Jangan malu menjadi pemula

"Jangan malu menjadi pemula". Satu kata-kata yang menyentap urat saraf saya. Tercabar sangat. Itulah kata-kata yang diungkap oleh murabbi yang saya kagumi. Apabila saya mendengar kata-kata itu, saya terfikir. Ya! Kenapa malu untuk menjadi pemula sesuatu perkara kalau perkara itu perkara yang benar. Sejak itu saya letak target. Aku takkan malu untuk bertanya! Tapi AWAS, bertanya yang berlebih-lebihan dan melampau tidak digalakkan.

Saya cemburu sangat-sangat dengan golongan mahasiswa arab. Arab Jordanians kalau di tempat saya belajar. Mereka langsung tak malu untuk bertanya kepada pensyarah apa yang tak difahami dan memberi pendapat yang kekadang berbeza dengan pensyarah. Apabila diberi peluang untuk mengulas jawapan, merekalah yang paling banyak berebut mengangkat tangan untuk musyarakah dalam kelas.

Namun, sedkit hambar suasananya dalam kalangan pelajar Malaysia. Tidak ramai yang ingin bertanya atau memberi pendapat ketika di dalam kelas. Saya tidak pasti sebab utamanya apa?? Adakah malu kerana kurang keyakinan diri atau segan dengan jantina yang berbeza atau sukar berkomunikasi dengan pensyarah?? Jawapan itu ada pada diri masing-masing.

Bukanlah saya menulis ini untuk saya katakan saya ini berani bertanya, hebat dalam berkata-kata, disukai pensyarah kerana suka bertanya. Tidak sama sekali. Oleh sebab itu, saya berbaik sangka andai kata pelajar Melayu kurang bertanya mungkin kerana mereka sudah faham. Mereka belum mula bertanya di dalam kelas kerana mereka akan bertanya pada pensyarah di luar kelas. Andai ada yang tidak difahami, mereka akan bertanya pada pelajar Melayu yang faham atau mana-mana rakan arab yang faham.

Jadi di situ saya  lihat budaya bertanya tetap ada dari suatu sudut yang mengatakan 'malu bertanya sesat jalan'. Yang mana pada hakikatnya mereka takkan sesat kerana masih ada ruang dan peluang untuk bertanya. Ya! Saya setuju itu dan saya takkan bantah itu. Pelajar Melayu tetap bertanya!!

Tapi bagaimana pula golongan yang langsung tidak mahu bertanya baik kepada pensyarah, mahupun melalui wasilah-wasilah lain. Sekadar membiarkan ketidakfahaman itu bermaharajalela di ruang fikiran sehingga apa yang diulang kaji dan dihafal hanya sekadar hafalan. Ya!! Saya berbaik sangka lagi. Mereka mungkin ada buku rujukan lain atau wasilah-wasilah lain yang boleh memahamkan mereka atau mereka sebenarnya memang sudah faham.

Namun, dari sudut logik akal saya, andainya pelajar arab pun ada yang tidak difahaminya tatkala pensyarah mengajar sedangkan pelajaran itu melalui bahasa ibunda mereka sendiri, bagaimana mungkin pelajar Melayu yang berbangsa Melayu, bercakap arab memang boleh tetapi tidak 100% difahami, bolehkah dikatakan faham sepenuhnya apa yang diajar?? Andai diterangkan dalam bahasa ibunda pun kurang difahami jua.

Saya merasakan tulisan saya kali ini agak sinis dan mengejek bangsa sendiri apatah lagi sahabat-sahabat di tempat saya belajar. Maafkan saya andai anda merasakan begitu. Tapi saya tidak suka hipokrit dan bagi saya ini bukanlah aib yang perlu dijaga. Bagi saya benda yang sepatutnya diubah untuk kemaslahatan ummah tidak perlu takut untuk diperkatakan dengan niat ada usaha untuk berubah dan mengajak orang lain berubah.

Saya yakin kata-kata saya akan diuji. Dan saya takut andai saya menulis dan berkata-kata tetapi tidak melaksanakan. Kemurkaan Allah yang sangat besar bagi orang yang bercakap tapi tidak melakukan apa yang diperkatakan. Nau'uzubillah. Oleh sebab itu, saya bertekad dalam hati dan insya Allah akan cuba melaksanakan sedaya mungkin untuk tidak malu menjadi pemula.

Tidak malu untuk memulakan bertanya di dalam kelas sebagai seorang pelajar Melayu dalam kalangan pelajar arab yang lain. Tidak malu bertanya dalam kelompok pelajar Melayu sendiri, Tidak malu mengaku bahawa kita tidak tahu itu dan ini lantas bertanya dan mengkaji. Tidak malu mengatakan yang hak dan batil.

Saya ingin jadi pemula bukan untuk menunjuk-nunjuk saya ini hebat, saya ini berani dan saya ini bijak kerana pada hakikatnya keberanian saya tidaklah setinggi itu. Tetapi saya hendak sangat-sangat  mencuba untuk menjadi seorang pemula  kerana bagi saya, mungkin rakan-rakan saya yang lain perlukan seorang pemula untuk mereka memulakan sesuatu perkara. Sebagaimana saya yang inginkan seorang pemula untuk saya juga memulakannya. Namun, apabila 'sang pemula' itu tidak jua muncul-muncul , mengapa tidak saya yang menjadi pemula itu??

Eh, nanti apa kata orang lain?? 
Nanti dia kata kita ini nak tunjuk hebat. Kita ini junior sahaja. 
Malulah, orang fikir apa pula. Tak pernah-pernah orang buat begitu. 
Ya Allah, takutnya nak tanya. Malaslah nak tanya.

Itulah hasutan-hasutan yang bermain di minda dan hati saya tatkala terbit rasa ingin bertanya akan sesuatu yang saya memang nak tahu dan perkara yang tak faham sangat mengganggu ketenangan saya. Lama-lama jika dibiarkan, saya takkan tahu sampai bila-bila. Macam mana kalau tanya orang lain, orang itu juga tak tahu??

Namun begitu, andainya Rasulullah saw mengambil endah dan mengira serta menjadikan risau segala kata-kata tohmahan, ejekan, buruk sangka, dan penghinaan orang kafir Quraisy yang mengatakan bahawa baginda saw adalah seorang yang gila, tukang sihir, membawa ajaran songsang dan sebagainya, cuba kita sama-sama fikir adakah Islam akan sampai kepada kita? Adakah kita mampu menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini??

Tak nak lah aku sampaikan lagi ajaran ini. Mereka dah kata bukan-bukan pada aku. Masakan aku nak ajarkan lagi kalimah-Nya. Aku lebih rela berdiam diri daripada terus dihina dan dimaki.
[Andainya Rasulullah saw seolah-olah berkata sedemikian] Tapi TIDAK!!! Rasulullah tidak pernah berfikir untuk mengatakan sedemikian. Rasulullah tidak pernah berputus asa menyampaikan kalam Ilahi, kerana apa?? Kerana itu semua adalah BENAR.

Jadi, mengapa kita perlu berburuk sangka pada orang lain. Entah-entah sebenarnya tidak ada pun pada fikiran orang lain untuk mengatakan sedemikian pada kita tapi kita sahaja yang terlampau memikirkan pandangan orang lain pada kita. Tapi berbeza dengan Rasulullah saw yang mana terang-terangan kafir Quraisy menentang tapi baginda tetap utuh ke hadapan.

Buangkan buruk sangka itu. Jangan disebabkan itu sahaja, melemahkan kita untuk maju ke hadapan dalam menggapai ilmu dan mencapai amal yang sebenar. Andainya masih ada persepsi dan anggapan buruk itu dalam kalangan orang lain, kenapa kita perlu takut dan malu lagi? Adakah apa yang kita lakukan itu salah?? TIDAK bukan. Lantas itu, selagi mana perkara yang kita lakukan itu benar dan tidak bercanggah dengan ajaran Allah dan Nabi-Nya, usah gentar kerana Allah bersamamu dalam kebenaran.

Sama-sama muhasabah diri. Saya yang menulis ini juga masih belum ada semangat dan keberanian untuk menjadi seorang pemula dalam pelbagai hal kebaikan. Dan kerana itulah saya menulis tentang ini, moga dengannya menjadi penaik semangat buat diri saya dan anda semua. Allah jualah yang Maha mengetahui kelemahan hamba-Nya yang hina ini. Namun, Allah tidak menjadi hamba ini sia-sia.

Saya, anda dan kita perlu hebat untuk ISLAM...
Bangkit menjadi daie dan insan yang kuat dan mantap untuk ummah.
Ya Allah bantulah kami dan peliharalah kami.

Wallahu a'lam.

2 comments:

artikel yang menarik. sepanjang 2 sem di Jordan, baru sekali je saya pernah lontarkan soalan dalam kelas. antara faktor malu bertanya ni sebab memang tak faham apa2 @ pun malas berfikir.

memalukan dan dimalukan kerana bertanya itu lebih baik daripada malu untuk bertanya.kan?

semoga Allah beri kekuatan selalu :)

Insya allah..sama-sama berubah kak...

Saya setuju: "memalukan dan dimalukan kerana bertanya itu lebih baik daripada malu bertanya"

Islah nafsak wadu'u ghairak...

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...