Salam mahabbah buat semua. Semoga dinaungi rahmat dan hidayah-Nya selalu. Hmm..Jordan vs Mesir? Sering kali diperkatakan dan dipersoalkan isu belajar di Mesir dan Jordan. Mungkin kerana kebanyakan pelajar Malaysia kini ramai yang tertumpu untuk ke negara-negara ini khususnya untuk bidang pengajian Islam.
Apa bezanya belajar di Jordan dan Mesir? Saya acap kali juga diberitahu tentang hal ini. Kata mereka, belajar di Jordan lebih bagus daripada Mesir kerana sistemnya yang sistematik dan teratur. Di Jordan, kehadiran ke setiap kuliah diwajibkan manakala di Mesir kehadiran wajib ketika hendak menduduki peperiksaan. Salah satu sebab tidak diwajibkan di Mesir adalah kerana bilangan pelajar yang terlalu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Lalu, ada pelajar di Mesir tidak hadir ke kuliah melainkan hari peperiksaan sahaja.
Saya mendapat maklumat lagi bahawa jika di Jordan penyertaan di dalam kelas pula dikira sebagai markah dan bahasa yang digunakan di dalam kuliah kebiasaannya bahasa fusha(bahasa baku) berbanding di Mesir yang tidak dikira markah penyertaan dalam kuliah dan kebayakannya menggunakan bahasa ammi(bahasa pasar).
Info inilah yang saya peroleh dalam misi saya menuju permusafiran ilmu di bumi Jordan. Kelihatan seolah-olah kelebihan dari segi sistem pelajaran berpihak kepada tempat saya bakal belajar. Namun, itu cuma kata-kata orang. Kebenarannya masih belum kelihatan di hadapan mata saya.
Saya menulis hal ini bukanlah ingin menunjukkan Jordan adalah tempat terbaik untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama khususnya, mahupun bidang-bidang lain. Mentang-mentanglah, saya bakal ke sana. Tidak sama sekali jika anda merasakan saya sedemikian rupa.
Ya! dari segi sistem pembelajaran dan pengajaran mungkin lebih kepada Jordan. Namun, saya ingin menegaskan pendapat saya bahawa belajar di mana-mana pun sama sahaja. Baik di Jordan mahupun Mesir, Malaysia, Syria, Australia, Jepun dan mana-mana pun di bumi Allah ini. Cumanya terletak kepada kita bagaimana kita ingin mencorakkan suasana pembelajaran di sana supaya kita berupaya mencapai kecemerlangan yang Allah redhai.
Setiap yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk hamba-Nya yang beriman. Itu pasti kerana Allah Maha Penyayang. Namun, Allah juga Maha Adil. Siapa yang bertaqwa, berusaha lebih, menjaga akhlak..insya Allah kejayaan miliknya biarpun di mana-mana tempat pun dia menuntut ilmu. Sekalipun saya belajar di Jordan, tapi saya tidak berusaha ke arah kejayaan, malas bergaul dengan masyarakat setempat, tidak menghormati pensyarah dan syeikh-syeikh, agak-agak anda adakah saya boleh berjaya?
Kejayaan dan kegagalan adalah datang daripada Allah. Allah dah berfirman dalam kalam-Nya, "Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah" Kejayaan bukannya ditentukan di mana tempat dia belajar tetapi Allah yang menentukan seiiring dengan doa, usaha, istiqamah, keyakinan dan tawakkal pada-Nya.
Baru-baru ini, kakak ipar saya yang mengambil jurusan pengajian Islam di Mesir, Alhamdulillah memperoleh Jayyid Jiddan (kelas kedua) dalam peperiksaannya. Hanya beliau dan seorang pelajar dari Palestin sahaja yang mendapat keputusan Jayyid Jiddan masa itu. Beliau sungguh mengagumkan saya. Bahkan ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang belajar Mesir berjaya dengan cemerlang. Sejak itu, pandangan serong terhadap pelajar-pelajar yang belajar di Mesir saya buang jauh-jauh.
Abang saya sempat berseloroh dengan saya,
"Tengok kak long,(kakak ipar yang dimaksudkan) sibuk nak menguruskan rumah tangga lagi, nak belajar lagi tapi mampu mendapat keputusan cemerlang."
Semuanya dengan izin-Nya kan? Lantas abang saya turut mencabar saya yang masih bujang untuk mendapat keputusan yang lebih baik daripada kakak ipar saya. Mampukah saya?(berfikir sejenak) Tiada yang mustahil di dunia ini jika kita yakin dan bertaqwa kepada Allah. Bukan tempat yang menjanjikan kejayaan kerana pada hakikatnya kita semua masih di bumi Allah.
Cabaran itu akan saya sahut dengan azam dan tekad. Insya Allah berkat doa semua yang saya kasihi kerana-Nya, saya pasti berjaya. Kelebihan di bumi Urdun akan saya gunakan sebaik-baiknnya. Roh perjuangan para syuhada' di sana menjadi pembakar semangat. Moga saya dan sahabat seperjuangan dimudahkan urusan oleh Allah dalam kembara kami mencari bukan segunung ilmu, tapi selautan ilmu Allah yang tidak pernah terhitung banyaknya...insya Allah.
Wallahu a'lam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
syukran ingatkan ana, sama2 brusaha, klu ada ilmu pljrn, enti post2 lah juga ya
assalamualaikum suadara ku..terima kasih ilmu yang di post..ana bersyukur..alhamdullilah..
Post a Comment