Cinta di PLKN


Alhamdulillah,ana selamat pulang ke rumah selepas berjuang di PLKN, Cherating.
Seronok ada, sedih pun ada, yelah walaupun seketika pertemuan ana dengan sahabat-sahabat dan jurulatih serta pihak pengurusan kem, semua itu kini menjadi kenangan terindah buat ana.
Segala pahit manis yang dilalui di sana begitu mengajar kepada ana erti kehidupan yang sebenar.
Ana pun tak tahu nak ceritakan apa kepada antum tentang keadaan di sana tetapi jujur ana katakan, ana sudah jatuh cinta dengan PLKN.
Walaupun banyak kekangan yang perlu dihadapi dalam menjalani hidup sebagai hamba Allah, seorang dai'e, seorang pelatih dan seorang sahabat, semuanya benar-benar mematangkan diri ana untuk meneruskan perjuangan yang sebenarnya baru bermula.
PLKN bagi ana pentas terbaik untuk  menjalani liku-liku hidup yang lebih mencabar pada masa akan datang.
Syukran jaziilan buat sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa menyokong ana untuk terus thabat ketika berada di sana.
Dan buat sahabat-sahabat yang bakal meyusul ke PLKN untuk sesi seterusnya, persiapkanlah fizikal dan mentalmu....serta kuatkan hubungan dan keimanan kepada Allah sebagai persiapan dan bekal ke sana nanti.
Apapun, fikirkan ungkapan yang sering meniti di bibir jurulatih multiskill ana di PLKN iaitu :
"Bagaimana untuk kita memulakan sesuatu perkara itu tidak penting tetapi apa yang penting adalah bagaimana kita mengakhirinya"
Semoga ukhuwwah yang terjalin antara sahabat dan murabbi di sana sentiasa mekar di bawah naungan-Nya.

Wallhu A'lam

Aduhai Umat Islam

Pergolakan di Mesir semakin hari semakin meruncing.
Alhamdulillah kerana keadaan abang ana dan isterinya serta rakyat Malaysia yang lain masih selamat.
Begitulah keadaannya apabila pemerintahan Hosni Mubarak tidak dipersetujui oleh rakyat Mesir namun beliau masih enggan meletakkan jawatan.
Apapun, kita di Malaysia ini perlu teruskan kehidupan dan sama-samalah kita doakan apa yang terbaik untuk seluruh umat Islam.

Hari ini ada sesuatu yang ana ingin kongsikan melalui pengalaman yang ana dapat semasa di PLKN sebelum ana pulang bercuti.
Mungkin bagi orang lain ianya tiada erti apa-apa tetapi bagi ana perlu ana kongsikan untuk sama-sama kita fikirkan demi kemaslahatan umat Islam dan Islam keseluruhannya.
Semasa di sana, ana ada berkawan dengan seorang non muslim.
Mula-mula rasa kekok...yelah sebab dia bukan seagama dengan kita.
Tetapi ada sesuatu yang ana kagum dengan dia ialah dia seorang yang agak tahu tentang Islam.
Mungkin kerana dia bersekolah di sekolah yang ramai muslim.
Dia juga pandai menyayikan lagu Barakalllah ( Maher Zain) dengan fasih sekali.
Dia juga selalu menyebutkan "sabar itu sebahagian daripada iman" kepada ana kalau ana kelihatan kurang sabar tehadap sesuatu perkara.
Bahkan dia pernah menyuruh ana menulis sepotong ayat Al-Quran dalam bahasa melayu iaitu "Alfitnatu asyaddu minal kotli" yang bermaksud memfitnah lebih buruk daripada membunuh untuk membalas tuduhan seseorang terhadapnya.
Ana terkejut kerana dia tahu ayat itu melalui kawan-kawannya di sekolah dahulu.
Pernah sekali ana berbual dengannya.....
Saya : Pernah tak awak baca tafsir Al-Quran?
Dia : Tak, Why should me?
Saya : Just to know...
Dia : Orang Islam sendiri pun tak amal ajarannya, jadi tak perlu saya nak tahu....
(Lebih kurang macam itulah perbualan kami )

Apabila ana mendengar jawapannya, ana rasa sangat terkilan.
Ana dah tak tahu nak jawab apa...Kelu seribu bahasa.
Dalam hati ana harap ana dan sahabat-sahabat muslim yang lain dapat tunjukkan Islam kepada dia dan non muslim yang lain.
Patutlah orang bukan Islam yang dekat dengan Islam tak diberi hidayah oleh Allah....mungkin kerana sikap orang Islam itu sendiri.
Berapa ramai yang mengaku Islam tapi tak betul-betul mengamalkan Islam.
Memang betul apa yang diperkatakan kawan non muslim ana itu.
Islam itu agama yang sempurna tapi orang bukan Islam tak dapat nak lihat keindahan dan keunggulan Islam kerana ianya tidak diamalkan betul-betul oleh orang Islam.
Sama-samalah kita muhasabah diri dan berubah ke arah yang lebih baik agar Islam kembali dijulang oleh orang bukan Islam.
Cuba kita ambil pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW....ramai orang bukan Islam memeluk Islam kerana akhlak mulia baginda sendiri....
Biarpun baginda dihina dan dikeji oleh orang bukan Islam, namun layanan dan sikap baginda terhadap mereka tetap baik dan menyenangkan.
Itulah antara sebab mereka memilih Islam sebagai cara hidup mereka.
Bagaimana pula dengan kita??? Tepuk dada tanya iman.

Ingatlah, tegakkan Islam dalam dirimu nescaya akan tertegaklah Islam di atas muka bumi ini.
Wallahu a'lam

D.U.I.T

Ramai orang inginkan duit.
Tapi duit bukanlah senang untuk dicari.
Sekarang semua benda perlukan duit.
Yang hidup mahupun yang meninggal dunia perlukan duit.
Yelah nak kapankan jenazah pun perlukan duit.
Tapi ada duit yang senang dicari, bahkan menguntungkan dunia akhirat.

D- Doa
U- Usaha
I- Istiqamah
T- Tawakkal

Memang tidak dinafikan perjalanan hidup manusia penuh dengan cabaran.
Tapi formula DUIT ini dapat memudahkan hidup kita.
Namun, nak amalkan DUIT ini perlukan ketekunan.

Berdoa janganlah diharapkan makbulnya serta-merta.
Usaha pula tidak boleh sekerat jalan tapi 100% kesungguhan.
Istiqamah sangat memerlukan mujahadah melawan nafsu duniawi.
Tawakkal pula menguji adakah kita benar-benar bergantung kepada-Nya.

Ayuh kita amalkan formula ini.
Nampak susah tapi mudah dengan berjihad ke arahnya.
Nampak macam bersifat keduniaan, namun sangat menguntungkan kita di akhirat kelak.
Ingatlah, akhirat yang kita kejar pasti dapat rahmat Allah dan dunia turut mengiringi kita.
Namun, jika dunia yang kita kejar, pasti akhirat akan lari...

Lihat, fikir-fikirkan, dan janganlah ragu-ragu untuk beramal.
Wallahu A'lam...

      VS

Janganlah ayik mengejar DUIT untuk dunia semata-mata tapi kejarlah DUIT untuk dunia dan akhirat...

Aku Pulang

Alhamdulillah, ana dah selamat pulang ke rumah selepas hampir sebulan berkampung di Kem Cahaya Gemilang Cherating, Pahang.
Seronok dapat balik tapi sekejap saje...nanti dah nak kena sambung kem.
Apapun, alhamdulillah....bersyukur sangat sebab PLKN taklah seteruk yang disangka.
Setiap aktiviti yang dilakukan memang menyeronokkan dan menguji minda.
Aktiviti fizikal pula sangat menguji ketahanan dan kekuatan tubuh badan.
Tapi yang paling bersyukurnya ialah penekanan solat lima waktu secara berjemaah dan kelas kerohanian dua minggu sekali.
Setakat ini semuanya okay cuma aurat dan pergaulan antara lelaki dan perempuan mestilah dijaga.
Halaqah usrah dengan sahabat-sahabat yang selalu dibuat semasa sekolah dulu pun dapat diteruskan.
Apabila menyertai usrah itu, semangat untuk berdakwah di sana semakin membara walaupun cabarannya bukanlah semudah yang disangka.
Tiba-tiba rindu pulak sahabat-sahabat ana yang selalu diisi jiwanya dengan perkongsian dalam usrah.
Semoga sahabat2 dapat melaksanakan kem di SMKAKA nanti seperti yang dirancang dengan jayanya.


 Sebenarnya, mana-mana pun kita pergi kita bukan membawa diri kita semata-mata tetapi ISLAM...
Biarlah orang tengok Islam dalam diri kita.
Kita perlu tunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang terhad skopnya tapi luas....Islam is the way of life...
Tak salah untuk kita tonjolkan diri kita demi Islam tapi yang penting syariat mestilah sentiasa dipelihara.
Apapun, banyak lagi  perkara yang perlu dipelajari dan PLKN merupakan salah satu pusat pembelajaran dan pentarbiahan jiwa...
Kadang-kadang di sana jiwa kita digoyah, iman kita diuji dan perasaan kita bercampur baur....namun hanya dengan mengingati Allah, hati kan sentiasa tenang!!
Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar kehidupan kita dirahmati dan diredhai sentiasa walau di mana-mana pun kita berada, Insya Allah...


"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik "
Surah Ar-Rum : 69

Wallahu A'lam

Perjuangan Diteruskan

Alhamdulillah, semuanya dah siap dikemas dan dipacking.
Dalam sejam dua lagi ana akan bertolak ke Cherating untuk PLKN.
Sedih juga sebab terpaksa tinggalkan rumah dalam dua bulan lebih, tapi perjuangan tetap perlu diteruskan.
Semangat nak ke sana naik juga dengan adanya sokongan daripada sahabat- sahabat tercinta.
Thanks sahabatku kerana menyokongku.
Mereka berpesan kepada ana untuk terus berdakwah di sana.
Harapnya ana dikurniakan sahabat-sahabat yang sefikrah untuk sama-sama berjuang menegakkan Islam di sana.
Semoga antum dapat mendoakan ana dan rakan-rakan seperjuangan dalam menyelesaikan misi di PLKN.
Nampaknya blog ana pun terpaksa ana tinggalkan bersarang tanpa post baru.
Apapun janganlah malu dan segan untuk terus mengunjungi blog ni ye!!
Semoga berjumpa lagi...

"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik jika kamu mengetahui"
(Surah At-Taubah : 41)

Wallahu a'lam

Hidup Seperti Layang-layang

Semalam, ana dan keluarga ke KT untuk menghantar adik ke SMAASZA.
Dalam perjalanan pulang ana menikmati suasana petang yang seronok kerana cuaca kembali cerah setelah agak lama hujan.
Ketika dalam van ana bertambah seronok apabila mendengar lagu nasyid Patah Hati daripada kumpulan Saujana menerusi siaran IKIM.fm
Serta merta ingatanku kepada sahabat-sahabat menjengah ke mindaku...Huda, Hamizah, dan Islah
Yelah, ketika zaman persekolahan dulu selalu juga dengar lagu itu dan lagu itu selalu buat kami gembira.
Dalam perjalanan pulang juga ana melihat beberapa layang-layang bertebangan di udara.
Beberapa orang budak sedang seronok menikmati angin petang dengan bermain layang-layang.
Teringat pula masa kecil-kecil dulu ana dan adik-adik selalu bermain layang-layang.

Tatkala melihat layang-layang, ana tiba-tiba terfikirkan sesuatu perkara.
Layang-layang ibarat kehidupan kita.
Layang-layang bebas terbang di udara mengikut arah yang disukainya.
Namun, walaupun ia kelihatan bebas, ia tidak boleh pergi terlalu jauh kerana dikawal oleh si pemain layang-layang yang mengikat benangnya pada pemegang.
Hal ini menyebabkan layang-layang bebas mengikut hembusan angin yang dikawal oleh benang yang diikat.
Tapi, apabila benang layang-layang terputus, ia bebas ke mana-mana hatta tempat yang jauh yang ingin dituju kerana tidak ada lagi yang mengikat dan mengawalnya.
Akhirnya, ia akan tersungkur jatuh ke tanah ataupun tersangkut pada mana-mana dahan pokok.

                           Layang-layang yang terbang bebas

Begitulah kehidupan manusia...ibarat layang-layang.
Manusia bebas menjalani kehidupan di dunia ini sama ada nak beribadah, berhibur, bersosial, bermain, bermuamalat dan sebagainya.
Islam tidak pernah menyekat kebebasan manusia dalam melakukan sesuatu untuk menyempurnakan hidup di muka bumi ini.
Namun, manusia juga terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu syariat Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah ibarat layang-layang yang terikat dengan benang dan talinya.
Hal ini menyebabkan manusia tidak boleh melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati melainkan dengan mengikuti segala suruhan dan larangan Allah.
Islam bukanlah agama yang mengongkong tetapi agama yang istimewa kerana setiap larangan dan suruhannya ada hikmahnya yang tersendiri.
Jika tidak mematuhi syariat Islam yang sebenar, jadilah manusia itu seperti layang-layang yang putus tali....Tiada arah tujuan, bebas tanpa pegangan hidup yang akhirnya membawa kepada kebinasaan hidup ibarat layang-layang yang akhirnya rosak jatuh ke tanah dan musnah dek terlekat pada dahan pokok.

   Janganlah jadi seperti layang-layang yang tersangkut ni!!

Jadi, hidup ini seperti layang-layang dan jadilah kita seperti layang-layang yang terikat talinya pada pemegang ibarat terikatnya kita pada tali Allah.
"Barangsiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah maka sungguh dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui"
(Al-Baqarah : 256)

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu"
(Al-Baqarah : 208)

Wallahu A'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...