Ramadhan VS Aidilfitri

Haaaaciiim.....bersin la pulak, berhabuk dah rasanya blog lihat fikir amal ni....
Maaf la teman-teman pelawat dan followers yang dikasihi Allah sekalian, kerana agak mengabaikan laman kesayangan ini....Huhuhu....

Apa-apa pun, dah masuk 29 Ramadhan, esok atau lusa dah nak raya. Allahu Akbar!!

Ramadhan pergi, Syawal bakal tiba, bak kata-kata dalam motto sempena majlis sambutan Aidilfitri, "Ramadhan dirindui, Syawal dinanti".

Tak nak cakap banyak kali ni, --dah la tak update, nak cakap banyak-banyak kan-- Cuma sekadar renungan bersama, saya nak ajak diri saya dan anda semua berfikir...  Sejauh manakah amalan yang kita lakukan dan larangan Allah yang kita tinggalkan dalam Ramadhan mampu kita laksanakan juga di bulan-bulan lain??

Fikirkan....

Fikir-fikir lagi....

Okay...stop!!stop...nak beritahu satu benda ni ;

Selalu kita ucapkan dan doakan kepada sanak saudara dan sahabat handai apabila raya tiba :
    تقبل الله منا و منكم من العائدين و الفائزين

Maksudnya, semoga Allah menerima (amalan) kita dan kamu dan semoga menjadi orang yang pulang (kepada fitrah) dan orang yang berjaya.

Tetapi, adakah apabila Aidilfitri tiba, kita mampu kembali kepada fitrah manusia sebagai hamba yakni sebagai orang yang kembali dalam keadaan dosa yang diampunkan ????

Atau adakah kita mampu menjadi orang yang  berjaya yakni orang yang menang pada hari lebaran kerana berjaya melawan nafsu dan bermujahadah di bulan Ramadhan ????

Sama-sama fikirkan...Tak apa....Ramadhan masih berbaki, masih sempat bermujahadah dan memohon keampunan serta meningkatkan amalan. Sekarang ini bukan masa nak panaskan enjin ibadah, tapi pecutan yang paling power. Tapi dalam seronok pecut-pecut, jangan tiba-tiba masuk Syawal, pancit, masuk bulan-bulan lain....mati terus....Nau'uzubillah.

Jadi, kalau nak tahu kita ini tergolong ke tidak dalam golongan yang berjaya dan bertaqwa hasil tarbiyah daripada University of Ramadhan, kita koreksi amalan kita di sebelas bulan yang akan datang. Jika masih sama dan bertambah seperti amalan di bulan Ramadhan, insya Allah, latihan kita semasa di madrasah Ramadhan berhasil.

Saya doakan buat semua, moga kita menjadi hamba yang diampunkan dosa, dirahmati dan diberkati selalu serta menjadi orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT, bukan taqwa pada pandangan manusia semata-mata.

Wallahu a'lam...selamat beribadah dan beramal serta salam lebaran....
Maafkan segala silap dan salah...moga Allah redha!!!

Mengambil Ibrah daripada Sebatang PENSEL


Pensel hanya sebatang pensel, namun sebatang pensel tersembunyi hikmah untuk hidup manusia.

Sebatang pensel mampu melakar lakaran lukisan yang mampu memberi keuntungan seisi dunia.
Namun, ingatlah, ibarat pensel, sehebat mana pun pensel itu, ada tangan yang memegangnnya.
Begitu juga dirimu, sehebat mana pun kamu di dunia ini, ada kuasa besar yang menguasaimua, iaitulah Allah, lantas janganlah sombong dan angkuh malah ingatlah kebesaran Tuhanmu senantiasa.

Sebatang pensel yang kerap menulis akan tumpul, namun walaupun pensel itu pasti menderita ketika diraut, pensel akan menjadi tajam dan akan menghasilkan hasil tulisan yang sangat bagus.
Begitu juga dirimu, walaupun kamu terpaksa menempuhi pelbagai kesusahan dalam hidup, namun percayalah bahawa keperitan itu akan menjadikanmu seorang insan yang lebih baik untuk manusia sejagat.

Sifir sebatang pensel, pasti akan menghasilkan tulisan yang salah, namun kesalahan itu boleh dipadamkan.
Begitulah yang diharapkan dalam dirimu. Fitrah manusia, tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan.
Namun, ingatlah bahawa kamu mampu membaiki kesalahanmu dan berubah kepada sesuatu yang lebih baik.

Walaupun hanya sebatang pensel, sang pensel inilah yang mengingatkanmu erti kehidupan yang hakiki.

Sebagaimana pensel itu milik tangan yang memegang dan pasti akan patah atau pendek usianya, begitulah manusia milik Rabbul 'Alamin..Allah yang Maha Agung, manusia pasti akan mati dan kembali pada Tuhan-Nya.

Sama-samalah kita kembali kepada Allah sebelum kita dikembalikan kepada-Nya.
Wallahu a'lam.

Air : tanah rendah VS Ilmu : rendah hati


Ibarat air,
Mana mungkin air bertakung di tempat yang tak mampu ditadah,
Air akan mengalir, turun mengikut aliran yang indah,
Kemudian bertakung di tanah yang rendah,
Subhanallah, cantik sekali sunnatullah.

Begitulah ilmu yang dituntut,
Dianalogikan pada air,
Mana mungkin ilmu akan bersinar di hati yang penuh kesombongan dan keegoan,
Kedekut untuk mencurahkan ilmu yang hakikatnya bukan miliknya,
Tapi bagi orang yang senantiasa merendah diri,
Yang merasakan ilmu milik Tuhan Yang Maha Esa,
Pasti akan terpancar nur ilmu dalam hatinya.
Pasti mudah baginya mengingati dan mengamalkan ilmu itu.

Kata Imam Syafie,
Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan memberi petunjuk pada hati yang berbuat maksiat.

Allah, Allah, Allah....
Raja segala jasad dan rohani iaitu hati,
Ia milik Allah,
Tuhan Yang Maha Membolak-balikkan hati manusia,
Moga tetapkanlah hati kami atas jalan ketaatan dalam agama-Mu.

Ayuh, lihat alam, fikirkan ciptaan Tuhan, sama-sama amalkan ibrah dalam kehidupan.
LIHAT, FIKIR, AMAL.....

Jangan malu menjadi pemula

"Jangan malu menjadi pemula". Satu kata-kata yang menyentap urat saraf saya. Tercabar sangat. Itulah kata-kata yang diungkap oleh murabbi yang saya kagumi. Apabila saya mendengar kata-kata itu, saya terfikir. Ya! Kenapa malu untuk menjadi pemula sesuatu perkara kalau perkara itu perkara yang benar. Sejak itu saya letak target. Aku takkan malu untuk bertanya! Tapi AWAS, bertanya yang berlebih-lebihan dan melampau tidak digalakkan.

Saya cemburu sangat-sangat dengan golongan mahasiswa arab. Arab Jordanians kalau di tempat saya belajar. Mereka langsung tak malu untuk bertanya kepada pensyarah apa yang tak difahami dan memberi pendapat yang kekadang berbeza dengan pensyarah. Apabila diberi peluang untuk mengulas jawapan, merekalah yang paling banyak berebut mengangkat tangan untuk musyarakah dalam kelas.

Namun, sedkit hambar suasananya dalam kalangan pelajar Malaysia. Tidak ramai yang ingin bertanya atau memberi pendapat ketika di dalam kelas. Saya tidak pasti sebab utamanya apa?? Adakah malu kerana kurang keyakinan diri atau segan dengan jantina yang berbeza atau sukar berkomunikasi dengan pensyarah?? Jawapan itu ada pada diri masing-masing.

Bukanlah saya menulis ini untuk saya katakan saya ini berani bertanya, hebat dalam berkata-kata, disukai pensyarah kerana suka bertanya. Tidak sama sekali. Oleh sebab itu, saya berbaik sangka andai kata pelajar Melayu kurang bertanya mungkin kerana mereka sudah faham. Mereka belum mula bertanya di dalam kelas kerana mereka akan bertanya pada pensyarah di luar kelas. Andai ada yang tidak difahami, mereka akan bertanya pada pelajar Melayu yang faham atau mana-mana rakan arab yang faham.

Jadi di situ saya  lihat budaya bertanya tetap ada dari suatu sudut yang mengatakan 'malu bertanya sesat jalan'. Yang mana pada hakikatnya mereka takkan sesat kerana masih ada ruang dan peluang untuk bertanya. Ya! Saya setuju itu dan saya takkan bantah itu. Pelajar Melayu tetap bertanya!!

Tapi bagaimana pula golongan yang langsung tidak mahu bertanya baik kepada pensyarah, mahupun melalui wasilah-wasilah lain. Sekadar membiarkan ketidakfahaman itu bermaharajalela di ruang fikiran sehingga apa yang diulang kaji dan dihafal hanya sekadar hafalan. Ya!! Saya berbaik sangka lagi. Mereka mungkin ada buku rujukan lain atau wasilah-wasilah lain yang boleh memahamkan mereka atau mereka sebenarnya memang sudah faham.

Namun, dari sudut logik akal saya, andainya pelajar arab pun ada yang tidak difahaminya tatkala pensyarah mengajar sedangkan pelajaran itu melalui bahasa ibunda mereka sendiri, bagaimana mungkin pelajar Melayu yang berbangsa Melayu, bercakap arab memang boleh tetapi tidak 100% difahami, bolehkah dikatakan faham sepenuhnya apa yang diajar?? Andai diterangkan dalam bahasa ibunda pun kurang difahami jua.

Saya merasakan tulisan saya kali ini agak sinis dan mengejek bangsa sendiri apatah lagi sahabat-sahabat di tempat saya belajar. Maafkan saya andai anda merasakan begitu. Tapi saya tidak suka hipokrit dan bagi saya ini bukanlah aib yang perlu dijaga. Bagi saya benda yang sepatutnya diubah untuk kemaslahatan ummah tidak perlu takut untuk diperkatakan dengan niat ada usaha untuk berubah dan mengajak orang lain berubah.

Saya yakin kata-kata saya akan diuji. Dan saya takut andai saya menulis dan berkata-kata tetapi tidak melaksanakan. Kemurkaan Allah yang sangat besar bagi orang yang bercakap tapi tidak melakukan apa yang diperkatakan. Nau'uzubillah. Oleh sebab itu, saya bertekad dalam hati dan insya Allah akan cuba melaksanakan sedaya mungkin untuk tidak malu menjadi pemula.

Tidak malu untuk memulakan bertanya di dalam kelas sebagai seorang pelajar Melayu dalam kalangan pelajar arab yang lain. Tidak malu bertanya dalam kelompok pelajar Melayu sendiri, Tidak malu mengaku bahawa kita tidak tahu itu dan ini lantas bertanya dan mengkaji. Tidak malu mengatakan yang hak dan batil.

Saya ingin jadi pemula bukan untuk menunjuk-nunjuk saya ini hebat, saya ini berani dan saya ini bijak kerana pada hakikatnya keberanian saya tidaklah setinggi itu. Tetapi saya hendak sangat-sangat  mencuba untuk menjadi seorang pemula  kerana bagi saya, mungkin rakan-rakan saya yang lain perlukan seorang pemula untuk mereka memulakan sesuatu perkara. Sebagaimana saya yang inginkan seorang pemula untuk saya juga memulakannya. Namun, apabila 'sang pemula' itu tidak jua muncul-muncul , mengapa tidak saya yang menjadi pemula itu??

Eh, nanti apa kata orang lain?? 
Nanti dia kata kita ini nak tunjuk hebat. Kita ini junior sahaja. 
Malulah, orang fikir apa pula. Tak pernah-pernah orang buat begitu. 
Ya Allah, takutnya nak tanya. Malaslah nak tanya.

Itulah hasutan-hasutan yang bermain di minda dan hati saya tatkala terbit rasa ingin bertanya akan sesuatu yang saya memang nak tahu dan perkara yang tak faham sangat mengganggu ketenangan saya. Lama-lama jika dibiarkan, saya takkan tahu sampai bila-bila. Macam mana kalau tanya orang lain, orang itu juga tak tahu??

Namun begitu, andainya Rasulullah saw mengambil endah dan mengira serta menjadikan risau segala kata-kata tohmahan, ejekan, buruk sangka, dan penghinaan orang kafir Quraisy yang mengatakan bahawa baginda saw adalah seorang yang gila, tukang sihir, membawa ajaran songsang dan sebagainya, cuba kita sama-sama fikir adakah Islam akan sampai kepada kita? Adakah kita mampu menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini??

Tak nak lah aku sampaikan lagi ajaran ini. Mereka dah kata bukan-bukan pada aku. Masakan aku nak ajarkan lagi kalimah-Nya. Aku lebih rela berdiam diri daripada terus dihina dan dimaki.
[Andainya Rasulullah saw seolah-olah berkata sedemikian] Tapi TIDAK!!! Rasulullah tidak pernah berfikir untuk mengatakan sedemikian. Rasulullah tidak pernah berputus asa menyampaikan kalam Ilahi, kerana apa?? Kerana itu semua adalah BENAR.

Jadi, mengapa kita perlu berburuk sangka pada orang lain. Entah-entah sebenarnya tidak ada pun pada fikiran orang lain untuk mengatakan sedemikian pada kita tapi kita sahaja yang terlampau memikirkan pandangan orang lain pada kita. Tapi berbeza dengan Rasulullah saw yang mana terang-terangan kafir Quraisy menentang tapi baginda tetap utuh ke hadapan.

Buangkan buruk sangka itu. Jangan disebabkan itu sahaja, melemahkan kita untuk maju ke hadapan dalam menggapai ilmu dan mencapai amal yang sebenar. Andainya masih ada persepsi dan anggapan buruk itu dalam kalangan orang lain, kenapa kita perlu takut dan malu lagi? Adakah apa yang kita lakukan itu salah?? TIDAK bukan. Lantas itu, selagi mana perkara yang kita lakukan itu benar dan tidak bercanggah dengan ajaran Allah dan Nabi-Nya, usah gentar kerana Allah bersamamu dalam kebenaran.

Sama-sama muhasabah diri. Saya yang menulis ini juga masih belum ada semangat dan keberanian untuk menjadi seorang pemula dalam pelbagai hal kebaikan. Dan kerana itulah saya menulis tentang ini, moga dengannya menjadi penaik semangat buat diri saya dan anda semua. Allah jualah yang Maha mengetahui kelemahan hamba-Nya yang hina ini. Namun, Allah tidak menjadi hamba ini sia-sia.

Saya, anda dan kita perlu hebat untuk ISLAM...
Bangkit menjadi daie dan insan yang kuat dan mantap untuk ummah.
Ya Allah bantulah kami dan peliharalah kami.

Wallahu a'lam.

Critical thinking

Ramai orang agak takut apabila disebut tentang kritis, pemikiran luar biasa, critical thinking.
Bedasarkan pengalaman saya ramai yang teruja dan ingin mengambil manfaat dengan orang-orang yang sebegini tapi tak ramai yang bercita-cita untuk menjadi seorang yang kritis dalam berfikir. Seorang yang mampu berfikir 360 darjah dari pelbagai dimensi dan sudut.

Tetapi, apa yang kita inginkan daripada insan sebegini ialah yang mana mampu mengimplementasikan apa yang difikir, bukan hanya dengan kata-kata yang bernas, idea yang mencambah, tapi tiada apa yang mampu diubah. Insan sebegini yang kita ingin lahirkan. Sepertimana heboh dan hangat diperkatakan ramai orang zaman sekarang ialah generasi ulul albab. Yang mana akidahnya mantap, ibadah dan akhlaknya seiiring ajaran al-Quran dan Sunnah, bahkan fikirannya yang cuba membawa perubahan besar dan berkualiti buat ummah.

Saya juga bercita-cita ke arah itu. Dalam penulisan dan post-post di muka buku, sedaya mungkin saya cuba membawa persepsi yang berlainan daripada kebiasaan saya selama ini. Saya hendak cuba membuka minda saya dan anda semua supaya sesuatu yang dibaca bukan sekadar luahan perasaan dan suka-suka tetapi ada makna disebaliknya.

Saya pernah menulis berkenaan cinta, hati dan perasaan dalam penulisan saya dalam keadaan sengaja untuk meneliti sendiri sejauh mana tarikan orang lain terhadap penulisan tersebut. Saya cuba pula menulis dan berkongsi tentang sesuatu yang bersifat agak berat untuk dibaca dan ditelaah. Sesuatu yang 'membosankan' pada hakikatnya. Kemudian, saya bandingkan kedua-dua jenis penulisan itu.

Saya bukan sahaja memerhati dari pihak saya sahaja, bahkan dari pihak lain juga. Saya dapati kebanyakan orang meminati penulisan yang berbentuk santai, ringan dan tidak membabitkan aspek pemikiran. Tetapi ramai juga yang sangat suka penulisan yang berbentuk politik, isu semasa, dan sesuatu yang 'kritis'. Namun, dari sudut halaman saya sendiri, ramai yang lebih gemar meng'like' sesuatu berkenaan perasaan berbanding isi-isi pebincangan dan keagamaan.

Dari segi fitrahnya pasti kita semua menyukai sesuatu yang tidak membebankan dan happy go lucky. Tetapi pada era ini, pelbagai isu yang timbul melibatkan ummah kita. Pada zaman ini terlalu banyak hujah dan penulisan-penulisan yang syubhah dari sudut kesahihannya tidak kira dari aspek agama, politik, mahupun hal ehwal semasa yang sangat memerlukan golongan yang berfikiran ke hadapan untuk menagkis segala kepalsuan pada era 'kemuncak' ini.

Jadinya, bukanlah saya menulis tentang ini untuk mengatakan saya ini seorang yang berfikiran kritis. Tidak! Cumanya saya ingin mengajak diri saya dan kalian untuk sama-sama membawa diri kita ke 'dunia' yang berbeza daripada kebiasaan. Memang payah bagi diri saya sendiri untuk menjadi seorang yang sebegitu, tapi mengapa tidak kita mula dari sekarang. Mula membaca bahan-bahan yang berat jauh dari unsur perasaan yang mendayu-dayu. Mula menulis sesautu yang berfikrah tetapi dalam bentuk yang santai.

Ingat, hujah perlu dilawan hujah. Janganlah kita apabila golongan intelektual Barat atau sekufu dengan mereka menghentam Islam, kita menentang dengan memaki hamun tanpa usul dan hujah kukuh tapi kita ingin menyatakan kebenaran itu kepada semua manusia di dunia ini. Namun, mereka amat mudah mematah hujah kita kembali hanya kerana mereka mampu berfikir secara luar biasa sekaligus menarik minat orang lain terhadap mereka.

Fikiran yang kritis yang disertai idea yang mantap berdalilkan al-quran dan sunnah sangat diimpikan dunia hari ini. Muslim ideal atau protaz atau ulul albab atau apa-apa sahaja gelaran sanagt diidamkan ummah hari ini. Cuma, tinggal lagi usaha kita ke arah itu.

Berani, rain mengkaji, yakin diri dan ketaqwaan serta tawakkal pada Allah antara sikap yang perlu ditonjolkan. Allah tidak menjadikan hamba-Nya sia-sia. Otak manusia yang mempunyai berjuta-juta trillion sel yang mampu menterjemah buah fikiran yang bernas perlu dinikmati denagn keimanan. Semoga Allah merahmati kita semua dengan segala nikmat-Nya pada kita.

Road to Ramadhan! Road to a critical thinking person!!

Saya perlu peka isu semasa

Irsyad Manji....

Saya tak nak tulis tajuk "belia perlu peka isu semasa".
Saya tak nak tulis tajuk "kita perlu peka isu semasa".
Sebab saya pun masih tak peka akan isu semasa.

Malu...Huhuhu....T__T

Cabaran lelaki buat seorang muslimah : Perlu peka akan isu semasa, berani melontar suara dan idea, terkehadapan membincangkan isu-isu berat dan isu ummah semasa.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih....

Tercabar sangat ni...tapi kena kuat....Ya Allah moga dapat kuhadam ilmu-ilmu penting ini...
Hujah perlu dilawan hujah.
Tapi manakan mampu tanpa ilmu yang padu.
Ilmu milik Allah, klau kita nak betul-betul, Allah akan bagi, insya Allah.

Isu Irsyad Manji, isu umat Islam Rohingya, isu sekularisme, pluralisme, liberalisme, peristiwa Memali, isu LGBT, isu mahasiswa, isu kanak-kanak, isu wanita, isu hedonisme....

Ada yang sudah jadi isu lapuk, ada yang masih hangat diperkatakan....

Perlu tahu walaupun tak dapat nak hadam semua....

Mahasiswi, mujahidah, muslimah perlu berubah.....

Kerana aku muslimah power!!! ^_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...