Pandai cakap tapi tiada ilmu

Selalunya orang yang pandai bercakap ini sering dianggap orang yang banyak ilmu. Atau adakah orang yang pandai menyusun kata ini hanya seorang yang beromong kosong sahaja. Bagi saya, orang yang pandai bercakap tidak semestinya mereka yang berilmu tinggi manakala orang yang berilmu tinggi pula tidak semestinya orang yang pandai berbicara.

Baru-baru ini persatuan di sini mengadakan pertandingan debat, pidato, wacana minda dan syarahan dengan tujuan untuk mencungkil bakat. Saya teringin sekali menyertainya tetapi apabila memikirkan sekalipun saya pandai berkata-kata tetapi tidak mempunyai ilmu di dada, apalahlah guna kata-kata itu jika tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Kemudian, apabila menyaksikan sendiri pertandingan itu, diri saya terasa sangat kerdil. Manakan tidak. Semua peserta yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka. Saya melihat mereka yang bertanding mempunyai kombinasi dua elemen iaitu ilmu dan kemahiran bercakap. Dengan adanya dua elemen ini, apa yang disampaikan mereka mampu meresap ke dalam sanubari penonton.

Alhamdulillah,pertandingan mencari bakat itu menjadi batu loncatan untuk saya terus mengasah bakat yang terpendam untuk dikeluarkan isinya pada masa-masa akan datang. Saya bukanlah ingin mengatakan bahawa saya ini seorang yang sangat berbakat tetapi bagi saya bakat itu boleh dipupuk dan dilatih untuk menjadi sesuatu yang lebih baik.

Seringkali saya berasa rendah diri untuk mengembangkan kebolehan berkata-kata yang Allah pinjamkan kepada saya dengan alasan tiada ilmu yang banyak di dada sama ada ilmu tentang isu semasa, ilmu agama, ilmu psikologi mahupun apa-apa ilmu yang hebat seperti mana hebatnya ilmu Allah yang disampaikan oleh mana-mana pendebat mahupun pemidato.

Tetapi, saya tersedar bahawa Allah tidak menjadikan hamba-Nya ini dengan sia-sia, justeru saya tekadkan hati mulai sekarang untuk terus menggali ilmu Allah disamping terus memperbaiki cara berkomunikasi dengan harapan selepas ini saya mampu untuk menonjol ke hadapan bagi menyampaiakn ilmu Allah dengan cara yang terbaik. Inilah juga cara yang perlu dimiliki oleh seorang pendakwah dalam mendekati dan membawa masyarakat ke arah kebaikan.

Demi Islam, saya harus bangkit. Tiada ilmu walaupun pandai berbicara bukan alasannya untuk mengabaikan anugerah Allah itu. Tiada kemahiran berucap walaupun ada ilmu bukan pula alasannya untuk tidak menyampaikan ilmu tersebut seperti mana ungkapan hadis Nabi SAW yang selalu didengari,"sampaikan dariku walaupun satu ayat".

Ayuh teman-teman kita menderap langkah untuk sama-sama kita garap dan bina kembali diri kita. Allah tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Allah meanugerahkan kita dengan kelebihan, jadi janganlah kita mensia-siakannya. Allah tidak menjadikan kita bodoh tetapi Allah menjadikan kita dengan kepintaran yang berbeza-beza.


Sama-sama muhasabah diri dan beramal...Moga Allah redha!!
Wallahu a'lam.

1 comments:

cukup bermakna..terkesan dalam hati..bakat itu perlu diasah,,,terbaik3x...(*_*)

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...