Cerpen : Bayangan Dosa Semalam



“Sayang ni cantiklah. Tak puas Abang tengok,” tangan si lelaki sudah pun menyentuh pipi comel si wanita.
“Abang, Abang  nak air lagi? Nanti Sayang ambilkan ye,” suara lunak manja itu kedengaran  cukup menggoda sang lelaki.
“Tak nak, Abang nak Sayang. Jomlah balik ke rumah Abang,” giliran lelaki itu pula memasang jarum.
“Tak boleh. Sayang kena kerja lagi. Nanti ada pelanggan lain pula yang datang ke mari. Apa kata kita menari . Abang mesti dah lama tak menari. Cepatlah Abang!!” mahu tidak mahu lelaki itu mengikut gerak- geri si wanita untuk menari bersamanya. Bunyi bising terhasil daripada getaran lagu-lagu rancak yang dipasang di kelab malam itu membuai leka semua manusia dalam dunia ciptaan syaitan.
“Astaghfirullahala’ziim…Mimpi  lagi,” suara lunak manja tadi menuturkan istighfar. Jam menunjukkan jam 3 pagi. Mimpi ngeri itu sudah banyak kali menghantui tidurnya.
Balqis segera bangun dari tempat tidurnya dan menuju ke kamar mandi. Berniat untuk membersihkan diri dan berwudhu’. Dia lantas menghamparkan sejadah, ingin bermunajat kepada Yang Esa. Ketenangan, kerahmatan  dan paling tidak dilupakan keampunan dipohon. Moga segala doanya dimakbulkan.
“Eh, Balqis dah bangun. Nampaknya dah dapat bangun tanpa dikejutkan. Alhamdulillah,” suara milik seorang wanita berusia lingkungan 40-an kedengaran di cuping telinga Balqis.
“Dah, Kak Siti. Tapi, Balqis mimpi lagi,” mata sudah mula bertakung air mata jernih.
“Balqis, jangan sedih. Terus memohon pada-Nya. Dia Maha Mengetahui. Ini  cuma ujian iman buat Balqis. Allah nak lihat sejauh mana keikhlasan Balqis. Sudahlah. Tidurlah. Nanti akak kejutkan untuk solat Subuh.”
“Tak apalah akak. Balqis nak mengaji  dahululah. Kalau akak mengantuk, akak pergilah tidur. Hari ini biar Balqis yang kejutkan akak untuk Subuh berjemaah.”
“Okay lah kalau macam itu. Memang Balqis pun yang selalu kejutkan akak. Akak tidur dahulu ye Balqis sayang.” Senyuman manis dilemparkan buat Balqis. Namun, senyuman itu masih belum mampu menceriakan hatinya yang masih hiba.
“Ya Allah, hilangkanlah kedukaan dalam hatiku. Bantulah hamba-Mu ini, Ya Allah”

*******
“Assalamualaikum adik-adik. Dah lama tunggu akak?”
“Waalaikumussalam. Tak adalah akak. Kami pun baru sahaja sampai,” suara seorang lelaki cilik, Ahmad kedengaran enak sekali.
“Kak Balqis cantik lah hari ini,” puji seorang  budak perempuan bertudung manis, Umairah.
“Ye lah, akak nampak macam bidadari lah,” puji seorang lagi, Fatimah.
“Kamu semua ini pandai kan. Nak bodek akak lah tu. Kelas pun belum mula lagi. Jangan risau adik-adik. Semua orang akan dapat gula-gula hari ini,”
“Yeah….” sorakan gembira meriuhkan keadaan di kelas tadika itu. Kelas tadika itu milik Puan Siti yang dibuka tiga tahun lalu. Balqis salah seorang tenaga pengajarnya. Dia diambil bekerja oleh Puan Siti setahun yang lalu selepas  dia berjaya diselamatkan Puan Siti dalam satu peristiwa hitam yang membawanya ke satu dunia baru yang menenangkannya kini. Oleh sebab Puan Siti sudah lama menjanda jadi dia tinggal serumah dengan Puan Siti.
“Balqis baru habis kelas?” soal Puan Siti usai Balqis keluar dari kelasnya.
“Ya, akak.”
“Nanti  wakil daripada Butik Cilik Solehah akan datang untuk membincangkan tempahan baju muslimah untuk budak-budak di tadika ini. Jadi akak nak Balqis tolong akak untuk pilih baju apa yang patut ditempah.”
“Tapi, akak nak ke mana? Balqis takut silap pilih nanti.”
“Akak ada urusan penting di bandar. Jangan risau, Balqis. Semua baju itu menepati kehendak syara’. Cuma Balqis perlu pilih corak yang terbaik untuk budak-budak.”
“Insya Allah akak.”

*******
“Assalamualaikum, Puan Siti ada? Saya Amirul, pegawai ekskutif dari Butik Cilik Solehah,”  satu suara garau kedengaran.
“Waalaikumussalam. Dia tia..tia..da…tapi saya wakilnya. Saya Balqis. Ini sahabat saya Nurul.” Balqis yang agak terkejut dengan kehadiran lelaki berkopiah itu menyebabkannya tergagap-gagap. Segera dia menundukkan sedikit wajahnya. Tidak menyangka dia sama sekali seorang lelaki pun bekerja di sebuah butik pakaian muslimah. Nasib baik ada Nurul untuk menemaninya.
“Oh, tak apalah kalau begitu. Jadi, boleh kita mulakan perbincangan sekarang,” suara itu seakan-akan renjatan elektrik buat Balqis. Hatinya berdebar-debar, namun Balqis hanya berlagak professional.
“Boleh, Insya Allah.”
Selesai berbincang, Balqis dan Nurul menghantar Amirul di hadapan pintu pagar tadika sebagai tanda hormat. Wajahnya masih ditundukkan sedikit. Teringat olehnya pesanan Kak Siti apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram, seorang wanita itu wajib menundukkan pandangan dan haram melunakkan suara ketika bercakap dengannya.
Semasa Amirul memasuki sebuah van, tiba-tiba, Balqis melihat seorang lelaki yang cukup dikenalinya. Lelaki itu pemandu van Butik Cilik Solehah. Lelaki itu melihat ke arahnya dengan pandangan tajam. Segera Balqis menarik tangan Nurul untuk masuk ke dalam tadika. Amirul yang menyaksikan perkara itu kehairanan dengan sikap aneh Balqis. Dia mula berasa tidak sedap hati.
“Balqis, awak okay ke?” soal Nurul.
“Saya okay je. Tiada apa-apalah.” Balqis menyembunyikan perasaan sebaknya.
“Tapi, mata awak berair. Awak menangis eh? Saya ada buat salah dekat awak ke?”
“Tak adalah, mana ada. Awak tak pernah buat salah apa-apa pun” Balqis rasa Nurul tidak perlu tahu akan zaman silamnya. Pasal lelaki itu. Lelaki yang merosakkan hidupnya.
“Atau..Atau..Awak sedih Encik Amirul pulang. Mana tahu awak dah terpaut hati padanya. Saya lihat awak gelabah semacam je tadi. Encik Amirul pun sama.”
“Awak ni Nurul. Tak habis-habis nak menyakat saya kan.”
“Betul apa yang saya cakap kan? Tengok muka awak dah blushing dah tu.” Nurul segera ketawa melihat Balqis yang malu-malu itu. Sekurang-kurangnya kesedihan Balqis berkurang dengan keceriaan suasana yang dibawa oleh Nurul.

*******
“Sekarang ni, kau dah tak boleh ke mana-mana,” jeritan lelaki kasar bernama Sufiyan itu menakutkan Balqis.
“Kau dengar sini baik-baik. Lelaki lain kau boleh larikan diri. Tapi dengan aku, no way ,okay!” tangan Balqis sakit sekali dicengkam oleh Sufiyan.
“Lepaskan aku lah, bodoh. Aku tak nak ikut kau la. Tolong lah lepaskan aku,” giliran Balqis pula menempik kuat. Tangisannya semakin kuat.
“Kau kata aku bodoh. Hei, aku tak bodoh lah. Kau yang bodoh. Perempuan tak guna. Hari ini kau kena kerja dengan  aku. Beribu duit aku habis untuk kau, kau tahu tak.”
Dengan kudrat wanitanya yang tidak seberapa, Balqis menendang kaki Sufiyan sekuat hati lalu segera melarikan diri daripada Sufiyan.
“Hoi, jangan lari perempuan bodoh.”
Sufiyan terus mengejar Balqis tetapi tiba-tiba satu cahaya terang memancar di hadapan muka Balqis. Balqis terjatuh. Kepalanya terhantuk pada satu benda yang keras. Balqis tidak sedarkan diri.
“Aaa…akak!” jeritan Balqis mengejutkan Puan Siti daripada lenanya.
“Ya Allah. Kenapa Balqis jerit ni?”
“Akak…Akak… Balqis takut. Sufiyan kejar Balqis. Dia nak tangkap Balqis,” Balqis sudah mula menangis teresak-esak.
“Ya Allah, mesti Balqis mimpi lagi kan. Sudahlah. Jangan nangis lagi. Balqis kan dah selamat sekarang. Akak ada di sini dengan Balqis.”
“Tapi, kenapa Balqis mesti mimpi hal yang sama? Mungkin inilah balasan atas apa yang telah Balqis lakukan dulu. Atau apakah taubat Balqis tak diterima?”
“Bawa mengucap Balqis. Istighfar banyak-banyak. Balqis tak boleh cakap begitu. Kan akak dah cakap dulu, Allah itu maha Pengampun. Dia pasti mengampunkan dosa orang yang bertaubat. Balqis mesti yakin akan hal itu.”
“Tapi, kenapa Balqis perlu lalui mimpi itu. Seolah-olah Balqis masih buat kerja-kerja maksiat itu. Balqis dah tak nak ingat lagi dosa-dosa Balqis dulu akak. Bila Balqis mimpikan hal itu, Balqis rasa diri ini hina sangat.”
“Balqis, dengar apa yang akak cakap. Orang yang bertaubat itu sangat mulia di sisi Allah. Walaupun dihina oleh masyarakat sekeliling, tapi dia tetap dipandang tinggi oleh Allah. Dia seolah-olah dilahirkan semula tanpa secalit dosa pun pada dirinya.”
“Akak tahu tak, Balqis selalu berdoa supaya mimpi itu dah tak ganggu Balqis lagi tapi….”esakannya semakin kuat kedengaran di telinga Puan Siti.
“Balqis tak boleh buruk sangka kat Tuhan tau. Balqis kena yakin Allah akan makbulkan doa setiap hamba-Nya. Mimpi itu hadir mungkin sebagai peringatan Allah pada Balqis supaya Balqis tidak jemu dan putus asa untuk terus berdoa dan memohon keampunan-Nya. Sebab itulah bila Balqis masih didatangi mimpi itu, Balqis kena segera beristighfar dan banyakkan berdoa.”
“Akak, satu benda je yang Balqis takut. Balqis asyik teringat dosa-dosa yang lalu. Kadang-kadang, Balqis rasa macam tak layak diampunkan.”
“Janganlah cakap macam itu. Insya Allah, janji Allah itu pasti. Dia pasti mengampunkan dosa hamba-Nya walau setinggi gunung sekali pun. Asalkan kita benar-benar bertaubat dan tidak mengulangi lagi dosa itu,” pujukan dan nasihat  Puan Siti sedikit banyak mengembalikan ketenangan dalam diri Balqis.
“Terima kasih, akak kerana dah selamatkan Balqis hari itu. Kalau tidak tak tahu la apa akan jadi pada Balqis sekarang ini.”
“Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang dan penentu dan Allah tahu apa yang terbaik untuk Balqis kerana Allah sayangkan Balqis. Sebab itulah akak terlanggar Balqis hari itu. Aturan Allah cukup sempurna buat hamba-hamba-Nya.”
‘Alhamdulillah, syukur Ya Allah atas nikmat hidayah yang Kau kurniakan padaku’

*******
Van Butik Cilik Solehah meluncur laju di atas jalan raya menuju ke Tadika Siti. Tiba-tiba si pemandu ketawa sendirian.
“Ha…Ha…Ha…Akhirnya sampai juga hasratku untuk mendapatkan Balqis. Inilah masanya untuk dia menjadi milikku,” kata Sufiyan sambil ketawa.
Semalam, semasa Amirul memberitahunya bahawa dia akan melamar Balqis untuk menjadi isterinya, Sufiyan sudah tidak senang duduk. Hari ini, apabila dia sekali lagi diarahkan Amirul untuk ke tadika itu bagi menyerahkan resit pembayaran tempahan pakaian muslimah, dia memang sedang menanti saat untuk bertemu kembali dengan Balqis.
“Uh, ada hati kau nak miliki Balqis, Amirul. Dia milik aku. Selama-lamanya akan jadi milik aku. Balqis, tunggu kehadiran Abang, Sayang,” ketawanya semakin menjadi-jadi  seolah-olah sudah dirasuk sesuatu.
Usai sampai ke tadika, Sufiyan ternampak kelibat Balqis menuju ke pejabat. Langkah Balqis diekori cepat. Dia ingin memastikan tiada sesiapa yang menyedari kehadirannya. Dia lantas menghampiri Balqis. Tanpa membuang masa dia menekupkan kain tuala yang sudah disapu sejenis bahan kimia pada hidung Balqis lalu  Balqis pengsan.
“Cikgu Siti…Cikgu Siti…tadi Ahmad ternampak Kak Balqis pengsan dan dia dibawa  pergi dari sini oleh sebuah van,” ujar Ahmad cemas yang kebetulan dengan izin Allah ternampak keadaan yang berlaku tadi.
“Astahgfirullah. Balqis. Ahmad kenal ke van siapa itu?”
“Ahmad rasa itu van yang datang hantar baju kami, Cikgu.”
“Ya Allah, Butik Cilik Solehah,” tangannya dengan pantas menekan  nombor milik Amirul.
“Apa? Maknanya Sufiyan tak datang berjumpa dengan Puan Siti?” ujar Amirul di talian sana.
“Sekarang ni, kita kena selamatkan Balqis. Akak takut dia diapa-apakan oleh Sufiyan seperti dulu. Amirul tahu tak di mana rumah atau tempat yang selalu Sufiyan pergi.”
“Apa maksud akak seperti dulu? Tapi saya rasa saya tahu tempat yang selalu dia pergi.”
“Panjang kisahnya Amirul. Cuma yang pasti mereka berdua memang pernah kenal. Sekarang, akak dan Nurul pergi buat laporan polis dan Amirul ke sana cepat untuk selamatkan Balqis sebelum terjadi apa-apa kepadanya.”

*******
Rumah usang di pinggir kota itu dimasuki senyap-senyap. Tiba-tiba, Amirul terdengar suara yang sudah tidak asing baginya.
“Tolonglah lepaskan aku, Sufiyan. Kau bertaubatlah. Aku dah tak nak buat kerja-kerja maksiat itu lagi,” suara Balqis kedengaran lemah di cuping telinga Amirul.
“Lepaskan kau? Hei perempuan tak guna, kau tahu tak kerana kau, beribu-ribu duit aku habis. Kerana kau aku dibuang kerja. Kerana kau aku jadi papa kedana. Sekarang kau dah tak boleh lari lagi. Kau milik aku dan kau kena kerja balik untuk dapatkan duit untuk aku.”
“Aku mohon pada kau, Sufiyan. Sekarang ni pun kau dah ada kerja yang halal. Bertaubatlah sebelum terlambat. Insaflah apa yang dah kau lakukan dulu.”
“Dah pandai bagi tazkirah rupanya. Hei, setakat jadi pemandu aku tak puas, kau tahu tak. Sekarang ni, aku dah jumpa kau. Inilah masanya kau balas balik segalanya selepas kau larikan diri daripada aku dulu.”
“Sufiyan, lepaskan Balqis. Dia bukan milik kau. Lepaskan dia sebelum terjadi apa-apa pada kau.,” suara Amirul yang tiba-tiba muncul mengejutkan Balqis dan Sufiyan.
“Hoi, Amirul. Apa yang kau buat di sini. Lebih baik kau jangan dekat sebelum aku apa-apakan dia,” ujar Sufiyan  lalu menghulurkan sebilah pisau pada leher Balqis yang diselindungi tudung labuhnya.
“Jangan apa-apakan dia. Tolonglah. Kalau kau nak duit atau kerja yang lebih bagus, aku akan berikan tapi tolong lepaskan dia.”
“Ha…Ha…Ha…Kau ingat aku bodoh ke? Kau tak payah la nak selamatkan dia. Kalau kau nak tahu, perempuan yang kau nak jadikan isteri ni sebenarnya perempuan kotor. Dia bekas GRO!! Tak sangka aku ada juga orang yang nak memperisterikan perempuan kotor macam ni,” Balqis yang mendengarkan kata-kata Sufiyan nyata terkejut.
‘Amirul ingin melamar aku? Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Selamatkanlah aku. Aku benar-benar bertaubat kepada-Mu’ rintih Balqis dalam hati.
“Lepaskan dia sekarang! Kalau tak…” jerit Amirul.
“Kalau tak apa?” ujar Sufiyan lalu ketawa suka ria.
Bang!!! Satu bunyi tembakan kedengaran lantas mematikan ketawa Sufiyan. Sufiyan jatuh terkulai layu. Mujurlah, dengan izin Allah pihak polis tiba tepat pada waktunya.
‘Alhamdulillah Ya Allah kerana mendengar rintihan hamba-Mu. Kini aku yakin akan janji dan pertolongan-Mu,’ Balqis bertahmid dalam hati.

*******
“Balqis, di hadapan Puan Siti sebagai penjaga awak dan bersaksikan Allah Tuhan sekalian alam, saya ingin melamar awak menajdi isteri saya yang sah,” ujar Amirul syahdu, seminggu selepas peristiwa hitam itu menimpa Balqis.
“Balqis, kenapa diam je.?Jawablah. Akak dah pun redha dan merestui perhubungan suci yang bakal dibina antara Balqis dan Amirul,” Puan Siti pula bersuara memecahkan kesunyian antara mereka.
“Amirul, awak terlalu baik untuk saya. Awak dah pun menyelamatkan saya tapi…” kata-katanya segera dipotong oleh Amirul.
“Balqis, selepas kita bertemu kali pertama dengan awak di Tadika Siti hari itu, saya selalu dibayangi awak. Mula-mula saya ingatkan itu hanyalah godaan nafsu semata-mata tetapi apabila berkali-kali saya buat istikharah, saya yakin awaklah jodoh terbaik yang Allah takdirkan untuk saya. Saya memang terlalu berharap awak akan terima saya. Tapi, saya tak nak awak terima saya kerana terhutang budi sebab saya dah selamatkan awak hari itu.”
“Bukan macam itu maksud saya. Saya dah banyak buat maksiat. Saya perempuan hina yang banyak kekurangan. Saya …”
“Sesungguhnya orang yang bertaubat itu lagi mulia di sisi Allah. Ini bermakna awak ialah perempuan yang mulia. Saya tak kisah akan kisah silam awak. Sebenarnya, pegangan agama awaklah yang buat saya tertarik kepada awak,” kata-kata Amirul itu membuatkan Balqis menjadi sebak. Terasa dirinya bahagia kerana dihargai sebegitu rupa.
“Ha…Dengar tu Balqis sayang. Amirul benar-benar ikhlas menyayangi Balqis kerana Balqis dah kembali kepada agama-Nya. Jadi, nak terima ke tak nak ni?” Puan Siti yang mendiamkan diri dari tadi tiba-tiba bersuara. Dilihatnya muka Balqis sudah bertukar kemerah-merahan menahan malu.

*******
“Aku terima nikahnya Balqis binti Mohammad dengan mas kahwin RM80 tunai,” dengan satu akad, Amirul Khairuddin sah menjadi suami buat Balqis.
‘Ya Allah, syukur atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku. Kekalkanlah kasih sayang antara aku dan suami aku. Sesungguhnya aku amat mencintainya kerana cintanya pada-Mu dan Dia juga mencintai aku kerana cintaku pada-Mu. Semoga dengan kehadirannya disisiku, bayangan dosa semalam tidak lagi menjadi peneman tidurku. Amin Ya Rabbal A’lamin,’ doa Balqis di dalam hati.

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Az-Zumar: 53)

Persiapan Untuk SPM

Alhamdulillah keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia aku yang lalu dah pun diumumkan dan kini tiba masa untuk adik-adik  junior meneruskan peperangan SPM.
Semasa SPM dulu, apa yang paling penting bagi aku ialah ketenangan.
Walaupun kita dah study bagai nak rak tapi semasa menjawab soalan sentiasa gelabah dan nervous pun tidak membantu.
Bagi aku, ketenangan dan kemudahan itu hanya datang daripada Allah, justeru itu sebagai hamba yang lemah perlu meminta kepada Allah.
Apa yang aku selalu amalkan sebelum menduduki ujian ialah aku akan berselawat sebanyak-banyaknya dan membaca Surah Al-Insyirah berulang-ulang kali.
Insya Allah, dengan rahmat dan izin-Nya, Allah pasti akan memberikan ketenangan dan kelancaran ketika menjawab soalan.


Namun, tanpa kita sedari, ada satu lagi SPM yang kita semua sedang hadapi iaitu "'Sijil Padang Mahsyar'.
Sebenarnya ujian untuk SPM ini dinilai ketika manusia berada di dunia dan keputusannya akan diperolehi di akhirat nanti.
Sama ada keputusan sijil padang mahsyar kita membawa kita ke syurga atau neraka, ianya ditentukan oleh kita sendiri.
Hidup di dunia ini merupakan ujian dan kita perlulah bijak menghadapi segala mehnah dunia ini.
Aku yakin, Insya Allah ujian dunia ini akan mudah dihadapi sekiranya kita mengamalkan petua dan tips-tips ketika menghadapi SPM (Sijil pelajaran Malaysia)
Tidak kiralah ketika menghadapi masalah kewangan, kesesakan jalan raya, kematian orang tersayang, kemelut rumah tangga, cabaran study atau apa-apa sahaja ujian Allah kepada hamba-Nya di dunia ini, Insya Allah dapat kita hadapi dengan banyakkan berselawat, berdoa dan memohon kemudahan, ketenangan, dan bantuan serta rahmat daripada Allah Taala.


Semoga kita sama-sama dapat membuat persiapan bagi menghadapi ujian dunia ini supaya berjaya dalam SPM di akhirat nanti.
Sesungguhnya pengorbanan amatlah diperlukan kerana bayarannya amatlah mahal di akhirat sana iaitu syurga yang kekal abadi.
Selamat berjuang sahabat-sahabatku ^__^ Moga sama-sama success di dunia dan akhirat.
Wallahu A'lam...

Amin

Apa itu Amin?
Nama orang ka?
Tak delah....
Amin tu nama judul sebuah komik terbitan KOMIK-M.
Aku ni memang orang yang tak suka baca komik.
Paling akhir pun masa zaman budak-budak dulu.
Bosan la baca komik ni....tak de faedah...just lawak kosong...
Tapi, bila adik lelaki aku yang bongsu membeli komik berjudul "Amin" ni benar-benar menarik minat aku.
"Amin" bukan sekadar komik biasa-biasa tapi penuh pengajaran dan iktibar.
Ianya mengisahkan kisah sekumpulan remaja kampung yang berjihad demi agama-Nya.
Walaupun aku baru habis baca siri 1 "Amin" ni, tapi semangat jihad mereka rasa terus meresap dalam jiwa.


Aku tertarik dengan kata-kata Amin iaitu watak utama komik ini : 
 "Memang tiada Nabi selepas Nabi Muhammad. Tetapi Tuhan sentiasa turunkan penyelamat kepada umat manusia. Aku mahu jadi penyelamat itu"

So, tunggu apa lagi sahabat-sahabat.
Ayuh kita sama-sama jadi penyelamat ummah.
Membela Islam tercinta.....

Wah, hebat betul si Amin ni...Walaupun baru berumur 13 tahun, tapi dah punya cita-cita besar untuk Islam.
Kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang kesudahan kisah perjuangan Amin, dapatkanlah komik ini.
Pesta Buku Antarabangsa KL pun baru je bermula.
Manfaatkan duit ke arah buku yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.


Wallahu A'lam

Ayuh Segerakan Solat

Salam ukhuwwah dan salam perjuangan buat semua. Semoga sentiasa dalam naungan rahmat Allah dan berada dalam kebaikan selalu.

Ana pernah tulis post ini dalam label relex minda cuma, Insya Allah, ana akan mengolahnya lagi. Post ini bertajuk "Rindu Azan Maghrib" :

Seseorang yang berpuasa sedang berehat di waktu tengah hari dengan mengikuti siaran radio yang dikendalikan oleh seorang deejay. Tema program ialah "Apa yang ingin didengari oleh pendengar". Ketika panggilannya disambut oleh deejay bertugas, dia ditanya apa yang ingin didengarnya.
     "Azan Maghrib," jawabnya ringkas.

Apa yang ana lihat pada kebanyakan masyarakat kita pada hari ini, ramai yang tidak sabar-sabar ingin mendengar azan Maghrib berkumandang pada hari mereka berpuasa tidak kira puasa wajib atau sunat. Hal ini kerana mereka ingin menyegerakan berbuka puasa. Apatah lagi menyegerakan puasa merupakan perkara sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Namun, sedikit sekali daripada kita yang tidak sabar-sabar menunggu azan Subuh, Zohor dan waktu-waktu solat yang lain untuk segera menunaikan solat. Padahal itu merupakan seruan daripada Ilahi untuk kita segera beribadat kepada-Nya. Bahkan tidak ramai yang bersiap sedia untuk mengambil wudhu' walaupun azan sudah berkumandang.

Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang sebaiknya, maka bersabda Nabi : "Solat di awal waktunya” (Riwayat oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud )

Jadi, solat di awal waktu juga merupakan keutamaan yang penting dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Apa salahnya kita bersikap tidak sabar-sabar untuk menunggu seruan azan untuk terus menunaikan solat sebagaimana kita tidak sabar-sabar menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa.

Ayuh segera solat,
 Moga mendapat berkat,
Hidup pasti selamat,
 Dunia dan akhirat.


Ucaplah Alhamdulillah


     Salam ukhuwwah lillah buat semua...Tadi, selepas bersarapan bersama keluarga, mak aku tiba-tiba bersuara bertanya kepada salah seorang adikku.


" Baca tak doa selepas makan?Doa sebelum makan baca...tapi  lepas makan tak baca"

     Begitulah setiap hari suasana di rumahku. Tiap-tiap kali selesai makan bersama, aku pasti terdengar suara ibuku menegur anak-anaknya. Mungkin kalau kalian mendengarnya, pasti dianggap bebelan semata-mata. Ye lah, setiap apa yang keluar daripada mulut seorang sering kali dianggap sebagai leteran dan bebelan yang membingitkan telinga. Namun, itulah sebenarnya mutiara hikmah yang sebenarnya sukar didapati di mana-mana.


      Ramai umat pada hari ini jarang-jarang bersyukur dengan nikmat yang diperoleh. Maknanya nikmat itu tiada berkat. Berkat itu dalam bahasa arab ialah barokah yang bermaksud ziyadatul khair yang mana bertambah kebajikan. Jadi jika nikmat yang diperoleh menjadikan kita jauh daripada Allah, itu ertinya nikmat yang kita dapat tidak berkat. Tetapi, jika nikmat dan rezeki yang diperoleh menjadikan bertambah amalan dan kita boleh membuat kebajikan melalui nikmat itu, Insya Allah nikmat yang diperoleh ada barokahnya.


Ayuhlah kita mensyukuri, 
Nikmat kurniaan Ar-Razzak,
Moga dengannya bertambah kebajikan,
Meningkat amalan,
Melambung kecintaan,
Pada Yang Maha Memberi,
Bersyukurlah walau sekadar lafaz hamdalah,
Alhamdulillah...

Cerpen : 28 Mei

28 Mei, 9.00 pagi

“Eh, kawan-kawan, apa kecoh-kecoh ni. Ada cerita baru ke?” jeritan Adila membuatkan keadaan di kelas itu sunyi seketika.
“Kau tak tahu ke Adila, semalam Solehah ditangkap curi-curi keluar asrama lagi,” ujar Rahimah menggamit kembali suasana di kelas 5A itu.
“Ye ke?...uh…macam mana aku boleh terlepas cerita panas ni,” keluh Adila. “Tu la kau, asyik berkepit dengan novel je. Mana nak tahu isu semasa dalam kelas ini,” ujar pula Aini.
“Tapi kan kawan-kawan, sejak minah sombong tu masuk sekolah kita tahun lepas, selalu sangat dia buat hal. Dua minggu lepas, dia dipanggil guru disiplin kerana disyaki mencuri wang koperasi. Bulan lepas dia ditangkap mencuri makanan di kantin,”sambung Adila lagi.
“A’ah la…Ada-ada je si Solehah tu,” sampuk seorang lagi ahli kelas tu.
“Biasalah, nak cari publisiti murahan la katakan,” ujar Sofea diikuti hilaian ketawa pelajar-pelajar kelas 5A.

Begitulah suasana di kelas 5A Sekolah Menengah Agama Perempuan Cahaya Islam. Nama sahaja sekolah agama, namun hanya segelintir daripda mereka yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Bagi kelas 5A, gossip panas, umpat-mengumpat dan fitnah-memfitnah sudah jadi hobi seharian mereka.

Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud “Janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain, adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudara yg mati (jika demikian keadaannya mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya,” Surah Al-Hujurat Ayat 12.

“Kawan-kawan, nak tahu tak ada orang tu buat kes lagi,” Adila sengaja menguatkan suaranya tatkala Solehah menjejakkan kaki ke dalam kelas 5A.
Solehah hanya berdiam diri. Dilihatnya ahli kelas yang lain tersenyum-senyum sinis terhadapnya. Kemudian Sofea pula menambah, “Ye lah, budak malang mana la tu kan? Tak habis-habis menyusahkan guru-guru di sekolah ni,”
 “Dah la tak sedar diri dia tu budak baru, dah pandai buat hal kat sekolah ni….Nama kalau tak silap aku Solehah kan…Hish…Hish…Kesian mak bapak dia kan…Anak diberi nama Solehah, tapi perangai buruk sungguh,” Adila masih tidak puas menyakat Solehah. Sengaja dia ingin menyakitkan hati Solehah. Rakan-rakan yang lain hanya ketawa mendengarkan kata-kata Adila.
Pang!! Kelas 5A yang riuh-rendah itu bertukar senyap. Pipi Adila tiba-tiba bertukar kemerah-merahan dek tamparan kuat Solehah ke atasnya.
“ Kau boleh mengata aku. Aku tak kisah. Tapi korang jangan membabitkan umi abah aku. Aku tak pernah kacau hidup korang. Tapi kenapa dari dulu korang suka sangat ganggu aku. Hei, dah la tu..Boleh tak korang jangan sibuk-sibuk hal aku lagi,” suara Solehah kedengaran serak-serak kerana menahan tangisan. Lantas dia mengangkat punggung dan berlari keluar dari kelas itu.

*******
28 Mei, 10.30 pagi

“Julia, kenapa kerusi Solehah kosong. Dia tak masuk kelas lagi ke?” soalan yang diajukan guru kelas 5A, Cikgu Murni segera membuatkan kelas itu bertukar sepi. Nama ‘Solehah’ seolah-olah satu kejutan buat mereka. Peristiwa pagi tadi segera terbayang di mata setiap ahli kelas 5A.
“Entah la Cikgu, tadi …er…er…Solehah ada. Selepas itu dah tak tahu dia ke mana,” jawab Julia selaku ketua kelas 5A.
“Cikgu sebenarnya tahu apa yang berlaku antara pelajar kelas ni dan Solehah. Kalian semua tidak pernah nak menganggapnya sebagai rakan kan? Kalian pernah tak tanya dia kenapa dia mencuri duit koperasi dan makanan di kantin? Kenapa  dia selalu curi-curi keluar asrama tiap-tiap malam? Cikgu takkan beritahu kalian tetapi  Cikgu nak kalian cari Solehah sekarang dan selesaikan masalah kalian dengan dia. Cuma satu je pesanan Cikgu, jangan sekali-kali abaikan Solehah.”
“Eh, Adila, kenapa kau termenung je ni?” Sofea bertanyakan keadaan kawan karibnya sejurus sahaja Cikgu Murni beredar dari kelas 5A.
“Tak ada apa, cuma aku teringatkan kata-kata Cikgu murni tadi. Aku rasa kita dah keterlaluan terhadap Solehah,” Adila menyarakan kekesalannya.
“Eh, tetiba je kau ni. Dulu kau bukan main lagi benci dan meluat  dengan si Solehah tu. Kenapa sekarang ni kau kasihankan dia?” kata Sofea lagi.
“Aku bukan apa…Apa-apa pun dia tetap kawan kita. Kau ingat tak hadis tentang sahabat yang kita belajar tu? Tak silap aku macam ni la hadis tu, seorang Muslim adalah saudara dengan muslim yang lain, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya,” ujar Adila lagi.
“Betul kata kau tu. Tadi terkejut betul aku masa dia melawan ejekan kita. Ye lah, selama ini kan dia senyap je dan tak pernah menyampuk cakap kita. Aku rasa kita patut  cari Solehah dan minta maaf dengan dia,” pujuk Sofea.
“Baiklah kalau begitu. Jom kita ajak kawan-kawan yang lain,” belum sempat Adila bersuara  kepada penghuni kelas 5A, Julia masuk ke kelas dalam keadaan termengah-mengah.
“Kawan-kawan, aku ada berita buruk nak disampaikan kepada korang ni. Solehah…Solehah…Dia kemalangan dan berada di hospital sekarang ni,” cemas sahaja bunyi suara Julia.
“Mana kau tahu berita ni? Kau jangan main-main Julia,” tanya Adila.
“Ya Allah, aku tak tipu. Cikgu Murni beritahu aku tadi. Tak sangka pula aku, semasa dia beredar dari kelas tadi, dia terus ke keluar dari pagar sekolah. Aku pun tak tahu dia ke mana. Tapi yang pasti orang ramai jumpa dia di simpang empat satu kilometer dari sekolah kita,” sambung Julia lagi.
“Okay, sekarang ni kita dah tak ada masa. Baik kita minta izin pengetua untuk menziarahi Solehah di hospital.,” kata Sofea memberikan cadangan.
“Jom!” sahut semua ahli kelas 5A.

*******
28 Mei, 12.30 tengah hari

“Murid-murid, doktor masih belum beritahu apa-apa tentang keadaan Solehah. Oh, ini sekeping kertas yang berada di tangan Solehah semasa di tempat kejadian. Kalian bacalah,” beritahu Cikgu Murni sambil menghulurkan kertas yang sudah tercalit sedikit darah kepada Adila.

Hari ini aku dipanggil lagi oleh Cikgu Ahmad. Aku dah agak pasti aku akan menjejakkan kaki ke bilik disiplin lagi. Tak sangka Cikgu Murni pun ada di situ. Hari ini segala-galanya telah terbongkar. Bukannya aku hendak meminta simpati cikgu-cikgu, terutamanya Cikgu Murni yang selama ini dah banyak membantu aku. Aku memang bercadang hendak mengaku segala perbuatan aku kepada rakan- rakan kelas 5A…Tapi, Ya Allah aku masih tak mampu nak hadapi mereka. Aku tahu bila aku masuk kelas nanti mesti aku akan diejek, dihina…Aku dah tak tahan Ya Allah….Tapi, aku langsung tak berdaya. Ampunkan aku Ya Allah kerana terpaksa mencuri..Kalau aku beritahu mereka yang selama ini aku buat semua itu kerana aku tiada duit untuk membayar yuran, diorang mesti tak percaya. Duit yang Cikgu Murni berikan pun hanya cukup untuk makan sehari dua. Apatah lagi kalau aku beritahu mereka yang aku curi-curi keluar asrama untuk mencari kerja sambilan…Tapi siapa lagi yang hendak percayakan aku. Aku pun nak berkawan dengan mereka. Umi…Abah…Kalaulah Umi Abah masih ada di dunia ini….Astaghfirullah…apa yang aku merepek ni…Aku tak boleh salahkan takdir…Ampunkan aku Ya Allah…Aku tahu Kau sedang menguji hamba-Mu ini...Aku berjanji takkan mencuri lagi…Mulai sekarang aku akan berjimat-cermat menggunakan wang biasiswa yang akan diberikan sekolah nanti. Sekurang-kurangnya duit yang aku bakal dapat boleh menghiburkan hati aku…Tidak sabar rasanya…Eh, dah lewat ni…Aku perlu masuk ke kelas sekarang…Ya Allah berikan aku kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi rakan-rakanku nanti….
(Solehah – di taman belakang sekolah – 28 Mei – 8.30 pagi)

“Ya Allah apa yang telah kita buat kepada Solehah,” ujar Sofea kesal selepas dia membaca kertas milik Solehah di hadapan semua pelajar kelas 5A. Kelihatan semua ahli kelas sedang teresak-esak setelah mengetahui kisah Solehah yang sebenar.
“Sekarang ni, apa yang penting kita sama-sama mendoakan keselamatan Solehah. Biarlah apa yang berlaku hari ini menjadi pengajaran buat kamu semua,” ujar Cikgu Murni sambil memberikan semangat baru kepada  pelajar-pelajarnya.
 ‘Solehah, kami tak akan melukai hati kau lagi. Mulai sekarang kami akan bantu kau dan kau akan menjadi sahabat kami,’ Adila berjanji dalam hatinya.
Kini, mereka hanya mampu berdoa semoga Solehah selamat dan diberi kesempatan untuk terus bersua  bagi memohon sebuah kemaafan dan menyambung kembali ikatan persahabatan dan ukhuwwah antara mereka.

“Sesungguhnya teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati”



Akhlak Yang Baik

Religious Myspace Comments
MyNiceProfile.com

Salam perjuangan buat semua...Semoga sama-sama tarbiyah diri untuk meneruskan jihad kita di muka bumi Allah SWT ini. Di sini ana nak berkongsi satu cerita. Ada suatu hari tu, ana tolong mak ana menyiang ikan. Semasa nak basuh ikan, mak ana ada berpesan,

"Masa nak basuh ikan ke, ayam ke, sayur ke...apa-apa je lah...lebih baik baca basmalah dan selawat Nabi...barulah berkat...dan anak-anak akan jadi baik...ini kalau basuh macam tu je...mula lah banyak buat maksiat"
--lebih kurang macam tu la pesanan mak ana--


So, daripada peristiwa itu, ana dapat sesuatu perkara....Makanan memainkan peranan penting dalam menjana akhlak yang baik...Bukan sahaja makanan itu tetapi proses penyediaannya juga perlu dimulakan dengan nama Allah dan ungkapan salam sejahtera ke atas Nabi SAW...Barulah makanan yang dimakan itu berkhasiat dan berkat...Insya Allah, bakal melahirkan insan soleh yang berakhlak mulia...
Wallahu a'lam

p/s : syukran Mak atas nasihat yang berguna...

Kerdilnya Diri Ini

    
     Salam mujahadah buat semua...Alhamdulillah, diri ini masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas di muka bumi ini. Tapi tak tau la sampai bila...Aku selalu ingat akan tiga perkara ini. Kita datang dari Allah, hidup untuk Allah dan akan kembali jua kepada Allah....Namun, hidup ini masih lagi selalu alpa dan leka dengan lazatnya dunia.


     Ah, lazatnya dunia tak ke mana..Pasti lazat lagi syurga di sana...Namun, adakah aku layak masuk ke syurga...Bila mengenangkan ibadat tak seberapa, zikir kepada-Nya pun kurang juga...Kadang-kadang hati ini nak sangat buat baik...Tapi, ada pula lintasan nafsu liar yang menghalang segala kebaikan...


     Bila melihatkan sahabat-sahabat seperjuangan, terasa benar kerdilnya diri ini...Mereka kelihatan cukup sempurna di mataku walaupun pada hakikatnya mereka juga sedang melalui titian mujahadah yang sudah pastinya sukar...Duhai hati, berapa kali nak aku ingatkan...memang jalan mujahadah tu pahit kerana syurga itu manis...


     Tak pe..Allah sedang mengujiku...Sejauh mana ketulusan hatiku pada-Nya?...Sehebat mana cintaku pada-Nya?....Ke manakah kubawa diri ini setelah bertekad ingin menempuhi jalan mujahadah?...Adakah aku sanggup korbankan kelazatan dunia hanya untuk akhirat yang memang didamba-dambakan?...


Persoalan ini tidak mungkin dapat kujawab...


Selagi jalan itu tidak kutempuh....


Aku yakin Allah pasti bersamaku....


Kerana memang aku perlukan Dia dalam hidupku...


Sungguh kerdilnya aku...




**Sekadar coretan hati yang tetiba je rasa nak meluahkan apa yang terbuku di jiwa

Hargailah Mereka

     Salam mujahadah buat semua pembaca blog ini. Semoga selalu mengingati Allah ye. Sudah dua hari adik-adikku yang tinggal di asrama pulang ke rumah untuk cuti mingguan. Hari ni dah pun nak kembali ke asrama. Teringat dulu-dulu ketika aku masih tinggal di asrama....biasanya tatkala pulang ke rumah mak jarang menyuruhku menolongnya...Cuma sekali-sekala sahaja. Barangkali memberi peluang untukku mengulang kaji pelajaran dan berehat.

     Namun, apabila disuruh melakukan sesuatu kekadang rasa malas bertamu menyebabkan kerja yang dilakukan tidak ikhlas. Tetapi, Alhamdulillah Allah masih mengurniakan hidayah kepadaku lantas menyedarkan aku daripada godaan syaitan laknatullah. Aku segera membetulkan niat dihatiku. 

     "Inilah masanya untuk aku tolong mak ayah aku. Yelah, nanti bila dah balik asrama dah tak boleh nak tolong...Tak pe lah..ulang kaji masa lain pun boleh...Lagi pun, redha Allah pada redha ibu bapa...Insya Allah kalau aku banyak tolong mak ayah aku...nanti mudah belajar, masuk ilmu dalam dada...cepat ingat...dan dimudahkan Allah untuk dapat kejayaan"


     Itulah yang aku selalu pegang dalam hidupku. Bila berjauhan daripada ibu bapa kita akan rindu mereka..Dalam hati berjanji apabila pulang ke rumah nanti nak tolong mak ayah...Tetapi, bila kaki dah bertapak ke rumah lain pula jadinya...Muka ni asyik duk menghadap tv, komputer, buku semata-mata tanpa ada sedikit pun rasa nak menolong mereka.

     Sebenarnya mak ayah  nak sangat anak-anak dekat dengan mereka walaupun sering dimarahi dan kena dengar leteran mereka. Sebab itulah mak abahku tidak menggalakkan abang-abangku untuk bekerja selepas SPM. Kata mereka, " Duduk rumah je lah..tolong mak abah...nanti bila masuk universiti, dah jauh dengan mak abah"


Jadi, selagi mereka masih berada di depan mata kita, HARGAILAH MEREKA....

Mak, Abah...Mah sayang Mak Abah!!

Kuih Tepung Bunga

     Salam buat pembaca blog Lihat, Fikir, Amal...Semoga antum sentiasa di bawah panji rahmat Ilahi hendaknya...Tadi ana tolong mak buat sejenis kuih tradisional iaitu 'tepung bunga'...Mak cakap pasti anak-anak mak tak pernah makan kuih ni. Menurut mak, orang-orang dulu kebiasaannya buat kuih ni sebagai hantaran perkahwinan. Abah pula cakap di kampungnya biasanya orang-orang dulu akan hidangkan kuih ni untuk sambutan maulidur Rasul, berzanji dan majlis-majlis yang sewaktu dengannya...

     Jadi, sukalah untuk ana berkongsi resepi kuih tepung bunga khas buat pembaca blog ni...Selamat mencuba...

Bahan-bahan yang diperlukan ialah :
  • Tepung pulut, gula, garam halus, air dan telur.
Cara-cara penyediaan :
  1. Masukkan tepung pulut, sedikit gula, garam halus dan air ke dalam bekas.
  2. Gaul dan uli sehingga menjadi doh.
  3. Cubitkan sedikit doh itu dan bentukkannya sehingga menjadi bentuk bulat yang leper. Buat sampai doh habis dibentuk.
  4. Panaskan minyak dalam kuali.
  5. Pukul telur dalam bekas yang lain dan celupkan satu persatu bentuk bulat leper tadi  ke dalam telur yang telah dipukul.
  6. Setelah minyak panas, masukkan celupan kuih bersama telur tadi ke dalam kuali satu persatu.
  7. Goreng sehingga kekuning-kuningan. Pastikan api yang digunakan sederhana besar.
  8. Toskan kuih yang sudah masak dan hidangkan di atas pinggan.
  9. Sebelum makan, taburkan sedikit gula ke atas kuih tepung bunga itu tadi.
p/s : Sukatan untuk bahan-bahan tu boleh agak-agak je...


Inilah kuih tepung bunga yang disiapkan oleh ana dan keluarga...tapi dah masuk ke dalam perut.. Cubalah kuih yang simple dan sedap ni ye!!

Belajar...Belajar dan Terus Belajar

    Hari itu aku dapat tahu abah belajar bahasa arab dengan seorang ustaz di surau yang abah selalu pergi. Seminggu sekali abah pasti akan menghadiri kelas bahasa arab untuk mempelajari asas-asas bahasa arab. Pernah abah meluahkan penyesalan kerana lewat belajar. Yelah, usia dah pun nak mencecah 50 tahun. Tidak mengapa, Abah!...Better late than never.

     Kadang-kadang semasa mengulang kaji pelajaran baru itu, abah tidak malu untuk bertanya kepadaku tentang sesuatu yang tidak difahaminya. Aku agak kekok hendak mengajar abah. Yelah, rasa janggal apabila mengajar orang yang lebih tua daripada kita lebih-lebih lagi ayah sendiri. Namun, aku tetap membantu abah sekadar yang aku mampu. Apa guna belajar tinggi-tinggi tetapi tidak diamalkan, dikongsikan dan diajarkan kepada orang lain.

     Dalam hati, aku terlalu bangga punya seorang ayah seperti abah. Syukur kerana dibesarkan di bawah didikan abah. Kurasakan semangat abah untuk terus belajar bahasa arab satu perkara yang cukup mulia kerana walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya abah berusaha untuk mendalami bahasa Al-Quran dan bahasa syurga itu.

                                          Abahku yang tersayang...
     
     Ternyata usia bukanlah penghalang untuk seseorang insan untuk terus menuntut ilmu di atas bumi yang sementara cuma ini. Menuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad. Namun, kekadang kecewaan bertamu dihatiku mengenangkan sikap segelintir manusia yang tidak menggunakan peluang yang sudah berada di depan mata untuk menuntut ilmu. Semoga Allah menghadirkan hidayah-Nya dalam hati manusia itu dan hatiku jua agar terus belajar...belajar...dan belajar.

Wallahu a'lam...

Buku Wajib Baca



Salam mujahadah buat pembaca dan pengunjung blog ini. Semoga dalam rahmat-Nya selalu. Tadi mak ana beritahu ada orang beritahu dia bahawa temu duga JPA tadi ramai yang memilih kursus perubatan. Jadi tiba-tiba ana teringat novel yang ada di rak buku ana tu. 'Denyut Kasih Medik'.


Dalam peluang ni, nak juga ana promote antum untuk baca novel ni...especially kepada doctor-to-be yang pastinya sedang berdebar menanti keputusan temu duga dan ada juga yang berdetap-detup jantungnya menanti saat berhadapan panel temu duga...Apa pun bitaufik wa najah kepada bakal-bakal tabib ye!


Bagi ana novel ni sangat best dan memberikan peluang kepada pembaca untuk merasai bagaimana keadaannya menjadi seorang doktor. Tapi point yang penting dalam novel ini ialah seseorang doktor itu bukan sahaja merawat fizikal pesakit malah memberikan terapi jiwa dan tarbiyah kepada mereka.


Jadi, inilah peluangnya kepada para doktor untuk mengajak masyarakat bukan sahaja menjaga kesihatan badaniah tetapi juga kesihatan ruhiyah. Inilah peluang  doktor untuk membawa mereka kembali kepada Tuhan Yang Esa...Tuhan yang mendatangkan kesakitan sebagai ujian keimanan dan Dialah Tuhan yang menyembuhkan kesakitan itu.


Oleh itu, membaca, menghayati, dan mengambil semua ilmu dalam novel ini merupakan salah satu langkah awal kepada bakal doktor untuk menghadapi alam doktor dalam usaha untuk merawat ummah pada hari ini...
Yelah, negara kita bukan sahaja nak melahirkan doktor-doktor pakar tetapi doktor-doktor yang menyahut seruan Ilahi untuk melakukan amar makruf nahi mungkar bukan sahaja dalam kalangan pesakit malah pegawai-pegawai kesihatan yang lain juga.


Sudah pastinya alam doktor bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka perlu berhadapan dengan masyarakat dan doktor-doktor lain juga...Semoga doktor pada hari ini dan pada masa hadapan bukan sahaja menjadi seorang doktor tetapi seorang pendakwah yang boleh bercakap tentang agama dan sentiasa mengaitkan Islam dan ajarannya dalam menjalankan amanah sebagai doktor...

Wallahu a'lam...

Kata Hati Yang Didustai

 'Aku tak faham lah dengan kau ni...Semalam okay....baik je tapi hari ni kau buat maksiat lagi '

-Alah, bukannya orang nampak pun...nanti aku bertaubat la-

'Kau ni ingat la sikit...Allah kan nampak...Dia Maha Melihat '

-Aku tahu la...kan aku dah cakap nanti aku minta la pengampunan daripada Allah...Allah kan Maha Pengampun-

'Tak guna la kau belajar agama banyak-banyak...pakai kat luar bukan main lagi sopan tapi bila duduk rumah buat maksiat...kau tak takut ke'

-Aku tahu la mana yang buruk mana yang baik, tapi sekali sekala je nak try rasa macam mana maksiat tu-

'Ya Allah..Astaghfirullah!! Mengucap banyak-banyak...kau dah gila ke...kau ingat ni benda main-main ke...macam mana kalau tak sempat bertaubat'

-Hish...sibuk la kau ni...kan aku dah cakap aku tetap buat baik...orang lain respect apa aku...mak ayah aku memang tahu aku ni anak solehah dia-

'Ikut suka hati kau la...aku tahu la kau nak bertaubat tapi macam mana kalau masa kau buat jahat tu kau MATI!'

-Gulp!! Betul juga...Insya Allah tak...sebab hari ni je aku nak buat benda-benda ni..esok lusa aku takkan buat dah-

'Memang la kau kata tak buat tapi sebelum ni pun kau kata macam tu juga....tapi hari ni kau buat lagi...nafsu dalam diri kau tu memang takkan pernah puas'

-Kau ni memang saja nak kacau ketenangan aku kan...Ala, bukannya teruk pun...aku tengok filem orang putih je...bukannya maksiat besar pun-

'Apalah kau ni...tu la aku cakap depan orang bukan main warak...alim...tapi kau sedar tak filem-filem tu telah melalaikan kau dan menjauhkan diri kau dari ALLAH....Kau tau tak??  dengan pakaiannya yang seksi..pastu adegan yang entah ape-ape...aku tahu..kau ingat ayat dalam Surah Al-Mukminun yang mengatakan orang mukmin perlu menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia'

-Alah...kau ni tak habis-habis la...bukannya aku nak ikut mat saleh tu...just nak relax je...-

'Dah la...aku tak tahu nak nasihat macam mana la kau ni....nak berhibur banyak caranya...kau kata nak jadi pendakwah la....kau suruh orang lain buat benda baik, tapi kau tak buat....besar azabnya orang yang tak buat apa yang dia katakan...tahu tak'

-Aku tahu...aku tahu...semua yang kau cakap tu aku tahu...dahlah tu...aku nak rehat pun tak boleh-

'Sebab tu la kau susah nak bangun qiam sejak dua menjak ni kan....kau tahu tak kenapa?? sebab kau dah jauh dari Tuhan...Qiyamullail ni hanya orang yang benar-benar cintakan Allah dan Rasul je  yang diizinkan Allah untuk buat...kau tahu tak..Dulu, masa kau rajin baca buku agama, tengok benda-benda yang baik, senang je nak bangun qiam....tapi sekarang??'

-Sudah..sudah...aku tahu....aku tahu...nanti aku buat la baik...aku... solat fardhu, solat rawatib, solat dhuha, mengaji tak pernah tinggal tau...ala qiam esok lusa aku pasti akan buat...takkan tertinggal la punya!!-

'Memang kau tak tinggal semua tu...tapi solat kau tu sempurna ke? masa solat, dalam fikiran kau tu melayang entah ke mana...bukan ke arah Allah lagi tau tak...Kau tahu kan solat yang sambil lewa tanpa ada rasa apa-apa pada Allah ibarat.....'

-Aku dah tahu kau nak cakap apa...ibarat mempersembahkan kepada Allah bangkai yang tidak bernyawa kan...aku tahu la-

'Aku tahu semuanya kau tahu sebab kau belajar semua tu...kalau kau tak belajar semua tu...aku pun tak tahu...lagipun...aku ni kan kata hati kau je...kata hati yang selama ni kau anggap suatu ilusi dan bayangan semata-mata....tapi ingat ye...orang yang tahu tapi tak buat pasti susah kat akhirat nanti'

-Ye lah...ye lah...aku ingat...pergilah kau...aku nak tidur ni...menyibuk je...nasib baik kau sedar diri...kau tu ada dalam diri aku je...aku yang melalui hidup ini...bukan kau...faham!!-

'Ya Allah betul ke tuan aku ni....berilah petunjuk kepadanya Ya Allah...aku tak berdaya kerana aku ini sangat lemah...aku hanya kata hati yang sering didustai'

Kadang-kadang kita lupa,
Kata hati yang selalu mengingatkan kita,
Akan kewujudan Tuhan Yang Esa,
Walau diri sehebat mana pun pada pandangan manusia,,
Namun hina dan keji di sisi Pencipta manusia,
Tiada berguna jua,
Sia-sia semata,
Lantaran itu kembalilah kepada Dia,
Sesungguhnya daipada-Nya kita hadir ke dunia,
Kepada-Nya kita dikembalikan jua.


Wallahu a'lam...
'

Tips Menjadi Penceramah Yang Hebat (2)

  1. Mempunyai ilmu tentang kaedah dakwah seperti mana yang diajar oleh Rasulullah dan tujuan dakwah adalah untuk mengajak manusia kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran. Kedua-duanya saling berkait dan tidak boleh dipisahkan iaitu " Amar Makruf" dan " Nahi Mungkar". Selain itu, sifat-sifat yang perlu ada pada seorang dai'e perlu juga diketahui. Rujuk Surah An-Nahl, ayat 125.
  2. Menggunakan cara yang berbeza mengikut keadaan pendengar. Contohnya jika seseorang penceramah bercakap di hadapan golongan yang miskin, hendaklah menggalakkan mereka bersabar dan tidak berputus asa dalam hidup manakala jika berhadapan dengan golongan kaya, penceramah perlu menggalakkan mereka bersedekah membantu golongan miskin. Begitu juga ketika berhadapan dengan mana-mana golongan masyarakat sekalipun, cara penyampaiannya mestilah berbeza.
  3. Mempunyai penampilan kemas dan menutup aurat sejajar dengan apa yang diajar oleh syariat. Kemas dan bersih tidak perlu kepada pakaian yang mahal dan berjenama, tetapi cukup sekadar besederhana dan sedap mata memandang.
  4. Mempunyai kebolehan berbahasa dalam pelbagai bahasa mengikut kemampuan penceramah agar penceramah mudah bercakap dan berceramah di hadapan pendengar yang mungkin berbeza bangsa dan hanya mahir dalam bahasa mereka sahaja.
  5. Mempunyai ilmu tentang perbandingan agama. Contohnya penceramah dapat mengulas sesuatu isu dalam agama lain  kemudian menampilkan perspektif isu tersebut mengikut agama Islam dan agama- agama lain. Secara tidak langsung dapat menarik minat pendengar sekali gus menunjukkan kehebatan dan keagungan Islam dan memaparkan kelemahan agama lain.
  6. Pandai menarik minat pendengar dengan pelbagai gaya menarik dan teknik tertentu seperti teknik humor dan kecindan atau bermain dengan emosi sedih dan menyayat hati.
  7. Mengetahui sirah nabi dan sejarah para sholihin amatlah perlu kerana mereka adalah qudwah kepada manusia, jadi penceramah perlu menyelitkan dan membawakan sirah kepada pendengar seolah-olah mereka terasa seperti berada di zaman mereka.
  8. Mengetahui isu-isu semasa dengan banyakkan mengakses maklumat-maklumat terkini agar para pendengar juga cakna akan keadaan dalam dan luar negara di samping keadaan umat Islam.
  9. Boleh mengeluarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Assunnah sebagai bukti perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar. Tiadalah yang lebih benar melainkan kalam Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
  10. Boleh mengeluarkan fakta tentang sesuatu ilmu terutamanya yang melibatkan pertembungan ilmu sains yang terdapat dalam Al-Quran agar timbul rasa kagum dan takjub pendengar terhadap kehebatan mukjizat Al-Quran dan kekuasaan Allah itu sendiri.
  11. Gunakan teknik penceritaan sama ada sirah atau pengalaman sendiri. Namun, pengalaman sendiri lebih baik kerana ia melibatkan kehidupan seharian yang mana mungkin turut berlaku kepada pendengar.
  12. Cuba bermesra dahulu dengan pendengar. Ini boleh menarik perhatian, biar perspektif mereka kepada penceramah lebih tertumpu. Ibarat penceramah dan pendengar ialah kawan tetapi harus berpada-pada. Ini juga boleh diibaratkan mencari kepercayaan terhadap pendengar agar mereka mudah menerima bait-bait kata si penceramah.

Wallahu a'lam

Kunampak Hikmahnya

       Hari itu, aku melihat kakak iparku yang senang dipanggil Kak Long sedang membelek majalah Anis. Mungkin bosan lantas membuka lembaran ilmu untuk dipelajari walaupun sedikit. Aku tidak tahu bagaimana untuk beramah mesra dengannya. Yelah, balik pun sekali sekala. Lalu aku menghampirinya, sekadar berbasa- basi disamping megeratkan hubungan kekeluargaan antara kami. Kemudian aku bercerita masalah yang aku hadapi dengan harapan Kak Longku mempunyai jalan keluar.

       Lalu aku bercerita tentang seorang kawan bukan Islam yang mengatakan bahawa apabila seseorang wanita itu bertudung, dia sebenarnya telah membuka ruang kepada para lelaki untuk lebih mengetahui perihal rambutnya. Adakah rambutnya panjang ke, pendek ke, ikal mayang ke, buat teknik rebonding ke? Namun aku membalas dengan mengatakan bahawa menutup aurat dengan bertudung itu satu kewajipan dan kalau saintifiknya seseorang wanita bertudung dapat memelihara rambutnya daripada panas matahari dan aspek-aspek lain yang boleh merosakkan rambut.

      Namun kekadang dia menyatakan bahawa wanita bertudung mesti berhati-hati kerana mungkin pandangan lelaki terhadap wanita itu berbeza. Baginya, dia tidak perlu risau kerana lelaki dah tahu keadaan rambutnya jadi dia rasa lebih bebas dan selamat. Tatkala itu aku buntu. Tidak tahu bagaimana lagi harus kujawab. Tidak pasti hujah apa yang patut kuberikan. Lalu aku berdiam diri sahaja. Sedih...kecewa...rugi pun ada kerana tidak dapat meyakinkannya dengan hujahku yang bernas apatah lagi suatu dalil pun tidak kuingati.

     Lantas kubertanyakan Kak Long apakah yang harus kujawab andai penyataan seperti kawan bukan Islamku tadi dilontarkan terhadapku. Jawab Kak Long, " Sebenarnya hanya lelaki yang berniat buruk sahaja mempunyai nafsu untuk melihat rambut wanita bertudung. Tidak semua lelaki seperti itu. Bahkan, wanita yang benar-benar menutup aurat lebih dihormati dan Insya Allah akan diselamatkan daripada sebarang fitnah dan bala bencana."

     Kak Long menyambung lagi. " Ada suatu kisah yang berlaku di sebuah restoran. Kelihatan, seorang ayah dan anak perempuannya sedang makan-makan. Mereka ni golongan yang biasa-biasa je la. Nak diakatakn terlalu warak pun tidak juga. Kemudian tanpa disedari mereka, seorang perempuan bertudung labuh telah melalui meja makan mereka. Tidak lama selepas itu, seorang gadis muda yang berpakaian seksi melintasi meja makan mereka. Lalu si anak segera berkata kepada ayahnya, "Ayah, cuba tengok perempuan itu....seksinya...."

      Kemudian Kak Long mengulas buti-butir hikmah daripada kisah tersebut bahawasanya seorang wanita yang benar-benar menutup aurat ( bukan hanya sekadar bertudung) Insya Allah akan diselamatkan Allah daripada mata-mata liar lelaki  kerana niatnya yang menutup aurat kerana-Nya. Tetapi jika sebaliknya berlaku, pasti kita akan dikecam hebat oleh lelaki. Nah, jelas di situ bahawa menutup aurat dapat menjaga maruah seseorang wanita itu. Benarlah seperti firman-Nya dalam surah Al-Ahzab ayat 59 bahawa wanita yang menutup auratnya mudah dikenali dan tidak akan diganggu.

       Penjelasan dan contoh yang dibawa Kak Long benar-benar menyentuh hatiku. Sungguh, aku telah nampak hikmahnya. Terima kasih Kak Long. Aku benar-benar berharap agar suatu hari nanti,  pandangan orang lain terhadap golongan yang menutup aurat akan berubah sama sekali. Namun, fenomena yang berlaku dalam kalangan gadis bertudung hari ini dengan aksi-aksi dan pergaulan melampau sebenarnya telah menutup hikmah perintah Allah agar menutup aurat kepada orang bukan Islam. Lantas menyebabkan mereka bersikap pesimis terhadap muslimah zaman sekarang. Ternyata golongan muslim sendiri yang menghilangkan keagungan Islam di mata golongan bukan Islam.

      Semoga aku dapat menjadi muslimah yang menutup aurat kerana-Nya, bukan sekadar ingin menunjuk diri ini solehah dan sempurna kerana aku juga punya kelemahan yang banyak. Terlalu banyak yang perlu kuperbaiki diri ini. Teringatku akan kata-kata ini " Wanita solehah ialah yang tidak dipandang dan tidak memandang "....Cukuplah aku ingin menjadi penyeri dunia yang mengharapkan pandangan Ilahi daripada pandangan sang lelaki.


Wallahu a'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...