Hisham terus menghempas pintu biliknya dengan kuat. Dia benar-benar seperti orang yang hilang akal.
“Apa semua ini? Hish, bodoh betul la,” Hisham merungut.
“Apa yang bodoh ini, abang?” Ruqayyah masuk ke biliknya selepas mendengar bunyi kuat tadi.
“Adik tahu tak, hari ini abang telah dibuang kerja.”
“Astaghfirullah , betul ke ini, abang,” dalam hatinya, Ruqayyah merasakan ini semua kerana sikap abangnya yang selalu menipu dalam perniagaan.
“Apa yang buat abang berang sekarang ini, seolah-olah ada orang yang hendak mempermainkan abang. Mula-mula abang berjumpa dengan orang tempang, kemudian, orang bisu, buta, orang pekak. Entah –entah selepas ini, abang jumpa orang kudung pula. Siapalah agaknya yang hantar mereka untuk jadi pelakon dalam drama abang ini?”
“Apa yang tak kena dengan orang-orang itu? Biasa sahaja itu, bukan masalah besar pun.”
“Bukan masalah besar adik kata. Adik tahu tak setiap kali abang jumpa mereka, abang rasa lain. Abang terasa sangat. Seolah-olah mereka ingin mengejek apa yang abang buat selama ini. Seolah-olah mereka hendak mengatakan bahawa abang ini tak bersyukur dengan anggota tubuh badan abang ini.”
“Alhamdulillah. Abang patut bersyukur kerana abang jumpa mereka dan merasakan sebegitu.”
“Adik ini kenapa? Nak perli abang ya? Abang tahu abang ini jahat. Tak ‘soleh’ macam adik,” perkataan soleh itu ditekan dengan nada yang kuat.
“Astaghfirullah. Apa yang abang cakap ini. Adik langsung tak berniat macam itu. Abang, berapa ramai orang yang berjumpa dengan mereka yang tidak sempurna terasa dengan kekhilafan diri seperti apa yang abang rasa. Adik pun terserempak dengan orang seperti mereka. Tapi, adik langsung tidak merasakan sebagaimana apa yang abang rasa.”
“Abang tahu. Mesti adik nak suruh abang bertaubat kan? Adik ini tak ada kerja lain ke. Abang tahu la apa yang abang buat,” Hisham sudah masak benar dengan sikap adiknya itu.
“Pandai la abang ini. He…he…Tapi, abang kena ingat semua yang abang lalui hari ini merupakan petunjuk daripada Allah. Ini maknanya Allah masih sayang abang dan Dia nak abang kembali pada jalan-Nya.”
“Sudah, sudah. Abang baru nak tenangkan diri. Sekarang terpaksa pula mendengar ceramah daripada ‘ustazah’ dalam rumah ini. Serabutlah, dik,” ujar Hisham lantas menuju ke kamar mandinya.
‘Ya Allah, berilah hidayah-Mu kepada abangku yang aku kasihi. Janganlah Kau jauhkannya dari jalan lurus-Mu, Amin,’ doa Ruqayyah dalam hati.
Seminggu berlalu. Hari itu, Hisham bersiap-siap untuk keluar.
“Abang hendak ke mana? Handsomenya, abang hari ini,” tegur Ruqayyah.
“Abang nak cari kerja baru. Alah, setakat kerja di syarikat lama abang, bukan abang boleh kaya pun.”
“Abang, banyak mana pun duit yang kita ada, bukannya boleh bawa mati pun.”
“Adik ini kenapa? Bukannya nak bagi semangat tapi nak ejek abang adalah.”
“Bukan macam itu maksud adik, Cuma bila abang dah dapat kerja baru nanti, abang niatkan kerja abang itu untuk dapat redha Allah dan gaji yang abang dapat, diinfakkan ke jalan kebaikan.”
‘Dah mula dah ceramah free dia,’ omel Hisham dalam hati.
“Sudahlah, adik. Daripada adik berleter, lebih baik adik doakan abang. ”
Belum sempat Ruqayyah menyambung, Hisham sudah berlalu.
“Adik memang selalu doakan abang,” ujar Ruqayyah perlahan. Tanpa disedari, matanya bergenang. Dia pilu.
Hisham bersiul-siul kegembiraan. Dia akhirnya berjaya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pekomputeran. Kemahiran yang dimilikinya dalam pelbagai bidang membolehkannya mendapat kerja dengan mudah. Siapa tidak kenal dengan Hisham Mukhlis. Bidang komputer dikuasainya. Bidang teknikal dikuasainya. Bidang komunikasi dan berbagai-bagai lagi bidang yang lain. Semuanya dikuasainya.
“Eh, ada apa ramai-ramai orang ini?” Kosentrasinya terganggu. Dia ternampak ramai orang di tepi jalan. Kenderaan diperlahankan. Rupa-rupanya dia melalui sebuah kawasan tanah perkuburan. Dia tiba-tiba ternampak kelibat sekujur jenazah baru diturunkan ke liang lahad untuk disemadikan.
Hatinya resah. Dia kembali teringat kata-kata nasihat Ruqayyah. Dia bagaikan terbayang peristiwa yang berlaku ke atasnya seminggu yang lalu. Ketakutan menerpa. Dia kini terbayang sekujur jenazah tadi adalah dirinya sendiri. Tanpa berlengah, dia memecut kenderaannya.
“Abang ini kenapa? Tergesa-gesa sahaja pulang. Macam mana kerja abang?” Bertubui-tubi soalan diajukan Ruqayyah tatkala Hisham menapak kaki ke rumah. Namun, Hisham segera meluru ke biliknya. Ruqayyah mengikuti.
“Ya Allah, kenapa abang berbungkus dengan selimut ini. Sejuk ke, bang. Tapi air-cond tak dibuka pun,”
“Tolong abang, dik. Abang takut. Abang tak nak mati lagi. Abang takut,” bagai anak kecil, Hisham merengek sambil menangis teresak-esak.
“Sabarlah abang, adik ada di sini. Abang jangan takut. Adik akan bantu abang,” Ruqayyah memujuk abangnya walaupun dia tidak mengetahui kisah sebenar yang membuatkan abangnya jadi sebegini.
“Abang tak nak mati lagi. Abang masih banyak dosa. Abang takut, dik.”
“Abang, ingat Allah, bang. Allah lebih tahu. Dia Maha Pengampun. Ingat Allah, bang,” Ruqayyah masih memujuk. Dia turut sama-sama menangis keharuan melihatkan abangnya yang meracau-racau ketakutan. Satu ketakutan dan sesalan yang amat sangat. Namun, dalam hati dia memanjat kesyukuran.
‘Ya Tuhan, mungkin inilah saatnya engkau kembalikan abangku ke jalan yang Engkau redhai. Alhamdulillah,’ syukurnya dalam hati.
*******
Setahun berlalu. Hisham kini sudah berubah. Dia semakin mendekatkan dirinya pada Allah dengan bantuan Ruqayyah. Peristiwa yang menimpanya baru-baru ini merupakan anugerah yang indah dalam hidupnya. Allah telah mengetuk pintu hidayah dalam dirinya melalui peristiwa-peristiwa itu. Dia sudah sedar bahawa semua itu adalah untuk menyedarkannya daripada lena kejahilannya selama ini.
Dia kini lebih menghargai nikmat yang Allah kurniakan padanya. Ayat 179 Surah Al-A’raf begitu memberi kesan kepadanya.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Segala kehidupan jahiliyahnya sudah ditinggalkan. Hidupnya kini lebih bermakna dengan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dia juga telah meletakkan jawatan daripada tugas lamanya dan telah membuka sebuah syarikat media miliknya sendiri sambil dibantu oleh Ruqayyah. Dengan kepakaran yang dimilikinya dalam bidang teknologi dan maklumat, dia banyak menghasilkan program televisyen yang berunsurkan Islam. Dia tidak lama lagi bakal menerbitkan beberapa filem yang benar-benar berpaksikan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Dia ingin masyarakat sekeliling kembali pada jalan-Nya dan tidak terpesong sepertinya dahulu. Dia berdoa semoga dengan usahanya ini, dapat menghapuskan dosa-dosanya yang lalu.
Di suatu petang yang nyaman.
“Adik buat apa itu?” tanya Hisham kepada Ruqayyah sambil mereka bersantai-santai pada hari minggu itu.
“Adik hafal surah Al-Kahfi ini. Abang sudah hafal surah ini?”
“Belum lagi. Abang baru sahaja habis juzuk 30. Abang mula dari belakang. Insya Allah nanti abang nak cuba hafal seluruh Al-Quran. Adik bantu abang ya?”
“Insya Allah. Tak mustahil,bang untuk kita jadi seorang hafiz suatu hari nanti walaupun umur kita dah lanjut. Selagi kita masih hidup, selagi itulah kita berusaha untuk membual amal ibadah kepada-Nya.”
“Betul tu, ustazah.”
“Ada-ada sahajalah abang ini.”
“Oh ya, abang dah lama nak tanya hal ini kepada adik. Adik belajar mengaji di mana? Dahulu, masa abang jahil, abang selalu dengar adik mengaji. Lagipun, arwah mama dan papa tak pernah menghantar kita ke kelas mengaji.”
“Ooo. Ingatkan apa tadi. Adik belajar dengan kawan adik. Tapi, kalau abang nak tahu, dia itu pekak. Dia memang tak dengar orang bercakap kecuali dengan melihat gerakan mulut orang, itu pun perkataan-perkataan yang mudah. Cuma itulah, Allah anugerahkan dia kelebihan. Dia boleh faham dan dengar dengan jelas bacaan Al-Quran daripada orang lain.”
“Mesti bagus kawan adik itu kan. Tengoklah adik abang ini, seorang wanita yang hebat, macam serikandi di zaman Rasulullah.”
“Dia lagi hebat,bang. Adik rindulah dekat kawan adik itu. Jom kita pergi ziarah dia. Esok kan hari cuti.”
“Kenapa abang mesti ikut adik, bukannya dia kawan abang pun.”
“Boleh la, bang. Jomlah.”
*******
Hisham resah. Tempat yang dibawa adiknya itu mengingatkannya kepada peristiwa setahun yang lalu.
“Jomlah. Abang tunggu apa lagi ini. Adik dah tak sabar nak jumpa kawan adik ini. Ha! Itu pun dia. Jamilah, kenalkan, ini abang saya, Hisham,” ujar Ruqayyah sambil membuat isyarat tangan dan menggerakkan mulutnya perlahan-lahan semasa memperkenalkan Hisham kepada Jamilah supaya mudah difahami Jamilah yang tidak dapat mendengar itu.
“Oh, ini ke kawan yang adik cakapkan semalam?” Hisham seolah-olah kaku. Dia kaget melihat Jamilah yang berjubah dan bertudung labuh itu. Dia rasa bersalah. Hatinya kini membuak-buak untuk memohon kemaafan daripada Jamilah atas apa yang telah berlaku dahulu.
“Ya,abang. Inilah kawan adik, Jamilah. Dia kerja di sini, kedai makan ayahnya.”
“Saya dah pernah jumpa abang awak. Dia pernah makan di sini dahulu,” ujar Jamilah menjelaskan.
“Macam itu rupanya. Jomlah kita masuk ke dalam. Bolehlah berbual-bual sambil makan-makan. Abang, kenapa tercegat lagi itu?” soal Ruqayyah tatkala memandang Hisham yang masih berdiri di tempatnya. Dia aneh melihat pandangan semacam abangnya terhadap Jamilah.
Jamilah yang seolah-olah dapat merasai perasaan bersalah yang menyerang Hisham terus berkata kepadanya, “Awak jangan fikirkan soal lalu. Saya tak pernah marahkan awak pun. Saya pun dah lupakan hal itu. Tiada apa yang perlu awak bimbangkan.”
“Terima kasih Jamilah. Saya berjanji akan membantu awak untuk mengatasi masalah pendengaran awak sebagai tanda penghargaan saya kerana sudi maafkan saya dan membimbing adik saya selama ini,” ujar Hisham lagi sambil tangannya membuat isyarat tangan dan mulutnya digerakkan perlahan-lahan sebagaimana yang dilakukan adiknya.
Jamilah kelihatan hanya mengangguk senyum. Hisham turut tersenyum senang. Hatinya lega ditambah bahagia. Berbunga-bunga juga.
“Ehem, nampaknya adik bakal mendapat kakak ipar nanti. Tak gitu, abang?” ujar Ruqayyah mengusik. Jamilah di sebelahnya sudah menunduk malu.
“Adik ini ada-ada sahajalah. Jomlah, kata nak makan. Abang dah lapar ini,” ujar Hisham lagi.
Alhamdulillah, hidup Hisham kini kian disinari cahaya kebahagiaan. Dia akan terus berjuang di jalan yang diredhai-Nya dan tidak akan sekali-kali mempersiakan segala nikmat kurniaan Tuhan kepadanya.
TAMAT....Wallahu a'lam....semoga terhibur.
0 comments:
Post a Comment