- Mempunyai ilmu tentang kaedah dakwah seperti mana yang diajar oleh Rasulullah dan tujuan dakwah adalah untuk mengajak manusia kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran. Kedua-duanya saling berkait dan tidak boleh dipisahkan iaitu " Amar Makruf" dan " Nahi Mungkar". Selain itu, sifat-sifat yang perlu ada pada seorang dai'e perlu juga diketahui. Rujuk Surah An-Nahl, ayat 125.
- Menggunakan cara yang berbeza mengikut keadaan pendengar. Contohnya jika seseorang penceramah bercakap di hadapan golongan yang miskin, hendaklah menggalakkan mereka bersabar dan tidak berputus asa dalam hidup manakala jika berhadapan dengan golongan kaya, penceramah perlu menggalakkan mereka bersedekah membantu golongan miskin. Begitu juga ketika berhadapan dengan mana-mana golongan masyarakat sekalipun, cara penyampaiannya mestilah berbeza.
- Mempunyai penampilan kemas dan menutup aurat sejajar dengan apa yang diajar oleh syariat. Kemas dan bersih tidak perlu kepada pakaian yang mahal dan berjenama, tetapi cukup sekadar besederhana dan sedap mata memandang.
- Mempunyai kebolehan berbahasa dalam pelbagai bahasa mengikut kemampuan penceramah agar penceramah mudah bercakap dan berceramah di hadapan pendengar yang mungkin berbeza bangsa dan hanya mahir dalam bahasa mereka sahaja.
- Mempunyai ilmu tentang perbandingan agama. Contohnya penceramah dapat mengulas sesuatu isu dalam agama lain kemudian menampilkan perspektif isu tersebut mengikut agama Islam dan agama- agama lain. Secara tidak langsung dapat menarik minat pendengar sekali gus menunjukkan kehebatan dan keagungan Islam dan memaparkan kelemahan agama lain.
- Pandai menarik minat pendengar dengan pelbagai gaya menarik dan teknik tertentu seperti teknik humor dan kecindan atau bermain dengan emosi sedih dan menyayat hati.
- Mengetahui sirah nabi dan sejarah para sholihin amatlah perlu kerana mereka adalah qudwah kepada manusia, jadi penceramah perlu menyelitkan dan membawakan sirah kepada pendengar seolah-olah mereka terasa seperti berada di zaman mereka.
- Mengetahui isu-isu semasa dengan banyakkan mengakses maklumat-maklumat terkini agar para pendengar juga cakna akan keadaan dalam dan luar negara di samping keadaan umat Islam.
- Boleh mengeluarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Assunnah sebagai bukti perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar. Tiadalah yang lebih benar melainkan kalam Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
- Boleh mengeluarkan fakta tentang sesuatu ilmu terutamanya yang melibatkan pertembungan ilmu sains yang terdapat dalam Al-Quran agar timbul rasa kagum dan takjub pendengar terhadap kehebatan mukjizat Al-Quran dan kekuasaan Allah itu sendiri.
- Gunakan teknik penceritaan sama ada sirah atau pengalaman sendiri. Namun, pengalaman sendiri lebih baik kerana ia melibatkan kehidupan seharian yang mana mungkin turut berlaku kepada pendengar.
- Cuba bermesra dahulu dengan pendengar. Ini boleh menarik perhatian, biar perspektif mereka kepada penceramah lebih tertumpu. Ibarat penceramah dan pendengar ialah kawan tetapi harus berpada-pada. Ini juga boleh diibaratkan mencari kepercayaan terhadap pendengar agar mereka mudah menerima bait-bait kata si penceramah.
Wallahu a'lam
0 comments:
Post a Comment