Alhamdulillah,tanggal 15 September 2011,saya dan sahabat-sahabat selamat tiba di bumi Jordan. Saat itu, saya mula merasakan perjuangan saya dalam jihad mencari ilmu baru sahaja bermula. Perasaan sedih lantaran berjauhan dengan keluarga kekadang terasa. Namun, apapun saya tidak boleh terlalu mengikut perasaan kerana kini, tuntutan mencari ilmu di bumi berkah perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Walau jauh di mata tetapi dekat di hati dengan tautan doa kepada-Nya.
Saya ada berborak-borak dengan seorang senior di rumah transit yang saya duduki iaitu Kak Aisyah Jamil. Beliau sempat berpesan kepada saya untuk bersabar sebanyak-banyaknya. Menetap dan belajar di tempat orang bukan sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan mujahadah, kesabaran, dan pergantungan pada Allah dengan sepenuhnya.
Walaupun kuliah masih belum bermula, debaran sudah semakin terasa. Saya cuba membayangkan bagaimana nanti saya perlu menghadapi kuliah dengan pensyarah di Jordan dan merasai suasana pembelajaran bersama orang yang bukan sebangsa dengan kita. Pesan pensyarah saya di kursus bahasa untuk memberanikan diri bertanya kepada pensyarah masih kuat di ingatan saya. Insya Allah, saya boleh!!
Pengalaman berjalan-jalan di sekitar kawasan Mu’tah kekadang menakutkan saya. Gelagat orang arab yang pelbagai membuatkan saya agak gerun. Ragam masyarakat, biasalah ada yang baik dan ada yang jahat. Lantas, senior-senior selalu berpesan supaya kami sentiasa berhati-hati terutamanya apabila melibatkan barang berharga dan ketika bermuamalah dengan orang arab di sini.
Inilah masanya penguasaan bahasa arab diuji tidak kira bahasa ammi atau fusha. Saya dan seorang rakan saya pernah ditegur oleh orang arab, namun kami hanya dapat menangkap sedikit sahaja daripada apa yang diperkatakan. Sedihnya rasa sebab tak dapat nak faham apa yang mereka cakap. Apatah lagi bahasa arab saya masih belum kukuh tetapi insya Allah akan cuba dipertingkatkan dengan lebih baik.
Apapun, saya bersyukur kerana setakat ini semuanya baik-baik belaka dengan adanya bantuan daripada senior-senior yang menguruskan segala keperluan kami dari sudut kemasukan universiti dan penempatan. Namun, tiada yang memudahkan jika Allah tidak memudahkan. Alhamdulillah. Tetapi, ini baru permulaan dan sebarang ujian dari Allah kekadang tidak pernah kita jangkakan. Sesungguhnya hanya Allah tempat bergantung sepenuhnya di samping para sahabat yang tidak betah membantu insan kerdil seperti saya.
Saya sangat-sangat mengharapkan anda semua mendoakan saya dan para pejuang ilmu di bumi Jordan ini dan seluruh mujahideen ilmu yang hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Moga kita semua dibetulkan niat dalam setiap amalan yang dilakukan dan semoga Allah meredhai kita semua.
pemandangan di sekitar kawasan perumahan saya
Salam perjuangan daripada saya di bumi anbiya'.
3 comments:
selamat buat ukhti timoh ....
selamat atas semuanya.....
insya-allah... hasrat saya ialah
ingin sekali ke sana...
doakan saya..
afiqah umairah:syukron umairah...insya allah,sme2 kte doakan yg terbaek utk kita...
semoga Allah mpermudahkan kita semua
Post a Comment