Dia Anak Istimewa

Selesai membaca buku Anak Istimewa karangan K.A Razhiyah. Mungkin tidaklah membaca secara teliti satu persatu, tetapi lebih kepada memilih isi-isi pengetahuan baru (scanning) yang membuka minda saya berkenaan hal ehwal anak istimewa ini.
Saya menjadi makin tertarik untuk membaca buku ini selepas menonton satu filem arahan Amir Khan iaitu Taare Zaman Par. Filem yang sangat meruntun jiwa, tetapi banyak pengajaran yang dipelajari khususnya berkaitan dengan pendidikan anak-anak, apatah lagi anak itu adalah anak istimewa yang lahirnya mereka secara zahirnya mungkin kelihatan satu kekurangan.
Antara yang menarik yang disentuh daripada buku Anak Istimewa dan filem Taare Zaman Par ini adalah bagaimana ibu bapa perlu belajar mengenal pasti situasi dan keadaan anak-anak istimewa serta menekankan kaedah mendidik mereka dengan cara yang terbaik dan berhikmah.
Subhanallah, ternyata, apabila diperhati, disebalik kekurangan anak-anak ini berbanding anak-anak normal yang lain, tersirat kelebihan dan keistimewaan yang tiada pada orang lain. Justeru membuktikan bahawa setiap insan yang dilahirkan di dunia ini punyai hak masing-masing untuk menikmati hidup dan memanfaatkan segala kelebihan yang dianugerahkan Allah.
Hati saya memang cepat sayu apabila melihat mereka bahkan ketika berbicara soal anak istimewa ini. Walaupun tidak pernah berada secara dekat bersama golongan ini, tetapi apabila melihat dan meneliti keadaan golongan ini, sebenarnya makin menambahkan rasa syukur atas nikmat yang Allah kurniakan buat hamba-hamba-Nya.
Apapun, walau macam mana pun keadaan anak-anak istimewa ini, sebagai ibu bapa dan penjaga mereka, didiklah dan ajarkanlah mereka dengan sebaik-baiknya. Mereka tidak pernah berhajat untuk hidup yang sebegitu, tetapi barangkali ada sesuatu yang Allah ingin sampaikan kepada kita atas ujian yang ditakdirkan ini.
Anak-anak ibarat kain putih, maka ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Baik coraknya, baiklah rupa mereka dan sebaliknya. Mendidik dan membesarkan mereka yang bergelar anak-anak bukanlah perkara yang mudah, namun andai didasari atas acuan Islam, moga-moga natijah di akhirnya itu diredhai Allah.
Dia anak istimewa. Kurangnya dia, pasti ada lebihnya.
Dia anak istimewa. Lahirnya dia, pasti ada hikmahnya.
Syukur. Sabar. Redha.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...