Fikir Sesuatu, Bantu Umat Kini

Sedar tidak sedar, hampir dua tahun diri ini menumpang hidup di hutan batu, Kuala Lumpur. Pelbagai ragam dan rencam kutemui sepanjang berada di sini. Terlalu banyak jika ingin dicoret satu persatu. Namun, apa yang dapat kuperhatikan dan penilaian kasarku, kebanyakan umat kini khususnya di bandar KL agak jarang mementingkan soal akhirat. Bab solat dilihat agak liat, bab tutup aurat nampaknya masih culas, belum lagi dinilai pada soal keberkatan sepanjang bekerja untuk mendapatkan rezeki. Entahlah. Aku merasakan umat kini makin jauh dengan Tuhan. Persoalan utamanya, apakah yang mampu aku lakukan untuk membantu umat ini. Ya! Diri sendiri bukanlah seorang yang sempurna, namun, setiap hela nafas dan limpahan nikmat yang dikurniakan Allah pasti akan disoal di akhirat kelak. Oleh sebab itu, aku harus fikir sesuatu. Ya...Kita harus fikirkan sesuatu. Walau tidak banyak, cuma sedikit dan mana yang termampu untuk dilakukan sudah pun memadai. Paling tidak, mulakan dengan diri sendiri. Biar insan lain memandang Islam dalam diri ini. Walau kita umat yang asing, namun, biarkan mereka merasakan 'izzah pada ajaran Islam. 

# coretan di petang hari
# rasa hati

Sapalah Anakmu Penuh Hemah

1. Jika melihat anakmu menangis, jangan buang waktu untuk mendiamkannya. Cuba tunjuk burung atau awan di atas langit agar dia melihatnya, dia akan terdiam. Kerana psikologi manusia saat menangis, adalah menunduk.

2. Jika ingin anak-anakmu berhenti bermain, jangan berkata, "Dah, sudah main, stop sekarang!". Tapi katakan kepada mereka, "Main 5 minit lagi yaaa". Kemudian ingatkan kembali, "Dua minit lagi yaaa". Kemudian barulah katakana, "Dah, waktu main sudah habis". Mereka akan berhenti bermain.

3. Jika anak-anak sedang bertelingkah atau menyebabkan keadaan riuh di sesuatu tempat, dan engkau ingin mengalih perhatian mereka, maka katakanlah, "Siapa yang mau mendengar cerita ibu? angkat tangan.." Salah seorang akan mengangkat tangan, kemudian disusul dengan anak-anak yang lain, dan semuanya akan diam.

4. Katakan kepada anak-anak sewaktu mahu tidur, "Tidur sayang. Besok pagi kan kita solat subuh", maka perhatian mereka akan selalu ke akhirat. Jangan berkata, "Jom tidur, besok kan sekolah", akhirnya mereka tidak solat subuh kerana perhatiannya adalah dunia.

5. Nikmati masa kecil anak-anakmu, kerana waktu akan berlalu sangat cepat. Kenakalan dan kekanak-kanakan mereka tidak akan lama, ia akan menjadi kenangan. Bermainlah bersama mereka, tertawalah bersama mereka, berguraulah bersama mereka.

6. Tinggalkan HP seketika, dan matikan juga TV. Jika ada teman yang menelefon urusan tak penting, katakan, "Maaf, saya sedang sibuk dengan anak-anak". Semua ini tidak menyebabkan jatuhnya wibawamu, atau hilangnya keperibadianmu. Orang yang bijaksana tahu bagaimana cara menyeimbangkan segala sesuatu dan menguasai pendidikan anak. Selain itu, jangan lupa berdoa dan bermohon kepada Allah. Dengarkan doa kita didepan anak-anak supaya mereka tahu betapa pentingnya mereka pada kita.

~copy and paste

# kids world
# mereka anak syurga


Buatlah Baik kepada Jiranmu

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Kali ini, suka untuk kucatitkan sedikit pengalaman berharga bersama ibu bapa tercinta. Secara tidak langsung kepelajari erti kebaikan kepada orang sekeliling. Semoga ianya dapat dijadikan tauladan untuk masa-masa mendatang, insha Allah.

Kisah 1

"Mak nak buat apa pisang ni, kenapa masih muda, tak masak lagi" 
"Pisang ni dahan dia dah nak tumbang, Mak suruh Abah ambil, sebab nanti sayang pulak takut tak elok"
"Ooo, begitu ke. Lepas tu nak peram ke apa ni? Muda lagi"
"Mak ingat nak buat kerepek pisang. Boleh bagi dekat Tok Ma sedikit (jiran belakang rumah)"
"Ooo, yeke. Kenapa bagi dekat Tok Ma je? Jiran-jiran lain?" 
"Oh. Pokok pisang abah tanam tu kan dekat dengan rumah Tok Ma. Kot-kot anak cucu dia nampak pisang kita tu, tak sedap hati pula rasanya kalau tak bagi"
"Ooo, begitu ke"

Dalam hati...'Bagusnya Mak Abah. Murah hati bagi jiran merasa hasil buah pisang tu'.

Kisah 2

"Banyak Mak buat biskut raya kan"
"Buat banyak, boleh bagi jiran sebelah rumah ni sedikit (rumah Kak Irah). Dulu Mak selalu juga bagi dekat Mak Cik La (jiran sebelum Kak Irah pindah ke rumah tu)"
"Kenapa Mak bagi kepada jiran sebelah ni je, tak bagi dekat jiran-jiran lain"
"Buat biskut raya ni, orang yang duduk dekat-dekat tak bau sangat, tapi yang duduk jauh dari kita ni boleh bau dan tahu kita sedang buat biskut raya. Tak elok la kan dorang dah bau sedap tapi tak dapat merasa"
"Ooo, sebab jiran sebelah ni paling dekat kan, yang lain-lain tu boleh jadi tak bau sangat la kan biskut raya kita"
"Ya.."

Tiba-tiba teringat kisah tahun lepas, semasa sedang buat biskut raya, ada seorang kawan Abah datang bagi barang. Disebabkan dia melalui kawasan dapur kami, Mak bagi sedikit biskut raya yang dah siap dimasak kepada kawan Abah tadi. Apabila ditanya, jawapan Mak tetap sama, "Tak best la kan, dorang dah bau dah kuih kita buat ni" Subhanallah!

Kisah 3

"Mak nak goreng pisang nanti. Mak ingat nak bagi sedikit dekat anak Pak Cik Rahim (jiran selang dua buah rumah dari rumah kami)"
"Eh, kenapa Mak nak bagi pisang goreng dekat dorang tu"
"Pak Cik Rahim dan Mak Cik Nor kan ke hospital, untuk urusan pembedahan jantung tu. Kesian anak-anak dorang..mak ayah dorang takde nak bagi makan"

Keesokan harinya. "Mak ingat nak beli roti Gardenia dan kaya petang ni, nak bagi dekat anak-anak Pak Cik Rahim"
"Ooo, yeke Mak"
"Mak ayah dorang tak balik lagi, kesian, takut takde makanan apa sangat"

Dalam hati..'Kenapa Mak bagus sangat ni T_T '

Kisah 4

"Bulan puasa ni Mak bagi apa je dekat jiran-jiran?"
"Mak bagi kurma sekotak sorang"

Memang dah sedia maklum, setiap awal Ramadhan, Mak Abah pasti akan berikan sekotak kurma kepada setiap jiran terdekat.

Tiba-tiba, Mak menyambung.
"Bulan puasa ni, kita kena berjimat-cermat, makan sekadarnya sahaja"
"Ya..."
"...Tapi kita kena banyak duit. Sebab nak banyakkan sedekah"

Terkedu. T_T  Dalam hati, 'Baiklah Mak, betul apa yang Mak cakap tu' 


# Semoga kita semua terus bersemangat dan istiqamah melakukan kebaikan...Walaupun sekecil-kecil perkara dan ianya hanya biasa-biasa sahaja. Kata orang, janganlah terlalu berkira-kira untuk beramal baik. Tetapi, berkira-kiralah ketika hendak berbuat maksiat. Moga-moga perkongsian ini bermanfaat. Lihat, fikir, amal!

Memaknakan Erti Syukur

Allah kurniakan aku ibu bapa yang baik,
Mereka ibu ayah yang mithali,
Aku jadi saksi atas kebaikan mereka di dunia ini,
Dia tambah lagi nikmat dengan adik beradik yang baik,
Tak putus lagi dengan sanak saudara dan keluarga yang baik,
Juga guru-guru dan murabbi yang tak putus-putus mendoakan dan menyokong.
Dia Yang Esa mengurniakan sahabat-sahabat seperjuangan yang baik,
Ada insan yang setia membawaku pada Dia,
Di sekelilingku juga ramai insan yang baik-baik,
Yang sentiasa membiaskan kebaikan dan warna-warni hidup.

Allah kurniakan nikmat kesihatan,
Allah lapangkan masa dalam usiaku yang masih muda,
Allah berikan aku tenaga untuk belajar dan bekerja,
Allah anugerahkan akal untuk berfikir dan memahami,
Allah murahkan rezekiku untuk dirasai bersama dengan insan lain,
Allah mudahkan urusanku di kala aku rasa susah,
Allah berikan aku jalan keluar pada masalah yang aku hadapi,
Allah sihatkan aku bila mana aku sakit,
Allah kenyangkan aku bila mana aku lapar.

Allah timpakan ujian untuk aku makin ingat Dia,
Allah uji aku dengan sikap manusia untuk buat aku sabar,
Allah beri aku cabaran dalam hidup untuk aku terus bergantung harap pada Dia,
Dalam kesamaran aku rasa hidupku dirundung malang, Allah takdirkan ada insan lain yang lebih merana,

Tapi aku...masih tak bersyukur,
Dalam kesukaan aku dengan nikmat yang melimpah ruah, aku masih lalai,
Di saat Allah berikan segalanya, aku tetap leka,
Ibadahku tak banyak mana, itupun entah sempurna atau tidak,
Akhlakku masih tempang, sedang insan lain begitu berbudi denganku,
Rezeki yang ada kumasih berkira-kira untuk dikongsi, sedang itu semua milik Allah,
Dunia juga yang aku puja,
Keseronokan juga yang aku damba,
Sekalipun aku tak minta, Allah masih memberi dan mengurniakan, mencurah-curah kurasakan.
Apalah erti aku hidup jika masih liat, culas nak memaknakan erti syukur pada Allah??

Aku tahu, aku sedar,
Nikmat-Nya cukup tak terhingga,
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar,
Namun, aku lalai, aku leka, aku alpa,
Ampunkan aku Tuhan,
Malu aku dengan-Mu atas semua yang Engkau kurniakan,
Sedang aku akan ditanya atas semua pemberian-Mu.

Berikan aku petunjuk, taufik dan hidayah-Mu,
Izinkan aku berubah untuk jadi hamba yang lebih baik,
Mengabdikan diri kepada-Mu,
Melakukan sesuatu kerana-Mu,
Berusaha melakukan perintah dan meninggalkan tegahan-Mu,
Kerana aku hanya seorang hamba,
Yang sentiasa lelah tapi kuat dengan rahmat dan kasih sayang-Mu,
Terima kasih Ya Allah...
Akan aku cuba dan terus memaknakan erti syukur ini,
In sha Allah..

Harapan

Ketika ralit menyelak helaian demi helaian kisah Sehelai Daun yang Gugur, tetiba hati ini terpaut pada satu ungkapan. Tersemat di dada. Ya! Betapa Tuhan Maha Satu itu tersangatlah Maha Pemurah dan Penyayangnya. Allahu Akbar...

"Kita pohon kekuatan, Tuhan beri kesulitan untuk jadikan kita kuat.

Kita pohon keteguhan hati, Tuhan beri masalah untuk diatasi.

Kita pohon keyakinan, Tuhan beri ujian untuk memantapkan iman dan jiwa.

Kita pohon cinta, Tuhan berikan insan yang tulus untuk didampingi.

Kadangkala kita tidak dapat apa yang diingini, namun, kita sentiasa dapat apa yang kita perlukan."

Usrah : Jalan Mendekati Tuhan

Hamdan lillah.
Kusyukuri nikmat persahabatan ini.
Berwasilahkan si dia, kutemui barang yang hilang.
Ajakannya ke usrah buat hatiku berbunga riang.
Terima kasih si gerangan yang membawaku ke taman syurga.
Ahh, tak sabarnya.

Saat itu tiba.
Walau cuma dua tiga kerat merapat lutut berkongsi bicara.
Usrah kami tetap segar dan mekar.
Isinya mungkin biasa-biasa.
Tapi ibrahnya luar biasa.
Biarpun cuma beberapa kali menatap mata.
Rinduku tetap setia pada mereka.

Usrah mates aku.
Berbeza semuanya.
Semuanya mengajarku sesuatu.
Kubelajar menerima seadanya.
Zahirnya mungkin mereka bukanlah siapa-siapa.
Hakikatnya mereka mencoretkan berjuta hikmah pada akal dan jiwa.

Naqibah usrah aku.
Tutur katanya penuh kelembutan.
Senyuman yang terhias menawan sukma.
Pesannya menyentap hati yang leka.
"Walau hadirnya kita ke sini atas pilihan kita.
Namun, izin Allah jua yang memudahkan semuanya.
Jika kita di sini hanya untuk ilmu.
Di luar sana pelbagai medannya.
Jika kita di sini sekadar bersahabat.
Bila-bila masa bisa bersua mesra.
Hakikat kita di sini meraih segalanya".

Ilmu, ukhuwah, tarbiyah, muhasabah, cinta.
Bahkan kita yang mencorakkannya.
Di sinilah jalannya.
Meraih ilmu dan hikmah.
Melunakkan jiwa bergelar hamba.
Menyentuh keinsafan atma dan sukma.
Mengukuh ikatan saudara seagama.
Untuk beramal dan bekerja.
Sebagai bekal ke akhirat sana.

Aku sudah jatuh cinta.
Aku kini makin sayang.
Pada mereka yang membawaku pada Dia.
Walau bakal penat di dunia.
Masam, masin, pahit turut dirasa.
Tapi yakinlah satu perkara.
Ia akan bergula-gula manis jua di hujung sana.

Usrah ini.
Jalan mendekati Tuhan.
Ikatannya teruslah digenggam.
Jangan sekali-kali kaulepaskan.
Untuk kita sama-sama menuju Tuhan.

TFA




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...