Mengisi Sebuah Kekalahan

Menang atau kalah?
Pasca PRU 13 menyaksikan konflik dan perebutan kuasa kerajaan Malaysia yang cukup sengit, ditambah dengan kemenangan yang dianggap kotor dan tidak bermaruah oleh pihak kerajaan menjadikan pilihanraya kali ini pilihanraya yang tercemar identiti Suruhanjaya Pilihanraya itu sendiri. Menangnya kerajaan Barisan Nasional tidak dianggap menang oleh rakyat apabila undi popularnya dimiliki oleh pembangkang dengan kedudukan DAP sebagai peraih undi terbanyak dituruti PKR dan PAS. Bagi rakyat, pembangkang juara di hati mereka, namun menang atau kalah bagi saya sudah ditentukan namun, satu muhasabah atau post mortem perlu dibuat oleh kedua-dua pihak pasca PRU ini.

Apabila dilihat analisis pemerhati politik atau analisis parti itu sendiri, isu pertindihan kuasa, isu sosial calon, isu kredibiliti calon, isu tranformasi calon muda, isu black list calon, isu pesempadanan kawasan calon dan pelbagai isu menjadikan PRU kali ini cukup hangat. Lebih menghangatkan apabila masalah dalaman parti dengan perpecahan undi dalam kalangan ahli parti sendiri dikaitkan dengan kemenangan dan kekalahan kedua-dua parti.

Masih Tidak Berubah
Saya bukanlah pemerhati politik mahupun penganalisis politik yang mahir dan masih belajar untuk mengaitkan isu seputar dengan pertimbangan akal untuk menilai yang mana baik dan yang mana perlu diperbetulkan. Cuma sekadar pandangan peribadi terhadap beberapa perkara dan terasa untuk berkongsi atas dasar tanggungjawab rakyat Malaysia yang semestinya menginginkan perubahan daripada pimpinan, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Tidak sampai sebulan PRU 13 melabuh tirainya, di saat kepimpinan kerajaan Malaysia yang baharu bagi sesi lima tahun ini secara rasminya diumumkan, pelbagai isu baru pula yang melanda. Isu sokongan kepada petisyen piihanraya, isu beberapa orang yang ditangkap di bawah Akta Hasutan, isu rakyat Malaysia perlu mencari negara baru yang lain, isu YB yang dihalang masuk ke daerah tertentu, isu berat sebelah parti terhadap rakyat negerinya dan pelbagai lagi isu-isu yang hangat diperkatakan.

Ternyata, politik ini bukanlah sesuatu yang diambil remeh oleh rakyat walaupun hakikatnya tidak semua yang faham akan konsep dan perjalanannya. Dan ternyata, politik tidak lepas daripada isu yang mungkin sekadar hanya digembar-gemburkan atau sekadar polemik semata-mata atau memang isu sebenar yang berlaku. Kalau hanya tahu mengkritik pun, tetapi kurang solusinya ATAU apabila dikritik, kurang lapang dadanya dan tindakan untuk berubah pun, tiada gunanya apabila dari hari ke hari masih tiada reformasi yang seimbang antara kedua-dua belah pihak.

Semak Imbang untuk Malaysia
Kita tahu untuk menang itu bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi untuk mengisi kemenangan. Sebagaimana kerajaan Barisan Nasional merasakan saat kemenangan mereka teramat tipis (susah) lantas mungkin digunanya taktik lain yang dirasakan boleh mengekalkan kejuaraannya dalam tampuk kepimpinan Malaysia. Begitu juga pihak pembangkang yang kita lihat PRU kali ini, pelbagai usaha dan idea baru dilaksanakan ditambah kerahan tenaga anak muda yang dahsyat, melihatkan kepada kita betapa susahnya meraih sebuah kemenangan.

Walaupun Barisan Nasional dapat melakukan apa sahaja untuk kerajaan Malaysia dengan kelebihan pada statusnya sekarang, kita tidak menafikan dalam BN mengisi kemenangan ini, teramatlah susah dan tidak mudah dalam menawan kembali hati majoriti rakyat Malaysia dengan capaian rekod buruk sepanjang lima tahun yang lepas. Begitu juga pihak pembangkang, dalam mengisi kekalahan ini, usaha yang semaksimum mungkin perlu dibuat bersama muhasabah dalam melihat kebersamaan ketiga-tiga parti dan mencari solusi atau tindakan baru dalam menilai dan menangani kesilapan-kesilapan pihak pembangkang ke arah matlamat mengejar Malaysia baharu.

Hakikatnya, pihak kerajaan dan pembangkang perlu mempunyai good connection dalam sesi kali ini melihatkan kepada beberapa masalah dan isu yang timbul yang mana agak menjejaskan keharmonian parti dan kesejahteraan Malaysia secara amnya. Masing-masing ada betul dan silapnya, masing-masing ada lebih dan kurangnya. Oleh sebab itu, kerajaan perlu berubah untuk melaksanakan segala janji manisnya atau lebih tepatnya AMANAH yang terpikul untuk kebaikan rakyat dan negara itu sendiri tanpa mengira kroni atau isu perkauman atau apa-apa isu yang boleh menjejaskan reputasi dan imej kerajaan.

Pihak pembangkang pula tugasnya adalah menilai dan membetulkan kesilapan serta kelompangan pihak kerajaan dengan tindakan untuk terus menyokong gagasan pihak kerajaan atas pertimbangan yang baik sebagai satu negara dan rakyat Malaysia. Dalam pada masa yang sama, pihak pembangkang perlu sentiasa menilai dan menganalisis kekuatan parti beserta reformasi yang lebih terbuka dan terkehadapan sesuai dengan rentak semasa Malaysia dan rakyatnya. Inilah yang dikatakan semak imbang kerajaan dan pembangkang dalam menuju ke arah Malaysia yang gemilang dan diberkahi kepimpinannya.

Jadilah kerajaan yang baik untuk rakyat dan negara, dan jadilah pembangkang yang baik untuk melengkapi kerajaannya.

Semoga Allah meredhai hamba-Nya sebagai rakyat Malaysia dan merahmati semua pimpinannya.
Wallahu a'lam.

p/s : Mohon maaf atas segala kekurangan. Saya masih baru belajar. Dialu-alukan sebarang komentar dan cadangan untuk kebaikan bersama.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...