Alkisah Wang Melayang

Dunia hari ini menyaksikan pelbagai dugaan kesempitan kewangan. Apabila dikira-kira, duit banyak dihabiskan hanya untuk membayar cukai, saman, sewa, yuran, dan hutang. Ini belum lagi termasuk perbelanjaan seharian. Fuh, tenat juga hidup kita sehari-hari. Resah memikirkan di mana lagi harus kucari duit. Duit oh duit!

Walaupun kita menuding jari kepada kerajaan yang suka-suka hati je dengan kuasa mereka menyusahkan rakyat, kadang-kadang, perlu juga kita insan yang lemah ini bermuhasabah atas apa yang telah berlaku. Duit yang tetiba sahaja melayang pada perkara-perkara yang membebankan boleh jadi satu ujian akibat kelalaian terhadap nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan dalam bentuk kewangan dan kekayaan.

Beberapa kisah tentang duit...

Apabila beberapa surat saman sampai ke rumah atau terdapat barang hilang yang perlu dibeli semula, Mak mesti menyuarakan kebimbangannya. "Ke ada hok dok kena ni dengan duit hok kita guna sebelum ni?". Mak resah kalau-kalau rezeki duit yang Allah berikan tidak digunakan ke jalan yang betul menyebabkan Allah menarik kembali nikmat ini dengan ujian-ujian sebegini.

Aduh! Kami anak-anak yang mendengar turut termuhasabah seketika. Bimbang jika kami yang menjadi penyebab kepada ujian ini. Duit yang Mak Abah berikan tidak dimanfaatkan dengan baik oleh anak-anak. Allahurabbi! Mereka yang bersusah payah mencari rezeki, tetapi anak-anak pula yang tidak menghargai.

Semalam, semasa usrah, seorang kakak berkongsi kisah hidupnya. Dalam bulan ini sahaja, duitnya dihabiskan untuk membayar hutang-hutang. Oleh itu, bagi menanggung hal tersebut, dia terpaksa mengambil keputusan untuk menjual makanan di kawasan sekitar. Sempat dia mengingatkan kami bahawa ujian ini berlaku mungkin kerana duit yang ada sebelum ini diguna untuk bersuka ria, justeru perlulah beringat-ingat untuk kehidupan mendatang.

Bahkan, seorang lagi kakak usrah menambah isu ura-ura biasiswa JPA akan diberhentikan akan menambah beban pelajar. Lebih-lebih lagi, bagi pelajar perubatan yang terpaksa menanggung kos pengajian yang tinggi berbanding bidang lain. Walaubagaimanapun, dia juga berpesan bahawa ujian yang diduga ini adalah suatu peringatan kepada pelajar-pelajar kerana sebelum ini, rezeki kewangan mungkin banyak disia-siakan mereka untuk melancong ke luar negara dan membeli barang-barang yang mewah.

Begitulah alkisah wang melayang. Saya cuma kongsikan beberapa kisah yang dekat dengan kehidupan saya. Ini hanyalah cebisan kisah daripada ribuan kisah duit dan kehidupan orang lain. Ya! Sekarang, negara kita tenat dengan masalah ekonomi dan kesempingan kewangan yang menghimpit rakyat. Oleh sebab itu, baik pemimpin mahupun seluruh rakyat perlu bermuhasabah kembali. Ujian ini puncanya mungkin daripada keangkuhan, kelalaian, ketamakan dan sifat tidak pernah cukup dan tidak syukur kita.

Ubahlah....

Apakah akan ada sinar baru buat rakyat dan negara dalam hal ini? Jangan putus asa terlebih dahulu. Kita perlu berusaha! Bagi menjamin perubahan negara yang lebih baik, jangan lupa daftar pemilih sekarang. Kita ubah negara dengan undi PRU 14 akan datang. Harapannya semoga pemimpin yang adil atas tunjang Islam diberi peluang memimpin. Kita semua ingin melihat masa depan Malaysia yang lebih baik. Semoga keadaan politik, ekonomi dan sosial negara lebih baik. Ya! Lebih baik.

Ayuh kembali kepada Allah dengan bermuhasabah dan memohon keampunan daripada-Nya. Teruskan usaha dan berdoa. Semoga Allah membuka jalan keluar kepada segala kesulitan dan kepayahan yang kita hadapi.
Wallahu a'lam.

Wujudkah suasana Islam dalam rumah anda?

Rumahku syurgaku. Itulah antara ungkapan yang disebut dalam kalangan kita bagi menggambarkan betapa suatu nikmatnya memiliki rumah yang indah, bahkan makin nikmat apabila segenap ruang rumah dapat dimanfaatkan oleh seisi rumah. Oleh sebab itu, bagi setiap Muslim yang ingin menjadikan rumahnya seolah-olah 'syurga' dunia, mereka seharusnya memberi perhatian terhadap pemilihan rumah yang bercirikan Islam sebelum diduduki oleh seisi rumah.

Suatu artikel yang menarik untuk dibaca iaitu Prinsip Islam di dalam Ruang Kediaman Muslim (Muhammad Suhaimi Musa, 2011), ada menyebutkan beberapa penekanan penting terhadap pemilihan rumah untuk kediaman Muslim. Antara yang menarik disebut ialah penelitian terhadap ruang dan reka bentuk kediaman yang sepatutnya mesra ibadah dan mesra aktiviti sosial bersama ahli keluarga dan para tetamu. Sebagai contohnya, ada ruang khusus untuk beribadah, diasingkan ruangan tetamu lelaki dan wanita, mengasingkan bilik tidur anak lelaki dan perempuan, ruang yang selesa untuk para tetamu dan anak-anak, ruang jika berlaku kematian untuk pengurusan jenazah, ruang untuk majlis perkahwinan, aspek-aspek pada penggunaan tandas dan lain-lain.

Sebenarnya, terlalu banyak aspek yang perlu diberi penekanan dalam segenap ruang rumah yang perlu diambil berat oleh Muslim yang ingin menjadikan rumahnya sebagai tempat beristirehat, beribadah dan bersosial bersama ahli keluarga, jiran dan sahabat handai. Oleh sebab itu, dalam apa-apa jua keadaan, hatta pada pemilihan ruangan rumah, seorang Muslim itu perlu meletakkan elemen hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia itu suatu yang utama. Rumah yang ingin didiami perlulah bermatlamatkan kedua perkara itu. Mengikat ikatan kukuh dengan Tuhan melalui pengibadatan kepadanya dan mengeratkan hubungan silaturahim bersama ahli keluarga dan sahabat handai dengan untaian kasih sayang sesama mereka.

Bahkan, kemodenan teknologi pada zaman ini tidak seharusnya dipersiakan. Faktor teknologi dalam aspek kediaman perlu dititikberatkan dan dengan membina rumah dan ruang yang selesa dengan kelengkapan teknologi supaya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh seisi rumah. Dengan adanya kemudahan ini, sudah pastinya akan memudahkan dan menyempurnakan Muslim itu bagi mencapai kedua-dua matlamat tadi, iaitu hubungan dengan Allah dan juga hubungan dengan manusia.

Semoga keluarga Muslim yang mendiami rumah dan teratak mereka pada hari ini dapat menghidupkan suasana Islam dengan mengamalkan ibadat serta akhlak yang baik sesama mereka. Rumah kediaman juga merupakan antara nikmat dan anugerah Tuhan kepada hamba-Nya dalam meniti arus kehidupan dunia yang merupakan jambatan menuju akhirat. Oleh sebab itu, berusahalah mencipta keindahan 'syurga' dalam rumah anda, agar anda bisa menikmati syurga Tuhan yang kekal abadi kelak.


Hubungan Islam dan Khilafah

Imam al-Ghazali menegaskan betapa eratnya hubungan antara agama Islam dan urusan pemerintahan negara (khilafah) dalam kitabnya yang bertajuk al-Ikhtisodi fi al-Iktiqodi :

"Agama dan pemerintahan adalah dua perkara yang berkembar. Agama adalah asas dan pemerintahannya adalah pengawalnya. Perkara yang tiada asas akan runtuh dan perkara yang tiada pengawal akan sia-sia. Tidak dapat dinafikan lagi manusia mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain. Apabila manusia dibiarkan dengan kehendak mereka sebebas-bebasnya tanpa sesuatu peraturan yang perlu dipatuhi, pasti mereka akan rosak. Keadaan ini tidak dapat dielakkan melainkan perlunya pemerintah yang berkuasa mengadakan peraturan dan mengelakkan perpecahan".

Petikan daripada buku Beriman kepada Qadak dan Qadar oleh TG Abdul Hadi Awang.

Tawaduk VS Sombong

Tawaduk lawannya sombong. Sombong adalah suatu sifat mazmumah yang ditegah oleh baginda Nabi s.a.w. sebagaimana yang dijelaskan dalam sabdanya : " ( Orang yang sombong ialah) orang yang menolak kebenaran dan merendahkan orang lain. HR Muslim.
Bahkan tawaduk ialah sifat mahmudah yang perlu ditanam dan disemai oleh setiap insan yang mengaku bergelar hamba kepada Yang Maha Besar. Jelas Umar al-Khattab r.a : "Puncak tawaduk adalah memulakan salam terhadap sesiapapun dalam kalangan kaum Muslimin yang kamu temui, redha untuk duduk di posisi yang lebih rendah dan enggan mempromosikan kelebihan (kebaikan) dan ketakwaan diri (kepada orang lain)".
Just a short post. ^^
Kongsi petikan daripada artikel akhbar Harakah.
Moga bermanfaat. Selamat beramal!

Ibadah Membuahkan Akhlak Luhur

Apabila memlih pakaian ke sesuatu majlis, pastinya kita akan memilih sebaik-baik pakaian. Kesusaian, gabungan warna yang menarik dan cantik pastinya menjadi pilihan. Sudah menjadi fitrah manusia, menyukai yang baik-baik dan indah-indah.

Begitu juga dalam ibadah yang dilakukan kerana Allah s.w.t. Seharusnya meletakkan 'ahsanu amala' iaitu sebaik-baik amalan sebagai pertimbangan yang utama. Amalan apa yang paling utama untuk dilakukan dan amalan apa yang paling utama yang harus ditinggalkan.

Sesudah itu, seseorang ahli ibadah itu perlu berusaha untuk mengekalkan momentum ibadah ke tahap yang seimbang. Jangan hanya waktu Ramadhan sahaja atau hari-hari khusus sahaja diletakkan keutamaan untuk beribadah tetapi seharusnya ada usaha untuk melaksanakannya sepanjang waktu. Biar sedikit, asal istiqamah.

Ibadah yang dilakukan secara sempurna daripada segi persediaan fizikal dan rohani, ditambah pula cukup semua rukun dan syarat yang dikehendaki akan membuahkan sikap yang baik bagi seseoarang hamba. Sepatutnya begitulah. Manifestasi ibadah itu seharusnya diterjemah juga kepada akhlak yang baik sesama makhluk. Hablum minallah wa hablum minannas.

إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر

Namun, seringkali manifestasi ibadah belum cukup membuahkan akhlak yang baik sesama muslim. Entah di mana silapnya. Sekalipun sudah berada di tempat yang paling baik untuk beribadah di mana peluang dan ganjaran pahala yang ditawarkan sebesar-besarnya, tetapi masih lagi ada manusia yang bersikap kurang baik, di manakah sebenarnya nilai ibadah kita?

Sedih apabila mengenangkan segelintir ahli ibadah yang tekun dan gigih dalam ibadahnya, namun sampah sendiri dibuang merata-rata dan hanya mengharapkan ihsan tukang sapu bagi membersihkan tempat itu. Pilu tatkala melihat sikap ahli ibadah yang tawadhu' dan rendah diri di hadapan Tuhan-Nya, namun sombong dan membesarkan diri dalam kalangan manusia lain.

Selesai kita di Madinah menziarahi baginda s.a.w sebagai contohnya, fikirlah inikah akhlak yang baginda s.a.w minta daripada umatnya? Selesai kita di Mekah bagi menunaikan umrah serta ubudiyyah kepada Allah, muhasabahlah inikah kesan daripada ibadah yang Tuhan inginkan? Sedangkan di kedua-dua tempat itu adalah tempat yang mulia, tetapi mengapa tidak kita cuba berusaha memuliakan akhlak dan memperbaiki tingkah laku kita?

Bukanlah catatan ini berniat untuk menzahirkan keaiban orang lain dan menunjukkan diri ini paling mulia, tetapi ini hanyalah coretan untuk mengajak kita kembali berfikir dan menilai ibadah dan akhlak kita. Seimbangkah kedua-duanya? Atau hanya salah satu yang menjadi ukuran dalam kehidupan seorang muslim?

Sama-sama muhasabah. Salam Ramadhan 1426H. Jom berubah jadi baik.

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Kisah Tudung Labuh

Terkagum sendiri dengan seorang personaliti muslimah ini, Saudari Adibah Rozain. Tatkala melihat keratan akhbar ini, saya memuji peribadi yang ditunjukkan oleh beliau. Tudung labuh bukanlah fesyen yang out to date. Tudung labuh adalah pilihan yang sentiasa relevan sepanjang zaman.Prinsip yang jelas dan tegas ini semestinya tidak mudah dijual beli begitu sahaja.

Bahkan, saya turut mengagumi beberapa orang personaliti TV wanita yang tidak pernah menjadikan alasan berada dalam bidang 'media televisyen' untuk bermudah-mudah mengubah cara pemakaian mengikut kehendak pengurus produksi mereka. Elok sahaja dengan pakaian muslimah mereka, kuliah yang disampaikan dan rancangan yang dikendalikan berkesan kepada para penonton dan pendengar.

Saya teringat suatu ketika dahulu, saya mula berjinak-jinak dengan tudung labuh sejak usia 12 tahun sehingga ke saat ini, alhamdulillah Allah masih memberi kekuatan untuk saya istiqamah dengan penampilan bertudung labuh.

Saya sendiri tidak pasti dorongan untuk mula mengubah penampilan diri ini datang daripada mana. Bahkan ibu saya yang memang sudah lama bertudung labuh tidak pernah memaksa anak-anak perempuannya untuk berpakaian sepertinya. Barangkali, qudwah seorang ibu yang baik itulah penguat kepada perubahan ini.

Saya turut bersyukur kerana semenjak itu, kesemua adik perempuan saya terus mengikut jejak langkah ibu dan saya yang merupakan anak perempuan sulung dalam keluarga. Atas kesedaran yang timbul, berpakaian menutup aurat dan bertudung labuh sudah menjadi kebiasaan kami.

Soal berpakaian dan bergaya ini suatu perkara yang subjektif saya kira. Namun, asalkan perkara itu berada dalam lingkungan syariat Islam, tidak terlalu melampau, dan cuba bersederhana, itu sudah cukup baik. Apatah lagi, jika perkara yang kita lakukan itu dapat mendekatkan wanita-wanita lain kepada kesempurnaan dalam menutup aurat, itu berkali-kali lebih baik.

Menutup aurat dalam berpakaian dan bergaya. Betulkan niat. Konsistenkan prinsip. Lakukan dengan ilmu dan mengharapkan keredhaan Allah, in sha Allah semoga kekuatan untuk teguh di jalan yang benar terus mengalir dalam diri seorang wanita muslimah.

Kerana yang tertutup itu lebih indah. Dan yang menjaga itu lebih baik!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...