Raya Yang Istimewa


Salam mujahadah dan selamat berjuang sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Hari ini, saya cuma ingin berkongsi pengalaman beraya buat pertama kali di perantauan.

Alhamdulillah, suasana raya Aidil Adha di bumi Mu'tah ini seperti raya Aidilfitri di Malaysia. Ziarah-menziarahi, memenuhi undangan rumah terbuka, melapah daging korban secara beramai-ramai dan yang paling best dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Apa yang buat saya bersyukur dan teruja sangat-sangat ialah saya dapat kenal ramai orang. Kalau dahulu, ada senior yang pernah jumpa tapi kemudian tak ingat nama. Ada senior yang langsung tak pernah jumpa. Tapi, apabila saling menziarahi semasa raya ini, nama mereka sudah lekat di ingatan dan dapat berkenalan dengan mereka yang langsung tidak pernah berjumpa. Alhamdulillah.

Semalam pun saya baru sahaja menziarahi sahabat dari Thailand. Subhanallah, walaupun hidup mereka simple, tapi melihat kesungguhan mereka yang lebih daripada kami pelajar Malaysia, diri terasa sangat kerdil apatah lagi tatkala mengetahui satu sikap mereka yang sangat bagus iaitu mereka benar-benar mengaplikasikan bahasa arab dalam kehidupan seharian. Insya Allah, saya ingin mencontohi mereka.

Sejujurnya saya cakap bahawa saya tidak terlalu sedih beraya di perantauan walaupun tiada keluarga di sisi kerana sahabat-sahabat di sinilah keluarga baru saya sekarang. Namun, apa yang paling penting ialah bukan sekadar mengenali, bertaaaruf dengan sahabat-sahabat, makan beramai-ramai, ziarah rumah itu dan ini, tapi bagaimana kita menjaga ukhuwah dengan mereka. Maknanya, bukan sekadar waktu perayaan ukhuwah dipererat, tapi selama-lamanya sehingga ke syurga.

Antara cara mencapai kemanisan iman adalah dengan mencintai sahabat kerana Allah. Subhanallah, nampak senang kan? Tetapi, sejauh mana kita mampu aplikasikannya itu sesuatu yang agak sukar, tapi dengan mengambil ibrah pengorbanan dalam suasana Aidil Adha ini, kita mampu mencapainya kerana ukhuwah dalam persahabatan perlukan pengorbanan, bukan sahaja wang, tenaga mahupun masa bahkan kita terpaksa berkorban perasaan sendiri demi sahabat.

Apapun, sama-samalah kita menghargai sahabat kerana sahabat di kala suka mudah dicari namun sahabat di saat duka amat sukar didapati. Dalam mood raya ini, jangan lupa mengambil peluang bermaaf-maafan atas segala kekhilafan walaupun pada hakikatnya bukan semasa raya sahaja masa untuk meminta maaf. Semoga Allah redha dengan kita dan menerima setiap amalan yang kita lakukan kerana-Nya.

Salam ukhuwah daripada saya...mohon maaf atas segalanya.
Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...