Jangan lupakan sang senior

Setiap orang mempunyai pendapat dan pegangan masing-masing. Dalam dunia ini ada ramai orang. Sudah pastinya pendapat yang diutarakan jauh beribu kali lebih banyak. Orang yang suka memberi pendapat pula saya kira merupakan golongan yang berani kerana tidak semua pendapat yang dilontarkan akan diterima.

Kebiasaannya, dalam sesuatu mesyuarat sebagai contohnya yang memerlukan sesuatu keputusan dibuat, pendapat yang pelbagai ini sangat diperlukan, lebih-lebih lagi si pemimpin yang perlu memutuskan sesuatu keputusan. Untuk mendapat keputusan yang terbaik, pandangan semua pihak juga tidak boleh diketepikan.

Tetapi, bukan si pemimpin sahaja yang perlu melakukan keputusan. Hakikatnya kita semua adalah pemimpin dan kita tidak dapat elak untuk memutuskan sesuatu perkara. Kadang-kadang si ayah perlu menentukan keputusan untuk keluarganya, kadang-kadang si guru juga perlu memutuskan keputusan untuk masa depan pelajarnya. Bahkan kita juga perlu memutuskan sesuatu untuk diri kita sendiri.

Namun, dalam kita mengambil dan menilai pendapat dan pandangan orang lain yang hebat, bernas, terbaik, kita jarang mengingati golongan 'orang lama' yang bak kata orang, lebih dahulu makan garam daripada kita yang masih mentah dalam usia kehidupan.

Ya! Tidak salah untuk kita mengutamakan orang-orang muda, tetapi jangan sekali-kali mengenepikan terus pendapat dan pandangan insan-insan yang sudah banyak pengalamannya daripada kita. Kadang-kadang, apa yang diutarakan mereka sangat baik walaupun ada juga pandangan yang diberikan ditewaskan oleh kita.

Bukanlah semuanya perlu mengikut telunjuk insan yang berpengalaman ini kerana kita juga perlu belajar untuk membuat keputusan sendiri, tetapi maksud saya ialah sebelum keputusan dibuat, mintalah sepatah dua nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka agar apa yang betul diteruskan dan apa yang salah dibetulkan.

Lihatlah qudwah terbaik umat ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang turut mengiktiraf nabi-nabi dahulu. Dalam peristiwa Israk Mikraj, baginda meminta bantuan dan pendapat senior baginda, Nabi Musa a.s dalam proses pengurangan waktu solat daripda 50 ke 5 rakaat.

Bukanlah baginda tidak mampu dan tidak dapat meminta daripada Allah swt, namun setiap kejadian ada hikmahnya untuk umat baginda mengambil ibrah yang tersirat daripada peristiwa tersebut, apatah lagi sesuatu benda yang agak rumit dan besar kesannya kepada ummah dan Islam.

Selamat beramal semua!!

Diingatkan bahawa coretan ini adalah pendapat peribadi. Jadi, andaikata ada apa-apa yang khilaf, mohon untuk dibetulkan. Kita sama-sama belajar, berkongsi dan bermuhasabah...Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...