Si Tua itu Abah Aku

Abah aku selalu ke surau

" Doakan Aboh sihat dapat pergi solat berjemaah di surau setiap waktu solat. Allahuakbar". Mesej ringkas yang diterima dalam whats app group keluargaku meruntun hati yang kejauhan di bumi Mu'tah. Sebak membaca bait-bait harapan Abah untuk mendoakannnya agar terus sihat.

Abah tak minta banyak. Cuma sepotong doa buatnya. Sejak aku bisa memahami erti kehidupan di dunia ini, jarang-jarang kumelihat Abah tak ke surau. Dari warna janggutnya yang hitam sehinggalah keputihan beruban, semangat Abah masih kuat ke surau. Ternyata, hati pemuda dan tuanya adalah pada rumah Allah. Solat berjemaah, kuliah Subuh dan Maghrib, bahkan Abah antara muazzin tetap di suraunya. Abah!

Abah aku gigih menuntut ilmu

Pulang sahaja Abah dari surau usai Subuh berjemaah, Abahlah orang pertama yang akan membuka siaran televisyen. Menonton kuliah, tazkirah dan slot Tanyalah Ustaz yang ke udara setiap pagi menjadi hobi Abah. Buku catatannya yang lusuh dan sebatang pen hitam menjadi peneman Abah. Buku lebihan yang sudah tidak digunakan anak-anak itu jangan dialih. Biarkan di tempatnya. Pantang bagi Abah jika buku itu lesap entah ke mana. Kerna memang tabiat Abah gemar mencatat apa-apa sahaja isi kuliah atau ceramah. Abah!

Abah aku tegasnya bertempat

Dalam keluarga aku, Abahlah yang paling kuat kecindannya. Gelak kami senantiasa terhias tatkala adanya Abah. Namun, awas! Saat datangnya tegas Abah, gerunku dibuatnya. Teringat waktu usiaku 10 tahun, markah subjek Matematik yang aku peroleh terlalu rendah, jauh daripada target Abah. Abah mengerahku membuat latihan waktu itu juga. Dimarahnya aku apabila tersilap jalan kira-kira. Takutnya waktu itu Tuhan sahaja yang tahu. Tapi aku tahu, Abah marah bukan kerna tak sayang. Jauh di lubuk hati Abah ingin melihat puteri sulungnya ini berjaya. Abah!

Abah aku kuat berkorban

Petang itu, aku mengikut Abah ke sekolah untuk solat hajat sempena peperiksaan UPSR yang menjelang. Hampir sampai ke sekolah, baru kuteringat telekung sembahyangku tertinggal di rumah. Aku serba salah. Tetapi, Abah sanggup berpatah balik ke rumah dengan motor buruknya semata-semata untuk mengambil barangku. Untuk anak-anak tercinta, apalah sangat bagi Abah!

Setiap kali anak-anak Abah menduduki peperiksaan besar, satu kewajipan yang kami perlu buat adalah menampal jadual peperiksaan pada almari buku. Mudah untuk Abah merujuk waktu 'peperangan'anak-anak. Satu kebiasaan Abah, apabila Abah lapang, Abah akan solat hajat dan membaca satu Surah al-Anfal. Harapannya, moga Allah memudahkan urusan dan melapangkan hati anak-anaknya waktu itu. Abah!

Dedikasi buat Abah

Coretan ini sangat pendek jika dibandingkan dengan luasnya jasa dan pengorbanan Abah. Selalu bermain di mindaku, apabila Abah sudah tiada nanti, apakah aku masih berdiri teguh dan berjaya seperti hari ini. Kerna aku terlalu yakin, kejayaan anak-anak Abah hari ini adalah berkat doa Abah. Siangnya tak pernah lelah memikirkan anak-anak. Malamnya tak pernah puas mendoakan anak-anak. Abah!

Teruskan langkah, jangan lemah!

Kadang-kadang, aku merasakan aku ni lambat daripada kawan-kawan yang lain. Orang lain dah baca buku sekian-sekian, kita baru nak bertatih nak baca. Kadang-kadang orang lain dah kupas cabang ilmu ini, ilmu itu, kita baru sahaja nak memulakan kajian. Kadang-kadang orang lain dah hadam subjek ni, kita pula baru sahaja nak mula faham.
Cemburu...Sedih pun ada. Lambat! Lembap!
Alahai manusia! Ada yang jenis aktif kehadapan, ada pula yang agak lambat. Tapi yang agak 'lambat' ini istimewa kerana dia sentiasa bercita-cita untuk menjadi persis rakannya yang pantas. Dia cuba untuk ikut jejak itu, dia hendak maju!
Jadi, hakikatnya, janganlah pernah rasa terlambat. Kata orang, lebih baik lambat daripada kita langsung tidak punya kesedaran untuk membaca buku, mengkaji perkara baru, dan membincangkan sesuatu ilmu.
Sekurang-kurangnya, terdetiknya hasrat untuk cuba mengubah prestasi diri terhadap ilmu merupakan suatu petanda positif. Percayalah! Kita boleh melangkah ke arah yang lebih baik lagi.
Jangan pernah merendah diri merasakan sudah terlambat kerana tidak semestinya kita tidak boleh mempercepat langkah. Ingatlah! Kuncinya hanya satu. Terus melangkah untuk  belajar. Barangkali suatu masa, perasaan lemah semangat dan putus asa itu tetap hadir, tetapi itu smua adalah fitrah manusia.
Sesungguhnya manusia itu diciptakan lemah!
Tetapi Allah menyebut :
لا تقنطوا من رحمة الله
"Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah"
Oleh sebab itu, teruskan langkah, lawan rasa lemah itu, kerana di sebaliknya tercipta sebuah kekuatan dan kesungguhan untuk terus maju jaya!
فتستقم كما أمرت!!!

Kasih Sayang Sesama Muslim

Hari itu raya pertama Aidiladha 1435H. Usai ziarah ke rumah sahabat-sahabat Melayu sekitar Mu'tah, Jordan, Kak Shikin mengajak kami ke rumah kawan Pattani Thailand yang tidak jauh daripada kawasan rumah Melayu. Kak Shikin pun merupakan mahasiswi Pattani Thailand merangkap ahli bayt kami.

Meriah kami disambut sejak di muka pintu lagi. Hidangan roti canai hasil air tangan salah seorang sahabat Pattani atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Hasanah menjadi juadah raya kami hari itu. Enak rasanya sambil dicicah dengan kuah kari dan susu pekat manis.

Rumah Kak Hasanah riuh dengan gurauan dan hilai ketawa rakan-rakan Thailand, seronok melihat mereka gembira di hari raya yang sama-sama meraikan kami sahabat dari Malaysia. Sebelum pulang, sempat Kak Hasanah memberikan sedikit cenderahati berupa gula-gula yang dibungkus cantik beserta kad ucapan kecil tertulis padanya, 'Selamat Hari Raya Idil Adha 1435H'. 

Kelihatannya hadiah kecil itu biasa-biasa sahaja, tetapi pemberian dan layanan  mereka cukup membekas di hati.
Benarlah seperti mana sabda Rasulullah s.a.w :
"تهادوا تحابوا"
Maksudnya, hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mengasihi.
(Hadis riwayat Bukhari dalam kitab al-Adabul Mufrad)

Sepanjang empat tahun di Mu'tah Jordan, hampir setiap tahun saya berpeluang menziarahi rumah sahabat Pattani, sama ada dijemput oleh mereka, ataupun atas inisiatif kawan-kawan Melayu untuk menjalinkan ukhuwah dan mahabbah dengan mereka.

Ternyata, layanan mereka meraikan tetamu cukup hebat. Walaupun berbeza loghat dan dialek percakapan, tetapi, kami senang bertukar-tukar pendapat, bercerita perihal keluarga, budaya dan negara masing-masing. Walaupun kekadang, soal kewangan mereka tidaklah sebaik kami, pelajar Malaysia, tetapi sifat murah hati mereka sangat pantas dicontohi.

Terasa ukhuwah sesama saudara Muslim seperti mana yang dianjurkan Islam, إنما المؤمنون إخوة...Sesungguhnya sesama Mukmin itu bersaudara. Biarpun berbeza negara, tetapi di saat senang, kami sama-sama mengecap nikmat rezeki kurniaan Tuhan. Di kala susah pula, kami sama-sama membantu walaupun sedikit untuk meringankan beban.

Moga ukhuwwah ini bukan di bumi Jordan sahaja, tetapi terus utuh walau di mana-mana kita berada, bahkan dengan sesiapa sahaja saudara Muslim di seantero dunia.

Wallahu a'lam.

Antara Kehidupan dan Kepercayaan

Dalam Surah Al-Kahfi yang sering diulang-ulang bacaannya setiap kali Jumaat terdapat banyak kisah yang boleh dijadikan pedoman dan bekalan hidup seorang Mukmin. Dalam surah ini Allah s.w.t menceritakan berkenaan dengan kisah Nabi Musa a.s dan Khidir, kisah pemilik dua kebun, kisah seorang penguasa yang menurut riwayat mengatakan namanya Dhu al-Qarnain dan yang paling popular iaitu kisah penghuni gua atau dikenali sebagai pemuda al-Kahfi.

Setiap kisah yang disebut ini sudah pastinya ada ibrah dan pengajarannya yang tersendiri, tetapi apa yang menariknya ialah persamaan antara kesemua kisah tersebut yang mana ianya menjadi intipati utama (key point) yang ingin ditonjolkan dalam surah ini. Kebanyakan kisah ini menggambarkan bahawa semua kekuasaan, kebijaksanaan, dan kelebihan adalah milik penguasa dan pencipta semua sebab dan akibat iaitu Allah s.w.t yang menjadikan alam ini dengan tujuan tertentu dan begitu juga manusia dengan tujuan tertentu yang saling berkait antara keduanya.

Setiap manusia seharusnya sedar bahawa tiada kekuatan dan kelebihan melainkan hanya Allah yang memliki segala-galanya. Oleh sebab itulah cukup menarik untuk diperhatikan apabila Surah al-Kahfi dimulakan dengan lafaz hamdalah yang memuji Tuhan Yang Maha Penguasa yang menunjukkan bahawa hanya kepada Allah disandarkan segala kelebihan dan kekuatan yang merupakan pinjaman di dunia sementara ini seperti mana sepotong ayat-Nya yang bermaksud :

"Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu" (18 : 45)

Hari ini, kita sebenarnya dapat melihat satu bentuk kekufuran yang baru di mana manusia pada zaman ini terlalu mengagungkan aspek kebendaan dan tenaga-tenaga fizikal serta kepercayaan yang melangit terhadap para pakar, saintis dan ahli teknologi, seolah-olahnya segala harapan kejayaan manusia bergantung pada jisim kebendaan ini. Lantas, hilang semua kepercayaan yang hakiki yang sepatutnya disandarkan berjaya dan gagal itu kepada yang Maha Penguasa, Allah s.w.t. 

Dalam sebuah hadis ada menyebut kelebihan membaca Surah al-Kahfi ini akan menghindarkan manusia kepada fitnah Dajjal.
Imam Ahmad berkata : Daripada Abi Darda', Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda : "Sesiapa yang membaca sepuluh ayat akhir daripada Surah Al-Kahfi, maka terhindar daripada fitnah Dajjal"
(Hadis riwayat Muslim dan Nasa'i)

Oleh yang demikian, suka disebut di sini bahawa kepercayaan yang melampau terhadap kebendaan dunia tanpa menyandarkan kepada Allah s.w.t adalah merupakan peradaban Dajjal. Ia menentang roh dan cara hidup yang menuntut ketundukan kepada pencipta dan pemilik alam yang sebenar. Seni dan sastera falsafah serta pemikirannya sarat dengan kemaruk kebendaan dan keseronokan dunia selain daripada pujian terhadap mereka yang mengagungkan dunia sama ada ekonomi dan politik yang jauh daripada ajaran agama Islam.

Lantas, dalam menyelusuri ibrah Surah al-Kahfi, umat Islam perlulah kembali kepada asas wahyu yang sebenar iaitu kesederhanaan dan bukanlah kepercayaan yang melampau terhadap dunia sehingga terpesong daripada agama Islam seperti mana dakyah yang dibawa oleh Dajjal. Kehidupan dunia pada realitinya merupakan keperluan bagi manusia untuk menyempurnakan hidup. Namun, yang dimaksudkan di sini bukanlah hidup dalam kekufuran moden terhadap kebendaan dan keseronokan dunia, tetapi hidup secara besederhana dalam lingkungan ajaran agama Islam yang sepenuhnya untuk menuju kehidupan yang abadi iaitu di akhirat kelak.

Lihatlah dan mari mengambil pengajaran daripada kisah tujuh penghuni gua yang mana pada masa itu, mereka langsung tiada apa-apa peluang untuk hidup. Tetapi, satu-satunya peluang yang ada ialah mereka perlu memilih antara dua perkara. Pertama ; Kehidupan (yang mewah, menyeronokkan, selamat) tanpa kepercayaan. Kedua ; Kepercayaan tanpa sumber-sumber kehidupan dan kebebasan hati nurani. Akhirnya, mereka memilih kepercayaan sebagai penyelamat.

Sesungguhnya nikmat dunia hanyalah sementara. Apa yang ada pada manusia ini daripada sekecil-kecil perkara sehingga besar-besar perkara, hatta benda yang baik mahupun buruk pada hakikatnya ianya datang daripada yang Maha Penguasa dan akan kembali pada-Nya jua. Mudah-mudahan kita sentiasa diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah s.w.t dalam meneruskan kehidupan di bumi yang fana ini dengan ketaatan kepada-Nya.

Wallahu a'lam.

Sketsa Anak Tolong Mak

"Sarah, tolong jemur kain"

"Hmm, ok, kejap"

"Selalu kejap, kejap..Bila lagi nak tolong Mak. Inilah peluang nak tolong Mak, duduk asrama dah tak boleh tolong. Pergi jemur kain di bahagian halaman rumah"

"Ok la, ok la. Tapi Sarah nak jemur kain di bahagian yang paling sedikit ya!"

"Alahai...Tiada masalah pun jemur kain di bahagian mana-mana, sama saja"

"Tak naklah. Nak yang bahagian sedikit saja, tak nak banyak-banyak"

"Berkira sangat la Sarah ni. Jemur kain banyak...dapat pahala banyak. Tahu tak?!"

Gulp!! Sarah terus terdiam. Langkahnya diatur longlai mengikut arahan kakak yang banyak sekali bebelannya mengalahkan emak.

Jasa, budi dan pengorbanan ibu bapa langsung tiada tara. Tidak dapat dibandingkan dan dibayar walau banyak manapun anaknya cuba membalas. Allah jualah sebaik-baik tempat pemberi ganjaran.
"Ya Allah ampunilah dosa dan kasihanilah kedua ibu bapa kami"



*Rumah kami ada dua bahagian jemuran kain. Satu di bahagian halaman rumah, satu lagi di atas rumah. Adik-adik selalu berebut nak menjemur kain di bahagian yang paling sedikit kainnya. Sketsa anak tolong mak...banyak sahaja ragamnya.




Keberkatan Gaji Bekerja

Hari itu, ada satu surat sampai ke rumah. Surat saman kereta kerana telah melebihi had laju. Sejak ada kamera AES, boleh tahan juga melayang duit. Hari itu juga, sambil-sambil tolong emak di dapur, tetiba emak membuka cerita. 

"Entah-entah ada sangkut kat mana-mana gaji kali ni, tu kot yang kena saman".

Saya tertarik dengan kisah yang cuba emak sampaikan.

"Hari tu ada sekali Mak tak masuk kelas. Tapi bukan sengaja, sebab tak ingat waktu tu ada kelas. Macam mana la boleh terlupa. Budak-budak kelas pulak takde yang nak panggil cikgu dia ni masuk kelas".

Dalam hati saya, mesti emak merasakan sebahagian gaji yang melayang untuk membayar saman itu disebabkan oleh tempangnya keberkatan ketika gaji itu masuk. Tanpa menafikan sikap cuai ketika memandu juga merupakan punca saman dikenakan, tetapi firasat emak terhadap sesuatu musibah dan ujian yang berlaku cukup tersirat.

Gaji Sumber Rezeki

Gaji merupakan sumber rezeki buat diri, keluarga bahkan kepada orang sekeliling. Rezeki yang digunakan untuk belanjawan makan minum seharian itulah yang menjadi darah daging kepada diri. Baik punca rezeki itu, baik jugalah kesannya kepada diri dan hati seseorang.

Namun, kekadang, ramai yang terleka. Rezeki yang diperoleh hasil pekerjaan yang halal sudah dianggap baik. Tetapi, hakikatnya, ada juga pekerja yang makan gaji buta. Sedangkan gaji itu yang menjadi sumber rezeki.

Kadang-kadang, ada guru tidak masuk kelas tanpa sebab dan membiarkan anak muridnya bersahaja di dalam kelas. Gaji tetap jalan. Kadang-kadang, ada pekerja syarikat sengaja memanjangkan sembang-sembang di kedai makan waktu makan tengah hari. Kemudian, secara tidak sengaja masuk kerja lambat, tetapi habisnya awal. Gaji tetap jalan. 

Ini sekadar contoh. Bahkan, banyak lagi contoh pekerja yang menunjukkan sikap sambil lewa dalam pekerjaannya. Kerja baik, tugasnya mulia, tetapi amanah terhadap kerja itu tidak sempurna. Kesannya, gaji yang diperoleh itu kurang keberkatan. Secara hakiki, rezeki itu baik, cuma dibimbangi secara maknawinya ada kelompangan.

Berusaha Tampung Kekurangan

"Sebab tu kalau ada masa lebih, Mak akan kerja lebih. Nak topup yang mana kurang-kurang dalam kerja," sambung emak mengakhiri ceriteranya.

Berusahalah untuk mencari faktor-faktor yang boleh menampung kembali kelompangan dalam pekerjaan. Ada orang melebihkan sedikit tempoh kerjanya, ada orang cuba membantu rakan sekerja yang ada masalah, dan ada orang menggantikan rakan sekerja yang cuti.

Segala aspek yang berunsur kebajikan itu bukanlah untuk menambahkan beban ataupun memenatkan diri dengan kerja 'overtime', tetapi diharapkan kerja lebihan yang dibuat sedikit banyak dapat menampung kekurangan dalam pekerjaan. 

Kita bersangka baik, kekadang, seorang pekerja terpaksa menguzurkan diri dalam beberapa keadaan dan bukan sengaja untuk bersikap acuh tak acuh kerika bekerja, tetapi kemungkinan ada masalah atau perkara yang menghalang ketika itu. Oleh sebab itu, semoga amalan kebaikan dan kebajikan yang sentiasa dilakukan dalam tempoh pekerjaan turut menambah keberkatan kepada sumber rezeki masing-masing.

Tugas Sebar Manfaat

Seorang pekerja, tidak kiralah apa-apa kerja sekalipun, di samping berusaha mencari sesuap nasi buat keluarga, sebenarnya mempunyai satu tanggungjawab lain yang besar. Menyebar manfaat dan melakukan kebaikan buat masyarakat. Oleh sebab amanah yang terpikul di bahu seorang pekerja itu suatu yang berat, justeru perlunya ketekunan dan kegigihan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut supaya bukan sahaja pekerjaan yang dilakukan memberi keberkatan kepada keluarga melalui gaji yang berkat, tetapi juga menyemai manfaat buat seluruh masyarakat.

Rasulullah s.a.w ada menyebut dalam sebuah hadis riwayat Baihaqi yang bermaksud :
"Allah menyukai pada seseorang yang apabila dia melakukan sesuatu amalan, dia tekun dan bersungguh-sungguh dalam amalan tersebut".
Semoga segala amalan tekun yang dilakukan semata-mata kerana Allah dinilai dan mendapat ganjaran disisi-Nya. Mohon maaf atas segala kekhilafan. Wallahu a'lam.

Bicara Cinta

Cinta itu rahsia Ilahi,
Cinta itu buta,
Padanlah ia tiada mata,
Tetapi ia punya rasa.

Belajarlah mencintai seikhlas hati,
Cintailah apa yang dicintai Allah,
Cintailah apa yang Rasulullah cinta,
Nescaya kau akan temui rasa cinta.

Moga cinta yang hadir di jiwa ini,
Cinta yang berlandaskan jalan-Nya,
Moga Allah redha.
Cinta...

Menyumbang Melalui Penulisan

Manusia pada hari ini sudah ramai yang mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan, apatah lagi makin hari makin banyak medium yang muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Lihat sahajalah lambakan blog, wordpress, laman web ditambah dengan medium mudah akses seperti facebook, twitter dan lain-lain menggairahkan lagi manusia menyampaikan sesuatu melalui penulisan. Sebenarnya dunia penulisan ini sudah lama, sejak zaman dahulu kala lagi. Penulisan dijadikan satu alat penyebaran dan penyimpanan ilmu, sekaligus dirujuk sehingga ke hari ini.

Manusia bebas menulis apa sahaja seperti mana manusia bebas berfikir. Berfikir pula walaupun bebas, tapi masih perlu diikat tali kebebasan itu pada Al-Quran dan As-Sunnah. Agar fikirnya membawa zikir kepada Tuhan. Begitu juga penulisan, sebebas-bebasnya mengkritik, berhujah dan menyampaikan pandangan, idea dan komentar, namun perlu juga disertakan adab-adabnya, cantik lagi besertakan dalil dan bukti yang kukuh supaya sampai kepada tujuan penulisannya.

Apabila menyebut soal tujuan penulisan, manusia juga berbeza tentang perihal ini. Ada yang menulis sebagai bentuk luahan hatinya, sekadar mengisi masa lapang, sebagai jawab balas isu, sebagai perkongsian ilmiah, sebagai satu artikel untuk diterbit dan dibukukan, sebagai rujukan masa mendatang dan pelbagai lagi tujuan dan hadaf yang berbeza. Begitu juga isinya, ada yang minat menulis coretan peribadi, masalah fiqh, isu semasa, politik, ekonomi, kesihatan, artikel berat, artikel ringan dan lain-lain. 

Kita lihat tujuan, cara dan gaya penulisan, isi penulisan, subjek dan objek penulisan semuanya berbeza. Itulah kepelbagaian dalam penulisan. Walaupun seseorang itu bidang pelajarannya sama dengan yang lain, latar belakang hidup hampir sama, tetapi tetap berbeza hasil sesebuah penulisan itu. Sudah pasti ada perbezaan, mustahil ianya akan sama kerana berbeza cara berfikir, berbeza sudut pandang sesuatu perkara, dan berbeza juga bahan bacaan yang dibaca.

Disebabkan terlalu banyak perbezaan dalam ruang lingkup penulisan, apatah lagi skop yang lebih luas seperti pemikiran, bahan bacaan dan sebagainya, saya merasakan manusia perlu mempunyai satu nilai yang sama iaitu menerima dan menghormati kepelbagaian itu. Nilai hormat-menghormati. Walaupun sesuatu bahan penulisan itu dilihat tidak kena dengan cara pandang kita, kita perlu hormat dan andai perlu dibaiki atau ditambah baik, tegurlah dan berbincanglah dengan cara yang baik agar masing-masing dapat memperbetul mana-mana yang kurang sempurna, dan melangkah menjadi penulis dan pembaca yang baik.

Biarlah kita berbeza, tetapi kita masih mempunyai persamaan, iaitu kita berkongsi minat dan satu wasilah yang sama, iaitu penulisan kerana saya yakin dan percaya, semua yang terjun ke dunia ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk berkongsi apa yang dia fikirkan dan menyemai sesuatu yang boleh diambil manfaat oleh pembaca. Perbezaan ini perlu supaya manusia lebih bercambah genre bahan bacaan, luas skop pemikirannya, tidak tertumpu kepada perkara yang dimininati sahaja dan menjadi satu cetusan untuk berfikir dan mengkaji sudut perbezaan tersebut.

Bagi saya, penulisan ini mampu menjadi satu bentuk sumbangan yang baik kepada manusia lain jika kena cara dan gayanya. Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat untuk manusia yang lain. Oleh sebab itu, artikel saya kali ini juga harapnya menjadi satu bentuk sumbangan buat para pembaca dan mencetuskan semangat dan rasa untuk menulis dan menyumbang. Walau siapa pun kita, di mana pun bidang kita, teruskanlah memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Bagi yang mampu memberi idea, teruskanlah, bagi yang suka menulis, teruskanlah, bagi yang bekerja, teruskanlah. Terus, terus dan terus istiqamah. Moga Allah redha akan semua nilai dan kerja buat kita.


Sebuah buku yang ditulis oleh pensyarah saya semasa kursus bahasa ke Jordan, Ustazah Siti Fatimah Salleh yang diterbitkan oleh Darul Nafais di Jordan. "Keuzuran Khusus bagi Wanita dan Hukumnya dalam Ibadat". Beliau merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Master Fiqh Universiti Mu'tah. Satu bentuk sumbangan penulisan yang hebat saya kira, bahkan salah satu dakwah akademik yang mengagumi dan menginspirasikan saya. Masya Allah alaik ustazah.

Wallahu a'lam, moga Allah redha kita semua :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...