Cerpen : Mujahid Melayu (Bhg 1)


Sekolah Baru
Matanya asyik menatap bangunan tiga tingkat yang tersergam indah itu. Warna putih dan biru yang menyaluti bangunan itu bagaikan memukau matanya. Keindahan kawasan sekitarnya sukar digambarkan. Air terjun kecil buatan manusia menderu laju. Iramanya sungguh mengasyikkan seolah-olah berada di hutan belantara.
“Assalamualaikum, saudara pelajar baru di sini?” satu teguran menyapa. Dia lantas tersedar daripada lamunan.
             “Waalaikumussalam. Ya, saya pelajar baru di sini. Nama saya Hafiz. Di mana saya harus mendaftarkan diri?” tangan dihulur tanda perkenalan lantas soalan diaju kepada seorang pelajar lelaki yang kelihatan lebih muda daripadanya
            “Nama ana Abdullah. Anta boleh ikut ana ke pejabat untuk mendaftar,”pelajar tersebut ramah menjawab. Hafiz terpegun dengan kata ganti nama yang digunakan. Ala-ala Arab, persis sekolah lamanya dahulu yang turut mengetengahkan penggunaan ‘ana, anta, anti, antum’ dalam kalangan pelajar.
            Kakinya terus melangkah deras menuju ke pejabat. Dia mendaftarkan diri di Sekolah Menengah Agama Budiman seorang diri. Dia terpaksa bertukar ke sekolah tersebut kerana ibunya juga perlu ditukarkan ke tempat baru. Bertugas sebagai pensyarah jurusan undang-undang syariah, Puan Azizah tabah mendidik Hafiz bersama adik bongsunya. Sejak kematian  suami hampir lapan tahun yang lalu ketika Hafiz berusia sembilan tahun, Puan Azizah mula bekerja sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berbekalkan ijazah sarjana muda yang dimilikinya. Kini, dia terpaksa dipindahkan ke Universiti Malaya atas sebab-sebab tertentu.
            Saat menjejakkan kaki ke Kelas 5 As-Siddiq, Hafiz merasakan dirinya menjadi santapan mata seluruh penghuni kelas itu. Kelihatan ada yang berbisik sesama mereka. Hafiz jadi tidak keruan. Setelah memperkenalkan diri dalam sesi taaruf, dia mengambil tempat duduk.
             ‘Ah, biarkanlah mereka. Biasalah bila dapat pelajar baru, mestilah lain sikit. Apapun, mulai saat ini aku nak belajar sungguh-sungguh kerana Allah,’ Hafiz sentiasa membetulkan niatnya agar matlamat belajarnya lebih jelas iaitu menuju keredaan Allah. Tidak dihiraukan pandangan orang lain terhadapnya.

Couple itu Haram
            Sudah hampir sebulan Hafiz menuntut ilmu di sekolah baru. Kadang-kadang rasa rindu terhadap sekolah lama menapak di hati. Mana mungkin memorinya terhadap tempat yang telah mentarbiah dirinya, Sekolah Menengah Seri Islam. Empat tahun mengaji di sana banyak memberinya pengalaman yang berharga buat hidupnya. Pahit manis perjuangan di sana kekal dalam sanubarinya. Ukhuwwah yang terbina bersama sahabat manis sekali terasa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, tiga perkara yang menyebabkan seseorang itu mendapat kemanisan iman iaitu cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lebih daripada cintanya kepada yang lain, mengasihi sahabatnya semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran selepas diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam neraka.
             “Anta apabila berada di sana teruskanlah perjuangan dakwah ini. Cabaran di sana pasti terlalu banyak, tetapi janganlah anta takut dan sedih kerana Allah bersama kita. Ingat, walau apapun berlaku janganlah putus pergantungan kepada Allah kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui,” pesanan salah seorang temannya, Umar kembali terngiang-ngiang.
             ‘Ya, aku perlu terus berjuang!’ bisik hati kecilnya.
             Sepanjang pengamatannya, masalah ‘couple’ di sekolah barunya itu agak berleluasa. Dalam seminggu, pasti ada pasangan yang ditangkap ‘berdating’ di kelas pada waktu malam, malah pada waktu siang. Ada juga antara mereka yang berutus-utus surat bagi meluahkan rindu palsu masing-masing. Alangkah indahnya jika rindu itu bersemarak kepada Allah. Hanya Allah yang layak dicinta kerana Dialah pencipta cinta.
            ‘Nampaknya, masih ramai pelajar yang tidak ada kesedaran agama. Sekalipun tidak berzina secara zahir, ‘bercouple’ kan perbuatan yang mendekati zina. Allah telah pun melarangnya dalam Al-Quran, jadi sudah pasti hukumnya haram,’
            “Apa yang anta menungkan tu, Hafiz?” Teguran Amirul mengganggu fikiran Hafiz. Semenjak ke sekolah ini, Amirullah satu-satunya sahabat yang rapat dengannya, mungkin kerana mereka dalam fikrah yang sama, ingin melihat Islam kembali gemilang. Amirul ialah ketua Badan Dakwah dan Kerohanian (BDK) di sekolah itu. Disebabkan Hafiz dilihat berpotensi untuk mengembangkan dakwah di sekolah itu, Amirul telah memasukkan nama Hafiz dalam organisasi BDK apatah lagi Hafiz pernah bersekolah di sekolah agama yang terkenal dengan kemantapan gerakan dakwah dan tarbiah.
            Dakwah ataupun bahasa mudahnya ‘ajak manusia buat kebaikan dan cegah mereka buat kemungkaran’, merupakan antara kewajipan umat Islam. Malahan, Allah telah menjelaskan tanggungjawab ini dalam Al-Quran sebagaimana mafhumnya berbunyi “Dan hendaklah antara kamu ada segolongan orang yang menyuruh kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
            “Ana cuma memikirkan masalah ‘couple’ kat sekolah ni dan ana rasa kita perlu membuat sesuatu untuk atasinya. Lagipun, kalau kita tidak atasi masalah tersebut dengan segera, ana takut perkara yang lebih buruk akan berlaku kerana ‘couple’  ialah muqaddimah kepada zina,” ujar Hafiz menjawab pertanyaan sahabatnya.
            “Ya, ana pun rasa begitu. Dulu, sekolah ni tidaklah teruk sangat masalah ‘couple’ ni. Tapi, barisan kepimpinan BDK yang nampaknya kurang bersungguh–sungguh dalam hal ini menyebabkan masalah semakin ni merebak. Ana pun kadang-kadang rasa tidak teguh hendak berjuang apatah lagi memimpin BDK,” satu keluhan keluar daripada Amirul. Dirinya seolah-olah berputus asa.
            “Tidak mengapa sahabatku, janganlah menjadikan masalah itu satu alasan untuk tidak berjuang. Jadikan ia sebagai cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap pendakwah. Mungkin ini juga ujian daripada Allah. Allah nak tengok sejauh mana usaha kita. Jadi, janganlah kita berputus asa,” tutur kata Hafiz penuh hikmah. Amirul mengangguk tanda faham. Hafiz berharap sahabatnya akan terus istiqamah dalam perjuangan ini.
            “Ermm, untuk kes ni ana cadangkan kita buat kempen ‘anti-couple’. Kita boleh memperbanyak tazkirah berkenaan hal ini di surau. Bagi yang telah terjebak dalam cinta monyet ini, kita perlu memberi nasihat dan pengajaran yang berhikmah agar mereka insaf. Kita boleh serahkan mereka kepada ustaz dan ustazah kerana mereka kan lebih pakar,” Hafiz bersuara mempromosi buah fikirannya.
            “Alhamdulillah, bagus cadangan anta tu. Ana setuju. Yelah, mereka ini sebenarnya perlu sentiasa diperingatkan. Maklum sahajalah pengaruh di luar sana tu bila-bila masa sahaja boleh meruntuhkan iman kita. Kita tidak boleh salahkan mereka seratus-peratus. Tanggungjawab menyedarkan mereka terletak atas bahu kita, barisan BDK. Lagipun, pelajar sekolah beragamalah yang diharapkan untuk mengembangkan Islam sebab kita sudah diberi pendedahan, betul tak?” Amirul menyokong pendapat Hafiz.
            “Betul, sebab itulah kita kena mentarbiah pelajar-pelajar kita dahulu agar mereka dapat menjadi permata Islam yang akan menyinari insan di luar sana yang masih lagi dalam kegelapan, tenggelam dengan keseronokan duniawi,” tambah Hafiz lantas mengakhiri munaqasyah mereka. Dalam hati Hafiz memuji kewibawaan Amirul. Patutlah dia dilantik sebagai Ketua Badan Dakwah dan Kerohanian.
            ‘Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk berjuang,’ doa Hafiz dalam hati.
            Selepas berbincang dengan guru penasihat BDK, Ustaz Asri, mereka akhirnya melancarkan kempen ‘anti-couple’. Selama dua minggu kempen ini berjalan, pelbagai aktiviti dijalankan seperti tazkirah, malam keinsafan, ‘spot check’ pencegahan, dan program kerohanian dan kesedaran untuk pasangan yang ‘bercouple’. Alhamdulillah, usaha mereka diberkati Allah dan hampir keseluruhan masalah ini berjaya diselesaikan.
            “Ustaz bangga dengan kamu, Hafiz, Amirul kerana telah berjaya kembali menggerakkan organisasi kita setelah lama terkubur.  Teruskanlah usaha kamu ini. Kamu masih muda, perjalanan kamu masih jauh. Ustaz harap kamu dapat membuka minda pelajar sekolah kita. Kalau bukan kamu pelajar sekolah agama, siapa lagi yang hendak diharapkan untuk meneruskan tugas Rasulullah ini,” ujar Ustaz Asri panjang lebar, tersirat 1001 harapan untuk melihat Islam kembali mekar.
            “Insya Allah, Ustaz,” kedua-duanya berkata serentak.
            ‘Alhamdulillah, ana sesungguhnya tak sangka dapat jumpa Hafiz di sekolah ini, Ahmad. Anak anta memang mewarisi sikap anta. Dia ibarat pengganti anta buat ana,’ Ustaz Asri bermonolog. 


 Masalah Terungkai
            Pergerakan barisan kepimpinan BDK Sekolah Menengah Agama Budiman semakin mantap, gah berdiri bagaikan akar tunjang yang kuat. Organisasi mereka juga kian utuh dengan adanya semangat kerjasama dalam kumpulan. Usrah dan tazkirah pelajar diteruskan di samping halaqah dalam kalangan mereka sendiri. Bagi mereka, amat penting untuk sesuatu organisasi itu berganding bahu dalam melaksanakan misi dakwah kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
            “Ana bukanlah siapa-siapa yang layak untuk menegur tetapi sekadar peringatan buat semua. Apatah lagi berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran disuruh oleh Allah,” ujar Hafiz dalam halaqah pemimpin pada suatu petang.
            “Kami bersedia menerimanya, lagipun anta telah banyak pengalaman di sekolah lama. Ana tahu perjuangan anta di sana sentiasa bersemarak bak api yang menyala-nyala,” salah seorang anggota kepimpinan, Syed Abduh bersuara.
            “Ya, betul tu. Kami perlukan peringatan dan pengisian rohani untuk membakar semangat perjuangan kita,” seorang lagi, Muiz menambah.
            ‘Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu kerana mengurniakan sahabat-sahabat yang sanggup berjuang di jalan-Mu,’ Hafiz bertahmid dalam hati seraya menyambung butir-butir ucapannya.
            “Ana harap kita sama-sama dapat bermuhasabah diri atas dosa-dosa yang lepas. Kadang-kadang, tanpa kita sedari dosa yang kita lakukan boleh menghalang daripada keberkesanan dan keberhasilan dakwah. Oleh sebab itu, mulai saat dan detik ini, kita tanamkan tekad untuk terus istiqamah membina kekuatan dalaman dalam diri,”
            “Apa maksud anta?” Mursyid bertanya memecah kesunyian.
            “Kita kan nak bawa Islam, jadi sebelum Islam tertegak di atas bumi Allah ini, kita dahulu yang perlu menegakkan Islam dalam diri,” Hafiz menjawab. Semua ahli usrah seramai 12 orang itu mengangguk tanda faham. Hafiz masih menambah.
            “Qiyamullail, puasa sunat, membaca dan menghafaz Al-Quran, solat-solat sunat, dan amalan-amalan yang lain semuanya perlu sebati dalam diri kita. Maknanya, apabila tidak dilakukan amalan-amalan itu, ketenangan kita seolah-olah diragut kerana itulah makanan rohani kita. Barulah keimanan kepada Allah terus kukuh terpateri dalam jiwa kita,”
            “Betul tu, nanti kita sama-sama teruskan usaha melakukan amar makruf nahi mungkar di sekolah ini, kemudian Insya Allah berterusan sehinggalah ke hujung nyawa kita,” Ketua mereka, Amirul menambah dengan menaruh harapan yang tinggi terhadap rakan-rakan pimpinannya.
            “Tapi, bagaimana dengan pelajaran? Ana takut result SPM kita jatuh nanti kalau kita terus berdakwah,” Mursyid kembali bertanya.
            “Mursyid, anta janganlah bimbang, kita kena yakin dengan janji Allah. Jika kamu membantu agama Allah, Allah akan bantu kamu dan mengukuhkan kedudukanmu. Belajar dan dakwah bukanlah ibarat jongkang-jongket, jika dakwah di atas, study jatuh, tapi  berkadar terus. Jika dakwah di atas Insya Allah, study akan turut gempak,” Amirul segera membetulkan persepsi yang salah berkenaan dakwah.
            “Betul tu. Dalam pada masa yang sama kita perlu bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Niat study mesti betul kerana Allah. Kita mesti buat yang terbaik untuk Islam, kena buktikan orang Islam boleh! Takkan kita nak bagi C dan D untuk Islam. Mesti nak kasi A! Insya Allah, pertolongan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi kita,” Saiful yang dari tadi berdiam diri dan hanya mendengar, tiba-tiba menambah dengan penuh bersemangat.
             “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar… antum semua sudah faham konsep dakwah yang sebenar. Nanti kita bolehlah mengajak Ustaz Asri untuk join halaqah ini agar kita dapat menimba lebih banyak ilmu untuk sama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini,”  Hafiz mengutarakan cadangannya.
            “Insya Allah, boleh!” rakan-rakan yang lain menyokong. Kemudian mereka sama-sama membaca doa Rabitah untuk mengukuhkan ukhuwwah yang terbina antara mereka.

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...