Isu Arab Spring

Arab Spring : Isu yang semakin hari semakin panas dibincangkan. Isu yang menggambarkan kebangkitan Arab yang jelas menunjukkan kepada kita bagaimana satu-satu pemimpin negara Arab digulingkan akibat revolusi ini.

Kita dapat menyaksikan Presiden Tunisia, Ben Ali digulingkan pemerintahannya oleh rakyat pada Januari 2011 diikuti Hosni Mubarak, Presiden Mesir pada Februari 2011, kemudiannya Presiden Libya, Muammar Gaddafi gugur pimpinannya pada Ogos 2011.

Kini dunia melihat pergolakan hebat rakyat Syria berusaha menumpaskan manusia bertopengkan singa, Bashar Al-Assad dan adakah nasib yang sama bakal menimpa pimpinannya??

Tidak dinafikan bibit-bibit pergolakan telah pun bermula di negara Arab seusai sahaja jatuhnya Khilafah Uthamniyyah pada 1924 sehinggalah sekarang. Apapun, sebenarnya rakyat tidak bodoh dalam menilai prestasi pimpinan kerajaan. Besar kemungkinan, kesilapan dalam memerintah itulah yang membawa kepada Arab Spring.

Isu rasuah, makan harta rakyat, sistem pendidikan yang lemah, menyekat hak kebebasan dan banyak lagi merupakan antara penyebab kepada revolusi arab ini.

Negara Arab kini semakin runcing dengan kebangkitan rakyat yang inginkan perubahan. Umat Islam juga tidak lagi duduk diam apabila Nabi s.a.w tercinta dihina. Rakyat tidak lagi dungu dalam mengikut rentak penipuan pemimpin.

Malaysia Spring?? Bibit-bibitnya sudah pun muncul baru-baru ini. Adakah Malaysia bakal menerima satu revolusi hebat?? Wallahu a'lam.

Kita tunggu dan lihat. Sama-sama muhasabah dan persiapkanlah jati diri Muslim sebenar dalam mendepani arus kehidupan yang teramat mencabar ini.

Sesungguhnya pengakhiran kehidupan yang terindah ialah apabila diri kembali kepada Sang Pencipta, Allah azza wajalla. Sekian, wallahu a'lam.


Jangan lupakan sang senior

Setiap orang mempunyai pendapat dan pegangan masing-masing. Dalam dunia ini ada ramai orang. Sudah pastinya pendapat yang diutarakan jauh beribu kali lebih banyak. Orang yang suka memberi pendapat pula saya kira merupakan golongan yang berani kerana tidak semua pendapat yang dilontarkan akan diterima.

Kebiasaannya, dalam sesuatu mesyuarat sebagai contohnya yang memerlukan sesuatu keputusan dibuat, pendapat yang pelbagai ini sangat diperlukan, lebih-lebih lagi si pemimpin yang perlu memutuskan sesuatu keputusan. Untuk mendapat keputusan yang terbaik, pandangan semua pihak juga tidak boleh diketepikan.

Tetapi, bukan si pemimpin sahaja yang perlu melakukan keputusan. Hakikatnya kita semua adalah pemimpin dan kita tidak dapat elak untuk memutuskan sesuatu perkara. Kadang-kadang si ayah perlu menentukan keputusan untuk keluarganya, kadang-kadang si guru juga perlu memutuskan keputusan untuk masa depan pelajarnya. Bahkan kita juga perlu memutuskan sesuatu untuk diri kita sendiri.

Namun, dalam kita mengambil dan menilai pendapat dan pandangan orang lain yang hebat, bernas, terbaik, kita jarang mengingati golongan 'orang lama' yang bak kata orang, lebih dahulu makan garam daripada kita yang masih mentah dalam usia kehidupan.

Ya! Tidak salah untuk kita mengutamakan orang-orang muda, tetapi jangan sekali-kali mengenepikan terus pendapat dan pandangan insan-insan yang sudah banyak pengalamannya daripada kita. Kadang-kadang, apa yang diutarakan mereka sangat baik walaupun ada juga pandangan yang diberikan ditewaskan oleh kita.

Bukanlah semuanya perlu mengikut telunjuk insan yang berpengalaman ini kerana kita juga perlu belajar untuk membuat keputusan sendiri, tetapi maksud saya ialah sebelum keputusan dibuat, mintalah sepatah dua nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka agar apa yang betul diteruskan dan apa yang salah dibetulkan.

Lihatlah qudwah terbaik umat ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang turut mengiktiraf nabi-nabi dahulu. Dalam peristiwa Israk Mikraj, baginda meminta bantuan dan pendapat senior baginda, Nabi Musa a.s dalam proses pengurangan waktu solat daripda 50 ke 5 rakaat.

Bukanlah baginda tidak mampu dan tidak dapat meminta daripada Allah swt, namun setiap kejadian ada hikmahnya untuk umat baginda mengambil ibrah yang tersirat daripada peristiwa tersebut, apatah lagi sesuatu benda yang agak rumit dan besar kesannya kepada ummah dan Islam.

Selamat beramal semua!!

Diingatkan bahawa coretan ini adalah pendapat peribadi. Jadi, andaikata ada apa-apa yang khilaf, mohon untuk dibetulkan. Kita sama-sama belajar, berkongsi dan bermuhasabah...Wallahu a'lam.

Pemimpin jangan pentingkan diri sendiri

Hari itu, sambil-sambil tunggu mata ini mahu terlelap, saya dan beberapa sahabat tetiba mengungkap memori lama semasa berada di zaman sekolah dahulu. Lantas, saya teringat kisah saya semasa menjadi pemimpin di sekolah dahulu. Masa lampau usah diungkit kerana satu saat pun tidak mampu diulang kembali, namun hadang-kadang sesuatu yang lepas akan menjadi lebih baik jika kita mengambil ibrah daripadanya.

Muhasabah sedetik akan amalan kita pula lebih baik daripada beribadah beribu-ribu tahun. Moga kisah lama mampu menjadi pengajaran buat diri ini. Memori lama bertandang....

Mata dah rasa mengantuk sangat dan badan sudah meneghempap katil untuk  sleeping beauty time!! Tapi kedengaran rakan-rakan pimpinan yang turut sebilik masih belum tidur kerana sibuk menguruskan hal-hal anak buah. Hmmm, tak apalah aku tidur dahulu, tugas aku tak berkaitan dengan diorang. Kata hati seolah-olah mengajak untuk jual ikan (selfish).

Namun, lama kelamaan, sampai ke telingaku keluhan rakan-rakan tadi padaku yang selalu tidur awal atas alasanku nak bangun awal, tapi mereka sebenarnya terkilan kerana tak sempat nak mengajak aku untuk turut sama-sama membincangkan perihal anah buah a.k.a budak-budak asrama masa itu. Yelah, pagi dan petang study, malamlah masa untuk lebih fokus beberapa masalah yang kritikal.

Aishhh....tak boleh jadi ni. Walaupun bidang tugas aku tak termasuk dalam bidang tugas mereka, tapi, apabila bahu ini terbeban dengan tanggungjawab sebagai pemimpin, perlu sama-sama memudahkan urusan rakan sepimpinan. Lantas, kesedaran yang dijentik Allah dalam hatiku mendorongku meminta maaf pada rakan-rakan tadi atas sikap penting diriku ini. Janji diikat untuk sama-sama susah senang semasa memimpin.

Itulah masa lampau saya. Namun, rasa bersalah sampai sekarang membelenggu diri kerana tidak bersungguh-sungguh mengambil berat terhadap rakan-rakan pimpinan lain dan soal ahli yang dipimpin juga. Apabila digelar pemimpin, nak tak nak semua aspek perlu dijaga. Aspek ibadah, akademik, akhlak, kualiti kepimpinan dan sebagainya. namun, dalam menjaga reputasi baik sebagai pemimpin, apa yang paling utama ialah menitikberatkan HAL SEKELILING.

Ada pemimpin yang terlalu berusaha agar tak termasuk dalam senarai pemimpin yang 'blacklist' sehinggakan hal insan sekeliling waima perihal ahli pimpinan mahupun rakan-rakan pimpinan yang lain diabaikan hatta hal yang remeh temeh. Pemimpin yang pasif ini seolah-olah berasa di zon selesa apabila sudah mendapat gelaran pemimpin, tapi soal tanggungjawab diabaikan.

Pesanan ini khusus buat diri saya yang terlalu banyak kelemahan. Post ini bukan hendak membuka aib sendiri, tapi untuk membuka ruang muhasabah lebih-lebih lagi golongan pemimpin yang kekadang terleka untuk lebih BUKA MATA da PEKA dengan keadaan sekeliling yang memerlukan penyelesaian. Siapa lagi yang akan memikirkan hal itu kalau bukan si pemimpin.

Sebenarnya, semua antara kita adalah pemimpin, kalau bukan pemimpin yang rasmi namanya di atas sijil, tetapi dia turut memimpin diri, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling secara tidak langsung. Oleh sebab itulah, kita semua tidak boleh mementingkan diri dengan 'buat hal sendiri' sahaja kerana isu kita, masalah kita adalah tanggungjawab kita juga.

.: :. Jadilah pemimpin yang sebenar-benarnya, bukan hipokrit semata-mata .: :.

Wallahu a'lam.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...