Si Tua itu Abah Aku

Abah aku selalu ke surau

" Doakan Aboh sihat dapat pergi solat berjemaah di surau setiap waktu solat. Allahuakbar". Mesej ringkas yang diterima dalam whats app group keluargaku meruntun hati yang kejauhan di bumi Mu'tah. Sebak membaca bait-bait harapan Abah untuk mendoakannnya agar terus sihat.

Abah tak minta banyak. Cuma sepotong doa buatnya. Sejak aku bisa memahami erti kehidupan di dunia ini, jarang-jarang kumelihat Abah tak ke surau. Dari warna janggutnya yang hitam sehinggalah keputihan beruban, semangat Abah masih kuat ke surau. Ternyata, hati pemuda dan tuanya adalah pada rumah Allah. Solat berjemaah, kuliah Subuh dan Maghrib, bahkan Abah antara muazzin tetap di suraunya. Abah!

Abah aku gigih menuntut ilmu

Pulang sahaja Abah dari surau usai Subuh berjemaah, Abahlah orang pertama yang akan membuka siaran televisyen. Menonton kuliah, tazkirah dan slot Tanyalah Ustaz yang ke udara setiap pagi menjadi hobi Abah. Buku catatannya yang lusuh dan sebatang pen hitam menjadi peneman Abah. Buku lebihan yang sudah tidak digunakan anak-anak itu jangan dialih. Biarkan di tempatnya. Pantang bagi Abah jika buku itu lesap entah ke mana. Kerna memang tabiat Abah gemar mencatat apa-apa sahaja isi kuliah atau ceramah. Abah!

Abah aku tegasnya bertempat

Dalam keluarga aku, Abahlah yang paling kuat kecindannya. Gelak kami senantiasa terhias tatkala adanya Abah. Namun, awas! Saat datangnya tegas Abah, gerunku dibuatnya. Teringat waktu usiaku 10 tahun, markah subjek Matematik yang aku peroleh terlalu rendah, jauh daripada target Abah. Abah mengerahku membuat latihan waktu itu juga. Dimarahnya aku apabila tersilap jalan kira-kira. Takutnya waktu itu Tuhan sahaja yang tahu. Tapi aku tahu, Abah marah bukan kerna tak sayang. Jauh di lubuk hati Abah ingin melihat puteri sulungnya ini berjaya. Abah!

Abah aku kuat berkorban

Petang itu, aku mengikut Abah ke sekolah untuk solat hajat sempena peperiksaan UPSR yang menjelang. Hampir sampai ke sekolah, baru kuteringat telekung sembahyangku tertinggal di rumah. Aku serba salah. Tetapi, Abah sanggup berpatah balik ke rumah dengan motor buruknya semata-semata untuk mengambil barangku. Untuk anak-anak tercinta, apalah sangat bagi Abah!

Setiap kali anak-anak Abah menduduki peperiksaan besar, satu kewajipan yang kami perlu buat adalah menampal jadual peperiksaan pada almari buku. Mudah untuk Abah merujuk waktu 'peperangan'anak-anak. Satu kebiasaan Abah, apabila Abah lapang, Abah akan solat hajat dan membaca satu Surah al-Anfal. Harapannya, moga Allah memudahkan urusan dan melapangkan hati anak-anaknya waktu itu. Abah!

Dedikasi buat Abah

Coretan ini sangat pendek jika dibandingkan dengan luasnya jasa dan pengorbanan Abah. Selalu bermain di mindaku, apabila Abah sudah tiada nanti, apakah aku masih berdiri teguh dan berjaya seperti hari ini. Kerna aku terlalu yakin, kejayaan anak-anak Abah hari ini adalah berkat doa Abah. Siangnya tak pernah lelah memikirkan anak-anak. Malamnya tak pernah puas mendoakan anak-anak. Abah!

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...