Perginya Murabbi yang Mulia, Tuan Guru Nik Aziz

Dua tiga hari ini entah kenapa terasa nak mendengar simpanan audio MP3 kuliah-kuliah ceramah dan tazkirah oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Rupa-rupanya segala titipan nasihat dan amanat perjuangan itu kini hanya tinggal kenangan.

12 Februari 2015, malam Jumaat yang mulia, perginya seorang murabbi agung umat menemui Ilahi, berehat selama-lamanya dari dunia yang fana ini. Cukup besar aura dan kesan dakwah almarhum Tuan Guru. Seluruh rakyat Malaysia berdukacita atas pemergian insan hebat ini. Allahurabbi.

Moga Allah menerima segala amal ibadah beliau, ilmu yang telah disumbangkan, dakwah dan gerakan Islam yang diperjuangkan dan semua kebaikan yang telah ditabur. Allah jua sebaik-baik pembalas dengan ketinggian rahmat-Nya.

Tuan Guru, butir-butir nasihatmu bakal dipegang kemas dalam ingatan. Untaian amanatmu terhadap perjuangan Islam bakal disimpul erat dalam genggaman. Moga kami bisa istiqamah seumpama dikau dalam meneruskan risalah dakwah menyebarkan Islam ke sekalian umat.

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه

Ya Allah rahmatilah Tuan Guru kami, sesungguhnya kehilangan ini tersangat menjentik rasa hiba kami selamanya. Moga syurga milikmu duhai ayahanda murabbi!

Duhai wanitaku, jom baiki diri!

"Dia muslimah aktif bepersatuan, cemerlang pelajaran, pidatonya hebat, tapi...apabila bertandang ke rumahnya, indah khabar daripada rupa. Tunggang langgang!

Pakaian kotor bertimbun, bilik bersepah, pinggan cawan di dapur berterabur tak dibasuh, rumah tak kemas, masak pun cincai-cincai je, asal siap katanya...tak senang dibuatnya sang tetamu itu. Di luar dia cukup solehah, tip top kata orang, tapi rupa-rupanya kebersihan dan pengurusan diri, masa serta rumah entah ke mana."

Inikah muslimah yang dicari? Bakal isteri pejuang? Bakal ibu kepada anak-anak comel yang soleh? Bakal pimpinan masyarakat?

Usahlah banyak bercakap hal orang lain, atau biarlah kencang perbincangan sekalipun, tetapi selagi pengurusan di dalam rumah tidak terjaga...hancur rumah tangga bila kahwin nanti.

Semuanya bermula sekarang. Di alam mahasiswi, walaupun dalam kesibukan berprogram dan belajar, adalah latihan untuk masa depan. Bagaimana pengurusan anda sekarang menentukan pengurusan suami dan anak-anak anda akan datang.

Belajarlah bertanggungjawab walaupun sekecil-kecil perkara. Usahakan untuk tidak membebankan orang lain atas kelalaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli rumah.

Moga Allah memudahkan urusan semua dalam menjadi muslimah yang bukan untuk mendapatkan pandangan mulia manusia semata-mata, tetapi paling penting pandangan di sisi Allah.

Ketahuilah Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sama-sama mendidik diri menjadi muslimah cantik, bersih di dalam dan cantik, bersih jua di luar.

..........................................

Coretan lama yang saya tulis ini dan telah pun dikongsi dengan rakan-rakan yang lain, saya catitkan sekali lagi di blog ini sebagai peringatan berterusan sepanjang zaman untuk kita, bahkan untuk diri saya sendiri terutamanya.

Mungkin catatan ini kelihatan agak hiperbola dan mungkin sebahagian berfikir agak sukar untuk mencapai status wanita sempurna, namun, point penting di sini ialah berkaitan sikap. Jika sikap kita masih sama, tiada usaha untuk berubah, maka muslimah hari ini takkan ke mana.

Ini cuma sekadar teguran dan peringatan untuk kebaikan bersama. Saya juga insan lemah yang butuh teguran. Mohon maaf atas keterlanjuran bicara. Moga Allah redha setiap titik perubahan kita.

Dia Anak Istimewa

Selesai membaca buku Anak Istimewa karangan K.A Razhiyah. Mungkin tidaklah membaca secara teliti satu persatu, tetapi lebih kepada memilih isi-isi pengetahuan baru (scanning) yang membuka minda saya berkenaan hal ehwal anak istimewa ini.
Saya menjadi makin tertarik untuk membaca buku ini selepas menonton satu filem arahan Amir Khan iaitu Taare Zaman Par. Filem yang sangat meruntun jiwa, tetapi banyak pengajaran yang dipelajari khususnya berkaitan dengan pendidikan anak-anak, apatah lagi anak itu adalah anak istimewa yang lahirnya mereka secara zahirnya mungkin kelihatan satu kekurangan.
Antara yang menarik yang disentuh daripada buku Anak Istimewa dan filem Taare Zaman Par ini adalah bagaimana ibu bapa perlu belajar mengenal pasti situasi dan keadaan anak-anak istimewa serta menekankan kaedah mendidik mereka dengan cara yang terbaik dan berhikmah.
Subhanallah, ternyata, apabila diperhati, disebalik kekurangan anak-anak ini berbanding anak-anak normal yang lain, tersirat kelebihan dan keistimewaan yang tiada pada orang lain. Justeru membuktikan bahawa setiap insan yang dilahirkan di dunia ini punyai hak masing-masing untuk menikmati hidup dan memanfaatkan segala kelebihan yang dianugerahkan Allah.
Hati saya memang cepat sayu apabila melihat mereka bahkan ketika berbicara soal anak istimewa ini. Walaupun tidak pernah berada secara dekat bersama golongan ini, tetapi apabila melihat dan meneliti keadaan golongan ini, sebenarnya makin menambahkan rasa syukur atas nikmat yang Allah kurniakan buat hamba-hamba-Nya.
Apapun, walau macam mana pun keadaan anak-anak istimewa ini, sebagai ibu bapa dan penjaga mereka, didiklah dan ajarkanlah mereka dengan sebaik-baiknya. Mereka tidak pernah berhajat untuk hidup yang sebegitu, tetapi barangkali ada sesuatu yang Allah ingin sampaikan kepada kita atas ujian yang ditakdirkan ini.
Anak-anak ibarat kain putih, maka ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Baik coraknya, baiklah rupa mereka dan sebaliknya. Mendidik dan membesarkan mereka yang bergelar anak-anak bukanlah perkara yang mudah, namun andai didasari atas acuan Islam, moga-moga natijah di akhirnya itu diredhai Allah.
Dia anak istimewa. Kurangnya dia, pasti ada lebihnya.
Dia anak istimewa. Lahirnya dia, pasti ada hikmahnya.
Syukur. Sabar. Redha.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...