Baik Dan Jahat
Apabila membicarakan soal baik dan jahat, ia sebenarnya memerlukan masa yang panjang dan karangan yang berjeda-jeda. Apa yang saya ingin nukilkan di sini merupakan perkara yang mudah diterima akal tetapi bagi saya ianya agak sukar untuk diamalkan kerana ia memerlukan seseorang itu untuk berjuang dan berperang habis-habisan dengan nafsu dalam dirinya sendiri.
Seseorang yang berniat untuk melakukan kebaikan, hendaklah disegerakan.
Seseorang yang berniat untuk melakukan kejahatan, hendaklah ditangguhkan.
Kenapa??
Sesuatu niat untuk membuat kebaikan merupakan perkara yang sangat bernilai kerana ianya merupakan bonus dari Allah. Andaikata kita mengabaikan dan bersikap acuh tak acuh terhadap lintasan niat yang baik itu, sebenarnya dikhuatiri Allah akan menarik kembali hidayah-Nya dan kita tidak akan mempunyai 'feeling' lagi untuk beramal kebaikan. Sebab itulah kita perlu menyegerakan kebaikan dan menagguhkan kejahatan. Moga-moga dengan itu, kejahatan yang kekadang terlintas di hati, tidak akan berjaya dilakukan.
Rasa-rasanya skop kejahatan dan kebaikan itu tidak perlulah saya huraikan panjang lebar di sini. Cuma saya sendiri pernah mengalaminya. Kebiasaannya usai solat, terlintas di lubuk hati saya untuk membaca beberapa potong Kalamullah Alkarim, namun saya seringkali mengatakan pada diri saya, "Takpelah, selepas makan dan tengok TV boleh mengaji. Masa banyak lagi." Tetapi malangnya, apabila masa berlalu dan berlalu, malas mula menguasai diri dan keasyikan menonton TV semakin terasa mengakibatkan hasrat saya untuk mengaji tidak menjadi.
Mungkin persoalan di sini, menonton televisyen pun bagus dan ianya bukanlah satu bentuk kejahatan. Tetapi, alangkah baik jika masa yang terluang digunakan untuk sesuatu yang lebih berfaedah apatah lagi jika rancangan yang menjadi bahan tontonan tidak membawa kebaikan dalam diri seseorang. Namun, apabila saya cuba untuk terus mengaji Al-Quran dengan segera selepas solat tanpa berganjak daripada tempat solat, saya merasakan keindahan menghayati ayat-ayat suci dan memang pada masa itu hasrat untuk menonton TV langsung tidak terasa. Bahkan selesai mengaji, saya tergerak untuk melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat seperti membaca dan sebagainya.
Kesimpulannya di sini, masa itu perlu diurus sebaik mungkin, bahkan satu saat itu cukup berharga. Rasulullah s.a.w berpesan kepada umat baginda supaya mengingati lima perkara sebelum datangnya lima perkara :
"Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati"
Apa yang dikongsikan ini sudah pastinya peringatan buat diri saya sendiri. Ayuh sama-sama perbaiki diri. Wallahu a'lam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment