Berhasilkah Ramadhan Kita??


Ramadhan bakal  berakhir tidak lama lagi. Sedih? Gembira? Marah? Entahlah...Manusia apakah ini tiada perasaan. Persoalannya sekarang apakah kita berjaya mencapai darjat taqwa selepas proses pentarbiayahan di bulan Ramadhan ini.

Orang cakap kalau kita hendak menilai diri kita yang sebenarnya, kita boleh jadikan Ramadhan sebagai bahan ukurannya. Yelah, masa itu segala syaitan dan anak beranak dia semuanya sudah dirantai. Maknanya tiada lagi unsur-unsur yang boleh menyebabkan kita 'terbabas'.

Tapi, AWAS....musuh nombor satu kita di bulan Ramadhan, NAFSU. Jika kita berjaya mengawal nafsu di bulan Ramadhan, insya Allah di bulan-bulan lain teramatlah senang bagi kita sebenarnya. Tapi, adakah sebelas bulan yang mendatang berjaya kita lalui dengan jayanya hasil madrasah Ramadhan? Itulah yang kita perlu sama-sama perhatikan nanti.

Semasa berhalaqah dengan sahabat-sahabat saya suatu masa dahulu dalam sesi usrah,kami selalu ditekankan begini.
"Usrah itu bermula selepas bacaan tasbih kafarah surah al-Asr dan ditangguhkan dengan bacaan al-Fatihah"
* Usrah: satu kumpulan yang berdiskusi ilmiah dalam satu halaqah yang antara mereka diibaratkan sebagai keluarga.


Pelik atau tidak?? Bukankah sesuatu majlis itu bermula dengan bacaan al-Fatihan dan ditangguhkan dengan bacaan tasbih kafarah dan surah al-Asr? Ya! memang benar. Tapi sejauh mana keberkesanan usrah itu dinilai dengan amaln istiqamah kita selepas berusrah kerana dalam usrah kita hanya berprogram, merancang dan berbincang tentang sesuatu yang bermanfaat untuk Islam. Selepas usrah kita diuji dengan segala perancangan semasa usrah.


Begitu juga dengan Ramadhan. Allah meanugerahkan bulan ini untuk melatih dan memperkuatkan diri bagi menghadapi sebelas bulan yang akan datang. Jadi, sejauh mana Ramadhan kita berhasil akan dinilai dengan amalan pada sebelas bulan lagi sama ada elok atau tidak. Jika di bulan Ramadhan kita berjaya menahan marah, adakah seperti itu juga di bulan-bulan yang lain?

Tepuk dada tanya iman! Semoga kita berhasil menjadi produk bertaqwa hasil tarbiyah di bulan Ramadhan. Semoga Allah menerima segala amal soleh kita di bulan Ramadhan dan moga-moga diberi kekuatan untuk terus beramal pada sebelas bulan yang lain sehingga kita bertemu kembali dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan, insya Allah.

Wallahu a'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...