Keberkatan Gaji Bekerja

Hari itu, ada satu surat sampai ke rumah. Surat saman kereta kerana telah melebihi had laju. Sejak ada kamera AES, boleh tahan juga melayang duit. Hari itu juga, sambil-sambil tolong emak di dapur, tetiba emak membuka cerita. 

"Entah-entah ada sangkut kat mana-mana gaji kali ni, tu kot yang kena saman".

Saya tertarik dengan kisah yang cuba emak sampaikan.

"Hari tu ada sekali Mak tak masuk kelas. Tapi bukan sengaja, sebab tak ingat waktu tu ada kelas. Macam mana la boleh terlupa. Budak-budak kelas pulak takde yang nak panggil cikgu dia ni masuk kelas".

Dalam hati saya, mesti emak merasakan sebahagian gaji yang melayang untuk membayar saman itu disebabkan oleh tempangnya keberkatan ketika gaji itu masuk. Tanpa menafikan sikap cuai ketika memandu juga merupakan punca saman dikenakan, tetapi firasat emak terhadap sesuatu musibah dan ujian yang berlaku cukup tersirat.

Gaji Sumber Rezeki

Gaji merupakan sumber rezeki buat diri, keluarga bahkan kepada orang sekeliling. Rezeki yang digunakan untuk belanjawan makan minum seharian itulah yang menjadi darah daging kepada diri. Baik punca rezeki itu, baik jugalah kesannya kepada diri dan hati seseorang.

Namun, kekadang, ramai yang terleka. Rezeki yang diperoleh hasil pekerjaan yang halal sudah dianggap baik. Tetapi, hakikatnya, ada juga pekerja yang makan gaji buta. Sedangkan gaji itu yang menjadi sumber rezeki.

Kadang-kadang, ada guru tidak masuk kelas tanpa sebab dan membiarkan anak muridnya bersahaja di dalam kelas. Gaji tetap jalan. Kadang-kadang, ada pekerja syarikat sengaja memanjangkan sembang-sembang di kedai makan waktu makan tengah hari. Kemudian, secara tidak sengaja masuk kerja lambat, tetapi habisnya awal. Gaji tetap jalan. 

Ini sekadar contoh. Bahkan, banyak lagi contoh pekerja yang menunjukkan sikap sambil lewa dalam pekerjaannya. Kerja baik, tugasnya mulia, tetapi amanah terhadap kerja itu tidak sempurna. Kesannya, gaji yang diperoleh itu kurang keberkatan. Secara hakiki, rezeki itu baik, cuma dibimbangi secara maknawinya ada kelompangan.

Berusaha Tampung Kekurangan

"Sebab tu kalau ada masa lebih, Mak akan kerja lebih. Nak topup yang mana kurang-kurang dalam kerja," sambung emak mengakhiri ceriteranya.

Berusahalah untuk mencari faktor-faktor yang boleh menampung kembali kelompangan dalam pekerjaan. Ada orang melebihkan sedikit tempoh kerjanya, ada orang cuba membantu rakan sekerja yang ada masalah, dan ada orang menggantikan rakan sekerja yang cuti.

Segala aspek yang berunsur kebajikan itu bukanlah untuk menambahkan beban ataupun memenatkan diri dengan kerja 'overtime', tetapi diharapkan kerja lebihan yang dibuat sedikit banyak dapat menampung kekurangan dalam pekerjaan. 

Kita bersangka baik, kekadang, seorang pekerja terpaksa menguzurkan diri dalam beberapa keadaan dan bukan sengaja untuk bersikap acuh tak acuh kerika bekerja, tetapi kemungkinan ada masalah atau perkara yang menghalang ketika itu. Oleh sebab itu, semoga amalan kebaikan dan kebajikan yang sentiasa dilakukan dalam tempoh pekerjaan turut menambah keberkatan kepada sumber rezeki masing-masing.

Tugas Sebar Manfaat

Seorang pekerja, tidak kiralah apa-apa kerja sekalipun, di samping berusaha mencari sesuap nasi buat keluarga, sebenarnya mempunyai satu tanggungjawab lain yang besar. Menyebar manfaat dan melakukan kebaikan buat masyarakat. Oleh sebab amanah yang terpikul di bahu seorang pekerja itu suatu yang berat, justeru perlunya ketekunan dan kegigihan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut supaya bukan sahaja pekerjaan yang dilakukan memberi keberkatan kepada keluarga melalui gaji yang berkat, tetapi juga menyemai manfaat buat seluruh masyarakat.

Rasulullah s.a.w ada menyebut dalam sebuah hadis riwayat Baihaqi yang bermaksud :
"Allah menyukai pada seseorang yang apabila dia melakukan sesuatu amalan, dia tekun dan bersungguh-sungguh dalam amalan tersebut".
Semoga segala amalan tekun yang dilakukan semata-mata kerana Allah dinilai dan mendapat ganjaran disisi-Nya. Mohon maaf atas segala kekhilafan. Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...