Harapan

Ketika ralit menyelak helaian demi helaian kisah Sehelai Daun yang Gugur, tetiba hati ini terpaut pada satu ungkapan. Tersemat di dada. Ya! Betapa Tuhan Maha Satu itu tersangatlah Maha Pemurah dan Penyayangnya. Allahu Akbar...

"Kita pohon kekuatan, Tuhan beri kesulitan untuk jadikan kita kuat.

Kita pohon keteguhan hati, Tuhan beri masalah untuk diatasi.

Kita pohon keyakinan, Tuhan beri ujian untuk memantapkan iman dan jiwa.

Kita pohon cinta, Tuhan berikan insan yang tulus untuk didampingi.

Kadangkala kita tidak dapat apa yang diingini, namun, kita sentiasa dapat apa yang kita perlukan."

Usrah : Jalan Mendekati Tuhan

Hamdan lillah.
Kusyukuri nikmat persahabatan ini.
Berwasilahkan si dia, kutemui barang yang hilang.
Ajakannya ke usrah buat hatiku berbunga riang.
Terima kasih si gerangan yang membawaku ke taman syurga.
Ahh, tak sabarnya.

Saat itu tiba.
Walau cuma dua tiga kerat merapat lutut berkongsi bicara.
Usrah kami tetap segar dan mekar.
Isinya mungkin biasa-biasa.
Tapi ibrahnya luar biasa.
Biarpun cuma beberapa kali menatap mata.
Rinduku tetap setia pada mereka.

Usrah mates aku.
Berbeza semuanya.
Semuanya mengajarku sesuatu.
Kubelajar menerima seadanya.
Zahirnya mungkin mereka bukanlah siapa-siapa.
Hakikatnya mereka mencoretkan berjuta hikmah pada akal dan jiwa.

Naqibah usrah aku.
Tutur katanya penuh kelembutan.
Senyuman yang terhias menawan sukma.
Pesannya menyentap hati yang leka.
"Walau hadirnya kita ke sini atas pilihan kita.
Namun, izin Allah jua yang memudahkan semuanya.
Jika kita di sini hanya untuk ilmu.
Di luar sana pelbagai medannya.
Jika kita di sini sekadar bersahabat.
Bila-bila masa bisa bersua mesra.
Hakikat kita di sini meraih segalanya".

Ilmu, ukhuwah, tarbiyah, muhasabah, cinta.
Bahkan kita yang mencorakkannya.
Di sinilah jalannya.
Meraih ilmu dan hikmah.
Melunakkan jiwa bergelar hamba.
Menyentuh keinsafan atma dan sukma.
Mengukuh ikatan saudara seagama.
Untuk beramal dan bekerja.
Sebagai bekal ke akhirat sana.

Aku sudah jatuh cinta.
Aku kini makin sayang.
Pada mereka yang membawaku pada Dia.
Walau bakal penat di dunia.
Masam, masin, pahit turut dirasa.
Tapi yakinlah satu perkara.
Ia akan bergula-gula manis jua di hujung sana.

Usrah ini.
Jalan mendekati Tuhan.
Ikatannya teruslah digenggam.
Jangan sekali-kali kaulepaskan.
Untuk kita sama-sama menuju Tuhan.

TFA




Larangan Kecil

Manusia sekali-kali tidak boleh meremehkan larangan Allah walau sekecil mana sekalipun. Ini adalah kerana dosa ibarat racun berbahaya yang dapat membinasakan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. 

Seseorang yang berakal dan mencintai hidupnya tidak akan mencuba minum racun walaupun hanya setitik kerana kesannya boleh membawa kecelakaan. Ibnu Hibban meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, "Kadang-kadang seseorang tidak mendapat rezeki akibat dosa yang ia lakukan.

At-Thabarani meriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud, beliau berkata, "Saya yakin bahawa seseorang dapat melupakan ilmu yang telah dipelajarinya akibat dosa yang ia lakukan."

-Petikan buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia oleh Umar Muhammad Noor. 

Wordless Wednesday #3


Islam bukan semata-mata di masjid, Islam bukan hanya di Mekah dan Madinah. Praktikkan Islam di mana-mana sahaja, bila-bila masa. Sebelum ajal menjemput, jadikan Islam sebagai cara hidup. Islam is the way of life!

Sumber gambar : google

Penyejuk mata ibu ayah

"Bila awak nak nikah?"
"Belum sampai masa lagi kot. Mungkin Allah nak suruh saya baiki diri lagi, jadi penyejuk mata mak abah dulu sebelum jadi penyejuk mata si 'dia'".
"Err...ok..."

Berusahalah menjadi anak yang solehah buat ibu ayah terlebih dahulu, sebelum bercita-cita menjadi pendamping yang terbaik buat si suami.

It's just a short post. Semoga bermanfaat.

Alkisah Wang Melayang

Dunia hari ini menyaksikan pelbagai dugaan kesempitan kewangan. Apabila dikira-kira, duit banyak dihabiskan hanya untuk membayar cukai, saman, sewa, yuran, dan hutang. Ini belum lagi termasuk perbelanjaan seharian. Fuh, tenat juga hidup kita sehari-hari. Resah memikirkan di mana lagi harus kucari duit. Duit oh duit!

Walaupun kita menuding jari kepada kerajaan yang suka-suka hati je dengan kuasa mereka menyusahkan rakyat, kadang-kadang, perlu juga kita insan yang lemah ini bermuhasabah atas apa yang telah berlaku. Duit yang tetiba sahaja melayang pada perkara-perkara yang membebankan boleh jadi satu ujian akibat kelalaian terhadap nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan dalam bentuk kewangan dan kekayaan.

Beberapa kisah tentang duit...

Apabila beberapa surat saman sampai ke rumah atau terdapat barang hilang yang perlu dibeli semula, Mak mesti menyuarakan kebimbangannya. "Ke ada hok dok kena ni dengan duit hok kita guna sebelum ni?". Mak resah kalau-kalau rezeki duit yang Allah berikan tidak digunakan ke jalan yang betul menyebabkan Allah menarik kembali nikmat ini dengan ujian-ujian sebegini.

Aduh! Kami anak-anak yang mendengar turut termuhasabah seketika. Bimbang jika kami yang menjadi penyebab kepada ujian ini. Duit yang Mak Abah berikan tidak dimanfaatkan dengan baik oleh anak-anak. Allahurabbi! Mereka yang bersusah payah mencari rezeki, tetapi anak-anak pula yang tidak menghargai.

Semalam, semasa usrah, seorang kakak berkongsi kisah hidupnya. Dalam bulan ini sahaja, duitnya dihabiskan untuk membayar hutang-hutang. Oleh itu, bagi menanggung hal tersebut, dia terpaksa mengambil keputusan untuk menjual makanan di kawasan sekitar. Sempat dia mengingatkan kami bahawa ujian ini berlaku mungkin kerana duit yang ada sebelum ini diguna untuk bersuka ria, justeru perlulah beringat-ingat untuk kehidupan mendatang.

Bahkan, seorang lagi kakak usrah menambah isu ura-ura biasiswa JPA akan diberhentikan akan menambah beban pelajar. Lebih-lebih lagi, bagi pelajar perubatan yang terpaksa menanggung kos pengajian yang tinggi berbanding bidang lain. Walaubagaimanapun, dia juga berpesan bahawa ujian yang diduga ini adalah suatu peringatan kepada pelajar-pelajar kerana sebelum ini, rezeki kewangan mungkin banyak disia-siakan mereka untuk melancong ke luar negara dan membeli barang-barang yang mewah.

Begitulah alkisah wang melayang. Saya cuma kongsikan beberapa kisah yang dekat dengan kehidupan saya. Ini hanyalah cebisan kisah daripada ribuan kisah duit dan kehidupan orang lain. Ya! Sekarang, negara kita tenat dengan masalah ekonomi dan kesempingan kewangan yang menghimpit rakyat. Oleh sebab itu, baik pemimpin mahupun seluruh rakyat perlu bermuhasabah kembali. Ujian ini puncanya mungkin daripada keangkuhan, kelalaian, ketamakan dan sifat tidak pernah cukup dan tidak syukur kita.

Ubahlah....

Apakah akan ada sinar baru buat rakyat dan negara dalam hal ini? Jangan putus asa terlebih dahulu. Kita perlu berusaha! Bagi menjamin perubahan negara yang lebih baik, jangan lupa daftar pemilih sekarang. Kita ubah negara dengan undi PRU 14 akan datang. Harapannya semoga pemimpin yang adil atas tunjang Islam diberi peluang memimpin. Kita semua ingin melihat masa depan Malaysia yang lebih baik. Semoga keadaan politik, ekonomi dan sosial negara lebih baik. Ya! Lebih baik.

Ayuh kembali kepada Allah dengan bermuhasabah dan memohon keampunan daripada-Nya. Teruskan usaha dan berdoa. Semoga Allah membuka jalan keluar kepada segala kesulitan dan kepayahan yang kita hadapi.
Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...