Doa Permudah Bicara

"Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, lepaskanlah kekakuan daripada lidahku, agar mereka mengerti bicaraku"

Doa ini sebenarnya dibaca oleh Nabi Musa a.s yang dicatat dalam al-Quran, surah Taaha ayat 25 -28. Nabi Musa memohon pada Allah dengan membaca doa ini ketika mana baginda ingin menghadapi Firaun yang zalim lagi kejam yang mengaku dirinya sebagai tuhan, semoga baginda dimudahkan dalam urusan dakwah baginda kepada Firaun.

Sebelum memulakan sebarang ucapan, doa ini lazimnya dibaca dengan harapan apa yang disampaikan memberi kesan kepada pendengar dengan izin-Nya. Ketika menuntut ilmu, sebelum guru memulakan pengajarannya, doa ini sering kali juga dibaca. Tetapi, apa yang perlu diingati, bukan pelajar sahaja yang perlu membacanya namun doa ini sepatutnya dibaca juga oleh guru-guru apatah lagi yang ingin menyebarkan pengetahuan dan ilmu tidak lain tidak bukan adalah guru itu sendiri. Moga-moga pengajaran guru difahami pelajarnya.

Apa pun, ayuhlah kita sama-sama mengamalkan doa ini dalam segenap kehidupan kita dan jadikanlah doa ini kewajipan yang perlu dibaca selepas menunaikan solat. Semoga hati kita senantiasa dilapangkan Allah, urusan kita dipermudah dan segala kekeluan tutur bicara kita diuraikan agar sesiapa yang mendengar tutur kata kita memahaminya mendapat manfaat daripadanya, insya Allah.

Sesungguhnya, segala ilmu, hikmah, nikmat dan apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah jua.
Subhanallah.......

Wallahu a'lam.

Sebaik-baik perancangan dan penentuan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang.
Sungguh! Dialah sebaik-baik perancang dan penentuan.
Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah lah yang menentukan.
Kekadang penentuan-Nya lebih daripada apa yang kita sangkakan.
Kasihnya Allah pada kita...Subahanallah...Alhamdulillah.
Tapi, ada ketika takdir-Nya kekadang menghampakan kita.
Opps! jangan sedih dan kecewa.
Ketahuilah bahawa Allah sedang menguji kita.
Sejauh manakah  kita bersyukur dengan-Nya.
Setinggi manakah kesabaran kita atas dugaan-Nya.
Allah tidak pernah zalim tapi kita yang zalim.
Astaghfirullah....

p/s : Saya sedang memujuk diri atas dugaan-Nya. Terasa happy sangat kerana apa yang dirancang kelihatan akan berjalan lancar. Namun, sangkaan saya meleset. Allah telah menguji dengan cabaran yang perlu dihadapi. Mungkin peringatan kerana terlupa bersyukur setelah perancangan yang saya lakukan baik-baik sahaja. Ataupun mungkin Allah ingin menguji kesabaran saya. Wallahu a'lam....Apa pun keampunan dimohon agar dosa dihapuskan. Doa turut dipanjatkan moga dipermudah segala urusan dan perancangan.

Allah sahajalah sebaik-baik perancang dan penentu....

Ukhuwwah itu indah


Alhamdulillah wa syukurillah kerana Allah masih mengizinkan saya untuk terus istiqamah menulis dalam blog ini walaupun tidak sekerap mana dan isi kandungan post tidaklah begitu menarik. Namun, setiap catitan kalam saya dalam blog 'lihat fikir amal' ini tidak lain tidak bukan adalah untuk peringatan buat diri saya yang hina ini dan semoga apa yang baik dijadikan pedoman buat anda semua.

Alhamdulillah, selama tiga hari saya selamat menyertai program Minggu Haluan Siswa (MHS) Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA). Ya Allah sukar untuk digambarkan dan diungkap dengan kata-kata tentang apa yang saya rasai selepas program ini. Syukur sangat -sangat. Untuk melaporkan semua aktiviti yang terdapat di dalamnya rasanya tidak mampu saya nukilkan cumanya apa yang begitu memberi makna dalam diri saya adalah berkenaan ukhuwah.

Sudah pastinya dalam mana-mana program untuk pelajar baru sekalipun, pasti ditekankan dengan nilai ukhuwah fillah iaitu berukhuwah semata-mata kerana Allah. Dalam MHS yang saya sertai ini, salah satu modul yang membuatkan saya lebih menghayati dan menghargai ukhuwah ialah makan bertalam iaitu satu talam dimakan oleh ramai orang. Ianya juga sememangnya budaya pelajar Malaysia di Jordan.

Namun, apa yang lebih, hebat dan beruntungnya saya ialah syarat makan bertalam itu ialah "tiada suapan untuk diri sendiri". Maknanya setiap ahli kumpulan tidak boleh makan sendiri tetapi hendaklah saling menyuap makanan antara satu sama lain.  Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini menggelikan dan mengotorkan tetapi bagi saya ia sebenanya menguji nilai ukhuwah dalam diri seseorang.

Apakah sanggup kita menyuap makanan ke dalam mulut orang lain? Orang itu mungkin akan menjilat jari kita dan kita terpaksa menyentuh mulut dan lidah mereka. Semua itu hanyalah sedikit jika ingin dibandingkan dengan rakan kita yang sanggup menggadaikan harta, tenaga, bahkan apa sahaja demi persahabatannya dengan kita. Tetapi mengapa rakan kita itu sanggup melakukan sedemikian? Tidak lain tidak bukan adalah kerana ukhuwah fillah...bersahabat semata-mata kerana Allah.


Alhamdulillah, ukhuwah diuji dan indah sekali andai dilakukan semata-mata kerana Allah walaupun terpaksa menyuap rakan sendiri. Tapi syukur yang teramat sangat kerana sekurang-kurangnya modul suap-menyuap itu dapat mengubat jiwa yang rindu terhadap ibu bapa tercinta tatkala teringat bagaimana mereka juga menyuap makan minum kita semasa masih kecil.

Walau apapun, di perantauan orang ini yang jauh daripada keluarga, hanya sahabat-sahabat dan ahli dalam persatuan sahajalah yang menjadi tempat bergantung di samping Allah yang paling utama. Merekalah ibu, merekalah bapa. Siapa lagi tempat meminta bantuan, sumber rujukan, dan bahu untuk menumpang sedih tawa kalau tidak sahabat-sahabat.

Tidak kiralah sahabat yang berada di Jordan, Malaysia, di blog 'lihat fikir amal' atau di mana-mana sahaja, semoga ukhuwwah yang terjalin kerana-Nya membawa kita semua ke syurga...insya Allah. Allahu Akbar!!!

Wallahu a'lam

Sebutlah Nama Allah

Alhamdulillah, sudah genap seminggu saya berada di bumi Jordan ini. Hamdalah sangat-sangat kerana semuanya baik-baik belaka setakat ini. Namun ujian yang menimpa benar-benar mengajar erti kesabaran dan keredhaan atas ketentuan Ilahi. Sesungguhnya baik buruk sesuatu perkara yang terjadi berada dalam suratan takdir-Nya.

Bukan senang untuk terus istiqamah dan mujahadah dalam perjalanan hidup kita kan? Setuju tak? Tapi mengapa ianya sangat payah dan sukar bak melalui onak duri? Sudah semestinya kerana syurga itu manis. Sebelum menjejak langkah ke bumi anbiya' ini, sering kali saya dinasihati supaya mentajdid niat iaitu selalu membetulkan niat datang ke Jordan untuk menuntut ilmu kerana Allah. Bukan sekadar berilmu, tetapi juga beramal. Moga-moga niat saya tidak tersasar...nau'zubillah.

Alhamdulillah sekali lagi walaupun sebenarnya tidak cukup syukur dengan hamdalah sahaja kerana saya dipertemukan dengan insan-insan yang banyak mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Antara insan yang dimaksudkan ialah sahabat saya sendiri iaitu Nor Arina Abdul Rahman. Wah! Seakan-akan ingin membuat biografi pulak.

Apa yang buat saya sangat terkesan dan terlalu ingin mencontohinya adalah kerana satu sifat mulianya yang selalu menyebut nama Allah, tasbih, istighfar dalam percakapannya. Apabila mendengar sahaja kalimah-kalimah indah lagi mulia itu, lidah saya secara langsung menyebutnya juga.

Subhanallah, sejak bersahabat dengannya, satu amalan mulia yang perlu dipraktikkan dalam hidup saya adalah membaca basmalah setiap kali ingin melaksanakan sesuatu. Sahabat saya ini walaupun benda itu terlalu simple, namun nama Allah tidak pernah lekang di bibir.

Alhamdulillah, syukur kerana di bumi berkah ini saya dibukakan pintu hati oleh Allah untuk sentiasa bermuhasabah dan digerakkan seluruh anggota badan untuk melakukan kebaikan. Moga Allah terus menetapkan hati kita dalam ketaatan kepada-Nya walau di mana-mana jua kita berada.

Tidak lupa juga kutitipkan secebis doa buat sahabat saya, Nor Arina kerana melaluinya, Allah telah mengajar saya sifat yang mulia walaupun dilihat kecil. Insya Allah, ringan dan kecil di dunia tetapi besar dan berat di akhirat. Moga Allah meredhai sahabatku, Nor Arina dan keluarganya.

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri"
-Fussilat:33-

Saat kakiku di Jordan

Alhamdulillah,tanggal 15 September 2011,saya dan sahabat-sahabat selamat tiba di bumi Jordan. Saat itu, saya mula merasakan perjuangan saya dalam jihad mencari ilmu baru sahaja bermula. Perasaan sedih lantaran berjauhan dengan keluarga kekadang terasa. Namun, apapun saya tidak boleh terlalu mengikut perasaan kerana kini, tuntutan mencari ilmu di bumi berkah perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Walau jauh di mata tetapi dekat di hati dengan tautan doa kepada-Nya.

Saya ada berborak-borak dengan seorang senior di rumah transit yang saya duduki iaitu Kak Aisyah Jamil. Beliau sempat berpesan kepada saya untuk bersabar sebanyak-banyaknya. Menetap dan belajar di tempat orang bukan sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan mujahadah, kesabaran, dan pergantungan pada Allah dengan sepenuhnya.

Walaupun kuliah masih belum bermula, debaran sudah semakin terasa. Saya cuba membayangkan bagaimana nanti saya perlu menghadapi kuliah dengan pensyarah di Jordan dan merasai suasana pembelajaran bersama orang yang bukan sebangsa dengan kita. Pesan pensyarah saya di kursus bahasa untuk memberanikan diri bertanya kepada pensyarah masih kuat di ingatan saya. Insya Allah, saya boleh!!

Pengalaman berjalan-jalan di sekitar kawasan Mu’tah kekadang menakutkan saya. Gelagat orang arab yang pelbagai membuatkan saya agak gerun. Ragam masyarakat, biasalah ada yang baik dan ada yang jahat. Lantas, senior-senior selalu berpesan supaya kami sentiasa berhati-hati terutamanya apabila melibatkan barang berharga dan ketika bermuamalah dengan orang arab di sini.

Inilah masanya penguasaan bahasa arab diuji tidak kira bahasa ammi atau fusha. Saya dan seorang rakan saya pernah ditegur oleh orang arab, namun kami hanya dapat menangkap sedikit sahaja daripada apa yang diperkatakan. Sedihnya rasa sebab tak dapat nak faham apa yang mereka cakap. Apatah lagi bahasa arab saya masih belum kukuh tetapi insya Allah akan cuba dipertingkatkan dengan lebih baik.

Apapun, saya bersyukur kerana setakat ini semuanya baik-baik belaka dengan adanya bantuan daripada senior-senior yang menguruskan segala keperluan kami dari sudut kemasukan universiti dan penempatan. Namun, tiada yang memudahkan jika Allah tidak memudahkan. Alhamdulillah. Tetapi, ini baru permulaan dan sebarang ujian dari Allah kekadang tidak pernah kita jangkakan. Sesungguhnya hanya Allah tempat bergantung sepenuhnya di samping para sahabat yang tidak betah membantu insan kerdil seperti saya.

Saya sangat-sangat mengharapkan anda semua mendoakan saya dan para pejuang ilmu di bumi Jordan ini dan seluruh mujahideen ilmu yang hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Moga kita semua dibetulkan niat dalam setiap amalan yang dilakukan dan semoga Allah meredhai kita semua.

        pemandangan di sekitar kawasan perumahan saya
             
Salam perjuangan daripada saya di bumi anbiya'.
Wallahu a'lam...

Jordan vs Mesir

Salam mahabbah buat semua. Semoga dinaungi rahmat dan hidayah-Nya selalu. Hmm..Jordan vs Mesir? Sering kali diperkatakan dan dipersoalkan isu belajar di Mesir dan Jordan. Mungkin kerana kebanyakan pelajar Malaysia kini ramai yang tertumpu untuk ke negara-negara ini khususnya untuk bidang pengajian Islam.

Apa bezanya belajar di Jordan dan Mesir? Saya acap kali juga diberitahu tentang hal ini. Kata mereka, belajar di Jordan lebih bagus daripada Mesir kerana sistemnya yang sistematik dan teratur. Di Jordan, kehadiran ke setiap kuliah diwajibkan manakala di Mesir kehadiran wajib ketika hendak menduduki peperiksaan. Salah satu sebab tidak diwajibkan di Mesir adalah kerana bilangan pelajar yang terlalu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Lalu, ada pelajar di Mesir tidak hadir ke kuliah melainkan hari peperiksaan sahaja.

Saya mendapat maklumat lagi bahawa jika di Jordan penyertaan di dalam kelas pula dikira sebagai markah dan bahasa yang digunakan di dalam kuliah kebiasaannya bahasa fusha(bahasa baku) berbanding di Mesir yang tidak dikira markah penyertaan dalam kuliah dan kebayakannya menggunakan bahasa ammi(bahasa pasar).

Info inilah yang saya peroleh dalam misi saya menuju permusafiran ilmu di bumi Jordan. Kelihatan seolah-olah kelebihan dari segi sistem pelajaran berpihak kepada tempat saya bakal belajar. Namun, itu cuma kata-kata orang. Kebenarannya masih belum kelihatan di hadapan mata saya.

Saya menulis hal ini bukanlah ingin menunjukkan Jordan adalah tempat terbaik untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama khususnya, mahupun bidang-bidang lain. Mentang-mentanglah, saya bakal ke sana. Tidak sama sekali jika anda merasakan saya sedemikian rupa.

Ya! dari segi sistem pembelajaran dan pengajaran mungkin lebih kepada Jordan. Namun, saya ingin menegaskan pendapat saya bahawa belajar di mana-mana pun sama sahaja. Baik di Jordan mahupun Mesir, Malaysia, Syria, Australia, Jepun dan mana-mana pun di bumi Allah ini. Cumanya terletak kepada kita bagaimana kita ingin mencorakkan suasana pembelajaran di sana supaya kita berupaya mencapai kecemerlangan yang Allah redhai.

Setiap yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk hamba-Nya yang beriman. Itu pasti kerana Allah Maha Penyayang. Namun, Allah juga Maha Adil. Siapa yang bertaqwa, berusaha lebih, menjaga akhlak..insya Allah kejayaan miliknya biarpun di mana-mana tempat pun dia menuntut ilmu. Sekalipun saya belajar di Jordan, tapi saya tidak berusaha ke arah kejayaan, malas bergaul dengan masyarakat setempat, tidak menghormati pensyarah dan syeikh-syeikh, agak-agak anda adakah saya boleh berjaya?

Kejayaan dan kegagalan adalah datang daripada Allah. Allah dah berfirman dalam kalam-Nya, "Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah" Kejayaan bukannya ditentukan di mana tempat dia belajar tetapi Allah yang menentukan seiiring dengan doa, usaha, istiqamah, keyakinan dan tawakkal pada-Nya.

Baru-baru ini, kakak ipar saya yang mengambil jurusan pengajian Islam di Mesir, Alhamdulillah memperoleh Jayyid Jiddan (kelas kedua) dalam peperiksaannya. Hanya beliau dan seorang pelajar dari Palestin sahaja yang mendapat keputusan Jayyid Jiddan masa itu. Beliau sungguh mengagumkan saya. Bahkan ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang belajar Mesir berjaya dengan cemerlang. Sejak itu, pandangan serong terhadap pelajar-pelajar yang belajar di Mesir saya buang jauh-jauh.

Abang saya sempat berseloroh dengan saya,
"Tengok kak long,(kakak ipar yang dimaksudkan) sibuk nak menguruskan rumah tangga lagi, nak belajar lagi tapi mampu mendapat keputusan cemerlang."

Semuanya dengan izin-Nya kan? Lantas abang saya turut mencabar saya yang masih bujang untuk mendapat keputusan yang lebih baik daripada kakak ipar saya. Mampukah saya?(berfikir sejenak) Tiada yang mustahil di dunia ini jika kita yakin dan bertaqwa kepada Allah. Bukan tempat yang menjanjikan kejayaan kerana pada hakikatnya kita semua masih di bumi Allah.

Cabaran itu akan saya sahut dengan azam dan tekad. Insya Allah berkat doa semua yang saya kasihi kerana-Nya, saya pasti berjaya. Kelebihan di bumi Urdun akan saya gunakan sebaik-baiknnya. Roh perjuangan para syuhada' di sana menjadi pembakar semangat. Moga saya dan sahabat seperjuangan dimudahkan urusan oleh Allah dalam kembara kami mencari bukan segunung ilmu, tapi selautan ilmu Allah yang tidak pernah terhitung banyaknya...insya Allah.
Wallahu a'lam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...