Gopoh untuk Berubah dan Berjaya


Insya Allah, saya akan menyambung kembali edisi hijrah pemuda. Pada hari ini kita menyaksikan revolusi pemuda semakin membahang sehangat api yang merebak. Baru-baru ini satu lagi bukti kebangkitan pemuda yang inginkan perubahan terhadap negara Malaysia, iaitulah BERSIH  3.0. Walaupun saya tidak menyertainya, namun, melihat gambar dan berita tentang evolusi pemuda ini, hati membuak-buak untuk terus mendokong perubahan para pemuda.

Apabila ada orang mempersoalkan tentang keberhasilan dan keberjayaan BERSIH baru-baru ini, bagi saya Allah tidak menilai hasil dan kejayaan, namun saya yakin, Allah PASTI akan menilai usaha dalam kita menegakkan kebenaran. Itu pasti. Teringat saya akan kisah ketika mana Nabi Ibrahim a.s dibakar api, kemudian, seekor burung kecil berulang alik mengambil air untuk dijirus pada api itu. Apabila dikecam bahawa ia tidak akan mampu memadamkan api itu, ia memberitahu bahawa ia takut Allah akan bertanya di akhirat kelak apakah usaha yang telah dilakukannya bagi memadamkan api itu meskipun usahanya tipis untuk berjaya.

Namun, dalam asyik membuat perubahan, kekadang pemuda hari ini terlalu gopoh untuk berubah dan berjaya. AWAS! Maksud saya di sini bukanlah pemuda tidak boleh gopoh dan cepat-cepat untuk berubah, tapi itulah yang diinginkan, terus berubah andai telah yakinakan peruabhan yang ingin dibawa. Tetapi, apa yang saya maksudkan ialah pemuda hari ini terlalu gopoh dalam mengharapkan perubahan dan kejayaan itu berhasil.

Ramai pemuda yang menyokong gerakan pemuda dan kebangkitan pemuda pada hari ini dengan harapan untuk melihat perubahan Malaysia khususnya dalam semua aspek terutamanya politik. Namun, berapa ramaikah yang sanggup menjadi PENDOKONG dan bersama dalam gerakan itu dalam bersama-sama menuju ke arah perubahan itu? Berapa ramaikah yang sanggup BERSABAR dalam perjuangan ini? Berapa ramaikah yang terus SETIA dengan perjuangan ini?

Namun, ramai juga yang cepat PUTUS ASA. Terus MENGALAH apabila perjunagan itu diuji. Tidak betah dan tidak sanggup BERTAHAN lagi dengan perjuangan yang dirasakan sangat LAMA. Semua yang diinginkan adalah perubahan yang CEPAT. Malas menunggu dan berusaha kerana lambat sangat hendak dicapai ke arah perubahan itu.

Bukanlah niat saya menulis ini adalah untuk mengkritik, tetapi tanpa disedari, itulah kelemahan yang perlu dikikis dan dijauhkan dalam sikap pemuda yang inginkan perubahan ini. Masakan sesuatu perubahan itu mampu dilakukan secara mendadak dan drastik tanpa penyusunan starategi dan usaha yang jitu daripada semua. Bahkan Rasulullah saw sendiri mengambil masa selama 23 tahun bagi memastikan DAULAH ISLAMIAH berjaya dibentuk.

Bercakap mengenai perjalanan sirah baginda Nabi saw, jika kita fikirkan, dengan kuasa Allah yang Maha Besar lagi Maha Agung, Allah sangat-sangat boleh memberikan kejayaan yang cepat, bahkan dalam masa sehari kepada baginda Nabi saw untuk terus menegakkan Islam di bumi Mekah dan Madinah, namun, ingatlah bahawa setiap yang berlaku ada aturan hikmah yang sangat cantik daripada Allah SWT.

Oleh sebab itu, Allah sedang mendidik para pemuda hari ini untuk tidak putus asa, dan tidak mengeluh akan 'kelambatan' perubahan ini. Bukan bermakna usaha sesuatu gerakan perubahan itu lembap dan tidak efisien, tetapi yakinlah inilah ujian buat para pemuda yang inginkan perubahan dan Allah sedang menilai sejauh mana kesabaran dan ke'thiqah'an  dan wala' mereka pada pemimpin gerakan dan sejauh mana pemuda terus berusaha dan percaya bahawa kemenangan Islam itu pasti.

Suka untuk saya memetik bait-bait puisi yang diungkapkan salah seorang pemimpin gerakan Islam dalam memacu perubahan negara kita :

Yang menyelamatkan manusia hari ini bukan lagi bahtera Nabi Nuh,,
 Tapi bahtera Al-Quran,
Kita mengajak manusia bersama dengan bahtera Al-Quran ini,
Saya minta supaya ahli-ahli kita terus bersama bahtera ini,
Bahtera perjuangan kita,
Jangan bocorkan bahtera ini,
Jangan tebuk bahtera ini, 
Walaupun tidak puas dengan makanannya,
Tak puas hati dengan masanya,
Pelayaran lama sangat, nak terjun cepat....Ada yang terjun,
Pelayaran lama sangat...Lari kepada bahtera lain,
Mereka yang lari ke bahtera lain...TAK SELAMAT,
Alhamdulillah, walaupun kita mengalami gelombang yang sangat dahsyat,
Ribut taufan yang sangat kuat,
Sehingga hari ini, Allah menjadikan bahtera kita selamat.

Kesimpulannya, dalam gerakan pemuda untuk mencapai perubahan, perlukan masa. Cepat atau lambat hasil perubahan itu, serahkanlah pada Allah yang Maha Berkuasa. Bukan hanya dalam sesingkat masa, kita mampu berubah untuk keadaan sekeliling diubah mengikut acuan Islam. Teatapi tidak ada yang mustahil andai Allah mengkehendaki, namun, sifir dalam perubahan, tidak semuanya boleh dibuat dengan cepat. Pemuda perlukan masa, usaha, teknik, strategi, persediaan, insya Allah perubahan ini akan berjaya.

Nota untuk pemuda : Jangan gopoh dalam menginginkan perubahan ini berjaya, tetapi wajib anda yakin bahawa setiap usaha anda dalam perubahan ini pasti akan dinilai. Yakin juga bahawa Allah bersama orang yang benar dan kemenangan Islam sesuatu yang pasti.

Teruskan berjuang dan berubah wahai pemudaku. Perubahan ini memerlukan semangat dan usahamu. Berubah untuk diubah. Wallahu a'lam....

p/s: Insya Allah, akan ada lagi artikel menarik yang akan memanaskan rentak pemuda dalm perubahan. Nantikan!!!

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...