Alhamdulillah, syukur dipanjatkan atas nikmat iman dan islam kurnian-Nya. Sebut pasal iman ini, kita semua maklum iman yazid wa yankus. Bertambah dan berkurang. Tetapi hendak menstabilkan iman adalah sesuatu yang sangat sukar. Inilah pentingnya mujahadah. Jika kuat mujahadah, selamat iman, jika lemah jihad nafsu daalm diri, alamatnya jatuh iman kita.
Walaupun zaman sekarang bukan lagi zaman jahiliyah, tetapi jahiliyah moden yang menyerang masyarakat kini menjadi faktor utama lemahnya iman apatah lagi kurang mujahadah yang dilakukan. Saya sendiri pun masih lagi dalam proses bermujahadah dan mujahadah ini bukannya boleh dilakukan sekali dua, bahkan berterusan dari hari ke hari, jam ke jam, hatta dari saat ke saat nafas kita masih dapat dihirup.
Kekadang, nafsu yang membuak-buak mendorong kita ingin melakukan perkara yang kita anggap hanya untuk menghiburkan kita, tetapi hal itu melalaikan sehingga lupa pada batas-batas agama sehingga solat diabaikan, kerja-kerja Islam tertangguh, ilmu yang dipelajari terkubur begitu sahaja dan bermacam-macam lagi kesan-kesan negatif.
Cukuplah pengalaman saya sendiri menjadi iktibar. Kekadang melayan drama-drama Korea memang menyeronokkan. Alasannya untuk release tension selepas penat belajar. Tetapi tanpa sedar hati terganggu, dirasakan ada sesuatu yang lain dalam jiwa. Ketenangan seolah-olah diragut. Jahiliyah moden telah merosakkan hati walau dari segi luarannya masih kelihatan terjaga.
Tetapi, setelah saya merasakan hal itu (drama Korea) telah 'memusnahkan' diri saya, akhirnya saya diberi kekuatan untuk permanently delete semua fail cerita itu. Alhamdulillah, saya rasa seperti dilahirkan semula. Rasa tenang sangat-sangat. Selama ini terasa jauh daripada Allah, kini tidak lagi. Harap-harap tidak sama sekali. Sekalipun diuji, harapnya janganlah ujian itu menjauhkan diri saya daripada-Nya.
Jiwa saya makin terhibur dan riang apabila saya memaklumkan kepada rakan dan senior saya bahawa saya telah 'membunuh' jahiliyah moden itu, mereka serta merta mengucapkan tahmid. Saya tersentuh sangat-sangat. Barangkali mereka selalu mendoakan saya dan terlalu ingin melihat saya jauh daripada kelalaian duniawi yang sementara cuma.
Alhamdulillah sangat-sangat. Oleh sebab itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsi rasa gembira, tenang dan tenteram ini kepada anda semua. Kini, saya sedang menyibukkan diri untuk menghiburkan diri dengan sinar-sinar Islam. Jikalau kelapangan, sedaya upaya saya cuba untuk memenuhinya dengan tontonan ceramah-ceramah agama dan video yang memberi semangat dalam jiwa.
Saya tidak mempunyai kuasa untuk menyuruh anda meninggalkan semua karat jahiliyah dalam diri masing-masing kerana saya sendiri pun masih bertatih untuk mujahadah dan masih belum mampu mencapai darjat ketaqwaan yang tinggi, tetapi semoga pengalaman yang saya kongsikan kepada anda mampu menjentik pintu hidayah daripada Allah kepada anda, insya Allah disamping mujahadah dan doa yang sentiasa dipanjatkan pada-Nya.
Cumanya, bagi saya (yang masih belum kuat mujahadah), menghapuskan sumber-sumber yang boleh membawa kepada jahiliyah moden yang berupa hiburan yang melalaikan jiwa sangat WAJIB dilakukan. Kenapa?? Kerana iman manusia ini ada naik dan turunnya, tetapi dikhuatiri apabila iman kita lemah, kita akan terjerumus kepada kesesatan yang lebih teruk, nau'uzubillah.....semoga dijauhkan darinya.
Rasanya sekadar itu dahulu perkongsian saya. Bukanlah saya ingin membuka pekung di dada sendiri, cuma apa yang dinukilkan di sini diharapkan mampu menjadi peringatan buat anda dan diri saya terutamanya supaya kita sama-sama menjadi insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beramal dan ilmu yang diperoleh bukan untuk kebaikan sendiri semata-mata tetapi mampu bermanfaat buat insan yang lain.
Ampun maaf dipinta atas segala kekhilafan diri saya yang hina ini. Wallahu a'lam.
2 comments:
sama-sama kita bermujahadah mengikis karat jahiliyyah..
sungguh allah kasih kepada hambaNya yg sentiasa bertaubat.
Kamilah...insya Allah,same2 saling mengingati
Post a Comment