangat soleh yang sudah mampu menghafaz al-Quran dalam umur tujuh tahun.

Saya kagum dengan kisah dalam cerpen tersebut. Dalam hati, saya terfikir adakah wujud insan seperti perempuan itu? Dalam hayatnya yang sudah tidak lama, namun masih sanggup berkahwin dan mengambil risiko mengandung dan melahirkan anak semata-mata ingin mendapat satu saham yang cukup besar yang dijanjikan Allah itulah anak yang soleh. Oleh sebab itu juga dia berkahwin dengan seorang lelaki yang soleh yang diyakini mampu mendidik anak itu menjadi hamba yang bertaqwa.


Sabda Rasulullah saw:
Apabila seseorang anak adam( manusia ) meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dari 3 hal iaitu,
1. Sedekah yang mengalir ( jariah ),
2. Ilmu yang bermanafa'at, dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan untuknya.
(Diriwayatkan oleh Muslim)

Anak yang soleh??

Siapa tidak mahukan anak yang soleh, bukan? Persoalannya sejauh manakah persediaaan seorang muslim dalam mempersiapkan dirinya bagi melahirkan anak yang soleh? Adakah selepas rumah tangga mula dibina? Adakah setelah seorang isteri diberitakan hamil? Adakah usai melahirkan anak?

Saya masih belum bernikah. Jadi tidak layak rasanya untuk mengulas panjang hal ini. Tetapi, saya pernah dipesan oleh sahabat yang saya sangat kasihi. Dia menasihati saya bahawa anak yang kita bakal lahirkan adalah diibaratkan diri kita sekarang. Jika akhlak kita baik, insya Allah kita mampu mendidiknya menjadi baik. Namun, jika sebaliknya diri kita, sebaliknya jugalah yang bakal berlaku kepada anak itu.

Jujur saya katakan, saya pun bukanlah insan yang sempurna apatah lagi menulis hal ini menganggap diri sendiri sudah cukup baik. Saya juga sebenarnya masih ke arah menjadi insan yang baik. Cumanya saya menulis hal ini supaya kita sama-sama bermuhasabah diri dan mengkoreksi kembali diri kita. Anak kita adalah diri kita yang sekarang. Ingat! hendak melahirkan anak yang soleh bukanlah sesuatu yang mudah.

Persediaannya?? Bukan setelah diri dilamar, bukan juga setelah bernikah, bukan juga setelah mendapat anak...tetapi SEKARANG. 

Perkahwinan bukanlah matlamat utama tetapi perkahwinan hanyalah satu wadah, wasilah, dan langkah ke arah matlamat yang utama iaitu KEREDHAAN ALLAH. Dengan sebuah perkahwinan yang berkah antara dua insan yang soleh dan solehah akan melahirkan anak-anak yang soleh yang mampu mendoakan ibu bapanya dan menjadi insan bertaqwa yang memajukan ummah. Hasilnya insya Allah akan membawa kepada keredhaan Allah yang menjanjikan syurga-Nya melalui rahmat-Nya yang meluas.

Ayuh! Persiapkan dirimu wahai remaja!!! Demi masa depan ummah tercinta dalam kita menggapai redha Ilahi....Wallahu a'lam.


Setiap yang berlaku ada hikmahnya adikku!

Setiap yang Allah tetapkan itulah yang terbaik
itulah yang kuingatkan pada diriku
memang kekadang susah hendak menerima takdir
tapi sebenarnya itulah takdir yang terbaik buat kita
Adikku, walaupun keputusan imtihanmu tidak memuaskan
tapi, ingatlah itu hanya anggapanmu
tanpa kau sedar itulah yang terbaik yang Allah tetapkan buatmu
sedikit atau banyak kaudapat
tersirat seribu satu hikmat
Aku sendiri merasakan kekadang keputusan yang cemerlang satu ujian
ujian yang cukup cukup berat bagiku
dalam menghadapi pujian insan lain
yang pada hakikatnya segala pujian itu milik Allah
Lagi berat ujian apabila kita merasakan keputusan yang gah itu satu petanda
bahawa kita budak bijak dan tidak perlu lagi belajar
tidak lagi mengulangkaji
hanya duduk santai menggoyang kaki
Tapi ternyata aku silap, astaghfirullahal'azim
imtihan hanyalah wasilah
matlamatnya hanyalah keredhaan Allah
untuk terus menegakkan kalimah-Nya di muka bumi
Lantas itu wahai adikku
apapun keputusan yang terima
redhalah
bersyukurlah
selepas tawakkalmu
Allah Maha Adil Maha Bijaksana Maha Mengetahui
Dia tidak kejam malah penyayang
apa yang Dia tetapkan itulah yang terbaik
dan aku sudah nampak kini  perubahan hidupmu
kerana di sebalik kesedihanmu
ada gembira datang bertamu
Alhamdulillah......kugembira melihat kaugembira
lantas,,,janganlah kausedih kerana ku kan turut bersedih
wahai adikku, ketahuilah
aku amat menyayangimu
kerana Allah juga mencintaimu



P/S : Puisi ini kutujukan khas buat adik-adikku di sekolah lamaku atas result PMR baru-baru ini, khususnya adikku yang tercinta Tengku Zainab...moga Allah selalu merahmati kalian dan memberi yang terbaik buat kalian....wallahu a'lam.

Kiasan Dosa - ular dan manusia

Salam mahabbah buat semua. Alhamdulillah, masih diberi peluang menulis. Insya Allah apa yang akan dikongsikan ini saya peroleh daripada sebuah halaqah ilmiah yang didoakan moga ianya terus istiqamah. Halaqah yang mentautkan hati-hati ke jalan Allah. Di situlah suka duka dikongsi. Iaitulah halaqah tazkirah sesama ahli rumah sewa saya setiap malam Jumaat. Rindu halaqah usrah bersama sahabat-sahabat di Malaysia terubat jua dengan adanya halaqah penuh bermakna ini.

Seorang ahli rumah saya memulakan tazkirah dan perkongsiannya. Tajuk yang cukup ringkas tetapi cukup bererti. "Kiasan Dosa". Kisahnya bermula begini. Ada seorang lelaki yang membela seekor ular yang masih 'bayi'. Dia mengasuh ular itu sehingga ia besar dan mengikut kata-kata lelaki tersebut. Dia mengajar ular itu supaya bijak melakukan aksi-aksi tertentu untuk tujuan sarkas.

Setelah ular itu besar, lelaki itu membawa ular itu ke pusat sarkas untuk ujian pertamanya. Ternyata, usahanya berhasil. Ular itu mematuhi segala arahan tuannya dalam beraksi. Semua penonton sarkas teruja. Wah! Hebat ular itu. Lelaki itu gembira bukan kepalang. Apatah lagi wang yang diperolehinya hasil pertunjukan itu juga sangat-sangat lumayan.

Namun, satu hari, semasa pertunjukan seterusnya, sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Semasa sedang beraksi, lelaki itu memberi arahan supaya ular itu membelit badannya, kemudian melepaskan lilitan tersebut. Tetapi, malangnya ular itu terus membelit dan membelit sehingga akhirnya lelaki itu mati. Innalillahi wainna ilaihi rojiu'n.

Berdasarkan kisah yang dibawakan, boleh dikiaskan dengan dosa manusia. Dosa yang dilakukan sungguh mengasyikkan dan memberi keuntungan di dunia, namun tanpa sedar dosa itu memakan diri manusia itu sendiri sebagaimana tuan ular itu dibunuh oleh ular peliharaannya sendiri akibat keasyikan dirinya ingin mendapat wang dan keuntungan melalui pertunjukan ular itu.

Sememangnya lelaki itu pasti tahu kesan dan akibat tindakkannya apatah lagi ular ialah seekor haiwan yang berbahaya. Sebagaimana juga manusia. Ramai yang mengetahui mengumpat haram, rasuah haram, berzina haram, dan ada pembalasan yang pedih bagi setiap dosa yang dilakukan itu tanpa taubat kepada Allah. Tetapi masih juga melakukannya demi keseronokan dan kesenangan dunia semata-mata.

Sebagai contoh, dosa mengumpat. Memang seronok menjaja cerita orang ke sana sini. Lagi seronok apabila ramai yang suka mendengar umpatan itu. Namun, dalam keseronokan itu, orang yang mengumpat itu sebenarnya melabur dosa dengan umpatannya sendiri di mana di akhirat nanti dia akan diazab Allah dengan memakan bangkai saudaranya sendiri. Nau'zubillah.

 “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” 
Al-Hujuraat ayat 12

Semoga kiasan dosa melalui kisah ular dan lelaki tadi mampu menyentik keinsafan dalam diri kita. Walaupun kita hanya memandang ianya mudah dan ringan, namun, awas! Kerana dosa memakan diri sendiri. Sekalipun tidak dibalas di dunia, mahkamah Allah tidak melepaskan pendosa daripada azab-Nya di akhirat kelak. Sama-sama muhasabah diri. Wallahu a'lam.


" Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa bertaubat. Terimalah taubat kami dan masukkanlah kami dalam redha dan rahmat-Mu. Kami berlindung dengan-Mu daripada azab seksa yang sungguh pedih. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun lagi menerima taubat. Ameen."


Tahun Baru 2012???


Salam ukhuwah buat semua yang sudi bertandang ke blog lihat, fikir, amal. Semoga dipayungi naungan rahmat-Nya selalu.

Hari ini dah masuk tahun baru 2012. Tetapi, apa yang buat saya sedih sangat, tatkala sedang mengintai facebook pagi tadi, terkejut saya apabila digemparkan dengan berita keganasan polis dan FRU di Malaysia ke atas mahasiswa yang ingin menyuarakan hak kebebasan mereka pada malam tahun baru sehingga membawa kepada kecederaan yang kritikal.

Astaghfirullah, kenapalah mahasiswa diperlakukan sebegitu rupa? Walaupun saya berada di Jordan, tetapi, melihat gambar-gambar dan membaca berita yang insya Allah benar, hati saya dipagut rasa sedih. Geram pun ada. Kecewa pun ya juga. Tapi, semangat jihad pun rasa semakin berkobar-kobar.

Inilah semangat pemuda yang inginkan kebenaran kembali dijulang dan kebatilan dihapuskan. Pemudalah aset yang bernilai dalam menjulang Islam di atas muka bumi ini. Saya sokong semangat perjuangan ini kerana inilah masanya untuk kita membawa perubahan kepada Malaysia.

Saya tidak mahu mengulas panjang akan isu ini. Apa yang saya harapkan, sama-sama kita kaji dan fikir kembali akan segala isu yang berlaku di negara kita. Adakah kita sebagai mahasiswa hanya tahu dan lihat sahaja? Kitalah yang diharapkan dapat membawa perubahan kepada negara dan mengajak masyarakat kepada jalan yang diredhai Allah.

Ayuh! Bangkitlah wahai mahasiswa. Mulakan tahun baru 2012 dengan semangat dan azam yang jitu untuk sama-sama berjihad ke jalan Allah. Perjuangan kita hanya untuk Islam. Demi Allah dan Rasul-Nya.

Takbir....Allahu Akbar3x....


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...