Mak, Abah!...aku rindu kamu

Tetiba sahaja perasaaan ini kangan sama mak dan abah,
Dua purnama aku di perantauan,
Di kala pemergianku menadah ilmu,
Terasa sudah terlalu lama aku berjauhan.

Kini ku mula rasai betapa indahnya saat itu,
Saat aku diberi peluang menolong mak abah,
Saat aku mampu mengucup dahi mereka,
Saat aku mencium tangan mereka.

Di kala aku merindui semua itu,
Aku sedar,
Aku sudah jauh daripada mereka,
Jauh di mata dekat di hati.

Penyesalan kekadang bertandang,
Alangkah kalau aku menghargai mak abah,
Tatkala mereka di sisi,
Namun, semuanya tidak bereti lagi.

Cukuplah dalam kejauhan ini,
Kutitipkan doa buat mak dan abah,
Kukhabarkan kejayaan yang gemilang buat mereka,
Walaupun hanya kumampu,
Dengari suara mereka sahaja.

Hakikatnya aku tak pernah lupa mak abah,
Dan aku harap sangat-sangat,
Aku tidak sekali-kali lupa mereka,
Apatah lagi mengabaikan mereka.

Ya Allah ampunilah dosaku terhadap mak abah,
Mak abah, redhailah aku,
Moga Dia jua meredhaiku,
Doakan aku dapat mendakapmu,
Dengan segulung ijazah di tanganku,
Untuk memanfaatkan insan di tanah airku.

Aku rindu sangat-sangat kamu,
Wahai mak abahku!!!


Di sebalik kain kecil ini



Di sebalik kain kecil ini,
Aku merasakan ketenangan,
Menikmati kedamaian,
Wajahku terpelihara daripada pandangan,
Menutup pintu fitnah wanita
Fitnah paling besar akhir zaman ini,
Hamdalah...“Alhamdulillah”.

Adanya kain kecil di mukaku,
Belum tentu mataku bebas meliar,
Belum tentu aku sudah solehah,
Belum tentu aku orang baik,
Kupakainya kerana siapa?
Kututup mukaku kerana apa?
Adakah ingin menunjuk aku baik?
Adakah untuk memikat lelaki beriman?

Ingatlah wahai hati,
Pakailah kain ini kerana Allah,
Bukan kerana manusia semata-mata,
Bukan kerana persekitaran cuma,
Pakainya bukan untuk memperlekeh,
Wanita yang tak memakainya.

Pakailah kerana-Nya,
Moga diredhai-Nya,
Moga disukai-Nya ,
Moga diberkati-Nya,
Moga ianya menjadi saham di akhirat kelak.
Amiin…..

Indahnya Doa

Salam mujahadah daripada saya buat semua...semoga dalam inayah-Nya selalu.

Alhamdulillah, tadi semasa kelas khat, ustaz menyuruh kami menulis satu ungkapan dalam tulisan khat rika'h. Ungkapan tersebut daripada seorang ulama tetapi tidak diketahui namanya.

في الوقت الذي يريد لا في الوقت الذي تريد

Maksud ungkapan berhikmah ini ialah pada waktu yang Dia mahu, bukan pada waktu yang kamu mahu. Apa yang ustaz terangkan kepada kami dalam kelas khat tadi ialah sebagai hamba, kita akan berdoa apa-apa sahaja. Contohnya berdoa supaya diberikan kemahiran dalam khat. Apa yang kita hajatkan pasti akan terkabul tetapi bukan pada waktu yang kita inginkan tetapi pada waktu yang Allah kehendaki.

Ustaz turut berpesan kepada kami untuk sentiasa berdoa kerana doa kita pasti akan dimakbulkan Allah, cuma cepat atau lambat ataupun Allah memakbulkan dalam bentuk yang lain. Anda boleh merujuk kembali post saya yang lepas tentang cara Allah makbulkan doa (klik sini)

Sama-samalah kita beramal, insya Allah....Terima kasih ustaz atas nasihat itu...moga Allah redha.
Wallahu a'lam.

Raya Yang Istimewa


Salam mujahadah dan selamat berjuang sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Hari ini, saya cuma ingin berkongsi pengalaman beraya buat pertama kali di perantauan.

Alhamdulillah, suasana raya Aidil Adha di bumi Mu'tah ini seperti raya Aidilfitri di Malaysia. Ziarah-menziarahi, memenuhi undangan rumah terbuka, melapah daging korban secara beramai-ramai dan yang paling best dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Apa yang buat saya bersyukur dan teruja sangat-sangat ialah saya dapat kenal ramai orang. Kalau dahulu, ada senior yang pernah jumpa tapi kemudian tak ingat nama. Ada senior yang langsung tak pernah jumpa. Tapi, apabila saling menziarahi semasa raya ini, nama mereka sudah lekat di ingatan dan dapat berkenalan dengan mereka yang langsung tidak pernah berjumpa. Alhamdulillah.

Semalam pun saya baru sahaja menziarahi sahabat dari Thailand. Subhanallah, walaupun hidup mereka simple, tapi melihat kesungguhan mereka yang lebih daripada kami pelajar Malaysia, diri terasa sangat kerdil apatah lagi tatkala mengetahui satu sikap mereka yang sangat bagus iaitu mereka benar-benar mengaplikasikan bahasa arab dalam kehidupan seharian. Insya Allah, saya ingin mencontohi mereka.

Sejujurnya saya cakap bahawa saya tidak terlalu sedih beraya di perantauan walaupun tiada keluarga di sisi kerana sahabat-sahabat di sinilah keluarga baru saya sekarang. Namun, apa yang paling penting ialah bukan sekadar mengenali, bertaaaruf dengan sahabat-sahabat, makan beramai-ramai, ziarah rumah itu dan ini, tapi bagaimana kita menjaga ukhuwah dengan mereka. Maknanya, bukan sekadar waktu perayaan ukhuwah dipererat, tapi selama-lamanya sehingga ke syurga.

Antara cara mencapai kemanisan iman adalah dengan mencintai sahabat kerana Allah. Subhanallah, nampak senang kan? Tetapi, sejauh mana kita mampu aplikasikannya itu sesuatu yang agak sukar, tapi dengan mengambil ibrah pengorbanan dalam suasana Aidil Adha ini, kita mampu mencapainya kerana ukhuwah dalam persahabatan perlukan pengorbanan, bukan sahaja wang, tenaga mahupun masa bahkan kita terpaksa berkorban perasaan sendiri demi sahabat.

Apapun, sama-samalah kita menghargai sahabat kerana sahabat di kala suka mudah dicari namun sahabat di saat duka amat sukar didapati. Dalam mood raya ini, jangan lupa mengambil peluang bermaaf-maafan atas segala kekhilafan walaupun pada hakikatnya bukan semasa raya sahaja masa untuk meminta maaf. Semoga Allah redha dengan kita dan menerima setiap amalan yang kita lakukan kerana-Nya.

Salam ukhuwah daripada saya...mohon maaf atas segalanya.
Wallahu a'lam.

Kapas, Kertas, Kulit

Salam Aidil Adha buat semua. Semoga dalam naungan rahmat Allah selalu. Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan Tuhan yang tidak terperi. Insya Allah hari ini saya ingin berkongsi tentang kapas, kertas, dan kulit. Kenapa saya memilih tajuk ni ye?? Mentang-mentang la musim korban, kulit dijadikan isu. Ada apa dengan 3K ini?? Sebenarnya apa yang saya ingin kongsikan ini saya petik daripada seorang senior dalam satu majlis sambutan raya di sini. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaaat di akhirat kelak.

Sebagai manusia yang lemah, kita selalu membeza-bezakan kapas, kertas dan kulit antara kita. Saya analogikan  kapas sebagai pakaian, kertas sebagai pangkat dan sijil yang kita peroleh, manakala kulit sebagai warna kulit dan bangsa kita.

Kita selalu mementingkan kedudukan yang tinggi, pakaian yang cantik-cantik, orang yang berwajah cantik tanpa memikirkan kedudukan orang lain dengan selalu meremeh-remehkannya. Sekali pun semua itu tiada dalam diri kita, tapi kita juga sering memuja-muja orang yang dianggap 'hebat' itu sehingga sanggup mengampu mereka dan melakukan apa sahaja untuk mereka bagi mendapat ganjaran.

Tanpa kita sedari, manusia ini hanyalah sama sahaja tidak kira pangkat, warna kulit, mahupun kekayaaan yang dimilikinya. Sesungguhnya manusia yang terbaik dalam kalangan kita di sisi Allah SWT hanyalah orang yang bertaqwa. Jika mereka lebih cantik, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih hebat daripada kita sedangkan mereka pun daripada kalangan orang yang bertaqwa walaupun taqwa hanya Allah yang layak menilai, janganlah sedih kerana Allah menjadikan setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Saya mempunyai seorang rakan arab wanita yang sekuliah dengan saya yang bernama Rozan. Saya suka memerhatikannya. Saya selalu memuji Rozan di hadapan rakan Melayu saya. Saya selalu cakap yang Rozan ini sangat cantik seolah-olah saya sangat kagum pada kecantikannya. Kemudian, rakan saya yang bernama Hikmah menegur saya, " Takpe, Fatimah...Rozan kelebihannya cantik, tapi kita ada kelebihan pada sudut lain pula".

Sememangnya Allah menjadikan manusia ini tidak sia-sia. Lihat sahajalah pada proses penciptaan manusia yang sudah tiada taranya. Sudah pastinya penciptaan kita ini cukup cukup hebat. Cumanya, kelebihan yang kita ada ini perlu digilap dan diasah. Ops!! bukan sekadar perlu digilap, bahkan WAJIB dicungkil dan diasah supaya dengan kelebihan ini, kita mampu mengimarahkan dunia yang sementara ini dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga sama-sama kita muhasabah diri.
Segala KAPAS, KERTAS dan KULIT hanyalah pinjaman Allah kepada kita.
Dengannya kita mampu menjadi insan yang terbaik.
Walaupun KAPAS, KERTAS dan KULIT kita tidak hebat, tetapi Allah menjadikan kita sebagai seorang yang sangat HEBAT....

Ayuh menjadi orang hebat....
Wallahu a'lam.

Salam Aidil Adha


Salam beribadat buat semua.
Mungkin tidak terlalu awal saya hendak mengucapkan Salam Aidil Adha buat semua pengunjung blog ini.
Jadual sepanjang cuti raya, pastinya sibuk.(saya pun sibuk)
Apapun, penuhilah masa cuti raya ini untuk sama-sama kita tingkatkan ibadat kepada Allah.
Tapi ingat, beribadah bukan hanya pada masa tertentu sahaja kerana seluruh hidup kita adalah ibadah.
Salam Aidil Adha dan selamat menjalani ibadah korban.
Mohon maaf atas segala keterlanjuran bicara dan tutur kata.
Kullu 'am wa antum bikhoir.
Wallahu a'lam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...