Rintihan Hati Si Mad'u



Hatiku sungguh gembira,
Ada juga yang datang membawa cahaya, 
Penerang dari Al-Quran dan Asunnah, 
Katanya seorang dai'e,
Membuai kembali diriku kepada Islam,
Yang dulu jauh dari-Nya,
Dilanda ombak keseronokan dunia.

Tapi itu dulu,
Kini tidak lagi begitu,
Aku ditinggalkan terkapai-kapai,
Dalam memahami agama-Nya,
Menunggu masa untuk tenggelam sahaja.

Aku tidak mengerti,
Dulu Si Dai'e berjanji akan menunjukku jalan Islam,
Tapi di manakah janji itu?
Dulu Si Dai'e bernekad mengajarku kalam-Nya,
Tapi sudah leburkah nekadnya?
Dulu Si Dai'e tekun mendidikku,
Tapi adakah dia sudah jemu kini?
Sungguh aku tidak mengerti.

Hadirnya Si Dai'e,
Mengubah seluruh hidupku,
Aku diajar mengenal Sang Pencipta,
Tuhan Yang Membolak-balikkan hati,
Yang mengetuk pintu hatiku,
Hidayah-Nya datang jua dari hamba-Nya,
Insan bergelar dai'e.

Tapi itu dulu,
Kini aku masih lagi sendirian,
Tiada lagi yang mengajar tentang agama,
Tiada lagi yang menyemai kasih sayang,
Tiada lagi pendukung,
Di kala aku masih baru mengenal Ya Rabb.

Wahai Sang Dai'e,
Janganlah kau tinggalkan aku,
Aku sungguh memerlukanmu,
Membawaku kepada Yang Satu,
Jijik benarkah dikau terhadapku?
Yang masih kotor dengan lumpur jahiliyah.

Aku mahukan dikau yang dulu,
Penuh cinta terhadap saudaranya,
Dalam mengotakan tanggungjawab,
Menjadi rantai perjuangan Rasulullah,
Di manakah dikau wahai Sang Dai'e?

Ya Allah,
Hadirkan padaku petunjuk-Mu,
Sungguh aku  ingin kembali pada-Mu,
Janganlah kau hukumku begini,
Atas dosa-dosa yang lalu,
Aku benar-benar bertaubat...


p/s : Buat insan bergelar dai'e, muhasabah kembali dirimu...ini peringatan buatmu dan diriku jua...Janganlah sesekali mengabaikan mad'u kita...Teruskanlah mendakwah mereka walau mereka jauh dari mata kita...Sesungguhnya, mereka ingin sekali dekat di hati kita agar kita dan mereka sama-sama dekat pada-Nya!!


Bekerja Untuk Allah



Salam perjuangan buat semua.
Semoga ceria selalu di bawah rahmat-Nya.
Hari ni 1 Mei, Hari Pekerja kan! Yang bekerja bercuti selama sehari sebagai tanda penghargaan buat penat lelah mereka.
Pada hakikatnya kita semua tidak kiralah raja ke, PM ke, sehinggalah tukang kebun dan nelayan semuanya bekerja  dengan Allah.
Firman Allah dalam surah az-Zaariyat ayat 56: Maksudnya : ” Dan (ingatlah) tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaku.”
Cuma bezanya….bekerja di dunia ada hari cutinya, tapi bekerja dengan Allah tiap-tiap hari tanpa cuti.
Kalau bekerja dengan kerajaan dunia, pada umur tertentu adanya pencen yakni dah tak bekerja lagi dengan kerajaan.
Tapi bekerja dengan kerajaan Allah tiada pencen…pencen tak pencen pun bila nyawa dah terputus daripada badan.
Bila bekerja di dunia, tiap-tiap bulan dapat gaji, siap dengan bonus lagi. 
Tapi bila bekerja dengan Allah ‘gaji’ akan diperoleh di akhirat.
Sebenarnya banyak lagi bonus yang Allah bagi kepada hamba-Nya kalau kita ikhlas dan rajin bekerja dengan Allah.
Allah kan Maha Kaya, seluruh kerajaan langit dan bumi Allah yang punya.
Tapi kadang-kadang manusia tak hiraukan kelebihan itu.
Alasannya sebab ganjarannya lambat sangat dibayar.
Itulah sebenarnya ujian Allah kepada kita.
Allah nak tengok sejauh mana kepercayaan kita terhadap janji-janji-Nya.
Jangan bimbang, janji Allah itu pasti.
Sesiapa yang benar-benar beribadah kepada-Nya, disisi Allah itu amatlah mulia.
Selamat bekerja dengan Allah….
Kerja betul-betul ye… Setiap saat akan dinilai oleh-Nya…

Wallahu A’lam




Cerpen : Bayangan Dosa Semalam



“Sayang ni cantiklah. Tak puas Abang tengok,” tangan si lelaki sudah pun menyentuh pipi comel si wanita.
“Abang, Abang  nak air lagi? Nanti Sayang ambilkan ye,” suara lunak manja itu kedengaran  cukup menggoda sang lelaki.
“Tak nak, Abang nak Sayang. Jomlah balik ke rumah Abang,” giliran lelaki itu pula memasang jarum.
“Tak boleh. Sayang kena kerja lagi. Nanti ada pelanggan lain pula yang datang ke mari. Apa kata kita menari . Abang mesti dah lama tak menari. Cepatlah Abang!!” mahu tidak mahu lelaki itu mengikut gerak- geri si wanita untuk menari bersamanya. Bunyi bising terhasil daripada getaran lagu-lagu rancak yang dipasang di kelab malam itu membuai leka semua manusia dalam dunia ciptaan syaitan.
“Astaghfirullahala’ziim…Mimpi  lagi,” suara lunak manja tadi menuturkan istighfar. Jam menunjukkan jam 3 pagi. Mimpi ngeri itu sudah banyak kali menghantui tidurnya.
Balqis segera bangun dari tempat tidurnya dan menuju ke kamar mandi. Berniat untuk membersihkan diri dan berwudhu’. Dia lantas menghamparkan sejadah, ingin bermunajat kepada Yang Esa. Ketenangan, kerahmatan  dan paling tidak dilupakan keampunan dipohon. Moga segala doanya dimakbulkan.
“Eh, Balqis dah bangun. Nampaknya dah dapat bangun tanpa dikejutkan. Alhamdulillah,” suara milik seorang wanita berusia lingkungan 40-an kedengaran di cuping telinga Balqis.
“Dah, Kak Siti. Tapi, Balqis mimpi lagi,” mata sudah mula bertakung air mata jernih.
“Balqis, jangan sedih. Terus memohon pada-Nya. Dia Maha Mengetahui. Ini  cuma ujian iman buat Balqis. Allah nak lihat sejauh mana keikhlasan Balqis. Sudahlah. Tidurlah. Nanti akak kejutkan untuk solat Subuh.”
“Tak apalah akak. Balqis nak mengaji  dahululah. Kalau akak mengantuk, akak pergilah tidur. Hari ini biar Balqis yang kejutkan akak untuk Subuh berjemaah.”
“Okay lah kalau macam itu. Memang Balqis pun yang selalu kejutkan akak. Akak tidur dahulu ye Balqis sayang.” Senyuman manis dilemparkan buat Balqis. Namun, senyuman itu masih belum mampu menceriakan hatinya yang masih hiba.
“Ya Allah, hilangkanlah kedukaan dalam hatiku. Bantulah hamba-Mu ini, Ya Allah”

*******
“Assalamualaikum adik-adik. Dah lama tunggu akak?”
“Waalaikumussalam. Tak adalah akak. Kami pun baru sahaja sampai,” suara seorang lelaki cilik, Ahmad kedengaran enak sekali.
“Kak Balqis cantik lah hari ini,” puji seorang  budak perempuan bertudung manis, Umairah.
“Ye lah, akak nampak macam bidadari lah,” puji seorang lagi, Fatimah.
“Kamu semua ini pandai kan. Nak bodek akak lah tu. Kelas pun belum mula lagi. Jangan risau adik-adik. Semua orang akan dapat gula-gula hari ini,”
“Yeah….” sorakan gembira meriuhkan keadaan di kelas tadika itu. Kelas tadika itu milik Puan Siti yang dibuka tiga tahun lalu. Balqis salah seorang tenaga pengajarnya. Dia diambil bekerja oleh Puan Siti setahun yang lalu selepas  dia berjaya diselamatkan Puan Siti dalam satu peristiwa hitam yang membawanya ke satu dunia baru yang menenangkannya kini. Oleh sebab Puan Siti sudah lama menjanda jadi dia tinggal serumah dengan Puan Siti.
“Balqis baru habis kelas?” soal Puan Siti usai Balqis keluar dari kelasnya.
“Ya, akak.”
“Nanti  wakil daripada Butik Cilik Solehah akan datang untuk membincangkan tempahan baju muslimah untuk budak-budak di tadika ini. Jadi akak nak Balqis tolong akak untuk pilih baju apa yang patut ditempah.”
“Tapi, akak nak ke mana? Balqis takut silap pilih nanti.”
“Akak ada urusan penting di bandar. Jangan risau, Balqis. Semua baju itu menepati kehendak syara’. Cuma Balqis perlu pilih corak yang terbaik untuk budak-budak.”
“Insya Allah akak.”

*******
“Assalamualaikum, Puan Siti ada? Saya Amirul, pegawai ekskutif dari Butik Cilik Solehah,”  satu suara garau kedengaran.
“Waalaikumussalam. Dia tia..tia..da…tapi saya wakilnya. Saya Balqis. Ini sahabat saya Nurul.” Balqis yang agak terkejut dengan kehadiran lelaki berkopiah itu menyebabkannya tergagap-gagap. Segera dia menundukkan sedikit wajahnya. Tidak menyangka dia sama sekali seorang lelaki pun bekerja di sebuah butik pakaian muslimah. Nasib baik ada Nurul untuk menemaninya.
“Oh, tak apalah kalau begitu. Jadi, boleh kita mulakan perbincangan sekarang,” suara itu seakan-akan renjatan elektrik buat Balqis. Hatinya berdebar-debar, namun Balqis hanya berlagak professional.
“Boleh, Insya Allah.”
Selesai berbincang, Balqis dan Nurul menghantar Amirul di hadapan pintu pagar tadika sebagai tanda hormat. Wajahnya masih ditundukkan sedikit. Teringat olehnya pesanan Kak Siti apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram, seorang wanita itu wajib menundukkan pandangan dan haram melunakkan suara ketika bercakap dengannya.
Semasa Amirul memasuki sebuah van, tiba-tiba, Balqis melihat seorang lelaki yang cukup dikenalinya. Lelaki itu pemandu van Butik Cilik Solehah. Lelaki itu melihat ke arahnya dengan pandangan tajam. Segera Balqis menarik tangan Nurul untuk masuk ke dalam tadika. Amirul yang menyaksikan perkara itu kehairanan dengan sikap aneh Balqis. Dia mula berasa tidak sedap hati.
“Balqis, awak okay ke?” soal Nurul.
“Saya okay je. Tiada apa-apalah.” Balqis menyembunyikan perasaan sebaknya.
“Tapi, mata awak berair. Awak menangis eh? Saya ada buat salah dekat awak ke?”
“Tak adalah, mana ada. Awak tak pernah buat salah apa-apa pun” Balqis rasa Nurul tidak perlu tahu akan zaman silamnya. Pasal lelaki itu. Lelaki yang merosakkan hidupnya.
“Atau..Atau..Awak sedih Encik Amirul pulang. Mana tahu awak dah terpaut hati padanya. Saya lihat awak gelabah semacam je tadi. Encik Amirul pun sama.”
“Awak ni Nurul. Tak habis-habis nak menyakat saya kan.”
“Betul apa yang saya cakap kan? Tengok muka awak dah blushing dah tu.” Nurul segera ketawa melihat Balqis yang malu-malu itu. Sekurang-kurangnya kesedihan Balqis berkurang dengan keceriaan suasana yang dibawa oleh Nurul.

*******
“Sekarang ni, kau dah tak boleh ke mana-mana,” jeritan lelaki kasar bernama Sufiyan itu menakutkan Balqis.
“Kau dengar sini baik-baik. Lelaki lain kau boleh larikan diri. Tapi dengan aku, no way ,okay!” tangan Balqis sakit sekali dicengkam oleh Sufiyan.
“Lepaskan aku lah, bodoh. Aku tak nak ikut kau la. Tolong lah lepaskan aku,” giliran Balqis pula menempik kuat. Tangisannya semakin kuat.
“Kau kata aku bodoh. Hei, aku tak bodoh lah. Kau yang bodoh. Perempuan tak guna. Hari ini kau kena kerja dengan  aku. Beribu duit aku habis untuk kau, kau tahu tak.”
Dengan kudrat wanitanya yang tidak seberapa, Balqis menendang kaki Sufiyan sekuat hati lalu segera melarikan diri daripada Sufiyan.
“Hoi, jangan lari perempuan bodoh.”
Sufiyan terus mengejar Balqis tetapi tiba-tiba satu cahaya terang memancar di hadapan muka Balqis. Balqis terjatuh. Kepalanya terhantuk pada satu benda yang keras. Balqis tidak sedarkan diri.
“Aaa…akak!” jeritan Balqis mengejutkan Puan Siti daripada lenanya.
“Ya Allah. Kenapa Balqis jerit ni?”
“Akak…Akak… Balqis takut. Sufiyan kejar Balqis. Dia nak tangkap Balqis,” Balqis sudah mula menangis teresak-esak.
“Ya Allah, mesti Balqis mimpi lagi kan. Sudahlah. Jangan nangis lagi. Balqis kan dah selamat sekarang. Akak ada di sini dengan Balqis.”
“Tapi, kenapa Balqis mesti mimpi hal yang sama? Mungkin inilah balasan atas apa yang telah Balqis lakukan dulu. Atau apakah taubat Balqis tak diterima?”
“Bawa mengucap Balqis. Istighfar banyak-banyak. Balqis tak boleh cakap begitu. Kan akak dah cakap dulu, Allah itu maha Pengampun. Dia pasti mengampunkan dosa orang yang bertaubat. Balqis mesti yakin akan hal itu.”
“Tapi, kenapa Balqis perlu lalui mimpi itu. Seolah-olah Balqis masih buat kerja-kerja maksiat itu. Balqis dah tak nak ingat lagi dosa-dosa Balqis dulu akak. Bila Balqis mimpikan hal itu, Balqis rasa diri ini hina sangat.”
“Balqis, dengar apa yang akak cakap. Orang yang bertaubat itu sangat mulia di sisi Allah. Walaupun dihina oleh masyarakat sekeliling, tapi dia tetap dipandang tinggi oleh Allah. Dia seolah-olah dilahirkan semula tanpa secalit dosa pun pada dirinya.”
“Akak tahu tak, Balqis selalu berdoa supaya mimpi itu dah tak ganggu Balqis lagi tapi….”esakannya semakin kuat kedengaran di telinga Puan Siti.
“Balqis tak boleh buruk sangka kat Tuhan tau. Balqis kena yakin Allah akan makbulkan doa setiap hamba-Nya. Mimpi itu hadir mungkin sebagai peringatan Allah pada Balqis supaya Balqis tidak jemu dan putus asa untuk terus berdoa dan memohon keampunan-Nya. Sebab itulah bila Balqis masih didatangi mimpi itu, Balqis kena segera beristighfar dan banyakkan berdoa.”
“Akak, satu benda je yang Balqis takut. Balqis asyik teringat dosa-dosa yang lalu. Kadang-kadang, Balqis rasa macam tak layak diampunkan.”
“Janganlah cakap macam itu. Insya Allah, janji Allah itu pasti. Dia pasti mengampunkan dosa hamba-Nya walau setinggi gunung sekali pun. Asalkan kita benar-benar bertaubat dan tidak mengulangi lagi dosa itu,” pujukan dan nasihat  Puan Siti sedikit banyak mengembalikan ketenangan dalam diri Balqis.
“Terima kasih, akak kerana dah selamatkan Balqis hari itu. Kalau tidak tak tahu la apa akan jadi pada Balqis sekarang ini.”
“Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang dan penentu dan Allah tahu apa yang terbaik untuk Balqis kerana Allah sayangkan Balqis. Sebab itulah akak terlanggar Balqis hari itu. Aturan Allah cukup sempurna buat hamba-hamba-Nya.”
‘Alhamdulillah, syukur Ya Allah atas nikmat hidayah yang Kau kurniakan padaku’

*******
Van Butik Cilik Solehah meluncur laju di atas jalan raya menuju ke Tadika Siti. Tiba-tiba si pemandu ketawa sendirian.
“Ha…Ha…Ha…Akhirnya sampai juga hasratku untuk mendapatkan Balqis. Inilah masanya untuk dia menjadi milikku,” kata Sufiyan sambil ketawa.
Semalam, semasa Amirul memberitahunya bahawa dia akan melamar Balqis untuk menjadi isterinya, Sufiyan sudah tidak senang duduk. Hari ini, apabila dia sekali lagi diarahkan Amirul untuk ke tadika itu bagi menyerahkan resit pembayaran tempahan pakaian muslimah, dia memang sedang menanti saat untuk bertemu kembali dengan Balqis.
“Uh, ada hati kau nak miliki Balqis, Amirul. Dia milik aku. Selama-lamanya akan jadi milik aku. Balqis, tunggu kehadiran Abang, Sayang,” ketawanya semakin menjadi-jadi  seolah-olah sudah dirasuk sesuatu.
Usai sampai ke tadika, Sufiyan ternampak kelibat Balqis menuju ke pejabat. Langkah Balqis diekori cepat. Dia ingin memastikan tiada sesiapa yang menyedari kehadirannya. Dia lantas menghampiri Balqis. Tanpa membuang masa dia menekupkan kain tuala yang sudah disapu sejenis bahan kimia pada hidung Balqis lalu  Balqis pengsan.
“Cikgu Siti…Cikgu Siti…tadi Ahmad ternampak Kak Balqis pengsan dan dia dibawa  pergi dari sini oleh sebuah van,” ujar Ahmad cemas yang kebetulan dengan izin Allah ternampak keadaan yang berlaku tadi.
“Astahgfirullah. Balqis. Ahmad kenal ke van siapa itu?”
“Ahmad rasa itu van yang datang hantar baju kami, Cikgu.”
“Ya Allah, Butik Cilik Solehah,” tangannya dengan pantas menekan  nombor milik Amirul.
“Apa? Maknanya Sufiyan tak datang berjumpa dengan Puan Siti?” ujar Amirul di talian sana.
“Sekarang ni, kita kena selamatkan Balqis. Akak takut dia diapa-apakan oleh Sufiyan seperti dulu. Amirul tahu tak di mana rumah atau tempat yang selalu Sufiyan pergi.”
“Apa maksud akak seperti dulu? Tapi saya rasa saya tahu tempat yang selalu dia pergi.”
“Panjang kisahnya Amirul. Cuma yang pasti mereka berdua memang pernah kenal. Sekarang, akak dan Nurul pergi buat laporan polis dan Amirul ke sana cepat untuk selamatkan Balqis sebelum terjadi apa-apa kepadanya.”

*******
Rumah usang di pinggir kota itu dimasuki senyap-senyap. Tiba-tiba, Amirul terdengar suara yang sudah tidak asing baginya.
“Tolonglah lepaskan aku, Sufiyan. Kau bertaubatlah. Aku dah tak nak buat kerja-kerja maksiat itu lagi,” suara Balqis kedengaran lemah di cuping telinga Amirul.
“Lepaskan kau? Hei perempuan tak guna, kau tahu tak kerana kau, beribu-ribu duit aku habis. Kerana kau aku dibuang kerja. Kerana kau aku jadi papa kedana. Sekarang kau dah tak boleh lari lagi. Kau milik aku dan kau kena kerja balik untuk dapatkan duit untuk aku.”
“Aku mohon pada kau, Sufiyan. Sekarang ni pun kau dah ada kerja yang halal. Bertaubatlah sebelum terlambat. Insaflah apa yang dah kau lakukan dulu.”
“Dah pandai bagi tazkirah rupanya. Hei, setakat jadi pemandu aku tak puas, kau tahu tak. Sekarang ni, aku dah jumpa kau. Inilah masanya kau balas balik segalanya selepas kau larikan diri daripada aku dulu.”
“Sufiyan, lepaskan Balqis. Dia bukan milik kau. Lepaskan dia sebelum terjadi apa-apa pada kau.,” suara Amirul yang tiba-tiba muncul mengejutkan Balqis dan Sufiyan.
“Hoi, Amirul. Apa yang kau buat di sini. Lebih baik kau jangan dekat sebelum aku apa-apakan dia,” ujar Sufiyan  lalu menghulurkan sebilah pisau pada leher Balqis yang diselindungi tudung labuhnya.
“Jangan apa-apakan dia. Tolonglah. Kalau kau nak duit atau kerja yang lebih bagus, aku akan berikan tapi tolong lepaskan dia.”
“Ha…Ha…Ha…Kau ingat aku bodoh ke? Kau tak payah la nak selamatkan dia. Kalau kau nak tahu, perempuan yang kau nak jadikan isteri ni sebenarnya perempuan kotor. Dia bekas GRO!! Tak sangka aku ada juga orang yang nak memperisterikan perempuan kotor macam ni,” Balqis yang mendengarkan kata-kata Sufiyan nyata terkejut.
‘Amirul ingin melamar aku? Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Selamatkanlah aku. Aku benar-benar bertaubat kepada-Mu’ rintih Balqis dalam hati.
“Lepaskan dia sekarang! Kalau tak…” jerit Amirul.
“Kalau tak apa?” ujar Sufiyan lalu ketawa suka ria.
Bang!!! Satu bunyi tembakan kedengaran lantas mematikan ketawa Sufiyan. Sufiyan jatuh terkulai layu. Mujurlah, dengan izin Allah pihak polis tiba tepat pada waktunya.
‘Alhamdulillah Ya Allah kerana mendengar rintihan hamba-Mu. Kini aku yakin akan janji dan pertolongan-Mu,’ Balqis bertahmid dalam hati.

*******
“Balqis, di hadapan Puan Siti sebagai penjaga awak dan bersaksikan Allah Tuhan sekalian alam, saya ingin melamar awak menajdi isteri saya yang sah,” ujar Amirul syahdu, seminggu selepas peristiwa hitam itu menimpa Balqis.
“Balqis, kenapa diam je.?Jawablah. Akak dah pun redha dan merestui perhubungan suci yang bakal dibina antara Balqis dan Amirul,” Puan Siti pula bersuara memecahkan kesunyian antara mereka.
“Amirul, awak terlalu baik untuk saya. Awak dah pun menyelamatkan saya tapi…” kata-katanya segera dipotong oleh Amirul.
“Balqis, selepas kita bertemu kali pertama dengan awak di Tadika Siti hari itu, saya selalu dibayangi awak. Mula-mula saya ingatkan itu hanyalah godaan nafsu semata-mata tetapi apabila berkali-kali saya buat istikharah, saya yakin awaklah jodoh terbaik yang Allah takdirkan untuk saya. Saya memang terlalu berharap awak akan terima saya. Tapi, saya tak nak awak terima saya kerana terhutang budi sebab saya dah selamatkan awak hari itu.”
“Bukan macam itu maksud saya. Saya dah banyak buat maksiat. Saya perempuan hina yang banyak kekurangan. Saya …”
“Sesungguhnya orang yang bertaubat itu lagi mulia di sisi Allah. Ini bermakna awak ialah perempuan yang mulia. Saya tak kisah akan kisah silam awak. Sebenarnya, pegangan agama awaklah yang buat saya tertarik kepada awak,” kata-kata Amirul itu membuatkan Balqis menjadi sebak. Terasa dirinya bahagia kerana dihargai sebegitu rupa.
“Ha…Dengar tu Balqis sayang. Amirul benar-benar ikhlas menyayangi Balqis kerana Balqis dah kembali kepada agama-Nya. Jadi, nak terima ke tak nak ni?” Puan Siti yang mendiamkan diri dari tadi tiba-tiba bersuara. Dilihatnya muka Balqis sudah bertukar kemerah-merahan menahan malu.

*******
“Aku terima nikahnya Balqis binti Mohammad dengan mas kahwin RM80 tunai,” dengan satu akad, Amirul Khairuddin sah menjadi suami buat Balqis.
‘Ya Allah, syukur atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku. Kekalkanlah kasih sayang antara aku dan suami aku. Sesungguhnya aku amat mencintainya kerana cintanya pada-Mu dan Dia juga mencintai aku kerana cintaku pada-Mu. Semoga dengan kehadirannya disisiku, bayangan dosa semalam tidak lagi menjadi peneman tidurku. Amin Ya Rabbal A’lamin,’ doa Balqis di dalam hati.

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Az-Zumar: 53)

Persiapan Untuk SPM

Alhamdulillah keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia aku yang lalu dah pun diumumkan dan kini tiba masa untuk adik-adik  junior meneruskan peperangan SPM.
Semasa SPM dulu, apa yang paling penting bagi aku ialah ketenangan.
Walaupun kita dah study bagai nak rak tapi semasa menjawab soalan sentiasa gelabah dan nervous pun tidak membantu.
Bagi aku, ketenangan dan kemudahan itu hanya datang daripada Allah, justeru itu sebagai hamba yang lemah perlu meminta kepada Allah.
Apa yang aku selalu amalkan sebelum menduduki ujian ialah aku akan berselawat sebanyak-banyaknya dan membaca Surah Al-Insyirah berulang-ulang kali.
Insya Allah, dengan rahmat dan izin-Nya, Allah pasti akan memberikan ketenangan dan kelancaran ketika menjawab soalan.


Namun, tanpa kita sedari, ada satu lagi SPM yang kita semua sedang hadapi iaitu "'Sijil Padang Mahsyar'.
Sebenarnya ujian untuk SPM ini dinilai ketika manusia berada di dunia dan keputusannya akan diperolehi di akhirat nanti.
Sama ada keputusan sijil padang mahsyar kita membawa kita ke syurga atau neraka, ianya ditentukan oleh kita sendiri.
Hidup di dunia ini merupakan ujian dan kita perlulah bijak menghadapi segala mehnah dunia ini.
Aku yakin, Insya Allah ujian dunia ini akan mudah dihadapi sekiranya kita mengamalkan petua dan tips-tips ketika menghadapi SPM (Sijil pelajaran Malaysia)
Tidak kiralah ketika menghadapi masalah kewangan, kesesakan jalan raya, kematian orang tersayang, kemelut rumah tangga, cabaran study atau apa-apa sahaja ujian Allah kepada hamba-Nya di dunia ini, Insya Allah dapat kita hadapi dengan banyakkan berselawat, berdoa dan memohon kemudahan, ketenangan, dan bantuan serta rahmat daripada Allah Taala.


Semoga kita sama-sama dapat membuat persiapan bagi menghadapi ujian dunia ini supaya berjaya dalam SPM di akhirat nanti.
Sesungguhnya pengorbanan amatlah diperlukan kerana bayarannya amatlah mahal di akhirat sana iaitu syurga yang kekal abadi.
Selamat berjuang sahabat-sahabatku ^__^ Moga sama-sama success di dunia dan akhirat.
Wallahu A'lam...

Amin

Apa itu Amin?
Nama orang ka?
Tak delah....
Amin tu nama judul sebuah komik terbitan KOMIK-M.
Aku ni memang orang yang tak suka baca komik.
Paling akhir pun masa zaman budak-budak dulu.
Bosan la baca komik ni....tak de faedah...just lawak kosong...
Tapi, bila adik lelaki aku yang bongsu membeli komik berjudul "Amin" ni benar-benar menarik minat aku.
"Amin" bukan sekadar komik biasa-biasa tapi penuh pengajaran dan iktibar.
Ianya mengisahkan kisah sekumpulan remaja kampung yang berjihad demi agama-Nya.
Walaupun aku baru habis baca siri 1 "Amin" ni, tapi semangat jihad mereka rasa terus meresap dalam jiwa.


Aku tertarik dengan kata-kata Amin iaitu watak utama komik ini : 
 "Memang tiada Nabi selepas Nabi Muhammad. Tetapi Tuhan sentiasa turunkan penyelamat kepada umat manusia. Aku mahu jadi penyelamat itu"

So, tunggu apa lagi sahabat-sahabat.
Ayuh kita sama-sama jadi penyelamat ummah.
Membela Islam tercinta.....

Wah, hebat betul si Amin ni...Walaupun baru berumur 13 tahun, tapi dah punya cita-cita besar untuk Islam.
Kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang kesudahan kisah perjuangan Amin, dapatkanlah komik ini.
Pesta Buku Antarabangsa KL pun baru je bermula.
Manfaatkan duit ke arah buku yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.


Wallahu A'lam

Ayuh Segerakan Solat

Salam ukhuwwah dan salam perjuangan buat semua. Semoga sentiasa dalam naungan rahmat Allah dan berada dalam kebaikan selalu.

Ana pernah tulis post ini dalam label relex minda cuma, Insya Allah, ana akan mengolahnya lagi. Post ini bertajuk "Rindu Azan Maghrib" :

Seseorang yang berpuasa sedang berehat di waktu tengah hari dengan mengikuti siaran radio yang dikendalikan oleh seorang deejay. Tema program ialah "Apa yang ingin didengari oleh pendengar". Ketika panggilannya disambut oleh deejay bertugas, dia ditanya apa yang ingin didengarnya.
     "Azan Maghrib," jawabnya ringkas.

Apa yang ana lihat pada kebanyakan masyarakat kita pada hari ini, ramai yang tidak sabar-sabar ingin mendengar azan Maghrib berkumandang pada hari mereka berpuasa tidak kira puasa wajib atau sunat. Hal ini kerana mereka ingin menyegerakan berbuka puasa. Apatah lagi menyegerakan puasa merupakan perkara sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Namun, sedikit sekali daripada kita yang tidak sabar-sabar menunggu azan Subuh, Zohor dan waktu-waktu solat yang lain untuk segera menunaikan solat. Padahal itu merupakan seruan daripada Ilahi untuk kita segera beribadat kepada-Nya. Bahkan tidak ramai yang bersiap sedia untuk mengambil wudhu' walaupun azan sudah berkumandang.

Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang sebaiknya, maka bersabda Nabi : "Solat di awal waktunya” (Riwayat oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud )

Jadi, solat di awal waktu juga merupakan keutamaan yang penting dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Apa salahnya kita bersikap tidak sabar-sabar untuk menunggu seruan azan untuk terus menunaikan solat sebagaimana kita tidak sabar-sabar menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa.

Ayuh segera solat,
 Moga mendapat berkat,
Hidup pasti selamat,
 Dunia dan akhirat.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...