Ada jodoh tak ke mana

Salam cinta kerana Allah semuanya. Tiba-tiba sahaja bercakap tentang jodoh. Wah, ada sesiapa yang akan mendirikan masjid ke? Takdelah. Cumanya, mengingatkan hari itu persatuan di sini ada mengadakan kenduri kesyukuran mutazawij bagi pasangan-pasangan Malaysia yang sudah pun berumah tangga, jadi terasa ingin mencoret tentangnya.

Saya cukup tersentuh dengan kata-kata seorang ustaz semasa majlis kenduri itu yang mana beliau sempat berpesan dengan menekankan persediaan ke alam perkahwinan perlu disiapkan di usia remaja lagi, bukan sebelum berkahwin supaya bait muslim yang terbina mampu mencorakkan generasi yang bertaqwa pada masa akan datang. Daripada individu muslim yang bertaqwa melahirkan bait muslim yang bahagia sekaligus menyerlahkan masyarakat yang sentiasa hidup dalam syariat Islam yang syumul ke arah pembentukan daulah islamiyah yang dimpi-impikan.

Saya ini sebenarnya tidak layak untuk bercerita tentang hal ini memandangkan umur pun masih setahun jagung kata orang. Cuma berdasarkan pengalaman sahabat-sahabat di sekeliling saya, dapatlah saya mengambil ibrah sedikit banyak daripada mereka. Ada seorang sahabat saya sudah pun bertunang, ada juga yang sedang hangat menjalinkan hubungan dengan 'seseorang'. Ada juga sudah diikat dengan satu ikatan tidak rasmi (sudah dicop orang).

Ada juga seorang senior saya yang pernah bercerita kepada saya bahawa sangat susah hendak menjaga hati dalam kalangan sesama sahabat yang bukan mahram. Apatah lagi, apabila berada di tempat belajar yang sama, bekerja di tempat yang sama, bahkan berchatting dalam satu laman yang sama. Dalam melaksanakan urusan dakwah pun, hati boleh tergugat, apatah lagi urusan-urusan lain.

Apa pun, perlu diingat bahawa perhubungan lelaki dan perempuan yang diredhai Allah hanya adalah selepas saat ijab kabul dilafazkan. Bukan ketika hati mereka sudah berpunya tanpa apa-apa ikatan. Sebab itulah, hati perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya tidak terjerumus ke arah kelalaian duniawi. Sememangnya perasaan ingin mencintai dan dicintai itu fitrah yang tidak boleh dihalang, tetapi perlu dikawal.

Ingatlah dan yakinlah bahawa jika ada jodoh pasti takkan ke mana. Asalkan kita terus mempersiapkan diri ke arah jalan yang diredhai Allah, Allah pasti akan menetapkan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.
Wallahu a'lam.




0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...