Khairunnisa menghempaskan badannya ke katil. Hatinya geram. Jiwanya membengkak. Dia panas hati benar dengan seorang pemuda itu.
“Hish, kurang asam betul la mamat tu. Suka-suka hati mak datuk dia je main hentam-hentam aku macam tu,” kemarahan Khairunnisa meletus.
“Nisa, kenapa tiba-tiba naik angin ni?” soal rakan sebiliknya, Rahimah.
“Tak adalah, mamat entah dari mana tiba-tiba datang serang aku dengan Zoey tadi,” jawab Khairunnisa.
Mindanya berputar laju mengimbau peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Ketika dia dan kekasih hatinya, Zoey duduk berdua-duan di podok belakang bangunan kolej mereka…
*****
“Assalamualaikum,” ujar satu suara dari belakang.
“Apa yang saudari dan saudara buat di sini berdua-duaan?” suara itu bergema lagi di telinga Khairunnisa.
“Hei, bro! Suka hati kami lah nak buat apa kat sini. Kau jangan sibuk hal kami boleh tak,” Khairunnisa yang memang seorang yang panas baran kini bersuara.
“Saya minta maaf. Tapi kan tak elok awak berdua berada di tempat terpencil ni. Berdua-duaan, berpeluk-pelukan. Allah larang awak berada dalam keadaan sebegini,” balas suara itu lagi.
“Eh, kau memang tak reti bahasa kan. Kau jangan kacau apa yang kami buat. Kau urus hal kau sendiri la,” Zoey yang rasa terpukul dengan kata-kata pemuda tadi tiba-tiba bangkit bersuara.
“Saya tak bermaksud nak menjaga tepi kain anda berdua. Tapi, saya tak tahan tengok awak buat maksiat. Saya tegur anda berdua bukan bermaksud untuk menyakiti, tetapi sebagai saudara seIslam, saya bertanggungjawab membawa awak berdua ke jalan yang benar.”
“Aduh, berceramah la pulak mamat ni. Hei, kau dengar sini. Aku tak kisah kau nak cakap apa. Tapi, tolong blah dari sini atau aku dan pakwe aku ni buat sesuatu pada kau,” Khairunnisa menggertak pemuda itu.
“Saya tidak boleh membiarkan awak berdua berada di sini. Jadi saya harap saudari sahajalah yang beredar dari sini untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk terjadi antara awak berdua.”
“Hei, wait, wait. Siapa kau nak suruh aku berambus dari sini ha! Ini bukan tempat kau. Nama kau pun tak ada kat sini,” Khairunnisa bertambah marah.
“Saya mintak maaf sekali lagi. Tapi saya sebagai ketua Exco Dakwah dan Tarbiyah di kolej ni, saya diberi kuasa untuk memastikan seluruh kawasan kolej ini bebas daripada aktiviti maksiat,” giliran pemuda itu pula bertegas.
Tegas tetapi tetap bersahaja. Kelihatan Khairunnisa dan Zoey tersentak. Matanya membulat apabila mendengar perkataan ketua ‘Exco Dakwah dan Tarbiyah’ yang disebut pemuda tadi.
“Dahlah tu, darling. Jom kita blah lah. Menyampah I tengok muka dia ni,” Khairunnisa akhirnya mengalah.
Dia dan Zoey bergerak meninggalkan pemuda itu sendirian. Namun, hatinya masih berapi-api melihatkan pemuda yang sentiasa kelihatan tenang itu. Dalam hatinya kini tersirat dendam yang teramat sangat terhadap pemuda itu.
*****
“Oo…Fahmi, ketua Exco itu ke yang buat kau marah sangat-sangat ni?” kata Rahimah setelah Khairunnisa bercerita hal yang sebenar kepadanya.
“Oh, nama dia Fahmi. Apa dia ingat dia ketua Exco Dakwah, dia boleh buat sesuka hati kepada aku. Kau tahu tak, tak pernah seumur hidup aku, aku kena sound macam tu.”
“Alah, dia bukan buat apa-apa pun. Dia cuma tegur kan. Aku pun sebenarnya tak berapa suka kau berkawan dengan si Zoey tu. Dia tu kan mat rempit. Agak liar. Kalau dia ambil kesempatan kepada kau macam mana?”
“Jadi, kau pun dua kali lima dengan Fahmi tu, nak menyibuk hal aku.”
“Aku tak bermaksud nak cakap macam tu. Aku pun bukannya baik sangat. Tapi, aku tengok gara-gara kau bercouple dengan si Zoey tu, perangai kau macam dah berubah.”
“Rahimah, kau tak payah nak nasihat aku. Aku tak nak kerana hal ini, hubungan aku dengan kau rosak. Aku kenal perangai Zoey tu. Jadi, lebih baik kau cakna hal kau sahaja. Pasal si Fahmi tu, tahulah aku ingin uruskan.”
“Kau nak buat apa dengan dia?” soal Rahimah kehairanan.
“Hmm…” Khairunnisa hanya tersengih.
*****
“Astaghfirullah, apa dah jadi dengan surau kita ni?” Haziq beristighfar panjang.
“Yelah, teruk benar ni. Siapa punya kerja ni?” giliran Ilyas pula menyoal kehairanan.
“Entah-entah,budak-budak nakal kot,” Syafiq mengagak.
“Tak mungkin. Mana ada budak-budak dalam kolej kita ni,” Haziq menafikan kenyataan Syafiq.
“Tak apalah, ayuh kita bersihkan najis-najis ni segera sebelum masuk waktu Zohor,” tiba-tiba Fahmi bersuara setelah hanya diam memerhatikan gelagat sahabat-sahabatnya.
“Tapi, kita kena tahu angkara siapa yang berani mengotorkan rumah Allah dengan najis-najis ni,” ujar Ilyas tidak puas hati.
“Kalau nak dikatakan rakan-rakan kita di kolej, ana rasa tak mungkin sebab walaupun ada dalam kalangan mereka yang agak liat nak bersolat di surau, mereka takkan buat macam tu,” Haziq bersuara.
“Yelah, betul cakap enta tu, Haziq. Lagi pun selama empat tahun ana berada di kolej ni, tak pernah kejadian seumpama ini berlaku,” kata Ilyas yang merupakan senior antara mereka berempat.
“Entah-entah, ada dalam kalangan pelajar kolej yang nak balas dendam kepada ahli-ahli Exco Dakwah dan Tarbiyah kot?” Syafiq meneka lagi.
Fahmi tiba-tiba tersentak. Dia teringat akan peristiwa dia menangkap seorang pelajar perempuan kolej yang berdating dua hari yang lalu. Marah benar si gadis itu.
“Astaghfirullah,” Fahmi membuang syak wasangka.
‘Tak mungkin dia,’katanya dalam hati.
“Fahmi, enta kenapa? Dari tadi asyik mengelamun. Kata nak bersihkan surau ni cepat-cepat,” tegur Haziq yang menyedari kelakuan aneh sahabatnya.
“Oh, tak ada apa-apa. Jomlah kita bersihkan surau. Biarlah siapa-siapa pun yang kotorkan surau. Yang penting kita bersihkan surau cepat. Waktu Zohor dah hampir masuk.
Keempat-empat orang sahabat itu membersihkan Surau Ar-Rahman. Kesemua mereka ialah anggota tertinggi dalam Exco Dakwah dan Tarbiyah. Mereka turut dibantu oleh beberapa orang ahli jawatankuasa.
“Fahmi, ana tengok enta macam ada masalah je,” Haziq meyuarakan keprihatinannya kepada Fahmi usai operasi pembersihan surau.
“Ana okay. Tak ada apa-apalah. Enta jangan risau,” Fahmi enggan memberitahu hal yang sebenar. Dia tidak mahu berburuk sangka terhadap gadis yang ditegurnya hari itu.
“Baiklah kalau begitu. Habis itu, enta tak nak ambil apa-apa tindakan ke atas apa yang dah jadi ni?”
“Ana rasa buat masa ni, biarlah kita abaikan orang yang dah kotorkan surau kolej ni. Mungkin ini peringatan Allah kepada kita supaya kita lebih menjaga keselamatan dan kebersihan surau. Ana rasa eloklah kalau kita memberi amaran dengan mengenakan tindakan susulan ke atas pihak yang terbabit jika hal seperti ini berlaku lagi.”
“Ana setuju. Kalau nak dicari siapa yang punya kerja agak merumitkan dan kalau nak dikunci surau tiap-tiap malam, akan menyukarkan pengguna-pengguna lain pula.”
“Yelah, kita doa sahajalah semoga insan yang melakukan angkara ini tak akan mengulanginya dan kembali bertaubat kepada Allah,” ujar Fahmi mengakhiri perbualan mereka sambil mereka berdua memasuki bilik mesyuarat ahli jawatankuasa Exco Dakwah dan Tarbiyah.
“Assalamualaikum semua. Insya Allah pada hari ini kita akan membincangkan program yang akan dilakukan pada minggu ini. Diharapkan semua sudah bersedia,” Fahmi selaku ketua memulakan perbincangan.
“Ana mencadangkan kita laksanakan serbuan maksiat. Ana lihat terlalu banyak maksiat yang dilakukan oleh pelajar kolej kita,” ujar Anisah selaku Timbalan Ketua Exco Dakwah dan Tarbiyah.
“Benar. Baru-baru ini, ana ternampak sekumpulan pelajar perempuan keluar dari kolej waktu tengah malam dengan berpakaian menjolok mata. Ana kira mereka pergi ke kelab malam di bandar ini,” Waheeda pula bersuara.
“Pelajar lelaki pun apa kurangnya. Di blok asrama ana, ana dapat tahu ada yang berjudi dan minum arak. Ana, Haziq dan Syafiq pernah merancang untuk membuat tindakan kepada mereka tetapi masih belum menemui bukti yang kukuh,” Ilyas pula berkata.
“Betul tu. Tetapi, nama-nama mereka yang disyaki dah pun kami berikan kepada Unit Hal Ehwal Pelajar,” Haziq meyokong.
“Baiklah, oleh kerana maksiat terlalu serius di kolej kita, kita mesti adakan Ops Anti-Maksiat dengan segera,” Fatimah yang merupakan setiausaha mereka pula bersuara.
“Ana harap kita semua kena usaha dengan lebih gigih lagi. Ana yakin dan percaya banyak cabaran yang perlu kita hadapi apabila melakukan kegiatan ini. Mungkin nanti akan ada yang menentang, tapi ana harap kita bersedia dengan mental dan fizikal kita dan kuatkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Insya Allah, Dia pasti akan bantu usaha murni kita,” Fahmi berpesan ikhlas kepada sahabat-sahabiah seperjuangannya.
“Insya Allah. Walaupun kolej kita ni namanya Kolej Seri Iman, tapi masih ramai yang belum beriman,” Anisah menyambung kata-kata ketuanya.
“Lagi pun, Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa jika hati manusia ada iman walaupun sedikit, dia tidak akan buat maksiat pada waktu itu,” Syafiq pula menambah.
Mereka yang terdiri daripada sepuluh orang ahli tertinggi Exco Dakwah dan Tarbiyah, muslimin dan muslimat kesemuanya mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Syafiq. Mesyuarat mereka diakhiri dengan bacaan doa Rabithah dan tasbih kafarah serta surah Al-Asr.
*****
“Haziq, Syafiq enta berdua okay ke?” soal Fahmi selepas satu serbuan yang dilakukan ke atas pelajar-pelajar yang berjudi.
“Biasalah, Fahmi. Ana dipukul sedikit semasa membuat operasi tadi. Nasib baik ada pak guard. Kalau tak lagi teruk ana dan Syafiq kena,” ujar Haziq.
“Alhamdulillah, pak guard di asrama kita nak bekerjasama dalam operasi kita kali ni kan. Yelah, walaupun kita ada seni mempertahankan diri, tapi izin Allah, geng-geng mereka lagi hebat daripada kita,” giliran Syafiq bersuara.
“Itulah, bantuan Allah. Walaupun kita tidak ramai, tapi Allah menganugerahkan insan yang menyamai kudrat pemuda kita seperti pak guard kita tu,” Fahmi menyambung.
“Dah seminggu kegiatan cegah maksiat di kolej kita berjalan. Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku. Operasi di sebelah sahabat-sahabat muslimat pun memberangsangkan,” Ilyas yang tiba-tiba datang dari belakang bersuara.
“Yelah, harap-harap selepas ni mereka yang dah berjaya diserbu akan insaf dan bertaubat atas apa yang telah dilakukan,” Syafiq berkata penuh harapan.
“Insya Allah, enta jangan bimbang. Ana dah berbincang dengan penasihat Exco kita, Prof. Siddiq supaya satu program keinsafan diadakan untuk mereka. Bagi ana, mereka yang melakukan maksiat ni tidak wajar dibiarkan begitu sahaja. Semoga program yang akan diadakan nanti dapat memberi sinar baru buat mereka,” ujar Fahmi penuh bersemangat.
“Wah, Fahmi. Enta dah macam penceramah dalam tv dah. Memang ada gaya lah,” kata Ilyas diikuti ketawa sahabat-sahabat yang lain.
Kring…Kring…Tiba-tiba deringan telefon bimbit Fahmi mengheningkan suasana di situ.
“Sahabat-sahabat, ana dapat call daripada salah seorang spy kita, ada sepasang couple sedang berdating di hujung bangunan kolej,” ujar Fahmi usai mematikan talian.
“Oh, kalau macam tu, biar ana temankan enta,” sahut Haziq penuh keazaman untuk mencegah kemungkaran di kolej mereka.
Dengan lafaz basmalah, mereka berdua memulakan gerak kerja membanteras maksiat.
“Assalamualaikum, apa yang awak berdua buat ni?” suara Haziq mula-mula menyapa tatkala mereka berdua tiba di tempat kejadian.
“Apa yang korang nak. Jangan ganggu kami lah,” suara si perempuan mula menyinga. Riak wajahnya menjelaskan dia begitu terkejut dengan kehadiran dua orang lelaki berkopiah itu.
Dalam sama-samar malam yang hanya diterangi sebiji lampu kecil di situ, Fahmi dapat melihat jelas wajah perempuan dan lelaki itu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
“Eh, awak ni perempuan hari tu kan. Nampaknya awak tak insaf-insaf lagi. Kali ni, saya takkan berlembut lagi. Malam ini, kami terpaksa tahan awak berdua kerana melakukan maksiat di tempat yang sunyi ni,”
Khairunnisa tergaman.Sungguh, dia tidak menyangka sekali lagi dia terkantoi dengan Fahmi, lelaki yang didendaminya .
“Hei, awak ni kan tak habis-habis nak menyibuk hal saya lah. Tolong tinggalkan kami, okay!” suara Khairunnisa meninggi.
Dia berdiri hampir dengan Fahmi. Nafasnya turun naik. Dia benar-benar marah. Namun, Fahmi kelihatan masih tenang. Kekasih baru Khairunnisa dan Haziq hanya berdiam diri, menjadi pemerhati terhadap mereka berdua.
“Saya minta maaf, saudari dan saudara. Saya dan sahabat saya datang adalah untuk mencegah apa yang awak berdua sedang lakukan ini kerana perbuatan awak berdua salah di sisi agama. Lagipun, untuk pengetahuan, kami diberi kuasa sepenuhnya untuk menahan sesiapa sahaja yang melakukan maksiat secara terang-terangan mahupun sembunyi –sembunyi di kolej ini,” ujar Haziq bersuara bagi menyokong Fahmi.
“Korang berdua ni tak reti bahasa ke? Kan awek aku dah cakap tinggalkan kami. Korang pergi la urus hal korang,” giliran kekasih Khairunnisa pula membantah.
“Sekali lagi saya minta maaf. Kalau awak tak percaya, saya boleh tunjukkan surat pengesahan operasi yang kami jalankan ni. Atau awak mahu kami sendiri yang mengesahkan keadaan awak berdua kepada Prof.Siddiq. Saya boleh telefon beliau sekarang,” tegas Fahmi berbaur ugutan sambil tangannya mengangkat telefon bimbitnya.
Tidak dapat tidak, alasan dan rayuan Khairunnisa diabaikan. Dia dan kekasih barunya terpaksa dibawa ke pejabat Unit Hal Ehwal Pelajar malam itu juga untuk tindakan susulan. Mereka sangat gerun apabila disebut nama Prof.Siddiq yang memang dikenali sebagai seorang yang paling tegas dalam hal ehwal agama. Namun, apabila disebut nama Allah, tidak pula gentar hati dan jiwa mereka.
“Sesungguhnya orang-orang beriman yang bila disebut Allah gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepadanya maka bertambahlah imannya, sedang mereka itu bertawakkal kepada tuhannya.”(Surah Al-Anfaal : ayat 2)
*****
Sebulan berlalu.
“Tak sangka mama, kau sanggup menjatuhkan air muka mama dengan perbuatan kau ni,” ujar Datin Lisa, wanita berusia lingkungan 40-an.
“Alah, mama bukan tak tau Nisa kan memang selalu keluar dengan pakwe Nisa.”
“Habis tu kenapa boleh tertangkap kat tempat sunyi tu. Ish buat malu mama betul la. Jatuh reputasi mama tau tak.”
Mereka berdua melangkah keluar dari pejabat Unit Hal Ehwal Pelajar Kolej Seri Iman atas urusan surat aku janji bagi pelajar-pelajar yang ditangkap dalam serbuan Ops Anti-Maksiat. Ibu bapa pelajar terlibat dikehendaki hadir untuk menyaksikan perakuan mereka. Mereka yang tertangkap telah selesai menjalani program keinsafan selama sebulan. Namun masih ada juga insan yang tidak insaf-insaf.
“Mama, bukan salah Nisa. Diorang yang cari pasal dengan Nisa,” Khairunnisa mula membela dirinya.
“Siapa? Siapa yang sengaja buat hal dengan anak mama ni? Cakap Nisa. Biar mama ajar dia cukup-cukup,” Datin Lisa membentak marah.
“Hmmm…” Khairunnisa tersenyum sendirian. Hatinya ingin membalas dendam.
*****
“Siapa Fahmi?” suara seorang wanita yang tiba-tiba datang menjerit mengejutkan empat orang sahabat di sebuah pondok berhampiran Surau Ar-Rahman.
“Saya, makcik,” jawab Fahmi sopan.
“Apa makcik-makcik. Kau tahu aku siapa? Aku Datin Lisa. Panggil aku Datin,” jerkah Datin Lisa.
“Saya minta maaf Datin,” ujar Fahmi lagi. Ketiga-tiga orang sahabatnya hanya melihat terpinga-pinga.
“Oh, jadi kaulah yang sengaja cari pasal dengan anak aku ye.
“Apa yang Datin cakapkan. Saya tak faham?” soal Fahmi.
“Buat-buat tak faham pulak. Kau dah lupa yang kau tangkap anak aku, Nisa sampai dia terpaksa masuk ke program yang entah apa-apa sehinggakan semua orang di kolej ini tahu yang dia buat benda yang tak elok.”
Fahmi cuba memutar kotak ingatannya. Dia lantas teringat seorang gadis bernama Khairunnisa. Gadis yang selalu kuat bantahannya.
“Tapi, Datin. Sesiapa yang buat salah mesti dihukum apatah lagi sesuatu yang salah di sisi agama. Saya tak berniat untuk mengganggu urusan peribadi anak Datin.”
“Ah, aku tak nak dengar kau berceramah di sini! Kau tak ada hak nak urus hal anak aku.”
“Saya minta maaf,Datin. Tapi Datin patut tahu perbuatan anak Datin tu salah dan Datin sepatutnya menasihatinya supaya tidak mengulangi maksiat itu lagi,” sengaja Fahmi menekankan perkataan ‘maksiat’ kepada Datin Lisa.
“Amboi, dah pandai nak ajar aku ye. Hei, kalau kau nak duit, berapa pun aku boleh bagi. Tapi, satu je aku mintak. Jangan ganggu hidup anak aku.”
“Saya tak perlukan duit Datin. Apapun tawaran Datin, saya tetap takkan berganjak dengan kerja-kerja dakwah ni.”
“Aku tak kisah apa kau nak cakap. Ingat, ini amaran terakhir aku. Aku tak nak kau masuk campur urusan anak aku. Kalau tak, tahulah nasib kau, “ ugut Datin Lisa seraya meninggalkan Fahmi.
Haziq, Syafiq dan Ilyas menghampiri Fahmi. Mereka menepuk-nepuk belakang bahu Fahmi sebagai tanda sokongan.
“Bersabarlah, Allah kan sayang akan orang yang sabar,” pujuk Syafiq.
“Betul tu. Janganlah enta terkesan dengan kata-kata Datin tadi tu. Hidup sebagai orang yang mencegah kemungkaran ni memang banyak dugaannya. Apa yang kita buat selama ini memang benar pada jalan-Nya,” Haziq pula bersuara.
“Wahai orang yang beriman. Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu,” merdu bacaan Ilyas mengalunkan ayat tujuh daripada surah Muhammad.
Jiwa mereka kembali tenang. Walaupun hidup sebagai pendakwah sentiasa diuji, itu tanda Allah mengukur keimanan mereka. Hati mereka tetap teguh kerana hanya satu keyakinan mereka, Allah pasti sentiasa bersama.
‘Ya Allah, pinjamkan aku kesabaran dan kekuatan-Mu untuk terus berjuang di jalan-Mu ini,’ doa Fahmi di dalam hati.
*****
“Nisa, sudah lah tu. Sampai bila kau nak jadi macam ni? Terseksa aku tengok kau,” soal Rahimah kepada rakan sebiliknya.
Khairunnisa hanya membisu. Matanya tidak habis-habis mengalirkan air mata sejak seminggu yang lalu. Kematian ibunya benar-benar menjadikan Khairunnisa seorang yang pasif. Dia jarang makan dan pergi ke kuliah. Pagi, petang, tidur, dan bangunnya hanya di biliknya.
Fikiran Khirunnisa melayang ke arah peristiwa yang berlaku seminggu yang lalu.
*****
“ Enti Khairunnisa?” tanya Prof. Siddiq tatkala Khairunnisa menjengah masuk ke dalam biliknya.
“Ya, saya. Ada apa Prof panggil saya?” jawab Khairunnisa seraya memulangkan soalan kembali kepada Prof. Siddiq.
“Ana harap enti bersabar dan banyak mengingati Allah apabila menerima berita ini.”
Prof. Siddiq menarik nafas kemudian menyambung kata-katanya.
“Sebenarnya ibu enti telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Dia kemalangan semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan meninggal di tempat kejadian. Ana harap enti pasrah menerima ketentuan Ilahi ini,” ujar Prof. Siddiq tenang.
Khairunnisa mula merenbeskan air mata. Dia teresak-esak bagai anak kecil meminta disusukan. Dia menjerit tanpa sedar sesiapa pun di sekelilingnya.
“Mama…..” jeritan Khairunnisa mengejutkan Rahimah yang sedang mengaji.
Rahimah lantas menghampiri Khairunnisa. Dia membaca sepotong ayat Allah yang bermaksud,
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita,”
“Nisa, kau sahabat aku. Walau apa pun yang terjadi, aku takkan sekali-kali meninggalkan kau,” ujar Rahimah sambil memeluk erat Khirunnisa.
Dia menyambung lagi,”Sudahlah, semua yang hidup memang akan mati, cuma cepat atau lambat sahaja. Kita semua milik Allah, Nisa. Tapi, hidup tetap perlu diteruskan.”
“Aku dah tak ada sesiapa lagi, Imah. Kepada siapa lagi tempat aku mengadu,Imah,” pelukan dieratkan. Air mata hangat semakin deras menuruni pipi Khairunnisa.
“Sabar, Nisa. Aku kan ada. Yang paling penting, Allah sentiasa ada. Kalau aku pula yang mati, kau tetap ada Dia. Sebab Dia tak mati,” kata-kata Rahimah sangat menusuk ke kalbu Khairunnisa.
“Betul cakap kau. Selama mama aku hidup, dia tak pernah ajak aku solat. Aku selalu dimanjakan dengan kekayaan dan hidup aku penuh dosa. Aku takut kalau Tuhan mengazab aku dan arwah mama aku.”
“Allah itu Maha Pengampun. Selagi kita masih hidup, pintu taubat sentiasa terbuka.”
“Tapi, mama aku…”
“Kau sebagai anak dia tetap boleh nendoakan mama kau.”
“Imah, bawa aku kepada Dia. Aku nak dekat pada Allah.”
“Alhamdulillah, Insya Allah, nanti aku bawa kau ke satu tempat yang boleh bawa kau pada-Nya.”
*****
“Ini ke tempat yang kau cakap hari itu?” soal Khairunnisa tatkala dia dan Rahimah sampai ke satu tempat yang sungguh menenangkan.
“Ya, inilah Surau Ar-Rahman, rumah Allah. Kau duduklah sini dulu. Nanti waktu Zohor akan masuk. Aku ke sana sekejap,” ujar Rahimah seolah-olah seorang ibu mengarahkan anak kecilnya.
“Ya Allah, besarnya dosa aku terhadap-Mu, Ya Allah,” rintih Khairunnisa tiba-tiba apabila di segera teringat akan dosanya yang menggunung.
“Ampunkan aku Ya Allah. Aku benar-benar bertaubat dan tak akan mengulangi lagi dosa-dosaku,” rintihnya lagi. Hari itu dia benar-benar bagai seorang bayi yang baru dilahirkan atas taubat dan keinsafannya yang begitu tulus.
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Az-Zumar: 53)
*****
“Eh, enta perasan tak, tiap-tiap kali kita nak bersihkan surau ni, selalu tak jadi kan,” Syafiq memulakan perbualan tatkala mereka berempat dan beberapa ahli Exco Dakwah dan Tarbiyah ingin memulakan operasi pembersihan surau. Namun, operasi itu terpaksa dibatalkan.
“Yelah, bukan hari ni je bersih. Tapi, setiap hari, surau ni selalu bersih,” Ilyas pula menyambung.
“Biarlah, pasti sudah ada orang yang membersihkan surau ini. Semoga Allah merahmati dia,” dalam hati dia tertanya-tanya siapakan gerangan insan yang mulia itu.
“Betul tu. Tapi melepas pahala kita kalau kita tak dapat membersihkan surau. Hari Jumaat pula tu, Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari,” kata Haziq seolah-olah kehilangan sesuatu yang berharga.
“Tak apa. Semoga usaha kita mengimarahkan surau ni selama ini diganjari Allah,” pujuk Ilyas.
“Jom, sahabat-sahabat sekalian. Kita mesti bersiap-siap cepat. Nanti ana nak buat persiapan untuk kuliah maghrib pula,” Fahmi mengajak mereka pulang seraya meninggalkan surau ar-Rahman dengan seribu pertanyaan terhadap ‘Si Pembersih Surau’.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semoga kalian yang berada di surau yang mulia ini dirahmati Allah selalu.
“Tidak banyak yang ingin ana cakapkan pada hari ini. Ana cuma ingin sentuh tentang sahabat. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud, tidak akan beriman seseorang hamba sehingga dia mengasihi saudaranya melebihi dirinya sendiri. Jadi ana ingin antum bermuhasabah kembali, adakan kita sudah mencintai sahabat-sahabat kita kerana Allah? Adakah kita mengutamakan mereka lebih daripada diri kita sendiri? Kita semua bersaudara. Oleh itu, jika sahabat kita susah kita tidak boleh melupakannya dan kita mesti berada di sisi sahabat-sahabat tatkala mereka susah mahupun senang.
“Seorang sahabat bertanya Rasulullah SAW, "Siapakah yang menjadi sahabat paling baik bagi kami? Jawab baginda,"Seseorang yang apabila kamu memandangnya kamu teringat akan Allah, apabila kamu dengari percakapannya, pengetahuan kamu tentang Islam bertambah, apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat kepada kehidupan akhirat.” Jadi, semoga kita sama-sama dapat membina iman kita dan menjadi seorang sahabat yang baik kerana hanya dengan iman, dapat mengukuhkan cinta kita kepada sahabat kerana Allah.”
Di ruangan solat muslimat, Khairunnisa kelihatan tidak keruan. Kuliah Maghrib yang disampaikan Fahmi menyentuh jiwanya. Namun, suara Fahmi yang mengeluarkan mutiara ilmu tiba-tiba menggetarkan jiwanya. Dia rasa rindu untuk terus mendengar suara itu. Suara yang selalu menasihatinya. Suara yang menegurnya atas dosanya yang lalu. Namun, si pemilik suara itu terpaksa menerima tohmahan dan herdikan kasar oleh seorang gadis sepertinya. Kini, dia seperti jatuh cinta akan Fahmi.
“Hebat kan saudara Fahmi. Untung siapa yang dapat jadi isteri dia kan,” Khairunnisa dapat menangkap jelas suara seorang muslimat yang sedang membicarakan perihal Fahmi usai kuliah Maghrib.
“Yelah, semua orang kagum padanya. Dia kan pemimpin Exco Dakwah yang hebat. Sayalah yang paling bertuah jika dapat jadi pendamping hidup dia,” tambah seorang lagi.
“Apalah awak ni, ke situ pulak. Kita kena sedar siapa diri kita. Tarbiyah pun tak seberapa. Hafazan Al-Quran pun sedikit. Aurat pun tak hebat. Takkanlah si Fahmi nak pilih kita jadi isteri dia.”
“Betul apa yang awak cakap tu. Yang penting kita kena betul-betul mentarbiyah diri. Kita nak jadi seorang wanita solehah bukan kerana seorang lelaki tetapi untuk mendapatkan keredaan Allah.”
“Yelah, soal jodoh kita serahkan pada Tuhan. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Lagi pun Allah dah berjanji, lelaki baik untuk perempuan baik manakala lelaki jahat untuk perempuan jahat.”
“Sudah lah tu. Kita dah lewat ni. Saya ada banyak kerja lagi yang perlu dibuat. Jom balik,” dua orang muslimat itu beredar meninggalkan surau Ar-Rahman.
Setiap patah kata mereka berdua dihadam jelas oleh Khairunnisa. Hatinya tiba-tiba hiba. Terasa dirinya hina dan tidak layak untuk menggapai cinta seorang lelaki yang hebat seperti Fahmi. Lantas dia teringat sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga meniggal dunia, maka dia adalah seorang yang syahid.
‘Cukuplah cintaku pada-Mu Ya Allah. Sesungguhnya hanya cinta-Mu yang kekal abadi. Aku serahkan segala-galanya soal hidupku, jodohku dan matiku hanya pada-Mu,’ doanya dalam hati sambil mengharapkan sesuatu yang istimewa daripada Yang Maha Penyayang.
*****
“Fahmi dah pulang?” sola Puan Haryati, ibu Fahmi.
Fahmi yang mendengar suara ibunya segera berhenti. Dia baru pulang dari syarikat guamannya. Kini sudah hampir setahun dia bekerja sebagai peguam syariah selepas agak lama dia meninggalkan Kolej Seri Iman. Namun, ukhuwwahnya dengan sahabat-sahabatnya tetap berterusan. Sekali-sekala mereka mengadakan halaqah usrah bersama-sama apanila masing-masing tidak sibuk dengan urusan kerja.
“Ya, mak. Wah, sedapnya! Mak masak apa ni?” soal Fahmi pula.
“Masakan kegemaran Fahmi lah. Oh ya, Fahmi, mak rasa mak dah jumpa bakal menantu mak,” kenyataan Puan Haryati amat mengejutkan Fahmi.
“Kenapa mak tiba-tiba beritahu Fahmi hal ni?”
“Fahmi, kamu tu dah besar panjang dah. Mak teringin nak tengok kamu kahwin cepat-cepat. Hari itu kamu juga yang minta mak carikan kamu calon isteri kan?”
“Yalah, mak. Fahmi tanya je. Ikutlah, mak. Mak jumpa dia di mana?Bagaimana rupanya? Dia kerja apa?”
“Amboi, banyaknya soalan. Nakal juga kamu ni ye Fahmi.”
“Tapi, Fahmi nak istikharah dahulu, mak.”
“Mak tak kisah kamu nak terima dia atau tak. Tapi, hati mak rasa dialah bakal menantu mak.”
“Hai, kenapa dia begitu istimewa sangat buat mak?”
“Kalau kamu nak tahu, mak jumpa di masjid kampung kita ni. Mak perasan dia selalu bersihkan masjid walaupun bukan tiap-tiap hari sebab di pun bekerja. Tapi, setiap aktiviti keagamaan yang masjid tu buat, dia tak pernah miss tau tak. Mak pernah berborak dengan dia. Mak tanya dia kenapa dia suka sangat duduk kat masjid. Yelah bukan senang nak jumpa orang muda macam dia berminat buat kerja-kerja amal di masjid.”
Fahmi khusyuk mendengar cerita ibunya. Hatinya juga bagai tertarik dengan peribadi wanita itu. Kemudian ibunya menyambung lagi.
“Dulu, dia pernah mengotorkan surau di kolej dia dengan najis. Dia buat semua tu sebab nak balas dendam dekat budak entah siapa entah. Dia rasa bersalah sangat-sangat. Jadi, selepas dia bertaubat, dia mula jatuh cinta pada masjid dan dia bertekad untuk terus menjaga kebersihan masjid dan mengimarahkan masjid.Dia cakap lagi, semasa di kolej dulu, tiap-tiap hari dia bersihkan surau kolej. Nak tebus dosa lalu katanya. Itu lah yang buat mak kagum dengan dia. Bukan senang nak cari wanita macam dia.”
Fahmi sedikit terkejut dengan kenyataan ibunya. Dia tiba-tiba teringatkan sesuatu. Kini dua persoalan yang bermain di benak fikirannya sejak di kolej dahulu terjawab. Rupa-rupanya ‘Si Pengotor Surau’ dan ‘Si Pembersih Surau’ merupakan orang yang sama. Subhanallah!
“Tadi, mak ada sebut pasal kolej kan. Dia belajar di kolej mana?”
“Kalau tak silap mak, kolej yang kamu belajarlah. Habis tu, kamu tak kenal Khairunnisa Zaharuddin, budak perempuan yang mak cakap tu.”
“Apa mak? Nama dia Khairunnisa?” Fahmi sedikit terjerit mendengarkan satu nama itu.
*****
“Apa yang buat abang termenung tu,?” ujar satu suara menyapa telinga Fahmi.
“Tak ada apa. Abang cuma tak sangka hebat betul percaturan Allah kan. Tak sangka abang dapat berkahwin dengan Nisa,” jawab Fahmi lagi sambil memegang erat tangan isteri tercinta yang dikahwininya seminggu yang lalu.
“Nisa lagi tak sangka. Yelah, abang kan dulu seorang yang sangat disegani di kolej. Nisa rasa tak layak pula kalau nak digandingkan dengan abang. Nisa ni dahlah asyik terkantoi buat maksiat je dengan abang dulu kan,” Khairunnisa merendah diri.
Fahmi tersenyum. Teringat olehnya akan peristiwa yang berlaku antaranya dan isterinya di kolej dahulu.
“Bagi abang, Nisalah wanita yang paling hebat. Abang bersyukur sangat dikurniakan isteri yang cintakan agama-Nya dan kerana taubat Nisa yang tulus itu, Allah telah membuka pintu hati abang untuk menerima Nisa sebagai sayap kiri perjuangan abang. Abang langsung tak kisah akan perihal Nisa yang dulu,” ujarnya lagi memenangkan Khairunnisa sambil mengucup lembut dahi Khairunnisa.
“Terima kasih, abang kerana sudi jadi suami Nisa. Abang bimbinglah Nisa ke jalan yang diredai Allah. Banyak lagi yang Nisa perlu pelajari untuk menjadi seorang hamba-Nya yang bertakwa dan isteri yang solehah buat abang,” kata Khairunnisa penuh pengharapan.
“Insya Allah, Nisa,” ujar Fahmi.
Doa mereka semoga kehidupan mereka suami isteri diberkati Allah dan harapan mereka agar mereka sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk terus berjuang demi agama tercinta.
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
(Surah Ali-'Imran, ayat 19)
0 comments:
Post a Comment