Kiasan Dosa - ular dan manusia

Salam mahabbah buat semua. Alhamdulillah, masih diberi peluang menulis. Insya Allah apa yang akan dikongsikan ini saya peroleh daripada sebuah halaqah ilmiah yang didoakan moga ianya terus istiqamah. Halaqah yang mentautkan hati-hati ke jalan Allah. Di situlah suka duka dikongsi. Iaitulah halaqah tazkirah sesama ahli rumah sewa saya setiap malam Jumaat. Rindu halaqah usrah bersama sahabat-sahabat di Malaysia terubat jua dengan adanya halaqah penuh bermakna ini.

Seorang ahli rumah saya memulakan tazkirah dan perkongsiannya. Tajuk yang cukup ringkas tetapi cukup bererti. "Kiasan Dosa". Kisahnya bermula begini. Ada seorang lelaki yang membela seekor ular yang masih 'bayi'. Dia mengasuh ular itu sehingga ia besar dan mengikut kata-kata lelaki tersebut. Dia mengajar ular itu supaya bijak melakukan aksi-aksi tertentu untuk tujuan sarkas.

Setelah ular itu besar, lelaki itu membawa ular itu ke pusat sarkas untuk ujian pertamanya. Ternyata, usahanya berhasil. Ular itu mematuhi segala arahan tuannya dalam beraksi. Semua penonton sarkas teruja. Wah! Hebat ular itu. Lelaki itu gembira bukan kepalang. Apatah lagi wang yang diperolehinya hasil pertunjukan itu juga sangat-sangat lumayan.

Namun, satu hari, semasa pertunjukan seterusnya, sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Semasa sedang beraksi, lelaki itu memberi arahan supaya ular itu membelit badannya, kemudian melepaskan lilitan tersebut. Tetapi, malangnya ular itu terus membelit dan membelit sehingga akhirnya lelaki itu mati. Innalillahi wainna ilaihi rojiu'n.

Berdasarkan kisah yang dibawakan, boleh dikiaskan dengan dosa manusia. Dosa yang dilakukan sungguh mengasyikkan dan memberi keuntungan di dunia, namun tanpa sedar dosa itu memakan diri manusia itu sendiri sebagaimana tuan ular itu dibunuh oleh ular peliharaannya sendiri akibat keasyikan dirinya ingin mendapat wang dan keuntungan melalui pertunjukan ular itu.

Sememangnya lelaki itu pasti tahu kesan dan akibat tindakkannya apatah lagi ular ialah seekor haiwan yang berbahaya. Sebagaimana juga manusia. Ramai yang mengetahui mengumpat haram, rasuah haram, berzina haram, dan ada pembalasan yang pedih bagi setiap dosa yang dilakukan itu tanpa taubat kepada Allah. Tetapi masih juga melakukannya demi keseronokan dan kesenangan dunia semata-mata.

Sebagai contoh, dosa mengumpat. Memang seronok menjaja cerita orang ke sana sini. Lagi seronok apabila ramai yang suka mendengar umpatan itu. Namun, dalam keseronokan itu, orang yang mengumpat itu sebenarnya melabur dosa dengan umpatannya sendiri di mana di akhirat nanti dia akan diazab Allah dengan memakan bangkai saudaranya sendiri. Nau'zubillah.

 “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” 
Al-Hujuraat ayat 12

Semoga kiasan dosa melalui kisah ular dan lelaki tadi mampu menyentik keinsafan dalam diri kita. Walaupun kita hanya memandang ianya mudah dan ringan, namun, awas! Kerana dosa memakan diri sendiri. Sekalipun tidak dibalas di dunia, mahkamah Allah tidak melepaskan pendosa daripada azab-Nya di akhirat kelak. Sama-sama muhasabah diri. Wallahu a'lam.


" Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa bertaubat. Terimalah taubat kami dan masukkanlah kami dalam redha dan rahmat-Mu. Kami berlindung dengan-Mu daripada azab seksa yang sungguh pedih. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun lagi menerima taubat. Ameen."


1 comments:

subhanallah,,..
rindunya pada sahabat ini sorang.
mesti ISLAM meluncur di skeliling enti.
semoga Allah redha. :)

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...