Ibadah Membuahkan Akhlak Luhur

Apabila memlih pakaian ke sesuatu majlis, pastinya kita akan memilih sebaik-baik pakaian. Kesusaian, gabungan warna yang menarik dan cantik pastinya menjadi pilihan. Sudah menjadi fitrah manusia, menyukai yang baik-baik dan indah-indah.

Begitu juga dalam ibadah yang dilakukan kerana Allah s.w.t. Seharusnya meletakkan 'ahsanu amala' iaitu sebaik-baik amalan sebagai pertimbangan yang utama. Amalan apa yang paling utama untuk dilakukan dan amalan apa yang paling utama yang harus ditinggalkan.

Sesudah itu, seseorang ahli ibadah itu perlu berusaha untuk mengekalkan momentum ibadah ke tahap yang seimbang. Jangan hanya waktu Ramadhan sahaja atau hari-hari khusus sahaja diletakkan keutamaan untuk beribadah tetapi seharusnya ada usaha untuk melaksanakannya sepanjang waktu. Biar sedikit, asal istiqamah.

Ibadah yang dilakukan secara sempurna daripada segi persediaan fizikal dan rohani, ditambah pula cukup semua rukun dan syarat yang dikehendaki akan membuahkan sikap yang baik bagi seseoarang hamba. Sepatutnya begitulah. Manifestasi ibadah itu seharusnya diterjemah juga kepada akhlak yang baik sesama makhluk. Hablum minallah wa hablum minannas.

إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر

Namun, seringkali manifestasi ibadah belum cukup membuahkan akhlak yang baik sesama muslim. Entah di mana silapnya. Sekalipun sudah berada di tempat yang paling baik untuk beribadah di mana peluang dan ganjaran pahala yang ditawarkan sebesar-besarnya, tetapi masih lagi ada manusia yang bersikap kurang baik, di manakah sebenarnya nilai ibadah kita?

Sedih apabila mengenangkan segelintir ahli ibadah yang tekun dan gigih dalam ibadahnya, namun sampah sendiri dibuang merata-rata dan hanya mengharapkan ihsan tukang sapu bagi membersihkan tempat itu. Pilu tatkala melihat sikap ahli ibadah yang tawadhu' dan rendah diri di hadapan Tuhan-Nya, namun sombong dan membesarkan diri dalam kalangan manusia lain.

Selesai kita di Madinah menziarahi baginda s.a.w sebagai contohnya, fikirlah inikah akhlak yang baginda s.a.w minta daripada umatnya? Selesai kita di Mekah bagi menunaikan umrah serta ubudiyyah kepada Allah, muhasabahlah inikah kesan daripada ibadah yang Tuhan inginkan? Sedangkan di kedua-dua tempat itu adalah tempat yang mulia, tetapi mengapa tidak kita cuba berusaha memuliakan akhlak dan memperbaiki tingkah laku kita?

Bukanlah catatan ini berniat untuk menzahirkan keaiban orang lain dan menunjukkan diri ini paling mulia, tetapi ini hanyalah coretan untuk mengajak kita kembali berfikir dan menilai ibadah dan akhlak kita. Seimbangkah kedua-duanya? Atau hanya salah satu yang menjadi ukuran dalam kehidupan seorang muslim?

Sama-sama muhasabah. Salam Ramadhan 1426H. Jom berubah jadi baik.

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...