Hisham melonggarkan ikatan tali lehernya. Dia memasuki keretanya dan terus memasang pendingin hawa. Baginya, air conditioner itu tidak meninggalkan kesan apa-apa pun kepada Hisham. Hatinya tetap panas. Bagai gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus.
Hisham tiba-tiba menghentak stereng keretanya dengan kuat sehingga hon keretanya berbunyi kuat. Dia membentak marah, “Tak guna . Memang tak guna. Sia-sia usaha aku selama ini. Apa yang aku buat, ini hasilnya.”
Hisham baru sahaja diberitakan oleh kawan sekerjanya tadi bahawa dia dipecat oleh pengurus syarikatnya, sebuah syarikat menjual makanan dan minuman segera.
“Aku dengar daripada bos memang dia dah pecat kau. Dia kata surat pengesahan perletakan jawatan kau akan dihantar ke rumah kau nanti. Dia pesan supaya kau tidak usah datang ke pejabat lagi,” ucapan rakannya, Azam kembali terngiang-ngiang.
Rimas. Serabut. Kacau-bilau. Semua yang sewaktu dengan makna perkataan-perkataan itu. Itulah yang dirasainya sekarang. Kereta Honda miliknya segera meluncur laju di jalan raya. Tiada haluan.
Fikirannya tiba-tiba menerawang. Di mindanya dia teringat segala tipu dayanya selama ini dalam perniagaan, punca dia dipecat. Rasa menyesal menyelinap dalam diri.
“Arghhh. Persetanlah semua itu. Alah, kalau setakat kerja di situ bukan boleh buat duit banyak pun,” dia menjerit menepis semua ingatan itu termasuk rasa sesal yang hadir.
Perjalanannya diteruskan. Haluannya masih kosong. Dia hanya ingin menghilangkan marahnya yang kian membuak-buak. Tatkala tiba di persimpangan jalan, matanya tertancap pada seorang budak lelaki . Umurnya kelihatan kira-kira sepuluh tahun. Namun, apa yang menarik minatnya ialah budak itu hanya memakai sebelah kasut di kaki kirinya sambil bertongkat berjalan menuju ke sebuah gerai yang berhampiran.
Tiba-tiba dia melihat budak lelaki itu tersenyum kepadanya. Hisham tergaman. Dia sama sekali tidak menyangka budak sekecil itu masih boleh tersenyum, apatah lagi dalam keadaan cacat, hanya berkaki satu. Wajahnya yang ceria itu menggambarkan seolah-olah budak itu tidak menghadapi apa-apa kesakitan. Hatinya terasa lain. Dia bersyukur kerana kedua-dua kakinya masih ada.
Dia jadi teringat bagaimana dia sering menjejakkan tapak kakinya di tempat-tempat maksiat. Disko, kelab malam dan semua pusat hiburan di Kuala Lumpur boleh dikatakan sudah meninggalkan jejak kakinya. Sesalan datang menimpa. Namun, ditepis jauh-jauh.
Perjalannya diteruskan. Tujuannya hanya satu, ingin menenangkan jiwa yang semakin runcing. Haluannya kini menuju ke taman rekreasi yang berdekatan. Dia kini sudah mengambil tempat duduk di sebuah bangku kayu yang dihias cantik.
“Huh,” satu keluhan dilepaskan. Riak wajahnya menunjukkan hati panasnya semakin reda. Mungkinkah kerana kelibat budak lelaki tadi? Persoalan itu sepi tanpa jawapan.
“Aduh, sakit la. Siapa yang lempar bola ni? Tak guna punye orang,” Tiba-tiba sahaja ribut taufan melanda diri Hisham tatkala sebiji bola putih bertompok-tompok hitam menyentuh kepalanya.
Seorang remaja lelaki berdiri tegap di hadapannya. Terus kaku tanpa bicara.
“Hoi, kau ke yang lempar bola bodoh ini kepada aku,” Hisham terus mengamuk bagai singa lapar. Ketenangan yang baru dirasai tadi sudah tidak bermakna.
Remaja itu hanya mengangguk. Dia kemudiannya menghulurkan kedua tangannya ke arah Hisham untuk meminta bola tersebut.
“Kau nak bola ini ke?” Kelihatan, remaja itu hanya mengangguk.
“Amboi banyak cantik muka kau. Hei, mak bapak kau tak ajar ke cara nak menghormati orang tua. Sudah la hulur tangan sahaja. Biadap betul budak ini.” Hisham yang memang seorang yang panas baran menyambung.
“Abang, minta maaf, bang. Boleh tak kami nak minta bola kami balik,” seorang remaja lelaki lain sebaya dengan remaja tadi datang menghampiri Hisham.
“Hei budak, lain kali kalau nak bola, minta elok-elok. Bukan macam kawan kau ni. Apa memang dah tak ada mulut nak bercakap? Atau kawan kau ini bisu?”
“Maaf, maaf sekali lagi bang. Kawan saya ini memang bisu. Tadi bola ini ditendang jauh sangat. Itulah yang saya suruh kawan saya ambil. Maafkan kawan saya, bang,” kedua-dua remaja itu segera menyalami Hisham.
Namun, remaja bisu itu terus memegang kejap-kejap tangan Hisham tanda memohon kemaafan. Dia kelihatan sangat bersalah. Hisham kaget. Dia tidak mampu berkata-kata, Cuma mengangguk.
“Terima kasih, abang yang baik hati kerana sudah memaafkan kami. Semoga Allah merahmati abang. Kami minta diri dulu,”ujar remaja itu lantas mereka beredar dari situ.
‘Baik hati. Wajarkah aku digelar baik hati, sedangkan tadi aku sudah memaki hamun budak bisu itu. Ya Allah, aku ada mulut tapi gunanya untuk menghina orang. Betapa aku tidak mensyukuri mulut yang Engkau kurniakan padaku. Bagaimana kalau suatu saat nanti, aku pula yang menjadi bisu,’ hati kecil Hisham berkata-kata.
Allah.
Satu kalimah itu sudah lama terpadam daripada kamus hidupnya. Hatinya kian terisi dengan sesuatu yang lain. Luar biasa. Namun, perasaan itu ditepis jua.
“Lantak la diorang nak kata aku baik ke, apa ke. Peduli apa aku budak bisu itu. Diorang itu memang sahaja nak cari pasal dengan aku. Yang penting aku puas dapat tengking budak itu. Padan muka kau,” sikap kepala batu dan keras hatinya kembali menyerang.
Kring…Kring…
Telefon bimbitnya berbunyi. Si adik sudah memanggil.
“Ya, dik. Ada apa telefon abang ini?”
“Abang bad mood ke? Adik minta maaf. Adik cuma nak minta tolong abang belikan sabun basuh. Sabun basuh dah habis, tak boleh nak basuh baju,” satu-satunya adik Hisham, Ruqayyah bersuara manja.
“Yalah, nanti abang belikan. Dah la, abang penat ini.”
“Abang dah solat Zohor? Kalau belum…” belum sempat pesanan untuk menunaikan solat disampaikan oleh Ruqayyah, Hisham terlebih dahulu mematikan handphonenya.
Dia tahu sangat perangai adiknya itu. Tidak jemu-jemu untuk menyuruhnya solat. Kekadang, sengaja dihamparkan dua sejadah di ruang tamu dengan harapan dia akan sama-sama bersolat dengan adiknya. Waktu Subuh pula, tidak pernah penat Ruqayyah mengejutkannya daripada tidur. Namun, semua usaha Ruqayyah tidak berkesan. Bahkan, pernah Ruqayyah mogok tidak akan masak makan malam untuknya jika tidak solat. Akhirnya terpaksalah dia berbohong dengan mengatakan dia sudah solat.
Hisham menjadi seorang yang sangat liat untuk solat semenjak kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan. Dia terlalu sedih sehinggakan lupa Sang Pencipta manusia dan Yang Maha mematikan manusia yakni Allah. Hanya adiknya sahaja yang tidak putus-putus doa dan nasihat supaya suatu saat nanti Hisham bakal berubah.
*******
Hisham memarkir keretanya di sebuah kedai runcit bagi memenuhi hajat adik kesayangannya. Usai membeli, dia terpandang seorang mak cik tua di gerai kecil bersebelahan dengan kedai runcit itu.
Hari ini sekali lagi dia tergaman. Seorang mak cik tua ditambah dengan ketidaksempurnaannya, iaitu buta, mampu menjual aiskrim dengan jayanya. Kalau dilihat, memang pantas, cekap dan efisien sekali mak cik itu meletakkan aiskirim di dalam kon dan membubuh hiasan yang cantik pada aiskrim itu. Buta langsung tidak menjadi penghalang untuknya bekerja mencari rezeki.
“Aneh betul. Buta-buta macam itu pun mampu membuat kerja dengan baik. Aku yang ada dua butir mata pun tak macam mak cik itu. Betul ke mak cik itu manusia. Entah-entah hantu kot?” Hisham bermonolog.
‘Dia memang manusia. Tidak mustahil Allah menjadikannya begitu dan mengurniakan kelebihan itu padanya. Allah kan Maha Berkuasa. Mata kau itu bukannya untuk melihat benda baik-baik, asyik tengok gadis-gadis seksi sahaja. Filem-filem mat saleh, semuanya kau tak miss tonton,’ bisikan-bisikan halus bergema di telinganya.
“Ah, diamlah,” Hisham ingin menafikan kata-kata itu walaupun hatinya mengiyakan.
‘Kenapa kau nak berdalih. Kau tak boleh tipu diri kau apalagi Allah. Kau memang banyak buat dosa dengan mata kau itu. Bertaubatlah,’ bisikan-bisikan itu semakin galak menghantui Hisham.
“Diam!!!”
Jeritan Hisham membuatkan ramai yang berada di situ terpandang ke arahnya.
Tanpa sempat berlama-lama di kedai runcit itu, dia lantas bergegas menuju ke keretanya. Dia ingin menyambung perjalanannya. Hatinya semakin terganggu. Jiwanya kian sesak. Peristiwa yang berlaku hari ini benar-benar merunsingkan dirinya. Kenapakah semua ini harus terjadi?
Persoalan yang timbul terbiar tanpa jawapan.
Dia kemudiannya tiba di sebuah gerai makan. Perut yang sudah mula berkeroncong harus diisi.
“Assalamualaikum, encik, nak order apa? Boleh tolong tunjukkan makanan dan minuman mana yang encik inginkan?” satu suara halus mula menyapanya.
Jawapan salam itu hanya terjawab di dalam hati. Kerongkongnya tersekat. Kaget sebentar disapa dengan salam yang jarang-jarang sekali diamalkannya. Sekeping kad berwarna oren dihulurkan kepadanya. Hisham terus menunjukkan resepi yang diingininya.
“Satu sahaja ke, encik?”
“Ya, satu sahaja.”
Hisham sebenarnya pelik dengan pelayan wanita itu. Tidak pernah lagi dia menjumpai seorang pelayan yang meminta untuk ditunjukkan hidangan yang dipilih di atas kertas seperti yang dibuat oleh wanita itu. Kebiasaannya pelanggan hanya memberitahu menu yang ingin dimakan kepada si pelayan.
Mata Hisham masih belum lari mengekori gerak langkah pelayan wanita itu. Caranya masih sama. Meminta ditunjukkan menu di atas kad oren itu.
“Jamilah, mari sini nak. Pak cik nak order ni,” pelayan itu terus bergerak ke meja sebelah meja Hisham yang terdapat dua orang lelaki yang agak berusia. Usai dua lelaki itu menempah pesanan, Hisham terdengar bualan mereka.
“Kasihan si Jamilah itu kan. Sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi. Sudah la orangnya cantik, kuat agama, baik,” meja yang terlalu hampir membolehkan Hisham mendengar dengan jelas setiap butir bicara kedua-dua lelaki itu.
“Nak buat macam mana Zul, dia dilahirkan pekak. Siapa yang nak isteri macam itu.”
‘Oh, pekak rupanya. Patutlah pelik semacam sahaja aku tengok dia itu,’ omel Hisham dalam hati.
“Tapi Man, Rasulullah kan ajar kita nak cari isteri perlu tengok empat ciri. Cantik, berketurunan baik, berharta dan beragama. Pilihlah yang beragama, nescaya beruntung. Bahagia. Ibaratnya dunia ini kita yang punya.”
“Aku tahu itu, Zul. Tapi pekak-pekak si Jamilah itu, dia beruntung sebenarnya kan. Terselamat dia daripada dosa-dosa mendengar umpatan, kata-kata buruk dan adu domba orang.”
Hisham di meja sebelah tersentap seketika.
“Itulah kelebihan orang pekak. Bahkan, Jamilah itu pun dianugerahkan keupayaan untuk memahami perkataan yang mudah-mudah melalui gerak geri mulut orang lain. Kita yang masih boleh mendengar ini kenalah jaga pendengaran kita dengan sebaiknya.”
Hisham semakin tidak sedap duduk. Dia semacam terasa dengan kata-kata itu. Dia tiba-tiba sahaja bangun. Ingin berganjak daripada tempat itu. Telinganya menjadi panas mendengar semua itu walaupun hatinya terasa lain. Sesuatu yang sejuk yang sedang cuba menghapuskan kepanasan dalam diri.
Tiba-tiba…
“Encik, ini makanan yang…”
“Ah, ini semua sebab kau, perempuan pekak,” belum sempat Jamilah menghabiskan kata-katanya, tidak semena- mena Hisham terus memotong sambil menolak pinggan makanan yang ditempahnya ke lantai. Dia lantas beredar meninggalkan Jamilah yang begitu terkejut atas apa yang terjadi.
“Sabar, Jamilah. Mungkin dia sedang tertekan dengan kerja,” Pak Zul cuba menenangkan Jamilah yang kelihatan sugul. Namun, Jamilah yang tidak mendengar butiran kata Pak Zul hanya menunduk lemah.
Wallahu a'lam...nantikan sambungan kisah Hisham dalam post yang akan datang.
0 comments:
Post a Comment