Showing posts with label tiru Nabi. Show all posts
Showing posts with label tiru Nabi. Show all posts

Gunting Rambut Mudah Dapat Pahala?


Abu ke kedai gunting rambut, dia meminta Pak Cik Ali menggunting rambutnya ikut potongan Fahrin Ahmad.
"Pak Cik Ali...gunting mula belah kanan dulu cantik jugak, ikut sunnah kan?"
"Betul tu Abu, terima kasih ingatkan pak cik ni"

Pak Cik Ali menggunting rambut bagi 20 kepala sehari, selama sebulan sudah berapa kepala, apatah lagi dia bekerja selama 20 tahun sebagai penggunting rambut.
Setiap kali memulakan proses menggunting, dimulakannya dengan bahagian kanan dahulu.

Subhanallah, berapa pahala Pak Cik Ali di situ??
Plus, Abu pula yang mengajaknya menghidupkan sunnah.
Berapa kali ganda pula yang Abu dapat?

Subhanallah, mudahnya aturan Islam.
So simple nak buat baik dan dapat pahala.

Yok!! Hidupkan sunnah baginda s.a.w....
Mulakan yang mudah-mudah dahulu....
~Nabi memulakan sesuatu perkara dengan bahagian kanan dahulu~

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِى فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun"

Jangan lupakan sang senior

Setiap orang mempunyai pendapat dan pegangan masing-masing. Dalam dunia ini ada ramai orang. Sudah pastinya pendapat yang diutarakan jauh beribu kali lebih banyak. Orang yang suka memberi pendapat pula saya kira merupakan golongan yang berani kerana tidak semua pendapat yang dilontarkan akan diterima.

Kebiasaannya, dalam sesuatu mesyuarat sebagai contohnya yang memerlukan sesuatu keputusan dibuat, pendapat yang pelbagai ini sangat diperlukan, lebih-lebih lagi si pemimpin yang perlu memutuskan sesuatu keputusan. Untuk mendapat keputusan yang terbaik, pandangan semua pihak juga tidak boleh diketepikan.

Tetapi, bukan si pemimpin sahaja yang perlu melakukan keputusan. Hakikatnya kita semua adalah pemimpin dan kita tidak dapat elak untuk memutuskan sesuatu perkara. Kadang-kadang si ayah perlu menentukan keputusan untuk keluarganya, kadang-kadang si guru juga perlu memutuskan keputusan untuk masa depan pelajarnya. Bahkan kita juga perlu memutuskan sesuatu untuk diri kita sendiri.

Namun, dalam kita mengambil dan menilai pendapat dan pandangan orang lain yang hebat, bernas, terbaik, kita jarang mengingati golongan 'orang lama' yang bak kata orang, lebih dahulu makan garam daripada kita yang masih mentah dalam usia kehidupan.

Ya! Tidak salah untuk kita mengutamakan orang-orang muda, tetapi jangan sekali-kali mengenepikan terus pendapat dan pandangan insan-insan yang sudah banyak pengalamannya daripada kita. Kadang-kadang, apa yang diutarakan mereka sangat baik walaupun ada juga pandangan yang diberikan ditewaskan oleh kita.

Bukanlah semuanya perlu mengikut telunjuk insan yang berpengalaman ini kerana kita juga perlu belajar untuk membuat keputusan sendiri, tetapi maksud saya ialah sebelum keputusan dibuat, mintalah sepatah dua nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka agar apa yang betul diteruskan dan apa yang salah dibetulkan.

Lihatlah qudwah terbaik umat ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang turut mengiktiraf nabi-nabi dahulu. Dalam peristiwa Israk Mikraj, baginda meminta bantuan dan pendapat senior baginda, Nabi Musa a.s dalam proses pengurangan waktu solat daripda 50 ke 5 rakaat.

Bukanlah baginda tidak mampu dan tidak dapat meminta daripada Allah swt, namun setiap kejadian ada hikmahnya untuk umat baginda mengambil ibrah yang tersirat daripada peristiwa tersebut, apatah lagi sesuatu benda yang agak rumit dan besar kesannya kepada ummah dan Islam.

Selamat beramal semua!!

Diingatkan bahawa coretan ini adalah pendapat peribadi. Jadi, andaikata ada apa-apa yang khilaf, mohon untuk dibetulkan. Kita sama-sama belajar, berkongsi dan bermuhasabah...Wallahu a'lam.

Amalan mendoakan orang bersin

Sedang pensyarah ralit mengajar di hadapan kelas, tetiba kedengaran bunyi....Aaachiiim....Ada orang bersin rupanya. Pensyarah yang tadi sangat petah berbicara dan asyik melantunkan butir-butir ilmu seraya berhenti dan menyebut يرحمك الله (yarhamukallah). Semoga Allah merahmati kamu. Kemudian, beliau menyambung kembali pengajaran.

Subhanallah. Seronoknya apabila didoakan hanya kerana bersin. Apatah lagi, insan yang mulia yang mendoakan kita moga dirahmati Allah. Itulah sebenarnya antara fenomena yang berlaku di Universiti Mutah. Ini adalah amalan yang saya perhatikan selalu diamalkan oleh pensyarah-pensyarah di sini.

Tahukan anda amalan ini adalah antara sunnah Rasulullah s.a.w yang jarang-jarang sekali diamalkan oleh umat Islam pada hari ini. Jikalau ada sekalipun, hanya segelintir cuma. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dengan ucapan yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia iringilah  (jenazahnya).” (Hadis Riwayat Muslim)


Bersin adalah nikmat Allah kerana angin yang terperangkap pada bahagian badan dipermudahkan oleh Allah untuk keluar sehingga insan berasa lega. Oleh sebab itu disyariatkan kepadanya agar bersyukur kepada Allah dengan mengucapkan tahmid اَلْحَمْدُ للَّه (segala puji milik Allah). 

Dan disyariatkan pula kepada saudara seagamanya yang mendengar tahmid itu untuk mentasymitkan/mendoakannya.

 يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat). Dan selanjutnya Muslim yang bersin tadi disuruh oleh agama agar menjawab tasymit itu dengan doa يَهْدِيكُمُ الله ويُصْلِحُ بَالَكُمْ (semoga Allah memberimu petunjuk dan memperbaiki hatimu). 


Namun hak ini tidak perlu pula dipenuhi sekiranya seseorang muslim itu bersin tetapi ia tidak bertahmid kepada Allah. Hal ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w. 
Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, "Yaharmukallah." Yang seorang lagi yang tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, "Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?" Nabi Muhammad menjawab, "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah."


Subhanallah, hebatnya Islam. Indahnya syariat. Walaupun hanya bersin, doa dihadiahkan buat kita. Namun, syaratnya kita mestilah melafazkan tahmid usai bersin. Setiap yang Rasulullah s.a.w lakukan pasti ada hikmahnya. Tidak lain tidak bukan ianya memberi kita satu kepuasan dengan bersin, apatah lagi menyihatkan tubuh badan. Alhamdulillah, Subhanallah.

Jadi, apa tunggu lagi. Sama-samalah kita menghidupkan sunnah ini. Walaupun kelihatan ringkas dan terlalu simple, tapi, jika kita berusaha untuk mengamalkannya demi mengikut jejak langkah Baginda s.a.w dan mendapat rahmat Allah, insya Allah rahmat-Nya pasti milik kita. Jangan berfikir panjang untuk mengamalkannya. 

Liha, fikir, dan amal...Sebar-sebarkan juga pada saudara se-Islam yang lain. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat Allah di sepanjang hidup kita, insya Allah....Wallahu a'lam.

Khat oh Khat

Salam perjuangan buat semua. Terasa telah lama mengabaikan laman ini. Jutaan kemaafan dipohon. Kali ini saya hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman, moga dapat menjadi iktibar buat semua, insya Allah.

Baru-baru ini saya telah mendaftarkan diri dalam satu kelas khat yang dianjurkan persatuan di sini. Mula-mula dapat tahu ada kelas khat, saya punyalah gembira. Gembira sangat-sangat kerana sebelum ini saya tidak pernah berpeluang untuk belajar khat dengan lebih mendalam.

Tapi, kali ini saya mengambil peluang itu. Barangkali dahulu, peluang sudah terbentang di depan mata, tapi mungkin saya sahaja yang mengendahkannya. Tatkala mula-mula menyertai kelas khat itu, saya rasa sedih sangat. Sedih apabila melihat tulisan rakan-rakan yang cukup cantik. Dengki pun ada masa itu. Astaghfirullah.

Apabila mula-mula tulis khat, susahnya Ya Allah, sehinggakan saya rasa macam hendak berputus asa dan tidak ingin lagi hadir untuk kelas kali kedua. Pada hari kelas khat kali kedua diadakan, saya paksa juga diri saya. Alhamdulillah, perasaan saya sangat berbeza. Tiba-tiba sahaja saya merasakan Allah menghadirkan kemudahan dalam diri saya. Saya rasa sangat bersemangat dan walaupun tulisan saya masih belum cantik, tetapi lebih baik daripada sebelumnya.

Mulai saat itu, saya tekad. Saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus istiqamah dan berusaha. Minat boleh dipupuk dan hasil yang terbaik akan datang dengan semangat juang yang tinggi. Wah! berapi-api ayat. Kalau hendakkan hasil yang totally perfect dalam masa tidak sampai sehari, ianya sesuatu yang agak mustahil. Practice makes perfect. Jadi kena banyakkan latihan. Insya Allah, boleh!!

Jika kita kembali kepada sirah Rasulullah saw, bagaimana Baginda sendiri berjaya dalam dakwahnya setelah 23 tahun berdakwah. Bukan dalam masa sehari dua Baginda berjaya menyampaikan Islam kepada umat, tetapi dalam tempoh yang sangat lama. Tetapi, adakah Rasulullah saw berputus asa dan berpaling daripada jalan dakwah??Tidak sama sekali.

Semoga semangat perjuangan Baginda menjadi inspirasi buat saya dan anda semua dalam melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat. Sekalipun hal itu cukup simple dan mudah, tetapi jangan sesekali pandang enteng terhadap hal tersebut. Cukup sekadar itu dahulu. Semoga Allah meredhai kita semua.

Wallahu a'lam.

Berhikmahnya Rasulullah s.a.w


Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Islam itu juga agama yang berhikmah, begitu juga sifat baginda Rasulullah saw yang begitu berhikmah dalam berdakwah dan bergaul bersama sahabat-sahabat baginda.

Ada satu kisah yang mana menunjukkan betapa berhikmahnya Rasulullah saw. Semasa sedang makan-makan bersama para sahabat baginda, kemudian ada seorang sahabat yang 'terlepas bom'...terkentut la senang cerita. Kemudian mereka saling memandang antara satu sama lain, tetapi tiada seorang pun yang mengaku.

Kebetulan masa itu, azan sedang berkumandang. Usai azan, tatkala mereka ingin bersiap-siap untuk solat, Rasulullah saw pun sempat berpesan kepada semua yang makan tadi untuk pergi mengambil wudhu. Walaupun ada di antara sahabat yang masih mempunyai wudhu tetapi arahan Rasulullah saw itu adalah untuk menjaga air muka sahabat yang terkentut tadi.

Subhanallah, hebatnya Rasulullah saw membuatkan kita merasakan betapa hebatnya ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Sememangnya hikmah itu sesuatu yang subjektif, tetapi dengan pergantungan kuat kepada Allah beserta ketaqwaan kepada-Nya, insya Allah kita mampu mencontohi Rasulullah untuk berhikmah dalam dakwah dan kehidupan seharian kita.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk" An-Nahl : 125

Wallahu a'lam...

Kecantikan pun Boleh Menyebabkan Cerai

     Pada suatu hari, Saidina Umar didatangi seorang wanita. Wanita itu bertanyakan Saidina Umar, adakah dia boleh meminta fasakh daripada suaminya. Saidina Umar terkejut lalu memanggil suami wanita itu datang kepadanya. Apabila melihatkan suami wanita itu, beliau cukup terkejut. Lelaki itu seorang yang sangat kusut dari segi rambutnya, kukunya, pakaiannya. Senang cerita, lelaki itu sangat hodoh kerana perwatakannya yang tidak kemas. Patutlah wanita itu ingin meminta fasakh daripada suaminya.
    Memandangkan Saidina Umar seorang pemimpin yang adil, baginda dengan penuh diplomasi mengarahkan beberapa orang sahabat yang lain untuk membersihkan diri lelaki tersebut. Setelah siap dikemas rapi dan didandan dengan cantik, lelaki itu dibawa bertemu isterinya. Kemudian si isteri terus mengucapkan...."Ya habibi....ya habibi...wahai kekasihku, wahai kekasihku". Alhamdulillah, dengan izin-Nya, mereka berdua tidak jadi bercerai....


Diharapkan anda semua faham akan kisah ini dan sama-sama mengambil pengajaran daripadanya.
Sama-samalah kita menjaga kecantikan dalaman dan luaran kita kerana Allah.
Biarlah kecantikan itu mendatangkan pahala, Insya Allah....dan tidak membawa kepada dosa (nau'uzubillah)
Wallahu A'lam

Puasa Sunat Isnin dan Khamis

Mengapa hari Isnin dan Khamis kita disunatkan berpuasa dan tidak pada hari-hari lain??

Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai hal ini lantas Baginda menjawab,
" Hari Isnin itu ialah hari aku dilahirkan, manakala hari Khamis pula ialah hari aku dibangkitkan atau permulaan diturunkan wahyu kepadaku,"
(Riwayat Muslim)

Baginda juga pernah bersabda dalam hadis lain riwayat Tirmizi,
" Dibentangkan amalan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku sukacita jika dibentangkan amalanku dalam keadaan aku berpuasa,"

Dalam hadis riwayat Tirmizi yang lain pula aisyah r.ha menegaskan bahawa Rasulullah SAW berusaha untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

  • Konklusinya daripada hadis hadis ini, puasa Isnin-Khamis sangat digalakkan kerana itu ialah sunah junjungan besar Nabi Muhammad SAW...
  • Jom  pakat pose Isnin-Khamis ramai2!!
Wallahu A'lam....sekadar perkongsian yang dipetik daripada Majalah Asuh

Aduhai Umat Islam

Pergolakan di Mesir semakin hari semakin meruncing.
Alhamdulillah kerana keadaan abang ana dan isterinya serta rakyat Malaysia yang lain masih selamat.
Begitulah keadaannya apabila pemerintahan Hosni Mubarak tidak dipersetujui oleh rakyat Mesir namun beliau masih enggan meletakkan jawatan.
Apapun, kita di Malaysia ini perlu teruskan kehidupan dan sama-samalah kita doakan apa yang terbaik untuk seluruh umat Islam.

Hari ini ada sesuatu yang ana ingin kongsikan melalui pengalaman yang ana dapat semasa di PLKN sebelum ana pulang bercuti.
Mungkin bagi orang lain ianya tiada erti apa-apa tetapi bagi ana perlu ana kongsikan untuk sama-sama kita fikirkan demi kemaslahatan umat Islam dan Islam keseluruhannya.
Semasa di sana, ana ada berkawan dengan seorang non muslim.
Mula-mula rasa kekok...yelah sebab dia bukan seagama dengan kita.
Tetapi ada sesuatu yang ana kagum dengan dia ialah dia seorang yang agak tahu tentang Islam.
Mungkin kerana dia bersekolah di sekolah yang ramai muslim.
Dia juga pandai menyayikan lagu Barakalllah ( Maher Zain) dengan fasih sekali.
Dia juga selalu menyebutkan "sabar itu sebahagian daripada iman" kepada ana kalau ana kelihatan kurang sabar tehadap sesuatu perkara.
Bahkan dia pernah menyuruh ana menulis sepotong ayat Al-Quran dalam bahasa melayu iaitu "Alfitnatu asyaddu minal kotli" yang bermaksud memfitnah lebih buruk daripada membunuh untuk membalas tuduhan seseorang terhadapnya.
Ana terkejut kerana dia tahu ayat itu melalui kawan-kawannya di sekolah dahulu.
Pernah sekali ana berbual dengannya.....
Saya : Pernah tak awak baca tafsir Al-Quran?
Dia : Tak, Why should me?
Saya : Just to know...
Dia : Orang Islam sendiri pun tak amal ajarannya, jadi tak perlu saya nak tahu....
(Lebih kurang macam itulah perbualan kami )

Apabila ana mendengar jawapannya, ana rasa sangat terkilan.
Ana dah tak tahu nak jawab apa...Kelu seribu bahasa.
Dalam hati ana harap ana dan sahabat-sahabat muslim yang lain dapat tunjukkan Islam kepada dia dan non muslim yang lain.
Patutlah orang bukan Islam yang dekat dengan Islam tak diberi hidayah oleh Allah....mungkin kerana sikap orang Islam itu sendiri.
Berapa ramai yang mengaku Islam tapi tak betul-betul mengamalkan Islam.
Memang betul apa yang diperkatakan kawan non muslim ana itu.
Islam itu agama yang sempurna tapi orang bukan Islam tak dapat nak lihat keindahan dan keunggulan Islam kerana ianya tidak diamalkan betul-betul oleh orang Islam.
Sama-samalah kita muhasabah diri dan berubah ke arah yang lebih baik agar Islam kembali dijulang oleh orang bukan Islam.
Cuba kita ambil pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW....ramai orang bukan Islam memeluk Islam kerana akhlak mulia baginda sendiri....
Biarpun baginda dihina dan dikeji oleh orang bukan Islam, namun layanan dan sikap baginda terhadap mereka tetap baik dan menyenangkan.
Itulah antara sebab mereka memilih Islam sebagai cara hidup mereka.
Bagaimana pula dengan kita??? Tepuk dada tanya iman.

Ingatlah, tegakkan Islam dalam dirimu nescaya akan tertegaklah Islam di atas muka bumi ini.
Wallahu a'lam

Mandi Fajar

Dalam menjaga kesihatan, Rasulullah S.A.W mengamalkan mandi fajar iaitu sekitar pukul empat pagi.
Daripada Imam Ahmad asy-Syaraji dalam kitabnya , Al-Fawanid mengatakan mandi fajar ada banyak kelebihan antaranya :
  • Tidak terkena penyakit asma
  • Terhindar daripada angkara jahat seperti sihir, baik daripada jin atau manusia.
  • Tubuh badan menjadi sihat.
  • Wajah bercahaya.
  • Doanya mudah dikabulkan Tuhan.
  • Wajah menjadi awet muda.
  • Mata sihat dan tidak mudah rabun.
(Petua daripada majalah Anis Mei 2010)

 

Kelebihan Makan Madu

Antara keistimewaan madu lebah dapat diungkapkan dalam kata-kata Ibn Sina :-
"Madu itu menguatkan roh(kerohanian),
Madu menambah kerajinan dan semangat,
Madu membuka selera makan,
Madu memelihara kemudahan,
Dan madu menolong melancarkan ucapan."

Tepatlah tulisan Dr.Rihaab 'Ukhawi :
"Madu berupa bahan berunsur manis yang menimbulkan kerajinan,kekuatan,kecemerlangan,bertenaga dan kesukaan."

Oleh itu,Rasulullah s.a.w. sangat suka minum madu dan bahkan membiasakannya.Madu merupakan makanan dan minuman berkhasiat dalam kepentingan fizikal dan mental. Orang Arab mempunyai ingatan yang kuat adalah berpunca daripada berkatnya madu lebah.

Ibn Juraij r.a pernah menyabutkan perkataan Imam al-Zuhri r.a. tokoh hadis di kota Madinah yang berkata : "Selalulah anda minum madu kerana sesungguhnya ia bagus untuk hafalan."

Bagi mereka yang sukar tidur malam(insomnia) amalkan minum 1 sudu besar madu lebah sebelum tidur malam.

Menurut Imam al-Dzahabi :
"Adalah Nabi s.a.w. pada setiap hari minum segelas madu yang telah dicampur dengan air kosong sebelum sarapan."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...