Puasa Hak Prerogatif Allah

Tajuk post kali ini sebenarnya saya petik daripada majalah SOLUSI, isu keluaran no.34, bahagian hadis qudsi.


Apa itu prerogatif? 
Prerogatif itu bermaksud hak istimewa Allah untuk memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat. Sebagaimana hadis qudsi  riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud :


"Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: "Setiap amalan manusia itu untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjarannya"




Jadi, dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramdhan Al-Mubarak kepada semua mukminin dan mukminat. Ayuh sama-samalah kita meningkatkan amal ibadah pada bulan mulia yang diganjarkan pelbagai fadhilat dan keistimewaan. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari yang lepas....Jangan lepaskan bonus Allah ini ya!! Wallahu a'lam....

p/s: Nak promote jugak ni...Jangan lupa infak sedikit wang untuk mendapatkan majalah SOLUSI edisi Ramadhan dan Syawal tahun ini. Bagi saya, majalah kali ini merupakan guide terbaik untuk kita melaksanakan ibadah dengan sempurna di bulan Ramadhan...Insya Allah
Semoga Allah redha!

Cerpen : Nikmat Yang Tersia (Bhg.2)


Hisham terus menghempas pintu biliknya dengan kuat. Dia benar-benar seperti orang yang hilang akal.

“Apa semua ini? Hish, bodoh betul la,” Hisham merungut.

“Apa yang bodoh ini, abang?” Ruqayyah masuk ke biliknya selepas mendengar bunyi kuat tadi.

“Adik tahu tak, hari ini abang telah dibuang kerja.”

“Astaghfirullah , betul ke ini, abang,” dalam hatinya, Ruqayyah merasakan ini semua kerana sikap abangnya yang selalu menipu dalam perniagaan.

“Apa yang buat abang berang sekarang ini, seolah-olah ada orang yang hendak mempermainkan abang. Mula-mula abang berjumpa dengan orang tempang, kemudian, orang bisu, buta, orang pekak. Entah –entah selepas ini, abang jumpa orang kudung pula. Siapalah agaknya yang hantar mereka untuk jadi pelakon dalam drama abang ini?”

“Apa yang tak kena dengan orang-orang itu? Biasa sahaja itu, bukan masalah besar pun.”

“Bukan masalah besar adik kata. Adik tahu tak setiap kali abang jumpa mereka, abang rasa lain. Abang terasa sangat. Seolah-olah mereka ingin mengejek apa yang abang buat selama ini. Seolah-olah mereka hendak mengatakan bahawa abang ini tak bersyukur dengan anggota tubuh badan abang ini.”

“Alhamdulillah. Abang patut bersyukur kerana abang jumpa mereka dan merasakan sebegitu.”

“Adik ini kenapa? Nak perli abang ya? Abang tahu abang ini jahat. Tak ‘soleh’ macam adik,” perkataan soleh itu ditekan dengan nada yang kuat.

“Astaghfirullah. Apa yang abang cakap ini. Adik langsung tak berniat macam itu. Abang, berapa ramai orang yang berjumpa dengan mereka yang tidak sempurna terasa dengan kekhilafan diri seperti apa yang abang rasa. Adik pun terserempak dengan orang seperti mereka. Tapi, adik langsung tidak merasakan sebagaimana apa yang abang rasa.”

“Abang tahu. Mesti adik nak suruh abang bertaubat kan? Adik ini tak ada kerja lain ke. Abang tahu la apa yang abang buat,” Hisham sudah masak benar dengan sikap adiknya itu.

“Pandai la abang ini. He…he…Tapi, abang kena ingat semua yang abang lalui hari ini merupakan petunjuk daripada Allah. Ini maknanya Allah masih sayang abang dan Dia nak abang kembali pada jalan-Nya.”

“Sudah, sudah. Abang baru nak tenangkan diri. Sekarang terpaksa pula mendengar ceramah daripada ‘ustazah’ dalam rumah ini. Serabutlah, dik,” ujar Hisham lantas menuju ke kamar mandinya.

‘Ya Allah, berilah hidayah-Mu kepada abangku yang aku kasihi. Janganlah Kau jauhkannya dari jalan lurus-Mu, Amin,’ doa Ruqayyah dalam hati.

Seminggu berlalu. Hari itu, Hisham bersiap-siap untuk keluar.

“Abang hendak ke mana? Handsomenya, abang hari ini,” tegur Ruqayyah.

“Abang nak cari kerja baru. Alah, setakat kerja di syarikat lama abang, bukan abang boleh kaya pun.”

“Abang, banyak mana pun duit yang kita ada, bukannya boleh bawa mati pun.”

“Adik ini kenapa? Bukannya nak bagi semangat tapi nak ejek abang adalah.”

“Bukan macam itu maksud adik, Cuma bila abang dah dapat kerja baru nanti, abang niatkan kerja abang itu untuk dapat redha Allah dan gaji yang abang dapat, diinfakkan ke jalan kebaikan.”

‘Dah mula dah ceramah free dia,’ omel Hisham dalam hati.

“Sudahlah, adik. Daripada adik berleter, lebih baik adik doakan abang. ”

Belum sempat Ruqayyah menyambung, Hisham sudah berlalu.

“Adik memang selalu doakan abang,” ujar Ruqayyah perlahan. Tanpa disedari, matanya bergenang. Dia pilu.

Hisham bersiul-siul kegembiraan. Dia akhirnya berjaya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pekomputeran. Kemahiran yang dimilikinya dalam pelbagai bidang membolehkannya mendapat kerja dengan mudah. Siapa tidak kenal dengan Hisham Mukhlis. Bidang komputer dikuasainya. Bidang teknikal dikuasainya. Bidang komunikasi dan berbagai-bagai lagi bidang yang lain. Semuanya dikuasainya.

“Eh, ada apa ramai-ramai orang ini?” Kosentrasinya terganggu. Dia ternampak ramai orang di tepi jalan. Kenderaan diperlahankan. Rupa-rupanya dia melalui sebuah kawasan tanah perkuburan. Dia tiba-tiba ternampak kelibat sekujur jenazah baru diturunkan ke liang lahad untuk disemadikan.

Hatinya resah. Dia kembali teringat kata-kata nasihat Ruqayyah. Dia bagaikan terbayang peristiwa yang berlaku ke atasnya seminggu yang lalu. Ketakutan menerpa. Dia kini terbayang sekujur jenazah tadi adalah dirinya sendiri. Tanpa berlengah, dia memecut kenderaannya.

“Abang ini kenapa? Tergesa-gesa sahaja pulang. Macam mana kerja abang?” Bertubui-tubi soalan diajukan Ruqayyah tatkala Hisham menapak kaki ke rumah. Namun, Hisham segera meluru ke biliknya. Ruqayyah mengikuti.

“Ya Allah, kenapa abang berbungkus dengan selimut ini. Sejuk ke, bang. Tapi air-cond tak dibuka pun,”

“Tolong abang, dik. Abang takut. Abang tak nak mati lagi. Abang takut,” bagai anak kecil, Hisham merengek sambil menangis teresak-esak.

“Sabarlah abang, adik ada di sini. Abang jangan takut. Adik akan bantu abang,” Ruqayyah memujuk abangnya walaupun dia tidak mengetahui kisah sebenar yang membuatkan abangnya jadi sebegini.

“Abang tak nak mati lagi. Abang masih banyak dosa. Abang takut, dik.”

“Abang, ingat Allah, bang. Allah lebih tahu. Dia Maha Pengampun. Ingat Allah, bang,” Ruqayyah masih memujuk. Dia turut sama-sama menangis keharuan melihatkan abangnya yang meracau-racau ketakutan. Satu ketakutan dan sesalan yang amat sangat. Namun, dalam hati dia memanjat kesyukuran.

‘Ya Tuhan, mungkin inilah saatnya engkau kembalikan abangku ke jalan yang Engkau redhai. Alhamdulillah,’ syukurnya dalam hati.

*******
Setahun berlalu. Hisham kini sudah berubah. Dia semakin mendekatkan dirinya pada Allah dengan bantuan Ruqayyah. Peristiwa yang menimpanya baru-baru ini merupakan anugerah yang indah dalam hidupnya. Allah telah mengetuk pintu hidayah dalam dirinya melalui peristiwa-peristiwa itu. Dia sudah sedar bahawa semua itu adalah untuk menyedarkannya daripada lena kejahilannya selama ini.

Dia kini lebih menghargai nikmat yang Allah kurniakan padanya. Ayat 179 Surah Al-A’raf begitu memberi kesan kepadanya.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Segala kehidupan jahiliyahnya sudah ditinggalkan. Hidupnya kini lebih bermakna dengan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dia juga telah meletakkan jawatan daripada tugas lamanya dan telah membuka sebuah syarikat media miliknya sendiri sambil dibantu oleh Ruqayyah. Dengan kepakaran yang dimilikinya dalam bidang teknologi dan maklumat, dia banyak menghasilkan program televisyen yang berunsurkan Islam. Dia tidak lama lagi bakal menerbitkan beberapa filem yang benar-benar berpaksikan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Dia ingin masyarakat sekeliling kembali pada jalan-Nya dan tidak terpesong sepertinya dahulu. Dia berdoa semoga dengan usahanya ini, dapat menghapuskan dosa-dosanya yang lalu.

Di suatu petang yang nyaman.

“Adik buat apa itu?” tanya Hisham kepada Ruqayyah sambil mereka bersantai-santai pada hari minggu itu.

“Adik hafal surah Al-Kahfi ini. Abang sudah hafal surah ini?”

“Belum lagi. Abang baru sahaja habis juzuk 30. Abang mula dari belakang. Insya Allah nanti abang nak cuba hafal seluruh Al-Quran. Adik bantu abang ya?”

“Insya Allah. Tak mustahil,bang untuk kita jadi seorang hafiz suatu hari nanti walaupun umur kita dah lanjut. Selagi kita masih hidup, selagi itulah kita berusaha untuk membual amal ibadah kepada-Nya.”

“Betul tu, ustazah.”

“Ada-ada sahajalah abang ini.”

“Oh ya, abang dah lama nak tanya hal ini kepada adik. Adik belajar mengaji di mana? Dahulu, masa abang jahil, abang selalu dengar adik mengaji. Lagipun, arwah mama dan papa tak pernah menghantar kita ke kelas mengaji.”

“Ooo. Ingatkan apa tadi. Adik belajar dengan kawan adik. Tapi, kalau abang nak tahu, dia itu pekak. Dia memang tak dengar orang bercakap kecuali dengan melihat gerakan mulut orang, itu pun perkataan-perkataan yang mudah. Cuma itulah, Allah anugerahkan dia kelebihan. Dia boleh faham dan dengar dengan jelas bacaan Al-Quran daripada orang lain.”

“Mesti bagus kawan adik itu kan. Tengoklah adik abang ini, seorang wanita yang hebat, macam serikandi di zaman Rasulullah.”

“Dia lagi hebat,bang. Adik rindulah dekat kawan adik itu. Jom kita pergi ziarah dia. Esok kan hari cuti.”

“Kenapa abang mesti ikut adik, bukannya dia kawan abang pun.”

“Boleh la, bang. Jomlah.”

*******
Hisham resah. Tempat yang dibawa adiknya itu mengingatkannya kepada peristiwa setahun yang lalu.

“Jomlah. Abang tunggu apa lagi ini. Adik dah tak sabar nak jumpa kawan adik ini. Ha! Itu pun dia. Jamilah, kenalkan, ini abang saya, Hisham,” ujar Ruqayyah sambil membuat isyarat tangan dan menggerakkan mulutnya perlahan-lahan semasa memperkenalkan Hisham kepada Jamilah supaya mudah difahami Jamilah yang tidak dapat mendengar itu.

“Oh, ini ke kawan yang adik cakapkan semalam?” Hisham seolah-olah kaku. Dia kaget melihat Jamilah yang berjubah dan bertudung labuh itu. Dia rasa bersalah. Hatinya kini membuak-buak untuk memohon kemaafan daripada Jamilah atas apa yang telah berlaku dahulu.

“Ya,abang. Inilah kawan adik, Jamilah. Dia kerja di sini, kedai makan ayahnya.”

“Saya dah pernah jumpa abang awak. Dia pernah makan di sini dahulu,” ujar Jamilah menjelaskan.

“Macam itu rupanya. Jomlah kita masuk ke dalam. Bolehlah berbual-bual sambil makan-makan. Abang, kenapa tercegat lagi itu?” soal Ruqayyah tatkala memandang Hisham yang masih berdiri di tempatnya. Dia aneh melihat pandangan semacam abangnya terhadap Jamilah.

Jamilah yang seolah-olah dapat merasai perasaan bersalah yang menyerang Hisham terus berkata kepadanya, “Awak jangan fikirkan soal lalu. Saya tak  pernah marahkan awak pun. Saya pun dah lupakan hal itu. Tiada apa yang perlu awak bimbangkan.”

“Terima kasih Jamilah. Saya berjanji akan membantu awak untuk mengatasi masalah pendengaran awak sebagai tanda penghargaan saya kerana sudi maafkan saya dan membimbing adik saya selama ini,” ujar Hisham lagi sambil tangannya membuat isyarat tangan dan mulutnya digerakkan perlahan-lahan sebagaimana yang dilakukan adiknya.

Jamilah kelihatan hanya mengangguk senyum. Hisham turut tersenyum senang. Hatinya lega ditambah bahagia. Berbunga-bunga juga.

“Ehem, nampaknya adik bakal mendapat kakak ipar nanti. Tak gitu, abang?” ujar Ruqayyah mengusik. Jamilah di sebelahnya sudah menunduk malu.

“Adik ini ada-ada sahajalah. Jomlah, kata nak makan. Abang dah lapar ini,” ujar Hisham lagi.

Alhamdulillah, hidup Hisham kini kian disinari cahaya kebahagiaan. Dia akan terus berjuang di jalan yang diredhai-Nya dan tidak akan sekali-kali mempersiakan segala nikmat kurniaan Tuhan kepadanya.

TAMAT....Wallahu a'lam....semoga terhibur.

Cerpen : Nikmat Yang Tersia (Bhg.1)




Hisham melonggarkan ikatan tali lehernya. Dia memasuki keretanya dan terus memasang pendingin hawa. Baginya, air conditioner itu tidak meninggalkan kesan apa-apa pun kepada Hisham. Hatinya tetap panas. Bagai gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus.


Hisham tiba-tiba menghentak stereng keretanya dengan kuat sehingga hon keretanya berbunyi kuat. Dia membentak marah, “Tak guna . Memang tak guna. Sia-sia usaha aku selama ini. Apa yang aku buat, ini hasilnya.”

Hisham baru sahaja diberitakan oleh kawan sekerjanya tadi bahawa dia dipecat oleh pengurus syarikatnya, sebuah syarikat menjual makanan dan minuman segera.

“Aku dengar daripada bos memang dia dah pecat kau. Dia kata surat pengesahan perletakan jawatan kau akan dihantar ke rumah kau nanti. Dia pesan supaya kau tidak usah datang ke pejabat lagi,” ucapan rakannya, Azam kembali terngiang-ngiang.

Rimas. Serabut. Kacau-bilau. Semua yang sewaktu dengan makna perkataan-perkataan itu. Itulah yang dirasainya sekarang. Kereta Honda miliknya segera  meluncur laju di jalan raya. Tiada haluan.

Fikirannya tiba-tiba menerawang. Di mindanya dia teringat segala tipu dayanya selama ini dalam perniagaan, punca dia dipecat. Rasa menyesal menyelinap dalam diri.

“Arghhh. Persetanlah semua itu. Alah, kalau setakat kerja di situ bukan boleh buat duit banyak pun,” dia menjerit menepis semua ingatan itu termasuk rasa sesal yang hadir.

Perjalanannya diteruskan. Haluannya masih kosong. Dia hanya ingin menghilangkan marahnya yang kian membuak-buak. Tatkala tiba di persimpangan jalan, matanya tertancap pada seorang budak lelaki . Umurnya kelihatan kira-kira sepuluh tahun. Namun, apa yang menarik minatnya ialah budak itu hanya memakai sebelah kasut di kaki kirinya sambil bertongkat berjalan menuju ke sebuah gerai yang berhampiran.

Tiba-tiba dia melihat budak lelaki itu tersenyum kepadanya. Hisham tergaman. Dia sama sekali tidak menyangka budak sekecil itu masih boleh tersenyum, apatah lagi dalam keadaan cacat, hanya berkaki satu. Wajahnya yang ceria itu menggambarkan seolah-olah budak itu tidak menghadapi apa-apa kesakitan. Hatinya terasa lain. Dia bersyukur kerana kedua-dua kakinya masih ada.

Dia jadi teringat bagaimana dia sering menjejakkan tapak kakinya di tempat-tempat maksiat. Disko, kelab malam dan semua pusat hiburan di Kuala Lumpur boleh dikatakan sudah meninggalkan jejak kakinya. Sesalan datang menimpa. Namun, ditepis jauh-jauh.

Perjalannya diteruskan. Tujuannya hanya satu, ingin menenangkan jiwa yang semakin runcing. Haluannya kini menuju  ke taman rekreasi yang berdekatan. Dia kini sudah mengambil tempat duduk di sebuah bangku kayu yang dihias cantik.

“Huh,” satu keluhan dilepaskan. Riak wajahnya menunjukkan hati panasnya semakin reda. Mungkinkah kerana kelibat budak lelaki tadi? Persoalan itu sepi tanpa jawapan.

“Aduh, sakit la. Siapa yang lempar bola ni? Tak guna punye orang,” Tiba-tiba sahaja ribut taufan melanda diri Hisham tatkala sebiji bola putih bertompok-tompok hitam menyentuh kepalanya.

Seorang remaja lelaki berdiri tegap di hadapannya. Terus kaku tanpa bicara.

“Hoi, kau ke yang lempar bola bodoh ini kepada aku,” Hisham terus mengamuk bagai singa lapar. Ketenangan yang baru dirasai tadi sudah tidak bermakna.

Remaja itu hanya mengangguk. Dia kemudiannya menghulurkan kedua tangannya ke arah Hisham untuk meminta bola tersebut.

“Kau nak bola ini ke?” Kelihatan, remaja itu hanya mengangguk.

“Amboi banyak cantik muka kau. Hei, mak bapak kau tak ajar ke cara nak menghormati orang tua. Sudah la hulur tangan sahaja. Biadap betul budak ini.” Hisham yang memang seorang yang panas baran menyambung.

“Abang, minta maaf, bang. Boleh tak kami nak minta bola kami balik,” seorang remaja lelaki lain sebaya dengan remaja tadi datang menghampiri Hisham.

“Hei budak, lain kali kalau nak bola, minta elok-elok.  Bukan macam kawan kau ni. Apa memang dah tak ada mulut nak bercakap? Atau kawan kau ini bisu?”

“Maaf, maaf sekali lagi bang. Kawan saya ini memang bisu. Tadi bola ini ditendang jauh sangat. Itulah yang saya suruh kawan saya ambil. Maafkan kawan saya, bang,” kedua-dua remaja itu segera menyalami Hisham.

Namun, remaja bisu itu terus memegang kejap-kejap tangan Hisham tanda memohon kemaafan. Dia kelihatan sangat bersalah. Hisham kaget. Dia tidak mampu berkata-kata, Cuma mengangguk.

“Terima kasih, abang yang baik hati kerana sudah memaafkan kami. Semoga Allah merahmati abang. Kami minta diri dulu,”ujar remaja itu lantas mereka beredar dari situ.

 ‘Baik hati. Wajarkah aku digelar baik hati, sedangkan tadi aku sudah memaki hamun budak bisu itu.  Ya Allah, aku ada mulut tapi gunanya untuk menghina orang. Betapa aku tidak mensyukuri mulut yang Engkau kurniakan padaku. Bagaimana kalau suatu saat nanti, aku pula yang menjadi bisu,’ hati kecil Hisham berkata-kata.

Allah.

Satu kalimah itu sudah lama terpadam daripada kamus hidupnya.  Hatinya kian terisi dengan sesuatu yang lain. Luar biasa. Namun, perasaan itu ditepis jua.

“Lantak la diorang nak kata aku baik ke, apa ke. Peduli apa aku budak bisu itu. Diorang itu memang sahaja nak cari pasal dengan aku. Yang penting aku puas dapat tengking budak itu. Padan muka kau,” sikap kepala batu dan keras hatinya kembali menyerang.

Kring…Kring…

Telefon bimbitnya berbunyi. Si adik sudah memanggil.

“Ya, dik. Ada apa telefon abang ini?”

“Abang bad mood ke? Adik minta maaf. Adik cuma nak minta tolong abang belikan sabun basuh.  Sabun basuh dah habis, tak boleh nak basuh baju,” satu-satunya adik Hisham, Ruqayyah bersuara manja.

“Yalah, nanti abang belikan. Dah la, abang penat ini.”

“Abang dah solat Zohor? Kalau belum…” belum sempat pesanan untuk menunaikan solat disampaikan oleh Ruqayyah, Hisham terlebih dahulu mematikan handphonenya.

Dia tahu sangat perangai adiknya itu. Tidak jemu-jemu untuk menyuruhnya solat. Kekadang, sengaja dihamparkan dua sejadah di ruang tamu dengan harapan dia akan sama-sama bersolat dengan adiknya.  Waktu Subuh pula, tidak pernah penat Ruqayyah mengejutkannya daripada tidur. Namun, semua usaha Ruqayyah tidak berkesan. Bahkan, pernah Ruqayyah mogok tidak akan masak makan malam untuknya jika tidak solat. Akhirnya terpaksalah dia berbohong dengan mengatakan dia sudah solat.

Hisham menjadi seorang yang sangat liat untuk solat semenjak kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan. Dia terlalu sedih sehinggakan lupa Sang Pencipta manusia dan Yang Maha mematikan manusia yakni Allah. Hanya adiknya sahaja yang tidak putus-putus doa dan nasihat supaya suatu saat nanti Hisham bakal berubah.

*******
Hisham memarkir keretanya di sebuah kedai runcit bagi memenuhi hajat adik kesayangannya. Usai membeli, dia terpandang seorang mak cik tua di gerai kecil bersebelahan dengan kedai runcit itu.

Hari ini sekali lagi dia tergaman. Seorang mak cik tua ditambah dengan ketidaksempurnaannya, iaitu buta, mampu menjual aiskrim dengan jayanya. Kalau dilihat, memang pantas, cekap dan efisien sekali mak cik itu meletakkan aiskirim di dalam kon dan membubuh hiasan yang cantik pada aiskrim itu. Buta langsung tidak menjadi penghalang untuknya bekerja mencari rezeki.

“Aneh betul. Buta-buta macam itu pun mampu  membuat kerja dengan baik. Aku yang ada dua butir mata pun tak macam mak cik itu. Betul ke mak cik itu manusia. Entah-entah hantu kot?” Hisham bermonolog.

‘Dia memang manusia. Tidak mustahil Allah menjadikannya begitu dan mengurniakan kelebihan itu padanya. Allah kan Maha Berkuasa. Mata kau itu bukannya untuk melihat benda baik-baik,  asyik tengok gadis-gadis seksi sahaja. Filem-filem mat saleh, semuanya kau tak miss tonton,’ bisikan-bisikan halus bergema di telinganya.

“Ah, diamlah,” Hisham ingin menafikan kata-kata itu walaupun hatinya mengiyakan.

‘Kenapa kau nak berdalih. Kau tak boleh tipu diri kau apalagi Allah. Kau memang banyak buat dosa dengan mata kau itu. Bertaubatlah,’ bisikan-bisikan itu semakin galak menghantui Hisham.

“Diam!!!”

Jeritan Hisham membuatkan ramai yang berada di situ terpandang ke arahnya.

Tanpa sempat berlama-lama di kedai runcit itu, dia lantas bergegas menuju ke keretanya. Dia ingin menyambung perjalanannya.  Hatinya semakin terganggu. Jiwanya kian sesak. Peristiwa yang berlaku hari ini benar-benar merunsingkan dirinya. Kenapakah semua ini harus terjadi?
Persoalan yang timbul terbiar tanpa jawapan.

Dia kemudiannya tiba di sebuah gerai makan. Perut yang sudah mula berkeroncong harus diisi.
 
“Assalamualaikum, encik, nak order apa? Boleh tolong tunjukkan makanan dan minuman mana yang encik inginkan?” satu suara halus mula menyapanya.

Jawapan salam itu hanya terjawab di dalam hati. Kerongkongnya tersekat. Kaget sebentar disapa dengan salam yang jarang-jarang sekali diamalkannya.  Sekeping kad berwarna oren dihulurkan kepadanya. Hisham terus menunjukkan  resepi yang diingininya.

“Satu sahaja ke, encik?”

“Ya, satu sahaja.”

Hisham sebenarnya pelik dengan pelayan wanita itu. Tidak pernah lagi dia menjumpai seorang pelayan yang meminta untuk ditunjukkan hidangan yang dipilih di atas kertas seperti yang dibuat oleh wanita itu. Kebiasaannya pelanggan hanya memberitahu menu yang ingin dimakan kepada si pelayan.

Mata Hisham masih belum lari mengekori gerak langkah pelayan wanita itu. Caranya masih sama. Meminta ditunjukkan menu di atas kad oren itu.

“Jamilah, mari sini nak. Pak cik nak order ni,” pelayan itu terus bergerak ke meja sebelah meja Hisham yang terdapat dua orang lelaki yang agak berusia. Usai dua lelaki itu menempah pesanan, Hisham terdengar bualan mereka.

“Kasihan si Jamilah itu kan. Sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi. Sudah la orangnya cantik, kuat agama, baik,” meja yang terlalu hampir membolehkan Hisham mendengar dengan jelas setiap butir bicara kedua-dua lelaki itu.

“Nak buat macam mana Zul, dia dilahirkan pekak. Siapa yang nak isteri macam itu.”

‘Oh, pekak rupanya. Patutlah pelik semacam sahaja aku tengok dia itu,’ omel Hisham dalam hati.

“Tapi Man, Rasulullah kan ajar kita nak cari isteri perlu tengok empat ciri. Cantik, berketurunan baik, berharta dan beragama. Pilihlah yang beragama, nescaya beruntung. Bahagia. Ibaratnya dunia ini kita yang punya.”

“Aku  tahu itu, Zul. Tapi pekak-pekak si Jamilah itu, dia beruntung sebenarnya kan. Terselamat dia daripada dosa-dosa mendengar umpatan, kata-kata buruk dan adu domba orang.”
Hisham di meja sebelah tersentap seketika.

“Itulah kelebihan orang pekak. Bahkan, Jamilah itu pun dianugerahkan keupayaan untuk memahami perkataan yang mudah-mudah melalui gerak geri mulut orang lain. Kita yang masih boleh mendengar  ini kenalah jaga pendengaran kita dengan sebaiknya.”

Hisham semakin tidak sedap duduk. Dia semacam terasa dengan kata-kata itu. Dia tiba-tiba sahaja bangun. Ingin berganjak daripada tempat itu. Telinganya menjadi panas mendengar semua itu walaupun hatinya terasa lain. Sesuatu yang sejuk yang sedang cuba menghapuskan kepanasan dalam diri.

Tiba-tiba…

“Encik, ini makanan yang…”

“Ah, ini semua  sebab kau, perempuan pekak,” belum sempat Jamilah menghabiskan kata-katanya, tidak semena- mena Hisham terus memotong sambil menolak pinggan makanan  yang ditempahnya ke lantai. Dia lantas beredar meninggalkan Jamilah yang begitu terkejut atas apa yang terjadi.

“Sabar, Jamilah. Mungkin dia sedang tertekan dengan kerja,” Pak Zul cuba menenangkan Jamilah yang kelihatan sugul. Namun, Jamilah yang tidak mendengar butiran kata Pak Zul hanya menunduk lemah.



Wallahu a'lam...nantikan sambungan kisah Hisham dalam post yang akan datang. 




Baik Dan Jahat



Apabila membicarakan soal baik dan jahat, ia sebenarnya memerlukan masa yang panjang dan karangan yang berjeda-jeda. Apa yang saya ingin nukilkan di sini merupakan perkara yang mudah diterima akal tetapi bagi saya ianya agak sukar untuk diamalkan kerana ia memerlukan seseorang itu untuk berjuang dan berperang habis-habisan dengan nafsu dalam dirinya sendiri.


Seseorang yang berniat untuk melakukan kebaikan, hendaklah disegerakan.
Seseorang yang berniat untuk melakukan kejahatan, hendaklah ditangguhkan.


Kenapa??


Sesuatu niat untuk membuat kebaikan merupakan perkara yang sangat bernilai kerana ianya merupakan bonus dari Allah. Andaikata kita mengabaikan dan bersikap acuh tak acuh terhadap lintasan niat yang baik itu, sebenarnya dikhuatiri Allah akan menarik kembali hidayah-Nya dan kita tidak akan mempunyai 'feeling' lagi untuk beramal kebaikan. Sebab itulah kita perlu menyegerakan kebaikan dan menagguhkan kejahatan. Moga-moga dengan itu, kejahatan yang kekadang terlintas di hati, tidak akan berjaya dilakukan.


Rasa-rasanya skop kejahatan dan kebaikan itu tidak perlulah saya huraikan panjang lebar di sini. Cuma saya sendiri pernah mengalaminya. Kebiasaannya usai solat, terlintas di lubuk hati saya untuk membaca beberapa potong Kalamullah Alkarim, namun saya seringkali mengatakan pada diri saya, "Takpelah, selepas makan dan tengok TV boleh mengaji. Masa banyak lagi." Tetapi malangnya, apabila masa berlalu dan berlalu, malas mula menguasai diri dan keasyikan menonton TV semakin terasa mengakibatkan hasrat saya untuk mengaji tidak menjadi.


Mungkin persoalan di sini, menonton televisyen pun bagus dan ianya bukanlah satu bentuk kejahatan. Tetapi, alangkah baik jika masa yang terluang digunakan untuk sesuatu yang lebih berfaedah apatah lagi jika rancangan yang menjadi bahan tontonan tidak membawa kebaikan dalam diri seseorang. Namun, apabila saya cuba untuk terus mengaji Al-Quran dengan segera selepas solat tanpa berganjak daripada tempat solat, saya merasakan keindahan menghayati ayat-ayat suci dan memang pada masa itu hasrat untuk menonton TV langsung tidak terasa. Bahkan selesai mengaji, saya tergerak untuk melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat seperti membaca dan sebagainya.


Kesimpulannya di sini, masa itu perlu diurus sebaik mungkin, bahkan satu saat itu cukup berharga. Rasulullah s.a.w berpesan kepada umat baginda supaya mengingati lima perkara sebelum datangnya lima perkara :
"Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati"


Apa yang dikongsikan ini sudah pastinya peringatan buat diri saya sendiri. Ayuh sama-sama perbaiki diri. Wallahu a'lam...

Kehebatan Khubaib bin 'Adi

Salam mujahadah buat semua, sesungguhnya saya juga masih dalam medan perjuangan, menentang nafsu dalam diri dan kecintaan duniawi yang sementara cuma. Insya Allah dalam tulisan kali ini, saya ingin menceritakan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang dibunuh demi membela agama-Nya dan Rasul-Nya.


Pernahkan anda mendengar nama seperti Khubaib bin 'Adi. Beliau ialah antara sahabat yang turut sama berjuang kerana Allah. Namun, hidup sebagai pejuang tidak pernah senang dan aman. Beliau terpaksa menghadapi ancaman orang kafir sehingga dibunuh. Apa yang menyentuh hati saya ialah peristiwa ketika mana beliau ingin dibunuh.




Menurut riwayat, ketika Khubaib bin 'Adi dibawa keluar daripada kawasan Masjidil Haram untuk dibunuh, beliau telah meminta izin daripada orang kafir supaya membenarkannya untuk bersolat dua rakaaat. Selepas bersolat, beliau datang semula dan berkata kepada orang kafir itu, "Kalaulah bukan kerana kamu mungkin menyangka aku takut mati nescaya aku akan menambah lagi bilangan rakaat solatku". Beliaulah orang yang pertama yang memulakan amalan solat dua rakaat apabila hendak dibunuh. Kemudian beliau berdoa, "Ya Allah, Engkau pastikanlah bilangan penzalim ini (untuk Engkau membalas kezaliman mereka)." Kemudian beliau bermadah:


Sekiranya Allah menghendaki berkat,
      Pada anggotaku yang hancur lumat,
Persetan tubuhku dibunuhku mati,
     Untuk Allahlah kematianku pasti.

Subhanallah!! Lihatlah betapa hebatnya Khubaib bin 'Adi ini. Walau menghadapi pelbagai ancaman dan tipu daya orang kafir, bahkan ketika hendak dibunuh pun, beliau masih bergantung penuh kepada Allah dan iman beliau langsung tidak luntur dek dugaan dan cabaran itu semua. Lantas, ayuhlah sama-sama kita pasakkan iman kita dengan amal ibadah dan akhlak yang mulia. Semoga kita turut mati dalam keimanan kepada-Nya.
Wallahu A'lam

Tempat manakah yang tidak dilihat sesiapa??



Seorang mukmin yang cemerlang perlu mempunyai dalam dirinya sifat muraqabatullah yakni mendekatkan diri kepada Allah. Kesungguhan seseorang yang bermuraqabah dengan Allah dapat menjauhkan dirinya daripada perkara yang menyelewengkan imannya.Dalam konteks muraqabah kepada Allah saya ingin membawakan sebuah kisah yang menarik buat anda semua.


Diriwayatkan bahawa ada seorang tuan guru yang mempunyai ramai anak murid. Dalam kalangan anak muridnya ada seorang yang lebih muda daripada yang lain. Ia amat dimuliakan oleh tuan guru tersebut. Murid-murid yang lebih tua tidak puas hati dan berkata kepada tuan guru itu.


"Bagaimana tuan boleh memuliakan dia lebih daripada kami, sedangkan kami lebih tua daripadanya?"


Esoknya, tuan guru itu memberikan muridnya seekor burung beserta sebilah pisau tiap-tiap seorang, termasuklah muridnya yang muda itu. Tuan guru itu segera memberi arahan kepada murid-muridnya.


"Masing-masing sembelih burung tersebut di tempat yang tidak dilihat sesiapa." 


Mereka pun beredar dan membawa pulang burung sembelihan masing-masing. Tetapi, murid yang muda  ini pulang dengan membawa burung yang masih hidup di tangannya. Tuan guru tersebut pun bertanya.


"Mengapa engkau tidak menyembelihnya padahal rakan-rakanmu semuanya telah menyembelih?"


Murid muda itu pun menjawab," Saya tidak menemui tempat di mana saya tidak dilihat oleh sesiapa. Sebab Allah itu ada di mana-mana."


Dengan jawapannya itu rakan-rakannya pun menghargai sifat muraqabahnya kepada Allah. Akhirnya mereka mengaku dan berkata kepada guru mereka.


"Memang layak tuan muliakan dia daripada kami."
*****


"Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya"
(Surah Qaf, 16)


Melalui kisah di atas, sama-samalah kita mengingati diri kita bahawa Allah itu sentiasa dekat dengan hamba-Nya dan Dia mengetahui segala yang berada di langit dan bumi, bahkan apa yang dibisikkan dalam hati kita. Allah berfirman :


Wallahu a'lam

Jihad di PLKN

"Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, nescaya Allah SWT dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan dikembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah SWT menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan"
(Surah at-Taubah : 105)


Tatkala melihat dan membaca tafsiran ayat ini, tetiba sahaja penyesalan bertandang di hati kecil saya. Lantas saya teringatkan betapa saya tidak pernah mahu berusaha suatu masa dahulu. Peristiwa di PLKN dahulu menggamit memori saya di mana saya dan sahabat-sahabat muslimah yang lain 'terpaksa' memasukkan tudung ke dalam baju yang diberi sepanjang kami di sana. 


Apabila masa berlalu dan suatu hari saya berjumpa dengan seorang sahabat di kem PLKN yang lain, lantas dia memberitahu bahawa ketika di sana, dia pernah meminta kebenaran dengan pengurusan kem untuk memakai tudung di luar baju. Alhamdulillah, pihak kem di sana mengizinkan tetapi pada aktiviti yang tertentu sahaja.


Saya begitu menyesal kerana saya dan sahabat-sahabat yang sama kem tidak pernah berusaha untuk mengusulkan etika pemakaian untuk muslimah kepada pengurusan kem. Malah, kami hanya 'mematuhi' peraturan itu bulat-bulat tanpa membantah. Memanglah penyesalan atas apa yang telah Allah tetapkan itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi melihatkan ayat di atas, hati saya jadi pilu. 


Namun, saya yakin semua ini ada hikmahnya. Saya pasti pada masa akan datang, Allah menginginkan saya untuk berusaha dahulu dengan apa-apa cara sekali pun, kemudian menyerahkan keputusan di tangan Allah SWT. Apapun, saya bersyukur dengan segala yang telah Allah tetapkan buat saya.


Firman Allah, "Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah"


Alhamdulillah, sekarang ini timbul semangat untuk terus berjihad dan berusaha bagi menentang kejahilan di atas muka bumi ini. Walaupun usaha yang dilakukan sedikit cuma, namun tidak mengapa kerana saya yakin Allah Maha Berkuasa. Sebagai hamba kita hanya mampu berusaha dan Allah yang memberi kejayaan.


Tetapi, usaha semaksimum yang mungkin tetap perlu dijalankan kerana suatu masa nanti kita perlu percaya bahawa Allah akan kembali bertanyakan apa yang telah dilakukan untuk Islam dan umatnya. Semoga Allah mengampunkan dosa yang kita lakukan sama ada yang diketahui atau tidak.
Astaghfirullah......

Monolog diriku

Aduh....sakitnya,
Ternyata jalan ini terlalu perit buatku, 
Diriku benar-benar hina,
Kotor dengan duri-duri maksiat,
Indahnya sementara cuma,
Namun, dosanya kekal,

Aku mohon agar diriku istiqamah,
Mengamalkan apa yang kutulis,
Kelak aku akan ditanya,
Adakah kau buat apa yang kau tulis?
Bagaimana ingin kujawab?

Ya Allah,
Andainya buta itu lebih baik,
Andainya bisu itu lebih baik,
Andainya pekak itu lebih baik,
Andainya cacat itu lebih baik,
Aku redha aku pasrah,
Daripada nikmat-Mu kepersiakan,
Di jalan nafsu dan syaitan,


Ya Allah aku lemah,
Aku takut akan azab-Mu,
Aku inginkan syurga-Mu,
Namun, adakah layak buatku,
Yang berhambakan nafsu
Bukan iman dan taqwa

Ya Allah...Ya Allah,
Redhalah apa yang aku lakukan ini,
Terimalah ia sebagai bekal di sana,
Aku tak mampu Ya Allah,
Ampuni aku Ya Allah...
Astaghfirullah


Jangan Lupakan Kami

Hari itu, aku pulang ke rumah bersama ustazah sekolah lama, Ustazah Noraini Abdul Rahman.
Kebetulan tumpang ustazah kerana baru balik dari kem di sekolah.
Dalam perjalanan, ustazah sembang-sembang dengan kami yang berada dalam kereta.
Kemudian, ustazah ada beritahu, semasa ustazah sampai di sekolah, ustazah ternampak seorang bekas pelajar sekolah aku merangkap bekas anak murid ustazah.
Ustazah kelihatan sedikit kecewa semasa menceritakan hal itu kerana bekas pelajar itu hanya memandang ustazah tapi tidak ada tindakan untuk menegur beliau.
Dalam nada dan riak ustazah, jelas menunjukkan kesedihan ustazah kerana anak murid yang dididiknya seolah-olah melupakannya.
Dalam hati, aku berdoa agar aku tidak termasuk dalam kalangan insan yang melupakan guru yang telah banyak mendidik dan mengajar erti kehidupan.
Sebenarnya, bukan Ustazah Noraini seorang yang merasakan hal itu, bahkan guru-guru yang lain juga.
Memang tidak diakui, apabila aku bertemu dengan guru-guru yang pernah mengajar diriku, aku rasa agak segan untuk berhadapan dengan mereka.
Tapi, dalam hati kecil mereka, aku tahu mereka amat mengharapkan kita sebagai pelajar mereka menegur mereka sebagai tanda kita masih mengingati mereka.
Sekurang-kurangnya dengan bertanya khabar dan memaniskan muka dengan sekuntum senyuman.
Apalah sangat rasa malu itu jika hendak dibandingkan pengorbanan dan didikan mereka kepada kita.
Mereka bukanlah menginginkan apa-apa daripada kita, cukuplah sekadar dengan kejayaan yang kita peroleh.
Dan yang paling penting, mereka ingin melihat kita menjadi manusia yang berguna dan yang mempunyai akhlak yang mulia.


           Tanpa guru,kita tidak akan berjaya seperti ini


Jadi, janganlah melupakan guru-guru kita biar setinggi mana pun darjat dan pangkat kita.
Tanpa mereka siapalah kita pada hari ini.
Sentiasalah doakan mereka...moga-moga dirahmati Tuhan Yang Esa.

Stanza Cinta

Alhamdulillah, bersyukur pada-Nya atas peluang yang diberikan-Nya padaku untuk terus menulis.
Hari ini aku cuma ingin kongsikan apa yang aku dapat semasa menonton drama terbaru TV3, Stanza Cinta.
Bagiku, drama ini best sangat walaupun baru beberapa episod ditayangkan kerana dalam drama ini terdapat banyak pengajaran disamping mendekatkan diriku pada-Nya..



Aku sebenarnya sangat tersentuh dengan skrip nasihat yang ditonjolkan dalam drama itu tadi.
Antaranya, pelakon ada menyebut," Hadiah yang paling berharga yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa daripada anaknya ialah doa."
Subhanallah...aku setuju sangat tu dan memang ianya sungguh menyentuh hati (nasib baik tak nangis)
Kata-kata itu  berjaya mengetuk hati insan lain supaya tidak lupa mendoakan ibu bapa kerana antara amalan yang tidak terputus setelah manusia meninggal dunia ialah doa anak yang soleh.


Selain itu, pelakon turut memberi nasihat tentang pemberian hadiah.
"Hadiah yang terbaik yang diberikan kepada orang lain ialah sesuatu yang sangat kita sayang"
Aku tatkla mendengar butir-butir bicara itu tersentak.
Benar-benar terasa dan terkena atas batang hidung sendiri.
Yelah, sebelum ini pun aku dah tahu pasal hal ini, cuma tidak amalkan je...
Kalau beri hadiah kepada orang lain pun, hadiah yang biasa-biasa sahaja.
Namun, yang sebenarnya hadiah yang paling berharga dan yang kita paling sayang itulah tanda ukhuwwah yang hakiki.


Okaylah, cukup setakat itu dulu perkongsian kali ini.
Harap-harap kita semua dapat amalkan apa yang  aku kongsi. (termasuklah diriku yang hina ini...Isk3)
Wallahu a'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...