Subhanallah. Seronoknya apabila didoakan hanya kerana bersin. Apatah lagi, insan yang mulia yang mendoakan kita moga dirahmati Allah. Itulah sebenarnya antara fenomena yang berlaku di Universiti Mutah. Ini adalah amalan yang saya perhatikan selalu diamalkan oleh pensyarah-pensyarah di sini.
Tahukan anda amalan ini adalah antara sunnah Rasulullah s.a.w yang jarang-jarang sekali diamalkan oleh umat Islam pada hari ini. Jikalau ada sekalipun, hanya segelintir cuma. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dengan ucapan yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia iringilah (jenazahnya).” (Hadis Riwayat Muslim)
Bersin adalah nikmat Allah kerana angin yang terperangkap pada bahagian badan dipermudahkan oleh Allah untuk keluar sehingga insan berasa lega. Oleh sebab itu disyariatkan kepadanya agar bersyukur kepada Allah dengan mengucapkan tahmid اَلْحَمْدُ للَّه (segala puji milik Allah).
Dan disyariatkan pula kepada saudara seagamanya yang mendengar tahmid itu untuk mentasymitkan/mendoakannya.
Namun hak ini tidak perlu pula dipenuhi sekiranya seseorang muslim itu bersin tetapi ia tidak bertahmid kepada Allah. Hal ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w.
Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, "Yaharmukallah." Yang seorang lagi yang tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, "Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?" Nabi Muhammad menjawab, "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah."
Subhanallah, hebatnya Islam. Indahnya syariat. Walaupun hanya bersin, doa dihadiahkan buat kita. Namun, syaratnya kita mestilah melafazkan tahmid usai bersin. Setiap yang Rasulullah s.a.w lakukan pasti ada hikmahnya. Tidak lain tidak bukan ianya memberi kita satu kepuasan dengan bersin, apatah lagi menyihatkan tubuh badan. Alhamdulillah, Subhanallah.
Jadi, apa tunggu lagi. Sama-samalah kita menghidupkan sunnah ini. Walaupun kelihatan ringkas dan terlalu simple, tapi, jika kita berusaha untuk mengamalkannya demi mengikut jejak langkah Baginda s.a.w dan mendapat rahmat Allah, insya Allah rahmat-Nya pasti milik kita. Jangan berfikir panjang untuk mengamalkannya.
Liha, fikir, dan amal...Sebar-sebarkan juga pada saudara se-Islam yang lain. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat Allah di sepanjang hidup kita, insya Allah....Wallahu a'lam.
0 comments:
Post a Comment