Masakan sehari sudah mahu hebat.

Alhamdulillah, dalam kesempatan menulis ini, ingin saya kongsikan sesuatu. Bukan falsafah mahupun madah pujangga namun berkisarkan istiqamah.

Bukan mudah hendak istiqamah dalam sesuatu perkara dalam membina diri menjadi orang yang hebat. Saya terkesan dengan mafhum baginda Nabi s.a.w berkenaan istiqamah. Amalan paling baik ialah istiqamah walaupun sedikit.

Baiklah, suka untuk saya menyentuh tentang istiqamah ini dalam bab usaha untuk menjadi yang terbaik. Kekadang, apabila kita melakukan sesuatu, contohnya belajar...kita semestinya inginkan yang terbaik. Kita inginkan kefahaman dalam belajar, ingatan kuat dalam hafalan, dan dapat menduduki peperiksaan dengan baik, tetapi masakan kita mampu menjadi best student dalam bahasa yang mudah hanya dalam masa sehari.

Bukan mudah untuk kita memerah otak dengan belajar dan buat revision hanya dalam sehari, kemudian dah boleh menjadi seorang pelajar yan hebat. Paling tidak kita buat revision dalam sejam atau dua jam tetapi berterusan setiap hari. Dengan itu kefahaman dan hafalan kita lebih kuat kerana walaupun santai dan tidak membebankan, kita mampu mengawal masa dengan aktiviti lain pula.

Begitu juga dalam sukan. Dalam kita berusaha merebut piala kejuaraan dalam arena sukan, masakan dalam masa sehari berlatih kita mampu membina stamina yang hebat, adakah kita mampu melatih strategi dalam menewaskan pihak lawan jika sehari berlatih walaupun latihan yang dilakukan benar-benar giat. Semuanya takkan dapat dengan sehari. Tetapi dalam menjadi ahli sukan yang hebat, latihan perlu dilakukan berterusan walaupun hanya sejam dua jam.

Saya tidak katakan ianya mustahil. Tiada yang mustahil di dunia ini jika Allah kehendaki. Namun, dari sudut logik pun, dalam hendak membina kejayaan, harus bermula dari sedikit dan mudah tetapi berterusan. Agak tidak logik seorang yang miskin dapat menjadi kaya dalam masa sehari. Agak mustahil para buruh hendak menyiapkan bangunan yang besar dalam masa sehari.

Jadi, apa yang penting, dalam bidang sukan atau bidang pelajaran atau apa-apa bidang sekalipun, kita perlu istiqamah menjalani latihan, istiqamah study, istiqamah bekerja dan segala-galanya istiqamah. Walaupun sedikit, tetapi insya Allah yang sedikit akan menjadi banyak, yang lemah akan jadi kuat dengan syarat kita tidak putus asa dan terus bergantung pada ALLAH.

Insya Allah, istiqamah bakal membawa kejayaan. Jangan mengalah andai dirimu masih lemah kerana jika amalmu berterusan walaupun sedikit, kamu adalah orang yang menang....Allahu Akbar!!! Wallahu a'lam.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...