Remaja cerminan anak-anaknya.

Salam ukhuwwah buat semua yang setia bertandang ke blog 'lihat,fikir,amal'. Moga Allah redha dengan kalian semua.


Saya pernah terbaca satu cerpen yang mengisahkan seorang perempuan solehah yang disyaki ada penyakit yang mana hidupnya dijangka sudah tidak lama di dunia ini. Kemudian perempuan itu menggunakan orang tengah untuk meminang seorang lelaki yang baginya sangat soleh untuk dikahwininya bagi tujuan mendapatkan zuriat dengan harapan anak yang bakal dilahirkannya itu akan dididik supaya menjadi anak yang soleh selagi mana dia masih mampu meneruskan kehidupan. Anak yang soleh itu diharapkan juga dapat mendoakan ibu bapanya nanti. Akhirnya perempuan itu menemui Ilahi dan syukur sekali kerana berkat didikan lelaki tadi dan arwah perempuan itu, anak yang dilahirkan menjadi anak yang sangat soleh yang sudah mampu menghafaz al-Quran dalam umur tujuh tahun.

Saya kagum dengan kisah dalam cerpen tersebut. Dalam hati, saya terfikir adakah wujud insan seperti perempuan itu? Dalam hayatnya yang sudah tidak lama, namun masih sanggup berkahwin dan mengambil risiko mengandung dan melahirkan anak semata-mata ingin mendapat satu saham yang cukup besar yang dijanjikan Allah itulah anak yang soleh. Oleh sebab itu juga dia berkahwin dengan seorang lelaki yang soleh yang diyakini mampu mendidik anak itu menjadi hamba yang bertaqwa.


Sabda Rasulullah saw:
Apabila seseorang anak adam( manusia ) meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dari 3 hal iaitu,
1. Sedekah yang mengalir ( jariah ),
2. Ilmu yang bermanafa'at, dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan untuknya.
(Diriwayatkan oleh Muslim)

Anak yang soleh??

Siapa tidak mahukan anak yang soleh, bukan? Persoalannya sejauh manakah persediaaan seorang muslim dalam mempersiapkan dirinya bagi melahirkan anak yang soleh? Adakah selepas rumah tangga mula dibina? Adakah setelah seorang isteri diberitakan hamil? Adakah usai melahirkan anak?

Saya masih belum bernikah. Jadi tidak layak rasanya untuk mengulas panjang hal ini. Tetapi, saya pernah dipesan oleh sahabat yang saya sangat kasihi. Dia menasihati saya bahawa anak yang kita bakal lahirkan adalah diibaratkan diri kita sekarang. Jika akhlak kita baik, insya Allah kita mampu mendidiknya menjadi baik. Namun, jika sebaliknya diri kita, sebaliknya jugalah yang bakal berlaku kepada anak itu.

Jujur saya katakan, saya pun bukanlah insan yang sempurna apatah lagi menulis hal ini menganggap diri sendiri sudah cukup baik. Saya juga sebenarnya masih ke arah menjadi insan yang baik. Cumanya saya menulis hal ini supaya kita sama-sama bermuhasabah diri dan mengkoreksi kembali diri kita. Anak kita adalah diri kita yang sekarang. Ingat! hendak melahirkan anak yang soleh bukanlah sesuatu yang mudah.

Persediaannya?? Bukan setelah diri dilamar, bukan juga setelah bernikah, bukan juga setelah mendapat anak...tetapi SEKARANG. 

Perkahwinan bukanlah matlamat utama tetapi perkahwinan hanyalah satu wadah, wasilah, dan langkah ke arah matlamat yang utama iaitu KEREDHAAN ALLAH. Dengan sebuah perkahwinan yang berkah antara dua insan yang soleh dan solehah akan melahirkan anak-anak yang soleh yang mampu mendoakan ibu bapanya dan menjadi insan bertaqwa yang memajukan ummah. Hasilnya insya Allah akan membawa kepada keredhaan Allah yang menjanjikan syurga-Nya melalui rahmat-Nya yang meluas.

Ayuh! Persiapkan dirimu wahai remaja!!! Demi masa depan ummah tercinta dalam kita menggapai redha Ilahi....Wallahu a'lam.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...